Selalu kita rasa setiap manusia yang telah bertemu jodoh adalah manusia yang paling bahagia dan bernasib baik. Namun kita mungkin tidak pernah sedar tentang mereka yang masih belum menemui jodoh mereka. Adakah mereka diketegorikan tidak bernasib baik?

Banyak hikmah sebenarnya yang kita tidak nampak buat mereka yang belum bertemu jodoh mahupun berumah tangga. Perkongsian iiumc.com ini nyata membuka mata kita bahawa mereka yang belum diizinkan untuk berumah tangga juga ada hikmah yang tersirat di sebaliknya.

1.PELUANG BERBAKTI KEPADA ORANG TUA
Tidak kira samada lelaki mahupun perempuan, selagimana kita bergelar ‘anak’, sudah pastinya tanggungjawab kita terhadap orang tua kita adalah perlu. Adakalanya bila sudah berumahtangga, banyak urusan perlu diutamakan sehinggakan ada yang terabai tanggungjawabnya kepada ibu bapa. Jadi sekiranya kita belum dikurniakan jodoh untuk bernikah, mungkin ini adalah satu peluang untuk kita berbakti kepada kedua ibu bapa sementara masih sempat sementara mereka masih ada. Dahulu mereka yang menyara dan menjaga kita, hari ini tibalah masanya untuk kita membalas jasa dan bakti mereka selama ini, walaupun kita tahu takkan mampu untuk kita membalasnya. Bagi yang belum bernikah, gunakan peluang ini sebaik-baiknya kerana ia hanya diberikan kepada mereka yang terpilih sahaja, bukan semua orang berpeluang sedemikian.

2.BOLEH SAMBUNG BELAJAR
Ya, sambung belajar. Ada segelintir yang menangguhkan urusan pernikahan semata-mata untuk fokus kepada pengajian. Manakala ada pula yang memilih untuk sambung belajar sementara belum sampai jodoh. Tapi tak kurang juga yang menangguhkan pengajian disebabkan perlu bernikah dulu. Kisah setiap orang berbeza kan. Tak ramai yang dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sebaik sahaja mendirikan rumah tangga disebabkan faktor -faktor tertentu. Jadi, sementara belum sampai masa untuk bernikah, apa kata kalau gunakan kesempatan tersebut untuk teruskan belajar (terutamanya Pendidikan secara formal, kerana Pendidikan tidak formal berlaku sepanjang masa tanpa mengira tempat). Maklumlah zaman sekarang ni sangat mencabar dan memerlukan manusia yang berpendidikan tinggi kan.

3.DAPAT TIMBA PENGALAMAN
Bukan bermakna orang yang sudah berkahwin tidak dapat menimba pengalaman. Bukan macam tu maksud saya. Tapi bagi yang belum bernikah, ada sesuatu hal yang anda boleh lakukan tetapi orang yang sudah berkahwin terhad untuk melakukannya. Dalam bidang kerjaya contohnya, ada tugasan tertentu yang lebih sesuai diberikan kepada golongan bujang kerana masanya yang fleksibel dan komitmennya yang kurang. Daripada situ, bolehlah menimba pengalaman baru dan ilmu baru. Dan lagi bagus kalau dapat berkongsinya dengan yang lain juga untuk sama-sama memperoleh manfaatnya. Tapi hati-hati. Tak semua orang suka dengan pencapaian kita dan keseronokan kita.

4.BINA KERJAYA
Kenapa saya kata orang yang belum bernikah dapat bina kerjaya? Orang yang dah bernikah tak boleh bina kerjaya ke? Panas je kan bila orang bernikah baca ni. Rasa geram je. Kalau ada la. Baiklah, situasinya begini. Bagi yang masih berstatus bujang, anda mungkin lebih muda, lebih bertenaga dan lebih bersemangat. Anda juga kurang komitmen lain, jadi anda dapat memberi tumpuan spenuhnya terhadap urusan kerja. Anda juga berpotensi untuk menjadi pekerja cemerlang dan seterusnya diberi kenaikan pangkat dan gaji. Anda juga tidak terikat untuk melakukan kerja lebih masa, sekiranya anda mempunyai kelapangan masa. Sementara masih bujang dan berupaya mencapai segala yang berkaitan, usahakannya. Hal ini kerana kita tidak tahu apa yang menanti kita di hadapan kelak. Boleh jadi setelah berkahwin nanti, suami tidak mengizinkan untuk bekerja dan perlu menjadi surirumah sepenuh masa. Boleh jadi setelah berkahwin dan mempunyai anak nanti, perlu memberikan perhatian yang lebih kepada keluarga dan anak-anak. Manakala bagi lelaki pula, banyak kewangan perlu digunakan untuk urusan nikah kahwin dan menyara keluarga. Makanya sementara masih berstatus bujang dan mampu bekerja, maka usaha untuk stabilkan ekonomi dulu.

5.TOLONG SARA KELUARGA & BIAYA ADIK BERADIK
Bagi yang dah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri tetapi belum ada pasangan dan anak-anak untuk ditanggung, ini sebenarnya ruang untuk anda membantu keluarga asas dan adik-beradik anda yang lain. Sekiranya masih ada adik-beradik yang masih belajar, cuba bantu mereka untuk mencukupkan keperluan mereka walaupun mereka tidak meminta. Mungkin setahun sekali atau dua kali, anda boleh tolong sponsor ibu bapa dan adik beradik-beradik lain yang belum bekerja untuk majlis hari raya. Sekurang-kurangnya ibu bapa anda dapat jimat duit mereka kan. Tak dilupa juga setiap bulan hulur duit sikit untuk ibu ayah, walaupun mereka tak pernah meminta. Itu tanggungjawab kita sebagai anak. Tak banyak takpe, asalkan hulur sebagai tanda ingatan, penghargaan dan syukur. Kalau tengok ada keperluan rumah yang tidak cukup, tolong cukup-cukupkan sekadar termampu. Dan sekiranya ada rezeki lebih, usahakan untuk bawa ibu ayah ke tanah suci samada untuk umrah mahupun haji, mengikut kemampuan. Jika tak mampu sekalipun, sekurang-kurangnya biar ada niat untuk bawa mereka ke sana dan sentiasa doakan mereka. Saya percaya, setiap ibu ayah pasti berhajat untuk ke tanah suci walaupun mereka tidak pernah menyuarakannya. Alangkah bahagianya mereka kalau mereka dapat ke tanah suci. Dan alangkah bahagianya lagi mereka sekiranya anak-anak yang mereka didik dan besarkan selama ini yang membantu merealisasikan impian hati mereka. Cuba kita bayangkan betapa gembira dan syukurnya mereka saat tu. Subhanallah. Saya harap saya pun dapat melaksanakannya. Semoga Allah jadikan saya dan adik-beradik sebagai asbab untuk ibu bapa ke tanah suci juga satu hari nanti. Doakan saya ye.

6.TALIAN HAYAT RAKAN SEKERJA
Part ni mungkin tak ramai yang suka terutamanya bagi yang terkena, kebiasaannya golongan bujang. Usah begitu teman-teman. Walaupun anda selalu diminta dan dihantar untuk ke kursus sana seminar sini dan sebagainya, jangan marah dan jangan merungut. Anggaplah ia sebagai ruang untuk anda buat kebaikan. Anda mungkin terpaksa menggantikan rakan sekerja lain yang sepatutnya pergi tetapi disebabkan komitmen mereka terhadap anak-anak di rumah yang tidak boleh ditinggalkan kepada pasangan dan sebagainya, maka anda yang bujanglah menjadi gantinya. Tak mengapa. Gunakan peluang tersebut untuk meminta rakan-rakan sekerja tersebut doakan yang baik-baik untuk anda juga. Mana la tahu dengan asbab tersebut anda dapat kenaikan gaji dan pangkat dengan lebih mudah, dapat tambah networking dan dapat projek. Atau boleh jadi dengan asbab tersebut juga anda bertemu jodoh. Mana tahu kan… Hari ni mungkin anda yang menjadi talian hayat sekerja, siapa tahu kalau satu hari nanti anda pula yang memerlukan talian hayat rakan sekerja lain. Kata orang, hidup ini umpama roda kan. Chill saja. Hari ini kita bantu mudahkan urusan orang lain, nanti Allah bantu mudahkan urusan kita yang lain pula. Inshaa Allah

