Bila dah berkahwin dan jadi suami orang, anda kena jaga hati pasangan. Cuba buat cara macam sudah beristeri, bukannya macam bujang dulu. Bebas melawak dan bergurau dengan orang luar.
Batas pergaulan dengan wanita lain harus dijaga. Tiada istilah suka-suka, bukan betul-betul kerana ada hati yang perlu dijaga iaitu isteri.
Susah nak berdebat, nak lagi faham jemput baca perkongsian Firdaus Shakirin ini dan hadam baik-baik.
Jaga Hati Pasangan
“Ala, suka-suka jer… bukan betul-betul pun.”
Bila isteri tanya kenapa banyak komen dekat sosial media perempuan lain, siap emoji-emoji bagai.
Jawapannya, “Ala, suka-suka je…”
Ads
Elakkan Komen Mesra di Media Sosial
Nowadays, memang kita orang lelaki ini suka-suka saja komen dekat media sosial perempuan lain?
Kalau isteri sendiri tag ilmu, tak adanya nak baca. Kalau isteri sendiri tag information apa-apa, tak adanya nak tengok. Bila kandungan posting itu panjang, terus komen, “Lukis boleh tak?”
Tapi kalau bukan isteri yang post, benda tak lawak pun jadi lawak.
Kalau bukan isteri yang post, benda tak minat pun jadi minat. Tengok orang korek telaga pun jadi seronok, boleh tengok sampai habis data. Interested gila. Sebab orang lain post, perempuan pulak tu.
Ads
Nak-nak yang single mingle, lawa… Comfirm “See First”…
Pantang awek tu update apa-apa, cepat saja komennya, cepat je like-nya. Awek itu ada masalah, cepat saja bagi nasihat, pendapat dan pandangan.
Tapi masalah dekat rumah, dia tak nak ambil tahu. Dia tak peduli.
Isteri nampak, isteri tegur.
“Suka-suka pun tak boleh? Nak abang buat betul-betul?”
Ads
Itu sajalah ugutan orang lelaki. Tak kena dekat batang hidung kau bang, bolehlah main ugut-ugut ini.
Isteri kau tiru buat macam itu, harap-harap kau bolehlah terima alasan “suka-suka” macam yang kau bagi itu.
Pergaulan Kena Jaga
Sudah kahwin, buat cara macam sudah beristeri. Pergaulan kena jaga walaupun di alam maya. Apa yang kita buat itu, kalau isteri tak nampak pun, orang lain nampak. Lambat-laun, sampai juga dekat pengetahuan isteri.
Nak isteri terima dengan berlapang dada dan terbuka serta bersangka baik akan perangai sebegini?
Mustahil, suka-suka bukanlah boleh digunakan sebagai alasan untuk membenarkan perbuatan tersebut. Isteri mesti terasa bila mana orang yang dia sayang, “bermesra” dengan orang lain. Terang-terangan dalam sosial media pula.
Fikir logik pun sudah tahu jawapan baik atau buruk, salah atau tak salah perbuatan itu. Tak perlu diterangkan dengan lebih lanjut lagi.
Memiliki rumah tangga yang sakinah mawadah warahmah merupakan dambaan bagi siapa saja yang telah berkahwin, tetapi kita selalu mengalami kesukaran bagaimana untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian kita.
Ketika berinteraksi dengan pasangan kita, biasakanlah menggunakan 3 ayat ini, yakni Minta Tolong, Minta Maaf dan Terima kasih.
1. Minta Tolong
Biasakan diri untuk menggunakan ayat “minta tolong” ketika suami menyuruh isteri atau sebaliknya seorang isteri menyuruh suami untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Nampak macam biasa sahaja tetapi ayat “minta tolong” akan memberikan pengaruh yang besar terhadap komunikasi antara suami isteri.
Ayat “minta tolong” menunjukkan bahawa ada penghargaan yang sangat tinggi terhadap pasangan kita, sehingga rasa direndahkan tidak akan timbul pada pemikiran pasangan kita. Yang muncul adalah rasa saling melengkapi, kerana suami isteri adalah teman hidup sepanjangan kehidupan kita.
2. Terima kasih
Biasakan memberikan ucapan “terima kasih” kepada pasangan kita apabila pasangan kita telah melakukan sesuatu yang kita anggap sangat bermanfaat bagi kita. Ucapan “terima kasih” juga digunakan sebagai satu pelengkap kepada ayat “minta tolong” kepada pasangan kita.
Jangan pernah jemu atau bosan ucapkan kata “terima kasih” untuk pelbagai urusan antara kita dan pasangan.
Contohnya : “Terima kasih Sayang sudi membukakan pintu” ucap suami, kemudian dibalas oleh Isteri “Terima kasih sayang kerana membelikan barang yang diminta”.
3. Minta Maaf
Biasakan untuk menggunakan ayat “minta maaf” apabila terjadi perselisihan dengan pasangan kita yang mengakibatkan terjadinya pertengkaran.
Kata “minta maaf” tidak sesekali pernah merendahkan si pengucapnya, sebaliknya akan menjadi penyejuk ketika hubungan dengan pasangan kita sedang tegang.
Jangan biarkan apabila ada masalah dalam keluarga dibiarkan berlarutan tanpa penyelesaian sehingga mengakibatkan pertengkaran dan tidak bertegur sapa.
Apabila ketiga-tiga ayat tersebut menghiasi kehidupan seharian kita berumah tangga, maka yakinlah akan terlahir sebuah rumah tangga yang sakinah, mawadah dan warahmah.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bolehkah wanita menghantar jenazah suaminya ke kubur?
Oleh: Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar AlHamid
■ Jawapan: TIDAK BOLEH, !!
khususnya bagi isteri yang suaminya yang meninggal, kerana iddahnya telah bermula dan isteri tidak boleh keluar meninggalkan rumah suami kecuali darurat.
↔ Darurat ini bukan mengikut persepsi kita, tapi mengikut apa yang ditetapkan oleh syarak. Antara sebab yang dibenarkan untuk meninggalkan rumah suami adalah jika keselamatannya terancam. Sebab-sebab seperti ingin menziarahi kubur, atau menghadiri majlis ilmu tidaklah termasuk sebab yang darurat.
↪ Ibadah mesti mengikut cara yang diatur oleh Allah, bukannya mengikut hawa nafsu. Jadi, kalau ingin suami yang meninggal mendapat reda Allah Ta’ala, isteri tidak boleh keluar daripada rumah suaminya selama 4 bulan 10 hari. Yang beri suami dan yang tak izinkan keluar ialah Allah SWT, jadi kita kena patuhi arahan Allah dan bukan dengar apa masyarakat kata.
■ Ambil iktibar daripada kisah Ummu Salamah yang pada asalnya ingin menunjukkan cara ratapan luar biasa ketika suaminya meninggal. Tetapi setelah dilarang oleh Nabi SAW, dia akur dan menurut apa yang diajar Rasulullah ﷺ, dan akhirnya diganjar Allah dengan dia akhirnya diperisterikan oleh lelaki terbaik, iaitu baginda RasuluLlah ﷺ sendiri. Iktibarnya – bilamana mendahulukan Allah, pasti ada ganjaran tak kira sama ada akan diberikan ketika di dunia ataupun disimpan untuk akhirat.
■ Isteri tidak perlu merasa bersalah dengan anggapan masyarakat yang mungkin mengatakan –“Isterinya tak hantar suaminya ke kuburlah.” Dan isteri juga tak perlu rasa bersalah dan membuat helah seperti isteri ikut tapi duduk dalam kereta saja, atau duduk jauh sikit daripada tempat dikebumikan. Perasaan bersalah itu perlu diambil kira berdasarkan hukum Allah, dan bukan hukum budaya masyarakat. Jangan takut apa orang cakap.
■ Pada zaman Rasulullah ﷺ sudah ada golongan wanita yang nak ikut ke kubur, lalu Nabi ﷺ bertanya kepada mereka, “Kamu nak pergi kubur, adakah kamu pikul jenazah itu? Jawab mereka, “Tidak.” Baginda Rasulullah ﷺ bertanya lagi, “Adakah kamu akan masuk ke dalam kubur untuk menguburkan jenazah?” Jawab mereka, “Tidak.” Lalu Rasulullah ﷺ berkata, “Kamu balik kamu dapat ganjaran, lebih baik daripada kamu ikut dan kamu dapat dosa.”
↔ Ini bukan menunjukkan yang agama ini tiada perasaan kepada kaum wanita. Hari ini orang akan mengatakan seorang isteri tak penuhi hak suami jika isteri tak hantar jenazah ke kubur. Lama-kelamaan orang akan kata tak penuhi hak suami jika tak semua ahli keluarga hadir di kubur. Generasi akan datang pula akan kata tak penuhi hak suami jika tak masuk dalam kubur. Perubahan demi perubahan akan berlaku jika ianya dicipta mengikut akal fikiran manusia atau budaya tempatan yang sumbernya tak tetap. Tapi jika ikut hukum Allah, ia sama saja tak kira di mana berada – Malaysia, Indonesia atau Yaman dan lain-lain.
■ Jika ada yang kata, “Eh awak tak penuhi hak suami awaklah.
Jawab padanya, “Eh, Allah yang suruh saya tak ikut.” Oleh itu, pastikan apa yang kita buat itu adalah sesuai mengikut apa yang Allah Ta’ala suruh.
■ Jika ikut cakap orang kita dapat dosa, tapi ikut cakap Nabi ﷺ, yang tak pernah bercakap kecuali ianya wahyu daripada Allah Ta’ala, kita akan dapat pahala. Maka, rugi jika seseorang itu ikut cakap orang!
Di akhirat nanti bukan kawan itu yang akan membela kita di hadapan Allah, bahkan dia akan menjauh daripada kita.
■ Jika isteri ingin melihat suami buat kali terakhir atau ingin solatkan, bawa jenazah pulang ke rumah sebelum dikebumikan. Siapa kata jenazah tak boleh dibawa pulang ke rumah jika telah dimandi (dan disolatkan) di masjid?
■ Jika ingin solatkan, baca Quran atau apa saja – buat di rumah agar isteri tak perlu keluar. Kalau boleh mandikan di rumah lebih baik, tapi kalau tak boleh, bawa ke masjid, dan kemudian bawa balik ke rumah. Nak buat tahlil di masjid boleh, tapi isteri buat di rumah saja.
■ Isteri tak boleh keluar menunggu suami dimandikan di masjid atau seumpamanya, kerana iddah bermula setelah suami meninggal.
■ Perempuan, kalau nak pergi ke kubur, pergi pada hari selain daripada hari pengkembumian. Kecuali, jika satu Kampung itu tiada lelaki, semuanya perempuan. Maka, dalam hal ini – perempuan yang bawa jenazah, yang gali kubur, yang kebumikan, yang uruskan semuanya.
■ Perempuan bukan dilarang pergi ke kubur, tapi risau berlaku perkara yang tidak sesuai dengan syarak jika ikut bersama lelaki yang menguruskan jenazah.
Kita pun lihat sendiri banyak berlaku, perempuan ahli keluarga duduk di hadapan kubur, dan sekelilingnya semuanya lelaki. Batasan antara lelaki dan perempuan tak lagi diperhatikan. Tambahan pula kalau perempuannya tidak menjaga cara berpakaian yang sopan dan menurut syarak.
■ Biarkan orang lelaki siap menguruskan. Esok pagi-pagi, baru anak dan ahli keluarga pergi untuk bacakan Yasin ke… dan akan dapat baca dalam keadaan tenang dan tak bercampur dengan lelaki.
■ Ambil iktibar daripada kisah anak perempuan Nabi Syuaib, yang ketika ingin mengambil air daripada perigi. Walaupun memerlukan, mereka tidak beratur bersama lelaki, tetapi mereka tunggu jauh daripada perigi sehingga lelaki selesai, baru mereka akan ambil air. Sama juga kalau nak ziarah kubur, tunggu orang lelaki selesai dulu, pergi keesokan harinya.
■ Terdapat bayak perbahasan ulama dalam kes isteri yang kematian suami dan perlu keluar bekerja, kerana memang sukar mendapatkan cuti selama 4 bulan 10 hari. Dalam keadaan darurat, seseorang dibenarkan melakukan sesuatu yang haram sekalipun.
Dalam hal ini, kalau isteri bekerja, perlu dilihat adakah pekerjaan itu keperluan darurat atau tidak. Kalau dengan dia tidak bekerja, tapi keperluan asasnya dapat dipenuhi, maka itu bukan darurat yang membolehkan dia untuk keluar bekerja. Tapi, kalau dengan dia tak bekerja, dia tak boleh makan, atau anak-anaknya tiada yang menanggung atau keluarga suaminya tidak mampu menanggungnya. Dia ada sebab yang menyebabkan dia tidak boleh berhenti kerja, tapi sebab dan daruratnya itu perlu diambil kira oleh syarak dan bukan oleh diri sendiri.
Jadi, dalam hal ini, dia boleh keluar bekerja tetapi tetap tidak boleh meninggalkan tuntutan lain seperti berhias, dan melakukan hanya yang diperlukan sahaja dan keluar dari rumah pergi kerja, dan kemudian pulang ke rumah, dan tidak pula singgah di tempat-tempat yang tak berkaitan. Kalau nak pergi kedai, cuma untuk keperluan beli makanan, minuman dan rawatan perubatan sahaja.
Mohd. Farid Ravi Abdullah, Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) juga mengupas:
Hadis Ummu �Athiyyah r.ah. perlu diberi perhatian yang memperlihatkan bahawa Rasulullah SAW tidak menegah dengan keras tetapi sebagai satu peringatan agar wanita yang menziarahi kubur lebih bersifat berhati-hati dan memelihara hukum dan adab menziarahi kubur.
Isteri yang ingin mengiringi jenazah suami atau adik-beradiknya atau sesiapa daripada kalangan orang Islam adalah tidak haram. Sebahagian ulama menghukumnya dengan makruh, ini kerana kemungkinan berlakunya ratapan, teriakkan dan sebagainya.
Sekiranya seorang wanita dapat mengawal dirinya dan tidak berkelakuan seperti apa yang ditegah di kubur, maka wanita ini tidak ada halangan untuk mengiringi atau menziarahi kubur.
Pada masa yang sama, wanita juga boleh menyembahyangkan jenazah terutama jika mayat itu adalah suami atau saudara yang terdekat.
Ia juga disebut sebagai tempoh berkabung. Bagaimanapun ia tidak bermaksud balu berkenaan tidak boleh langsung keluar rumah. Apa yang dilarang ialah keluar untuk suka-suka untuk aktiviti sosial seperti menghadiri majlis keramaian dan menghias diri.
Sebaliknya, jika untuk menuntut ilmu, bekerja atau ke hospital tiada halangan berbuat demikian. Ini termasuklah dalam tempoh idah isteri boleh ziarahi kubur suaminya.
Wallahu’alam bissawab. Semoga bermanfaat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak kira baharu berkahwin atau dah lama kahwin, pasti anda impikan layanan romantik daripada pasangan. Ramai yang anggap istilah romantik hanya terletak jika pasangan sering mengungkapkan kalimat ‘I LOVE YOU’. Sebenarnya banyak tip romantik yang anda boleh buat kalau nak kekal bahagia.
Hakikatnya nak jadi pasangan yang romantik bukanlah susah mana pun. Buktinya, anda boleh amalkan tip-tip romantik suami isteri ini untuk membina sebuah rumah tangga yang bahagia di samping penuh dengan kasih sayang.
1. Isteri Bersalaman & Mencium Tangan Suami
Sikap romantik boleh digambarkan apabila isteri bersalaman dan mencium tangan suami tanpa mengira masa. Selain meraih pahala, amalan ini juga menunjukkan sebuah penghormatan dan penghargaan isteri terhadap suaminya kerana dengan tangan itulah, suami bekerja mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak.
2. Suami Memeluk & Mencium Pipi Isteri
Isteri juga inginkan penghargaan daripada suaminya. Selepas bersalaman, peluklah isteri dengan penuh kasih sayang dan ciumlah pipi antara satu sama lain. Apabila suami memeluk isteri dengan erat, ia memberi gambaran bahawa isteri adalah anugerah Allah yang terindah untuk anda, malah isteri akan merasakan yang dialah satu-satunya wanita yang anda cintai dan hargai.
3. Peluk Isteri Dari Belakang & Cium Lehernya
Buatlah kejutan dengan memeluk erat isteri dari belakang sambil mencium lehernya. Kejutan ini akan akan membuatkan isteri tersenyum sampai ke telinga dengan aksi romantik suaminya.
4. Jangan Malu Nak Mandi Bersama
Tentu ramai masih yang malu-malu nak mandi bersama pasangan. Percayalah amalan mandi bersama ini akan lebih mengeratkan hubungan anda berdua apatah lagi jika kalian masih belum mempunyai anak. Mandilah bersama sambil bergurau senda, namun pastikan anda berdua menjaga aurat di dalam bilik mandi.
5. Tak Payah Malu Kentut Depan Pasangan
Kebanyakan lelaki sinonim untuk kentut tanpa rasa malu apatah lagi setelah berkahwin, namun sangat jarang isteri melakukan sedemikian di hadapan suami. Bagi isteri, kentut boleh mencatatkan penampilannya sekali gus merosakkan kesempurnaan dirinya sebagai seorang isteri. Namun lain pula pandangan laman web Save Marriage Forever kerana ia menyarankan pasangan suami isteri untuk tidak menyembunyikan kentutnya. Bayangkan apabila kedengaran bunyi kentut pasangan, pasti ia akan diiringi dengan gelak ketawa yang boleh menambahkan lagi kemesraan dan romantik anda berdua. Jika anda sudah seia sekata menerima seadanya pasangan, masakan kentut menjadi satu perkara besar? (Tapi ingat tau! Hanya lakukan di rumah sahaja saat anda berdua…)
6. Mencubit Manja, Mengusap Punggung & Mendukung Isteri
Tambahkan aksi romantik dalam rumah tangga dengan aktiviti usik-mengusik. Bayangkan jika suami mencubit punggung isterinya secara manja untuk tujuan bergurau senda tentu sahaja akan mencipta mood gembira dalam diri isteri dengan aksi suaminya itu. Tambah membahagiakan apabila selepas mencubit punggung isteri, suami mengusap punggung isteri dengan lembut. Tambah sweet lagi, bila suami mendukung anda. Tak ke boleh buat isteri cair seterusnya mengarahkan anda berdua untuk melakukan hubungan intim selepas itu. Tentu seronok kan?
7. Saling Bermaafan Sebelum Tidur
Sebelum tidur adalah lebih baik sekiranya anda bedua saling bermaafan kerana kita tidak tahu bilakah ajal akan menjemput kita. Tambahkan kemanisan dalam rumah tangga dengan bersalaman sebelum masing-masing tidur. Jika pasangan anda sudah tidur, lakukan aksi romantik secara diam dengan menatap wajahnya sambil mencium pipinya.
8. Jadikan Lengan Suami Sebagai Bantal
Saat ingin tidur perkara yang sweet apabila suami menghulurkan lengannya untuk anda jadikan bantal. Wah! Gerenti berbunga-bunga perasaan anda ketika itu. Malah menurut kajian MOHEMA, Isteri yang tidur berbantalkan lengan suami akan tidur lebih lena dan mencapai tahap tujuh hingga lapan dalam tahap lena tidur. Sebelum lakukan amalan ini, pastikan suami membersihkan ketiak mereka terlebih dahulu ya.
9. Solat Berjemaah Bersama-Sama
Bersolat jemaah bersama suami haruslah dimulakan dari hari pertama sah menjadi suami isteri. Ia mempunyai banyak ganjaran iaitu mendapat 27 darjat pahala apabila amalan ini dilakukan bersama. Sangat digalakkan apabila sesudah bersolat, anda berdua membaca Al-Quran sambil suami menyemak bacaan isteri. Lebih afdal hubungan anda berdua sambil bila-bila.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!