Meniti alam perkahwinan di usia yang muda mungkin banyak cabarannya. Tambahan lagi, status sebagai seorang pelajar yang mempunyai kekangan membahagikan masa untuk keluarga dan pelajaran.
Menurut pasangan yang berkahwin di usia yang masih hijau, Fatin Amirah Amirrazli, 23 dan pasangannya Muhammad Nor Suhardy Azreen Samsuddin, 24, kematangan, sifat sabar dan bertolak ansur harus dipegang dan dijadikan prinsip hidup agar perkahwinan di usia muda sentiasa utuh.
Fatin yang mendirikan rumah tangga pada usia 20 tahun manakala pasangannya ketika itu berusia 21 tahun membuktikan masjid yang dibina selama ini bahagia hingga ke hari ini. Hasil perkahwinan selama tiga tahun telah mengurniakan mereka dengan seorang cahaya mata yang menjadi permata hati dan penambah kekuatan untuk pasangan ini terus bahagia hingga ke akhir hayat.
Detik Perkenalan
Kami mula berkenalan melalui media sosial dan ketika itu kami berdua masih belajar. Aku di matrikulasi manakala Suhardy di Politeknik. Niat sekadar berkawan membawa hubungan kami semakin akrab dari sehari demi sehari. Pada Disember 2013, kami mengatur satu perjumpaan di pusat beli belah Kuala Lumpur untuk bertemu buat kali pertama.
Pertemuan pertama kali itu membawa hubungan persahabatan kami semakin akrab. Rasa sayang mula timbul dan terdetik rasa rindu saat kami berjauhan. Perkenalan selama 30 bulan menjentik hati kami untuk membawa hubungan ini ke fasa seterusnya. Ketika umur aku 21 tahun dan Suhardy 22 tahun, kami selamat diijabkabulkan dan sah bergelar suami isteri.
Saudara Menentang
Pertemuan Suhardy dengan keluargaku pada kali pertama agak formal. Setelah berbincang dengan cukup mendalam dan terperinci, ibu bapa aku memutuskan untuk menyatukan aku dengan Suhardy secepat mungkin.
Persetujuan di antara kedua-dua belah keluarga rupanya mencetuskan ketegangan yang tidak disangka. Ini kerana ada saudara-mara terdekat aku yang tidak bersetuju di atas perkahwinan aku dengan Suhardy. Mereka bimbang aku tidak dapat memberikan perhatian dalam pembelajaran sejurus aku berkahwin kelak.
Ads
Mereka mencadangkan agar kami menangguhkan perkahwinan ini. Disebabkan kedua orang tua aku sudah bersetuju serta yakin aku mampu bergelar isteri dan pelajar yang baik, perkahwinan kami diteruskan jua. Keluarga Suhardy juga merasakan perkara yang sama dan yakin bahawa Suhardy dapat menjadi suami yang bertanggungjawab walaupun usia kami masih muda.
Banyak Kelebihan
Aku bangga bergelar isteri pada usia muda, begitu juga Suhardy. Perkahwinan kami membuatkan kami matang dalam menguruskan kehidupan. Menjadi isteri dan ibu pada usia yang muda membuatkan aku rasa lebih bertanggungjawab kepada keluarga. Malah pemikiran kami juga lebih dewasa dan terbuka.
Isu kahwin muda dipandang negatif oleh segelintir masyarakat di Malaysia. Ramai yang menganggap berkahwin muda merupakan sesuatu perkara yang tidak wajar. Sedangkan jodoh dan ajal manusia itu telah ditetapkan oleh Yang Maha Esa. Jadi, usia bukanlah ukuran kepada sesebuah kebahagiaan dalam perkahwinan.
Ads
Pilihlah pasangan yang tepat dan memahami anda dan keluarga. Sentiasalah mengutamakan keluarga terlebih dahulu dalam memilih pasangan agar perkahwinan berkekalan dan diberkati. Restu keluarga amat penting dan paling utama, tanya pada diri anda, adakah anda yakin dan mampu untuk menjadi isteri dan suami terbaik di usia yang muda. Pastikan juga anda mampu menggalas tanggungjawab.
WALAUPUN PERKAHWINAN NAMPAK INDAH, NAMUN DI SEBALIK PERKAHWINAN ITU BANYAK ONAK DAN DURI YANG PERLU DIHADAPI. PERSIAPAN TENTANG ILMU AGAMA, KEWANGAN DAN MENTAL AMAT PENTING SEBELUM BERGELAR PASANGAN SUAMI ISTERI. RASA CINTA, JUJUR DAN SABAR MERUPAKAN ANTARA SIFAT YANG HARUS DISEMAI DALAM DIRI UNTUK MEMBENTUK SEBUAH KELUARGA YANG BAHAGIA.
Foto : Koleksi Peribadi Fatin & Suhardy
Ads
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kita sebagai manusia dijadikan berbeza-beza bentuk badan, malah tak ada sesiapa pun yang sama. Ada di antara kita yang berbadan gempal, kurus dan ada juga yang badannya tidak ubah seperti buah pir. Walau bagaimanapun rupa bentuk badan anda, tidak kisahlah anda memakai pakaian saiz XS, S, M, L, XL atau XXL sekalipun, anda tetap yang teristimewa dan unik pada pandangan mata orang yang benar-benar mencintai anda.
Pemilihan baju kahwin yang baik menjadi keinginan setiap pengantin. Pemilihan baju kahwin perlulah bersesuaian dengan cita rasa, harga dan jenis kain yang selesa. Untuk mencari yang benar-benar boleh menepati cita rasa anda, tidaklah susah seperti yang anda bayangkan. Ikuti empat cara ini bagi anda yang masih buntu untuk memilih tukang jahit baju kahwin anda.
1. Kerap ambil tempahan baju kahwin
Anda seharusnya memilih tukang jahit yang kerap bekerja membuat baju kahwin. Selain itu, dia juga ada perniagaan sendiri yang boleh membaiki baju kahwin. Anda dinasihatkan untuk tidak menempah baju kahwin dengan tukang jahit yang tiada pengalaman untuk membuat baju kahwin. Ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
2. Pakar menjahit atau mengubah baju kahwin pilihan anda
Lebih baik lagi, tempahlah dengan tukang jahit yang pakar tentang baju kahwin pilihan anda. Ini kerana, setiap pereka mempunyai style masing-masing untuk membuat baju kahwin. Jadi, anda dinasihatkan untuk bekerja dengan profesional yang biasa dengan seni bina pakaian khusus anda bagi mengelakkan berlakunya sebarang kesilapan.
3. Kedai pengantin yang mengesyorkan anda
Pilih tukang jahit yang disyorkan oleh butik pengantin kerana butik pengantinkebiasaannya akan memilih tukang jahit yang bagus. Pastinya mereka ingin menjaga kepuasan hati pelanggan mereka. Jika sesuatu berlaku, mereka juga yang akan menanggung malu.
4. Senang untuk berkomunikasi dengan anda
Anda perlu memilih tukang jahit yang boleh berkomunikasi dengan anda. Ini kerana tukang jahit yang baik akan memberitahu anda apa yang dia perlu daripada anda untuk membuat baju kahwin. Malah dia juga akan bertanya bagaimana cita rasa dan apa yang anda inginkan untuk baju kahwin anda itu. Dia juga akan memberi pelbagai tip untuk anda memilih kasut yang betul dan sesuai dengan baju kahwin anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak ada bakal pengantin yang inginkan majlis yang ala-ala atau nak tak nak. Mungkin ada diantara anda yang inginkan majlis yang indah dan juga nampak mewah tetapi tak mahu menanggung hutang yang tinggi. Yalah, kalau nak majlis yang gilang gemilang, mestilah kosnya juga gilang gemilang. Jadi bajet perkahwinan itu sangat penting dan biarlah bajet itu mengikut kemampuan. Elakkan berhutang atau membuat pinjaman yang tak masuk akal kerana kehidupan selepas berkahwin itu lebih penting.
Kami ingin kongsikan panduan untuk menjimatkan kos perkahwinan anda, meriah tapi kos rendah.
1. Tetapkan jumlah tetamu yang bakal hadir supaya anda dapat rancang bajet perkahwinan dengan baik. Bila anda sudah tetapkan bilangan tetamu, anda dapat mengira bajet untuk makanan, cenderamata, kad kahwin dan sebagainya.
2. Majlis yang diadakan secara gotong royong lebih baik. Ia dapat menjimatkan kos kerana anda hanya perlu mengeluarkan wang membeli bahan basah dan dapat menguatkan tali silaturahmi bersama jiran anda. Tetapi, sekarang ini sudah banyak pameran perkahwinan dan katering yang menyediakan pakej bajet untuk perkahwinan, rajin-rajinlah buat survey beberapa bulan atau tahun sebelum melangsungkan majlis anda.
3. Elakkan membuat majlis ketika cuti sekolah. Memang seronok kerana pada cuti sekolah, ramai saudara-mara yang akan hadir. Tetapi tahukah anda barang ketika ini agak mahal. Atau jika anda telah memilih tarikh pada cuti sekolah, seeloknya buat persiapan dan beli barang-barang perkahwinan lebih awal. Persedian 1-2 tahun sebelum kahwin juga adalah normal.
4. Hantaran dan hiasan pelamin dari bunga segar lebih indah dan kosnya juga tinggi. Tapi tak salah jika anda gunakan bunga tiruan tetapi gubahnya secara kreatif. Lagipun dengan bunga tiruan, anda dapat terus gunakannya sebagai hiasan untuk kediaman anda.
5. Buat tempatan perkhidmatan fotografi, katering dan kad jemputan semasa promosi atau di pameran perkahwinan. Biasanya diskaun hebat akan diberikan.
6. Elakkan menempah pakaian yang baru kerana khidmat menyewa pakaian lebih murah. Sekarang ini ada juga perkhidmatan dimana anda boleh menempah pakaian perkahwinan yang baru tetapi cuma sewa sahaja. Maknanya selepas pakai, anda kena pulangkan pada butik perkahwinan dan harganya jauh lebih rendah daripada beli terus pakaian perkahwinan itu.
7. Elakkan berbalas hantaran dengan jumlah yang tinggi. Ada juga antara anda yang tak mahu kalah dengan saudara mara atau kawan-kawan. Orang lain letak hantaran 5, anda letak 10 supaya nampak lebih gah. Kebiasaanya hantaran adalah 5 berbalas 7. Pilih barangan yang akan digunakan, bukan sekadar cantik sahaja.
8. Majlis akad nikah dan persandingan diadakan pada satu hari. Untuk menjimakan kos, akad nikah dilakukan pada waktu pagi manakala persandingan dan kenduri dilakukan pada waktu tengahari. Jika anda tetap mahu melakukan majlis akad nikah dan persandingan secara berasingan, hadkan jumlah tetamu untuk majlis akad nikah ( saudara mara dan rakan terdekat sahaja ).
9. Jangan tempah kad perkahwinan yang terlalu mahal kerana ingin kad yang cantik saja. Percayalah, tak ramai yang mahu simpan kad kahwin anda buat kenangan melainkan ia betul-betul unik. Untuk menjimatkan kos, anda boleh menggabungkan majlis persandingan pihak lelaki dan perempuan dalam satu kad sahaja. Selain itu, sekarang pun sudah popular dimana bakal pengantin menjemput tetamu melalui Facebook sahaja.
10. Untuk hiburan halwa telinga pula, daripada mengupah pemuzik, band atau kugiran, sekarang ini sudah banyak perkhidmatan DJ yang boleh memainkan CD lagu yang menarik serta acara karaoke. Lebih meriah dan murah
11. Salah satu cara untuk menjimatkan kos perkahwinan adalah dengan membuka akaun khas untuk perkahwinan anda. Ini dapat memastikan anda tak menggunakan semua wang simpanan anda dan seterusnya BERHUTANG. Sentiasa elakkan membeli barang perkahwinan dengan menggunakan KAD KREDIT.
12. Jika anda mahu jimat lagi, anda boleh menggubah sendiri hantaran perkahwinan atau upah saja saudara mara dan kawan-kawan. Pastinya kos lebih rendah daripada membeli sendiri hantaran di kedai. Hantaran yang dijual di kedai biasanya berharga RM80 ke atas untuk satu bekas hantaran sahaja. Jika anda ada 7 hantaran, sudah berapa pula?
13. Jangan lupa survey mengenai khidmat katering, pelamin, pakaian perkahwinan ataupun cenderamata yang murah dari kawan-kawan atau saudara mara. Selalunya mereka mempunyai cadangan yang bernas dan tahu mana perkhidmatan yang murah dan bagus.
14. Akhbar dan majalah selalunya mempunyai peraduan yang menghadiahkan pakej berbulan madu. Jadi jangan lepaskan peluang untuk menyertainya. Manalah tahu, rezeki anda kan? Honeymoon free lagi!
15. Yang terakhir, checklist atau senarai semak adalah amat penting sekali. Ia perlu ditulis awal-awal supaya anda tidak lupa atau tertinggal perkara yang penting. Melalui senarai semak ini anda juga boleh mengetahui jumlah wang yang dibelanjakan dan anda boleh memantau bajet perkahwinan anda jika ‘terlebih’ atau ‘terkurang’.
Gambar hiasan : Tangkap Pictures
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bukan mudah untuk menjalani kehidupan berumah tangga. Lebih-lebih apabila anda dan pasangan tinggal bersama keluarga. Banyak hati perlu dijaga. Di sini suami/isteri di sana emak dan ayah. Pasti wujud suasana yang kurang senang ketika tinggal bersama.
Usah rasa tertekan dengan masalah yang timbul dan jangan sesekali cepat melatah. Setiap masalah ada penyelesaiannya.
Berbincang
Sekiranya terdapat perselisihan faham, cuba duduk semeja dan berbincang. Kenal pasti masalah yang dihadapi dan selesaikan dengan cara yang baik. Jangan cepat menuding jari pada mana-mana pihak. Cuba bersikap adil dan bijak. Pasti masalah dapat diselesaikan dengan baik.
Lemah Lembut Dalam Percakapan
Perkara paling penting yang anda harus ingat, mesti menjaga percakapan. Jangan sesekali meninggikan suara atau bercakap kasar. Sekiranya anda bercakap dalam nada lemah lembut dan sopan, pasti kemarahan di pihak sana akan beransur hilang. Seperti kata pepatah ‘api jangan di simbah dengan minyak’ kalau dibiarkan makin marak.
Bersungguh-Sungguh
Jika masalah yang wujud disebabkan tabiat atau sikap yang tidak menyenangkan, bimbing pasangan anda untuk berubah. Anda juga perlu tanamkan azam dalam diri yang untuk sama berubah bagi mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia.
Bersabar
Mungkin anda telah menggunakan pelbagai cara untuk menjernihkan keadaan, namun hasilnya masih sama dan tidak berkesan. Jika perkara sebegini masih berlaku, cuba mengalah dan bersikap sabar. Tidak salah anda mengalah, kerana itu bermakna, anda mampu melawan ego kemarahan anda.
Sentiasa Bersama
Bagi pasangan yang baru berkahwin, kebiasaannya pihak wanita yang selalu mengalami masalah dengan keluarga mertua. Sekiranya isteri anda mengalami keadaan seperti itu, jangan rasa tersepit, anda perlu bijak menanganinya. Sentiasalah bersama isteri anda walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Sekiranya isteri tidak pandai masak, anda boleh membantunya bersama di dapur.
Luangkan Masa
Sekiranya ini terjadi, cuba luangkan masa bersama keluarga untuk keluar beriadah seperti berkelah di tepi pantai, mandi manda di taman tema air, dan banyak lagi aktiviti. Pasti hubungan kalian akan lebih erat dan bahagia.
Solat Berjemaah
Solat berjemaah sangat penting dalam mewujudkan sebuah keluarga bahagia. Dengan solat berjemaah, anda dan keluarga bukan sahaja dapat merapatkan silaturahim malah rumahtangga lebih diberkati Allah SWT.
Beri Hadiah
Jangan beri hadiah ketika ulang tahun kelahiran saja, anda juga boleh memberi cenderahati pada bila-bila masa. Mungkin ia kedengaran seperti rasuah, namun jika ‘kena’ pada caranya, hadiah tersebut akan bertukar menjadi pemberian paling indah oleh anda. Sekaligus dapat memujuk hati keluarga mertua anda yang dalam kemarahan.
Tip tambahan:
Elakkan berdebat untuk menegakkan kebenaran anda biarpun hakikatnya anda benar. Cuba beralah dan bersikap sabar.
Sekiranya anda dimarahi oleh ibu mertua, cuba berfikiran terbuka dan fikir balik kenapa anda dimarahi. Muhasabah diri kerana ia mungkin berpunca dari anda sendiri.
Jangan bersikap malas semasa bersama keluarga mertua.
INGAT! Anda bersama keluarga suami, bukan keluarga anda yang selalu melayan anda bak puteri raja.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!