IKLAN

7.KURANG KOMITMEN
Ada yang tertekan bila sering diajukan soalan berkaitan jodoh. Tapi tahukah kalian bahawa belum dikurniakan jodoh untuk ada hikmahnya yang tersendiri. Perkahwinan itu satu amanah yang besar. Ia dating bersama tanggungjawab dan komitmen. Bilamana ijab Kabul itu itu selesai, maka komitmen anda juga bertambah. Ahli keluarga anda bakal bertambah. Tugas anda juga bakal bertambah. Boleh jadi tekanan anda juga akan bertambah sekiranya anda belum mampu untuk menggalas dan menghadapinya. Buat masa sekarang, kenal pasti apakah komitmen yang anda ada dan usahakan untuk selesaikannya dengan baik. Mudah-mudahan bilamana telah sampai masanya untuk anda bernikah, anda akan mampu untuk menangani konflik dan menguruskan komitmen dengan matang dan tenang. Ingat, jangan sesekali tambah komitmen sekiranya komitmen sedia ada pun tak tertanggung. Itu cari pasal namanya.

8.RUANG UNTUK PERBAIKI DIRI
Saya rasa part ni ramai yang dah boleh fikir dan akan setuju. Jika belum bernikah, itu sebenarnya satu ruang untuk kita perbaiki diri untuk menjadi seseorang yang lebih baik dan jauh lebih baik daripada yang sebelumnya. Tidak perlu membandingkan diri kita dengan orang lain. Cukuplah sekadar membandingkan diri kita antara yang dulu dengan yang sekarang, barulah kita dapat menilai atas perubahan yang berlaku. Hanya diri kita sendiri yang mengetahui bagaimana diri kita yang dulu dan apa kurangnya diri kita dana pa yang perlu kita perbaiki. Kunci untuk perbaiki diri adalah jujur pada diri sendiri (ada sebabnya kenapa saya katakana sedemikian. Kalau ada rezeki untuk saya berkongsi nanti, maka akan muncullah satu post baru mengenainya, inshaa Allah). Cadangan yang boleh saya berikan adalah cuba perbaiki diri untuk tingkatkan ilmu dalam diri sendiri, contohnya ilmu tauhid, ilmu fiqh, ilmu fardhu ain dan seumpamanya. Paling kurang sekalipun, lengkapkanlah diri dengan ilmu-ilmu rumah tangga, ilmu Pendidikan anak-anak, ilmu memasak dan ilmu-ilmu lain yang berkaitan. Paling-paling tidak la kan… Nak kahwin, kena la belajar ilmu Fiqh Munakahat. Bahagian-bahagian lain dalam memperbaiki diri, kita sendiri yang boleh tentukan. Perbaiki hubungan dengan Allah, hubungan dengan ahli keluarga, hubungan dengan seluruh makhluk Tuhan. Perbaiki sikap juga.

9.BEBAS MENGEMBARA
Ada sesetengah orang suka mengembara. Mengembara tak semestinya ke luar negara. Di dalam negara juga boleh dikatakan mengembara. Jika anda jenis yang suka mengembara, teruskan minat anda sekiranya itu yang memberi kepuasan kepada diri dan membuatkan anda tenang. Asalkan jaga diri, jaga adab dan jaga syariat agama itu sendiri. Mana tahu kalau-kalau bakal pasangan anda adalah seseorang yang berbeza minatnya dengan anda dan tidak mengizinkan anda untuk terus mengembara setelah bernikah nanti kan. Kita tak tahu. Tapi kalau dapat yang sama minat atau yang ingin meraikan minat anda, itu adalah bonus point untuk anda. So, enjoy it.

