Ketika kita ada masalah, atau sedang diuji apa yang akan diharapkan oleh seorang hamba adalah meminta pertolongan Allah. Antaranya dengan berdoa, menunaikan solat Taubat, bangun malam, berzikir dan sebagainya. Namun, hati semakin sempit apabila semakin lama berdoa, semakin rasa doa kita tidak didengar dan tidak dimakbulkan Allah SWT. Hati rasa semakin tawar hati dan menghampiri perasaan putus asa.
Walau hakikatnya, sebagai umat Islam kita tidak boleh berputus asa, namun hati yang sempit dan tidak bertuhankan Allah ini mudah benar berasa putus asa. Firman Allah,
“….dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yg kafir.”
Surah Yusuf, ayat 12. Walau dihampar dengan 101 petikan ayat Al Quran dan hadis supaya jangan berputus asa, hati yang sempit itu tidak mampu menghadamnya yang membuat hati berasa tenang dan terus berharap untuk berdoa.

Jangan Pernah Putus Asa Untuk Berdoa, Allah Sentiasa Ada

Baca 7 cara ini. Moga ia menjadi pembangkit semangat untuk kita terus berharap dan meminta pertolongan Allah untuk hadir dalam masalah kita.

1. Allah ya Sami’ (Yang Maha Mendengar) sentiasa dengar rintihan kita
Sedarilah Allah tidak pekak. Allah ya Sami’ adalah salah satu daripada 99 nama-nama Allah. Andai kita ada sahabat yang merupakan pendengar yang baik, Allah adalah pendengar yang lebih baik daripada mereka.
Sentiasa sedar, Allah sentiasa mendengar rintihan kita walaupun kita hanya berbisik di dalam hati. Untuk memulakan rintihan, mulakanlah dengan menyeru ya Allah ya Sami’. Kemudian mulakan rintihan.

2. Allah ya Basir (Yang Maha Melihat) memandang usaha untuk dekat dengan Allah

Bukan Allah tidak nampak apa yang sedang kita lalui – menangis teresak-esak, merayu, merintih, hanya untuk mendapatkan pertolongan-Nya. Allah nampak itu semua.
Kuasa Allah, andai Dia menyatakan Kun Faya Kun, hilang semua masalah kita. Cuma adakalanya, Allah menangguhkan masalah itu selesai supaya kita dekat dengan Dia.

3. Allah ya Qobidh (Yang Maha Menyempitkan) yang sempitkan kita

Sesungguhnya Allah ya Qobidh yang menyempitkan kita – yang membuat kita rasa sangat terhimpit dengan masalah. Dia juga ya Basit (Yang Maha Melapangkan) yang boleh melapangkan kita.
Dengan mengenali-Nya melalui 99 nama-nama Allah, insya-Allah kita akan dapat sedari sebuah kod kehidupan yang membuat kita akan sentiasa bersangka baik dengan Allah.

4. Bersabar dan jangan tergesa-gesa

Kata Prof. Madya Dr. Wan Maseri Wan Mohd. iaitu individu yang menyebarkan Teknik Asmaul Husna, “Doa adalah penyerahan bukan tuntutan”. Doa adalah perintah Allah terhadap hamba-Nya.
Walaupun begitu, Allah tidak wajib memakbulkan doa kita. Berdoa adalah salah satu cara seorang hamba melaksanakan perintah-Nya.
“Doa kalian akan dikabulkan selama tidak tergesa-gesa. Dia mengatakan, ‘Saya telah lama berdoa, tetapi tidak kunjung dikabulkan.”
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim

5. Jadikan sabar dan solat sebagai penolong

“Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Surah Al Baqarah, ayat 153
Ini mungkin nasihat cliche, tetapi itulah antara formulanya supaya kita sentiasa rasa bertuhankan Allah. Kenapa nama Allah ya Sabur di akhir sekali dalam susunan 99 Nama-nama Allah?
Kerana Allah mahu kita bersabar dengan tiap aturan-Nya daripada sifatnya yang adakalanya menjatuhkan kita, memudaratkan kita. Baca dan fahami maksud tiap nama-nama Allah, anda akan faham maksud saya.

6. Sibukkan diri

Elakkan bersendirian. Sibukkan diri dengan menyertai apa-apa program kebajikan atau majlis ilmu agama, supaya kita tiada masa untuk fikir tentang masalah.
Adakalanya apabila kita bersendirian, kita akan lebih kerap fikir tentang masalah sehingga buat kita selalu tertekan. Saya pernah dapat Private Message (PM) di Facebook yang dia berputus asa untuk berdoa kepada Allah.Dia tertekan kerana terlalu memikirkan masalahnya malah, membuat dia menghidap penyakit mental dan tekanan yang tinggi. Saya berikan solusi dengan zikir Penyucian Hati Dengan #TeknikAsmaulHusna.
Alhamdulillah beberapa minggu selepas itu, dia mengatakan dia sudah semakin pulih daripada tekanannya.

7. Teruskan mendekatkan diri dengan Allah

Jangan ambil jalan pesong atau jalan yang Allah tidak suka. Ketika kita diuji, hati yang sempit kebiasaannya akan nampak yang negatif sahaja tentang Allah. Kita jadi seorang pesimis – selalu bersangka buruk.
Akhirnya membuat kita tertekan dengan diri sendiri. Terus dekatkan diri dengan Allah seperti terus menunaikan solat 5 waktu, baca Al Quran.
Walau sukar, berusaha untuk buat walau sedikit. Asalkan jangan tinggal semua. Paling malas, pasang ayat Al Quran, biarkan telinga kita dengar perkara-perkara yang baik untuk makanan rohani.

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI