
Isteri membebel kadang-kadang tu bukan sebab mereka ni ringan mulut untuk bercakap. Bukan! Tapi mesti ada sebab kenapa mereka membebel. Lelaki bernama Amir Syahir ini kongsi, bila isteri membebel, ini yang suami perlu cakap.
Perempuan ni sering dilabel sebagai kaki bebel. Tak kira la mak ke, nenek, kakak ataupun isteri korang.
Kalau belum kahwin, mesti kau selalu dengar mak kau membebel kan. Kalau dah kahwin, dengar isteri pula membebel. Kau sabar je lah ye.
Biasanya, apa yang dibebel oleh golongan mereka ni ada moleknya. Semuanya sebagai nasihat. Bukan saja-saja membebel. Kau yang lelaki tu tahan je la telinga. Jangan nak melawan kalau tak suka pun.
***
Isteri membebel ni ada sebabnya. Dia tidak akan membebal saja-saja.
Selepas minum kopi misalnya. Kalau suami, cawan tu esok-esok boleh basuh. Sebaliknya bagi isteri. Kalau nampak cawan merata mula la nak buka sesi kaunseling. Yelah, sepatutnya gitulah. Lepas minum terus basuh.
Baling baju dalam baldi nak basuh tapi tak masuk dalam baldi dah kira okay dah. Tapi bagi isteri itu boleh menyelerakkan dan tidak menyelerakan pandangan. Lagi satu kalau letak baju kotor ikut suka hati. Lagi lah kena tahan telinga mendengar.
Dah la kau bangun paling lewat, tak kemas katil. Cadar tak tegangkan, selimut tak lipat. Sekali sekala okeyla, kalau hari-hari kau buat macam tu? Mana tak kena bebel.
Bukan apa, penat juga si isteri nak buat semua tu . Dia pun penat juga bekerja. Sebolehnya kita tolong untuk ringankan beban kerja isteri.
***
Kalau isteri tengah membebel tu, kau jangan lawan. Kau boleh cakap macam ni ;
.
“Jap Sayang, Abang nak pergi beli popcorn ni. Sedap juga dengar Sayang bebel sambil makan popcorn ni.”
“Esok jelah Sayang bebel, hari ini rasa tak feel la nak dengar. Spirit mendengar down sikit.”
“Amsyar, ibu sedang bebel tu. Kita sebagai lelaki kita cool je. Kita layan je. Okey?”
.
Kau cakap sambil buat nada gurau la. Lepas tu, kau tengokla apa reaksi isteri kau.
***
Membebel ni dah menjadi salah satu sifat perempuan terutamanya bila dah jadi isteri. Kau sebagai suami jangan nak marah-marah. Kalau mereka membebel, dengar je. Diam dan angguk.
Kadang-kadang apa yang dibebelkan tu ada betulnya. Kalau salah kau, kau kena akui tu. Lepas tu, mereka akan diam. Biarkan mereka melepaskan rasa tidak puas hati. Dah salah tu mengaku. Jangan asyik kau je nak menang. Jangan nak tegakkan benang yang basah.
Kalau sorang bebel. Sorang lagi kena cool. Rilek je. Api kalau lawan dengan api makin besar.
Mereka bebel pun untuk kebaikan kau juga. Lama-lama nanti kau pula rindu kalau tak dengar isteri kau membebel. Mesti kau rasa hairan dan pelik. Sampai kau sengaja tak basuh cawan, sengaja buat isteri kau bebel. Sampai kau akan cakap “Sayang, kenapa tak bebel pun hari ni. Pelik pula Abang rasa.” Kah!
[ASY]
Suami Boleh Buat Isteri Macam Touch ‘n Go, Kaum Wanita Jangan Mudah Terpengaruh Bila Dipujuk ‘Kahwin Lari’

Isu pasangan yang berkahwin di sempadan (Siam) begitu hangat diperkatakan hingga ke hari ini. Kahwin Lari atau nikah lari sering kali dikaitkan dengan perkahwinan yang dilakukan tanpa wali nikah yang terdekat. Selalunya ramai pasangan mengambil pendekatan bernikah di Thailand (Siam).
Pernikahan di Thailand tidak sepatutnya berlaku sekiranya setiap pasangan berfikir secara mendalam dan memikirkan kesan pada masa hadapan terutama kaum wanita. Banyak masalah yang bakal dihadapi apabila perkahwinan dilangsungkan di luar negara.
Berikut huraian lengkap daripada Fahmi Ramli yang merupakan seorang Peguam Syarie Perundangan Islam yang banyak berkhidmat di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak, Kuala Lumpurdan Selangor.

WANITA JANGAN MUDAH TERPENGARUH DENGAN PUJUKAN ‘KAHWIN LARI’
Isu kahwin tanpa pengetahuan keluarga atau bahasa mudahnya kahwin lari adalah isu yang selalu kita dengar. Bahkan, banyak juga isu sebegini ada dalam drama tv, novel dan lain-lain.
Rakyat Malaysia ini biasa dengar isu sebegini. Bahkan ada di kalangan mereka ini memang lebih suka berkahwin di sana. Tambah-tambah pasangan lelaki yang bakal menjadi suami tersebut adalah ‘suami orang’. Ada juga yang pilih untuk berkahwin di sana disebabkan tidak mendapat restu daripada wali atau keluarga.
Tapi, apa yang menjadikan saya nak berkongsi dengan pembaca adalah tentang kesan yang buruk kepada wanita. Ramai wanita tak tahu, bila perkahwinan berlaku di sempadan Thailand ini misalnya, kesan yang paling buruk akan berlaku adalah kepada wanita itu sendiri berbanding lelaki tersebut.
Antara kesannya adalah:
✅ Boleh jadi tak sah
Mungkin perkahwinan yang nampak macam ‘real’ sebab ada tok kadi semua, tapi ramai juga yang tertipu dengan agen yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Tempat pernikahan yang berlaku tersebut adalah menjadi perkara utama yang perlu disahkan terlebih dahulu kerana hanya beberapa tempat sahaja yang diiktiraf.
Bahkan, ada juga wanita yang jarak dia dengan wali tidak melebihi dua marhalah dan bermacam lagi alasan. Jadi, kesan yang paling buruk adalah kepada wanita tersebut.
Apabila perkahwinan yang tidak sah dari sudut hukum syarak dan undang-undang, akan muncul kesan yang lain hanya disebabkan pernikahan tidak sah. Persetubuhan suami isteri juga menjadi persetubuhan syubhah.

✅ Anak Tak Sah Taraf
Inilah kesan utama yang akan menyusul sekiranya berlaku pernikahan di Sempadan Thai. Anak yang akan dilahirkan tidak boleh ber ‘bin’ atau ‘binti’ kan kepada bapanya disebabkan tidak mempunyai sijil pernikahan Siam. Jadi, yang ada hanya maklumat ibu semata-mata. Jika si bapa ini masih hidup dan belum buat pengesahan mungkin tak menjadi masalah besar.
Tapi, cuba bayangkan jika bapa tersebut telah meninggal atau hilang sebelum dibuat pengesahan. Menjadi satu masalah besar untuk si ibu berseorangan membuat pengesahan nikah di Mahkamah dan kemudian membuat pengesahan nasab anak untuk di’bin’ atau ‘binti’ kan anak tersebut kepada bapanya.
✅ Tanggung Nafkah Anak Sendiri
Rentetan daripada kelahiran anak tak sah taraf, isu yang akan timbul adalah ibu dan keluarga ibu tersebut yang akan menanggung segalanya nafkah anak tak sah taraf ini. Si bapa tidak bertanggungan untuk memberi nafkah kepada anak tidak sah taraf kerana ia bukan dinasabkan kepada dirinya.