10.SELESA DIDAMPINGI
Sekiranya anda perasan, orang yang telah bernikah akan mempunyai cara fikir yang berbeza dengan diri individu yang belum bernikah. Kenapa? Ada banyak sebabnya. Tiada yang salah. Kedua-duanya ada kelebihannya yang tersendiri. Dan kedua-duanya boleh didampingi untuk manfaat yang berbeza. Bagi yang bujang dan muda, mungkin cara fikir anda berbeza dan anda jenis yang ceria atau terbuka. Keadaan itu membuatkan anda lebih selesa didampingi dan lebih mudah dibuat kawan. Anda juga lebih senang untuk diminta pendapat tentang sesuatu perkara. Adakalanya individu yang sudah bernikah juga akan menemui anda untuk meminta pandangan. Mungkin kerana mereka menyangka anda belum terbeban dengan masalah rumahtangga dan mampu melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza lalu dapat membantu menyumbang idea bagi menyelesaikan masalah tersebut. Mungkin juga anda mudah dibuat kawan memandangkan tiada yang akan salah faham atau cemburu dengan anda berbanding mereka yang telah berpasangan. Walau bagaimanapun, berhati-hati dan berwaspada dalam pergaulan agar tidak berlebihan. Ikhtilat juga perlu dijaga ye, kawan-kawan. Alam pekerjaan adalah alam penuh dugaan juga.

11.MENGAMBIL PENGAJARAN
Ok. Part ni menarik juga. Orang yang belum bernikah pastinya belum ada pengalaman bernikah kan. Tapi itu tidak bermakna anda tidak boleh mendapatkan pengalaman itu. Caranya bagaimana? Dengan membuat pemerhatian, melakukan pembacaan dan menjadi pendengar setia. Dalam serti kata lain, belajar dan mengambil pengajaran daripada pengalaman orang lain. Ya, anda belum bernikah mungkin sebagai tempoh untuk anda mengambil pengajaran terlebih dahulu supaya anda dapat mempersiap diri untuk alam rumah tangga kelak dan dapat mengelakkan daripada mengulangi perkara sama yang boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga. Bukankah ianya satu anugerah buat diri?

IKLAN

12.MENGANGKAT DARJAT
Anda tahu kenapa? Kerana menjadi seseorang yang belum menikah itu sangat mencabar, terutamanya bagi yang telah lanjut usianya. Bisikan-bisikan insan sekeliling itu cukup menyakitkan. Walaupun diri sendiri pada awalnya tidak kisah mengenainya tetapi disebabkan mulut-mulut orang sekeliling (ada yang kata, ‘mak cik pakcik bawang’), maka yang tak kisah tadi boleh bertukar kisah. Saat inilah menguji kesabaran dan keimanan diri. Ada yang boleh Meletus meledak mengamuk bertukar rupa dan bahasa disebabkan hal ini. Tetapi ada yang memilih untuk terus sabar dan mengatasinya dengan hikmah. Golongan inilah yang diangkat darjatnya kerana kesabarannya. Semoga kita juga tergolong dalam golongan ini. Bukan mudah kan, terutama bagi yang mengalaminya. Bagi yang tidak mengalami, pastinya macam-macam yang boleh anda kata. Tak mengapa. Itulah reality dunia sekarang kan.

Berikut merupakan sebahagian daripada kebaikan atau hikmah sekiranya belum bernikah. Masih ada lagi sebahagian kebaikan yang lain sekiranya kita ingin memperkatakannya kerana setiap orang mempunyai sudut pandang yang berbeza dalam sesuatu perkara. Jadi, ini hanyalah sudut pandang saya yang mungkin masih ada kurangnya pada pandangan kalian di luar sana. Mungkin ada antara anda yang sedang membaca tidak bersetuju dengan apa yang saya kongsikan di atas dan mungkin ada pula yang bersependapat. Tidak mengapa. Saya tidak berkecil hati dengan hal tersebut. Itu adalah hak masing-masing untuk anda menerima point-point yang dikongsikan di atas atau sebaliknya.

