Memiliki sebuah keluarga yang bahagia pastinya menjadi impian setiap pasangan berumah tangga terutama apabila hubungan suci yang dibina dikukuhkan dengan sifat saling memahami dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Perkahwinan ialah proses mengatur kehidupan supaya anak-anak yang lahir bakal menjadi generasi pelapis yang beriman dan kuat jati diri.

Selain wanita yang bergelar isteri dan ibu, lelaki yang bertindak sebagai suami dan bapa memainkan peranan besar dalam kehidupan berumah tangga.

Menurut perunding motivasi keibubapaan, Zaid Mohamad, bapa hari ini bukan hanya bertanggungjawab dalam memberi makanan, pakaian dan kediaman semata-mata kepada ahli keluarga.

“Dalam keluarga, nilai pelindung perlu ada bagi suami. Bapa bukan sekadar menyara keluarga dan berperanan melindungi isteri, malah bapa jugalah memberi kebahagiaan dan kedamaian keluarga.

“Peranan ini perlu diperkasakan untuk membebaskan masyarakat daripada gejala tidak sihat dan maksiat. Jika suami melihat isterinya sebagai sumber amanah, dia harus melaksanakan amanah itu kerana segala kelakuan dan sikap akan dipersoalkan Allah SWT di akhirat kelak,” katanya.

Jadi Mak Ayah Nanti, Tak Perlu La Bengis Sangat

Bahagiakan isteri dan keluarga

Apabila isteri bahagia kerana suaminya bertanggungjawab, dia akan menjadi ibu yang baik kepada zuriat dan hasilnya anak akan membesar dengan kasih sayang, tunjuk ajar serta bakal menjadi cerdik dan cemerlang.

Lantas lahirlah generasi pelapis yang ceria dan bahagia serta menjadi anugerah paling berharga kepada keluarga dan negara.

IKLAN

“Namun kajian kini menunjukkan ramai anak yang terjebak dengan pelbagai kegiatan kurang sihat antaranya amalan merokok dan salah guna dadah.

“Penghuni di pusat Serenti juga semakin ramai. Daripada jumlah itu, ramai anak muda yang terjebak dengan jenayah juvana, tidak kurang juga terbabit dengan wabak penyakit AIDS atau HIV.

“Gejala lumba haram baik di bandar mahupun di luar bandar juga semakin berleluasa dan membimbangkan kerana ia meruntuhkan akhlak dan moral anak muda,” ujarnya.
Kajian ahli psikologi Barat mendapati, corak pergaulan antara ibu bapa dengan anak memainkan peranan penting dalam penentuan corak hidup mereka.

“Remaja yang menghadapi masalah juvana didapati mempunyai ibu bapa yang gagal dalam membentuk nilai murni, tidak tetap dalam memberi tunjuk ajar dan terlalu garang sewaktu menghukum kesalahan anak.

“Secara semula jadi, naluri seorang ibu itu penuh dengan kasih sayang dan kelembutan menjadi rujukan serta mempunyai hubungan yang baik dengan anak,” katanya.

Namun bapa, menurutnya, sering dilihat sebagai kurang arif bergaul dan membabitkan diri dengan kegiatan anak.

IKLAN
Jadi Mak Ayah Nanti, Tak Perlu La Bengis Sangat

“Sepatutnya bapa mewujudkan suasana mesra dengan anak sejak kecil, bertanya khabar dan perkembangan anak supaya ruang perhubungan sentiasa terbuka dan si anak tidak teragak-agak meluahkan segala masalah.

“Sebaliknya jika bapa bengis dan kurang berhubung dengan anak, tidak hairanlah jika kita dapati si anak melakukan perkara kurang menyenangkan untuk menarik perhatian ibu bapa,” katanya.

Berikan kasih sayang kepada anak

Aktiviti riadah bersama anak secara santai antara langkah bagi mengeratkan pertalian antara ibu bapa dengan anak.

Ibu mahupun bapa juga digalakkan selalu mencium anak selain memeluk mereka sebagai cara merapat dan menambah kasih sayang serta mengeratkan hubungan.

“Bapa juga harus berilmu dan berwibawa dalam mendidik anak. Nilai agama harus diterapkan dalam sesebuah rumah tangga kerana masalah remaja hari ini banyak berpunca daripada masalah akhlaknya.

IKLAN

“Sajian daripada media elektronik menjadi santapan utama remaja. Ini diburukkan dengan kawalan minimum atau tiada kawalan langsung daripada ibu bapa,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat banyak cara si bapa boleh membabitkan diri secara langsung dan positif dalam proses membesarkan anak terutama pada tahun awal.

Kebanyakan budaya dan cara hidup di Asia meletakkan peranan bapa sebagai seorang ketua keluarga yang jarang terbabit dalam urusan harian rumah tangga termasuk membesarkan anak.

“Tetapi kini sudah banyak berubah dan ramai bapa moden mahu terbabit secara langsung dan aktif dalam membesarkan anak mereka.

“Terlalu banyak faedahnya jika bapa terbabit secara langsung, antaranya ia meringankan beban dan tekanan si ibu. Ini memang bagus kerana ibu yang tertekan amat tidak baik kepada keluarga,” katanya.

Menurut Zaid, kajian menunjukkan anak yang bapanya membabitkan diri secara langsung sepanjang proses pembesarannya akan menjadi jauh lebih pintar daripada anak yang tidak mendapat peluang sebegitu.

“Anak itu juga biasanya mendapat markah lebih tinggi berbanding pelajar lain dan mereka lebih berjaya dalam karier masing-masing.

“Selain itu, mereka lebih mudah berkawan dan menangani masalah sosial dengan lebih baik. Ini kerana si bapa secara tidak langsung mengajar anak-anak mereka untuk menjadi seorang yang lebih prihatin, yakin, mampu mengawal diri, seimbang secara psikologi dan mempunyai kemahiran bersosial,” katanya