Bahkan, jika si ibu nak tuntut perintah nafkah anak di Malaysia ini, ibu tersebut mesti melalui proses mengesahkan pernikahan, mengesahkan nasab dan barulah kepada tuntutan nafkah anak.
Ada banyak peristiwa yang pihak suami enggan peduli nafkah anak yang dilahirkan hasil pernikahan di Malaysia apatah lagi pernikahan di Siam. Meskipun dari segi benih biologi (sperma) tu datang daripada lelaki tersebut, tapi dari segi hukum dan undang-umdang ia tidak dikira sehinggalah disahkan oleh Mahkamah.
✅ Sukar bercerai di Malaysia
Jangan ingat langit itu selalu cerah. Rumahtangga ini sifatnya pasang surut. Masa nak pujuk kahwin tu lemah lembut la sifatnya. Pijak semut pun tak mati. Tapi lepas kahwin, timbul pulak isu tak dapat nafkah, kena pukul, tak dapat giliran bermalam yang adil bagi poligami, curang dengan perempuan lain pulak dan macam-macam lagi.
Jadi, isteri ni mula tidak puas hati dan nak mohon cerai. Isteri ini perlu pilih antara dua, cerai semula di tempat pernikahan mereka di Siam tersebut atau membuat pengesahan nikah terlebih dahulu di Mahkamah dalam Malaysia dan kemudian baru boleh buat permohonan cerai.
✅ Abai hak isteri
Bila dah kahwin di Siam, tak ada jaminan pun suami tu akan bertanggungjawab berkaitan nafkah dan giliran yang adil untuk berpoligami. Pasangan yang bernikah dalam Malaysia pun ada masalah inikan pula yang bernikah di sana.
Jadi, si isteri ini, jika nak tuntut nafkah diri di Mahkamah, perlu dapatkan pengesahan nikah dahulu. Begitu juga dengan hak bermalam. Ada wanita yang teraniaya dimana suami pernikahan Siam ini tinggalkan terus dan hilang begitu sahaja tanpa nafkah dan sebagainya selepas berjaya melepaskan nafsunya semata-mata.
✅ Hak selepas cerai
Jika berlaku perceraian, pastinya ramai wanita yang akan membuat tuntutan selepas perceraian seperti nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian dan hutang dalam perkahwinan. Selagimana wanita tersebut tidak ada Sijil Perceraian yang sah, maka selagi itu beliau tidak boleh membuat tuntutan di Mahkamah.
Banyak wanita yang teraniaya pada isu ini. Sudahlah dipukul, diambil duit dan melahirkan anak tak sah taraf, kemudian bila dicerai atau ditinggalkan, tak dapat pula nak tuntut hak selepas cerai. Tambah-tambah harta sepencarian yang melibatkan hartanah.
✅ Pusaka suami
Bila suami tersebut meninggal dunia, pasti akan timbul banyak isu besar kepada pasangan yang bernikah di Siam ini tentang Pusaka. Harta pusaka yang ditinggalkan oleh suami seperti wang di bank, kwsp, insuran, simpanan pelaburan, rumah, kereta dan sebagainya tidak boleh diperolehi sedangkan wanita tersebut memang isteri.
Tapi, disebabkan pernikahan tersebut tidak disahkan oleh Mahkamah , maka, isteri tersebut tidak boleh menuntut pusaka tersebut. Akhirnya semua pusama itu hanya dapat kepada isteri pertama sahaja sedangkan dia juga isteri kedua kepada si mati.
Mungkin ada lagi isu lain yang wujud bila berlaku pernikahan di Siam ini. Tapi, pastinya wanita yang akan menjadi mangsa terbesar lelaki yang memujuk untuk bernikah di Siam. Percayalah, isu sebegini masih terus berlaku disebabkan kita mudah terdorong dengan tipu daya dan hawa nafsu. Jangan mudah termakan dengan janji manis seorang lelaki yang kononnya akan berlaku adil dan bertanggungjawab selepas balik ke Malaysia.
Berapa ramai dah yang tertipu dek kerana janji tersebut. Kita berharap akan ada kesedaran kepada wanita tentang isu sebegini. Yang menjadi mangsa terbesar adalah wanita. Tolong sampaikan amanat ini pada wanita lain supaya mereka tidak menjadi mangsa seterusnya.

Berikut ulasan yang dipetik melalui artikel menerusi Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Adalah dinasihatkan agar sebaik-baiknya, pasangan yang ingin berkahwin, contohnya di negara Thailand atas apa-apa sebab termasuk sebab tidak mendapat izin wali atau tanpa kebenaran poligami daripada isteri hendaklah terlebih dahulu mendapatkan surat kebenaran untuk berkahwin di luar negara dari Pejabat Agama di negeri masing-masing.
Ini akan melibatkan beberapa langkah, seperti menghadiri kursus pra-perkahwinan, mendapatkan surat kebenaran poligami jika ingin berpoligami tapi tidak mendapat izin daripada isteri, mengemukakan surat akuan status diri (dara, janda atau balu) dan sebagainya. Sekiranya berkahwin di Siam setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara, proses pendaftaran nikah Thailand di Malaysia akan menjadi lebih mudah setelah kembali dari Siam nanti.
Seksyen 31 (2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa pasangan yang berkahwin di luar negara tetapi sudah kembali ke Malaysia perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di sini.
PESONA PENGANTIN: Umat Islam dinasihat supaya jangan terlalu ghairah untuk berkahwin di sempadan atau di luar negara terutama di Thailand kerana dibimbangi terjerat dengan sindiket pernikahan.
Sumber: Peguam Syarie Perundangan Islam Fahmi Ramli Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kredit foto (top image): Pexels
Dosa Bila Isteri Jadi Tumpuan Lelaki, Suami Kena Jaga Aurat Isteri. Bukan Bangga!

Sayang Pasangan Kita Semua Kerana Allah

“Orang yang berkasih sayang kerana ALLAH, orang yang saling berziarah kerana ALLAH, orang yang saling berbelanja kerana ALLAH, orang yang saling bersahabat kerana ALLAH, mereka semua berhak mendapat kasih sayang-KU (ALLAH)” (HR. Ahmad)
Sememangnya kita akan semakin hampir untuk memperolehi kasih sayang ALLAH seandainya kita bersama dengan orang-orang yang benar-benar sayang kepada ALLAH dan orang yang benar dengan ALLAH, serta kita sentiasa mengambil mutiara kata mereka sebagaimana kita memilih buah-buah yang baik.
Misalnya apabila timbulnya dua percakapan antara yang baik atau kata-kata yang tidak baik, maka haruslah kita memilih percakapan yang baik ataupun kata-kata yang dapat memberi manfaat kepada orang lain, kalau tidak dapat berbuat demikian maka seeloknya, elaklah daripada bercakap.
Supaya dapat menjaga hubungan baik dengan sesama manusia, hendaknya setiap manusia itu selalu menjaga lisannya dengan sentiasa mengucapkan perkataan yang baik.
Walaupun kebanyakan daripada kita tahu bahawa secara umumnya manusia menyukai perkataan yang baik lagi bermanfaat, tetapi dalam tidak sedar sebenarnya ramai juga yang gemar mengucapkan kata-kata yang tidak baik dan tidak bermanfaat. Misalnya berkata kotor, menceritakan keburukan orang Lain, Melakukan provokasi, menceritakan aib diri sendiri dan banyak lagi.
Ini bahaya!
Tentu sahaja, kata-kata yang kotor dan tidak bermanafaat itu akan menyebabkan rosaknya suatu perhubungan baik dengan manusia yang lain. Apabila tidak dapat mengucapkan yang baik-baik atau yang bermanfaat bagi sesama sebaiknya diam dan berbicara seperlunya. Diam akan menjadi pilihan yang terbaik ketika berbicara yang hanya akan menambah dosa sahaja. Diam bukanlah bererti kita tidak melakukan apa-apa. Diam boleh dimanfaatkan untuk menganalisa dan kemudian mengambil keputusan terbaik akan sesuatu perkara. Apabila sebahagian besar orang melakukan perkara ini, maka kehidupan di dunia akan menjadi lebih baik.
Sebab itulah apabila ketika saya berbincang dengan para jemaah yang lain, ada diantara mereka yang berkata;
‘kenapa berat sangat pilihan-pilihan ini, payah juga nampaknya.’
Apa yang boleh saya katakan;
‘Ini semua adalah kerana kita nak dapatkan kasih sayang ALLAH kepada kita iaitu kasih sayang ‘khas’. Kasih sayang ‘am’ sememangnya ALLAH SWT bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim. Kalau tidak ada sifat ini nescaya orang kafir takkan minum seteguk air di atas dunia ini.
Kasih sayang khas, ALLAH SWT akan berikan kepada orang yang dikehendaki-NYA. Nabi SAW di dalam hadis ada menyebut yang bermaksud; “ALLAH SWT beri dunia ini kepada orang yang DIA sayang dan tidak sayang. Tetapi ALLAH tidak beri kelebihan nak kepada akhirat kecuali orang yang dipilih oleh ALLAH SWT” Maka kita berusahalah para jemaah bagaimana nak mendapat kasih sayang ALLAH SWT, nak mendapat mahabatullah kepada kita di dalam pengembaraan kita pada kali ini.
Dari Abu ldris al-Khawlani, katanya:
“Saya memasuki masjid Damsyik, tiba-tiba di situ ada seorang pemuda yang bercahaya giginya – yakni suka sekali tersenyum – dan sekalian manusia bertanya. Jikalau orang-orang itu berselisih mengenai sesuatu hal, mereka lalu menyerahkan persoalan itu kepadanya dan mereka mengeluarkan huraian dari pendapatnya, kemudian saya bertanya mengenai dirinya, lalu menerima jawapan: “Ini adalah Mu’az bin Jabal. Setelah hari esoknya, saya datang pada waktu pagi sekali, lalu saya dapati Mu’az sudah mendahului saya dengan datang lebih awal. Saya temuinya dalam keadaan sedang bersembahyang. Kemudian saya menantikannya sehingga dia menyelesaikan solatnya. Seterusnya saya pun mendatanginya dari arah mukanya, lalu saya mengucapkan salam padanya, kemudian saya berkata: “Demi ALLAH, sesungguhnya saya ini mencintaimu kerana ALLAH.” Dia berkata: “Kerana ALLAH?” Saya menjawab: “Ya, kerana ALLAH.” Ia berkata: “Kerana ALLAH?” Saya menjawab: “Ya, kerana ALLAH.” Mu’az lalu mengambil belitan selendangku, kemudian menarik tubuhku kepadanya, terus berkata: “Bergembiralah engkau, kerana sesungguhnya saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “ALLAH SWT berfirman – dalam Hadis Qudsi: “Wajiblah kecintaan-KU itu kepada orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana AKU, duduk-duduk bersama kerana AKU, saling ziarah-menziarahi kerana AKU dan saling hadiah-menghadiahi kerana AKU.” (Hadis shahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Almuwaththa’ dengan sanadnya yang sahih.)
Hari ini, cuba tanya pada diri kita, sebab apa kita sayang pada seseorang itu? Adakah sebab dia orang kaya?
Tidak!
Adakah sebab dia berkuasa, mudah nak dapat projek?
Tidak!
Adakah sebab dia ketua bahagian? Tidak!
Oleh itu kerana apa sebabnya kita menyayangi seseorang itu?
Jawapannya kita berkasih sayang kepada seseorang kerana ALLAH SWT. Sebab dia ini saudara kita, maka ini adalah calon orang yang mendapat kasih sayang ALLAH.
“Orang ini juga tetap akan mendapat kasih sayang AKU bagi orang yang duduk bersama-sama dalam majlis kerana AKU. Wajib akan mendapat mahabbah aku bagi orang yang ziarah menziarah kerana AKU” (Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang sahih)
Bagaimana kita nak faham cerita ini? Bagaimana kita nak tahu orang ini ziarah kerana ALLAH, orang ini berkasih sayang kerana ALLAH dan duduk bersama-sama kerana ALLAH?
Dalam contoh yang yang lain sangat jelas iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW bersabda;
“Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW sesungguhnya seorang lelaki menziarahi seorang lelaki lain yang tinggal di dalam sebuah kampung. Lalu ALLAH memerintahkan malaikat untuk mengintainya dalam perjalanan.Malaikat itu telah bertanya kepada lelaki itu “Ke manakah engkau hendak pergi?” Jawab lelaki itu “Aku hendak pergi menziarahi saudaraku di kampung ini” Malaikat itu berkata “Adakah engkau mempunyai apa-apa kepentingan?”Jawab lelaki itu “Tidak! Melainkan aku mengasihinya kerana ALLAH” Lalu malaikat itu memperkenalkan diri “saudara, jangan takut, Aku adalah utusan ALLAH kepadamu. Sesungguhnya ALLAH telah mengasihi engkau sebagaimana engkau mengasihi saudaramu kerana ALLAH” [HR: Muslim No. 28]
Dapat atau tidak pengajarannya hadirin. Adakah ada sifat ini di dalam diri kita?
Ia perlu ada.
Sepatutnya kita perlu sentiasa menziarahi saudara kerana ALLAH. Tidak perlu mengungkit. Sama ada orang ini ada datang ke rumah kita atau tidak. Daripada kita tidak berkelahi terus bermasam muka.
Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah bin Amr bin Al’ash r.a berkata:
“Seorang datang kepada Baginda SAW dan berkata: “Ya Rasulullah, saya mempunyai keluarga yang saya hubungi tetapi mereka memutuskan hubungan kepadaku. Saya baik kepada mereka tetapi mereka zalim kepadaku dan saya tolong membantu mereka dan mereka berbuat jahat kepadaku, apakah boleh saya membalas perbuatan mereka dengan perbuatan yang sama?”
Jawab Baginda SAW: “Tidak, sebab jika kamu membalas mereka, maka sama dengan mereka, tetapi hendaknya engkau tetap mengambil cara yang lebih baik dan tetap menghubungi mereka, maka selalu engkau akan mendapat bantuan dari ALLAH SWT selama engkau berbuat demikian.” [HR???]
Inilah caranya mendapat kasih sayang ALLAH. Kita sayang kepada orang kerana ALLAH, dan jika orang tidak sayang kepada kita biarkan. Teruskan perjuangan. ALLAH SWT berkata kepada malaikat:
“ALLAH SWT sayang kepada engkau kerana engkau sayang kepada dia kerana ALLAH” (Riwayat Imam Muslim)
Di antara adab, kita dibolehkan meluahkan perasaan sayang kepada orang lain kepada saudara-saudara Islam kita. “Iinni uhibbuka fillah” katakanlah pada mereka “Saya sayang kepada awak kerana ALLAH”.
Dan kalau kita menerima luahan perasaan seperti itu, maka jawablah “ALLAH SWT pun sayang kepada kau kerana kau sayang kepadaku kerana ALLAH.”
Bila kita pernah cakap seperti ini diantara sesama kita?
Ini kena buat kena praktikkan perkara ini apabila kita sayang kepada orang itu kita nyatakannya bahawa kita sayang padanya kerana ALLAH SWT.
Maka sayangnya seorang itu kepada saudaranya yang Muslim kerana ALLAH SWT, itu menunjukkan kesan daripada iman yang ada dalam hatinya dan menandakan orang itu mempunyai akhlak yang baik.
Kata Nabi SAW:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana ALLAH dan marah juga kerana ALLAH.” (HR Imam Ahmad)