Suka untuk saya kongsikan bahawa tiada istilah cepat atau lambat dalam urusan jodoh atau nikah kahwin ni. Mungkin bagi sesetengah pihak ada yang mengatakan bahawa seseorang tu cepat kahwin atau lambat kahwin. Pada saya, istilah ‘cepat’ atau ‘lambat’ ni hanya ada dalam kamus kehidupan manusia sahaja. Hakikatnya ianya semuanya berada dalam pengetahuan Allah SWT. Allah itu Maha Mengetahui bila waktu sesuai yang terbaik untuk seseorang bertemu jodohnya dan bernikah. Mungkin ada yang bernikah di awal usia dan mungkin ada yang bernikah bila telah lanjut usia. Usah kita persoalkan, apatah lagi memperlekehkan. Bukankah mereka juga manusia biasa yang juga mempunyai hati jiwa dan perasaan sebagaimana kita? Jika kita tidak suka diperkatakan atau diperlakukan sedemikian, lebih baik kita jangan melakukan perkara yang sama kepada orang lain. Barulah fair and square. Secara tidak langsung, kita sedang mewujudkan masyarakat yang harmoni. Indah kan…

Yang telah bernikah, hargai pasangan anda dan peliharalah rumahtangga agar rukun damai sehingga ke akhirnya agar masing-masing dapat kembali bertemu di Syurga-Nya kelak.

IKLAN

Bagi yang belum bernikah atau yang belum bertemu jodoh, usah khuatir dan usah bersedih hati. Lihat kembali point-point di atas yang telah saya kongsikan. Pasti ada hikmahnya kenapa anda di situasi sedemikian, begitu juga saya. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT, usahakan yang terbaik di pihak diri sendiri dan inshaa Allah satu masa nanti pasti akan hadir seseorang yang terbaik untuk diri kita. Aamiin…

Ohya, seseorang yang kita rasakan baik belum tentu terbaik untuk kita. Boleh jadi dirinya itu untuk orang lain dan akan menjadi yang terbaik untuk orang lain, bukan untuk kita. Manakala untuk kita pula, ada insan lain yang akan menjadi yang terbaik untuk kita. Definisi ‘terbaik’ itu luas. Hanya yang terpilih dan memilih untuk melihatnya sahaja yang mampu melihatnya. Jika kita melihat kepada kebaikan dan keindahan dalam setiap yang terjadi, kita akan melihat dan merasai hikmahnya. Sekiranya kita hanya memandang sesuatu dengan kebencian atau dengki, pastinya hanya keburukan dan kekurangan sahaja yang akan kita nampak.

Jodoh itu ada. Pasangan telah ditetapkan untuk setiap orang. Cuma siapa orangnya, di mana dirinya, bila kita akan bertemunya dan bagaimana pertemuan tersebut, semuanya menjadi rahsia Allah. Ianya akan hadir pada saat yang tepat untuk orang yang tepat. Bila yang di sini sudah bersedia dan di sana telah bersedia, maka waktu itulah keduanya akan mula dipertemukan dengan hadirnya suatu rasa yang istimewa. Dan waktu itu, bila jodoh yang sebenar telah hadir, segalanya akan dipermudahkan untuk keduanya. Yakin dan percayalah. Janji Allah itu benar. Janji Allah itu indah, andai sahaja kita bersabar dengan ujian-Nya.

Wallahua’lam.

Semoga Allah menjadikan kita antara yang soleh solehah, mengurniakan kita jodoh yang soleh solehah, memberikan zuriat keturunan yang soleh solehah. Aamiin yaa rabbal alamin.

Sekian, wassalam.

– MJ

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI