
Wajarkah kita diberi peluang kedua dalam segala hal di atas dunia ini? Siapa yang tidak mahu, betul tak? Kehidupan kita ini penuh dengan perkara-perkara yang tidak disangka-sangka.
Ujian demi ujian Allah s.w.t menghujani kita silih berganti selagi kita masih bernyawa. Dalam banyak perkara adakalanya kita menang dan adakalanya kita tewas. Andai kita tewas dalam melunaskan sesuatu ujian mahupun impian, tiada apa yang lebih indah daripada mendapat peluang kedua.

Beri peluang pasangan berubah
Peluang kedua bagaikan mati hidup semula, bagai pohon layu disirami air, bagai danau kering dilimpahi selautan air. Tidak ada sesiapa yang sempurna di dalam dunia ini.
Setiap insan pasti sekali pernah menghadapi kegagalan dalam hidup. Kata-kata dorongan supaya jangan berputus asa di atas kegagalan tidak akan bermakna andai tiada jalan untuk bangkit semula atau lebih enak disebut peluang kedua.

Setiap orang melakukan kesilapan
Kerana peluang kedualah yang kita akan terus bangkit meneruskan perjuangan yang telah kandas. Janganlah kita terlalu angkuh untuk tidak mengizinkan peluang kedua dalam perkara yang anda punya kuasa mutlak kerana anda juga pasti sekurang-kurangnya sekali dalam hidup memerlukan peluang kedua.
Setiap orang melakukan kesilapan. Mungkin kali ini mereka sudah sedar dari perbuatan mereka. Jika betul mereka ingin berubah mereka pasti tidak akan sia-siakan anda.
Cinta Mengubah Dirinya Untuk Mendapatkan Bentuk Badan Yang Diingini Sebelum Majlis Perkahwinan Berlangsung

Bila menyebut soal kurus setiap orang punyai keinginan untuk mempunyai berat badan yang ideal. Jika punyai keinginan tanpa motivasi diri yang tinggi , hasrat yang dingini tidak kesampaian. Bagi Nor Afifah Habib Mohamed atau lebih mesra dengan panggilan Fifi menceritakan kisah penurunan berat badan adalah datang dari motivasi diri serta dorongan yang berterusan dari pasangan cintanya. Cinta mengubah dirinya untuk mendapatkan bentuk badan yang diingini sebelum majlis perkahwinan berlangsung.
Proses kurus bermula
Berat badan naik tanpa sedar kerana tabiat diri yang suka makan dalam kuantiti yang banyak. Akui Fifi nasi menjadi sahabat utama setiap kali rasa lapar datang tanpa mengira siang atau malam. Rasa risau memang ada, namun lapar mengatasi segalanya dan ia sukar dikawal.
Setahun selepas mengenali teman lelaki berat naik dari 95kg ke 110kg. Teman lelaki tidak pernah menegur kerana katanya comel. Untuk menyedapkan hati sendiri setiap hari diri mula berazam untuk kurus. Tapi tidak tahu cara yang betul. Pelbagai cara telah dicuba seperti bersenam tetapi tabiat pemakanan masih lagi sukar dikawal. Pernah mencuba produk kurus tapi masih tidak berkesan. “Saya bertanya kepada teman lelaki bagaimana dia dapat mengatasi masalah kegemukannya dulu dari 80kg ke 60kg. Dia menasihati supaya mengawal nafsu makan. Saya memintanya menegur sepanjang proses kurus yang dilakukan walaupun kadang kala tegurannya mengguris perasaan. Saya cuba untuk tidak cepat melatah dan merajuk.
Dia menasihati saya untuk mengambil makanan bersaiz genggaman tangan dibahagi kepada tiga bahagian. Makan setiap tiga atau empat jam. Tiga bahagian itu ialah nasi sedikit,ikan goreng dan sayur. Lauk boleh ditukar tapi kekalkan kuantiti. Jadi di sini saya mengamalkan makan dalam kuantiti yang konsisten tetapi secara kerap. Perut tidak dibiarkan lapar dan kunyah makanan dengan betul. Jangan minum ketika makan untuk elakkan perut jadi buncit. Saya amalkan minum dulu sebelum makan.
Milo panas tanpa gula dan susu menjadi minuman di kala perut lapar pada waktu tengah malam. Pengambilan susu panas juga diamalkan di antara waktu makan supaya perut tidak memberontak lapar. Tetapi minum susu dalam kuantiti sedikit. Kegemaran saya minum susu serbuk dutchlady honey kerana sedap dibancuh tanpa gula,” jelas Fifi.
Motivasi diri
Mengakui dirinya tidak mengamalkan diet yang ekstrem seperti menahan lapar atau memilih makanan yang tidak sedap dan bukan kehendak diri kerana takut tidak mampu meneruskan segala usaha malah menjadi separuh jalan sahaja. Bak kata pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’.
“Bagi saya biarlah mengambil masa yang panjang selama lima atau 10 tahun sekali pun asalkan ada hasilnya. Motivasi yang paling bermakna bagi saya apabila teman lelaki tidak pernah malu dengan saiz saya malah pernah mengajak untuk berkahwin di awal perkenalan. Tetapi saya meminta tempoh lima hingga enam tahun untuk mengurangkan berat badan dan belajar untuk mengendali kesihatan diri. Lima tahun tempoh yang saya janjikan itu mesti ditunaikan. Saya yakin boleh buat yang terbaik. Saya mesti kelihatan paling cantik. Saya bayangkan diri jika seberat 60 kg. Saya mesti belajar kekal menjaga diri untuk selama-lamanya.
Teman lelaki amat penyabar, dia menunggu dan Alhamdulillah semuanya menjadi kenyataan dan saya menunaikan janji saya untuk menikah dengannya. Sebenarnya sasaran pada mula berat yang sederhana sahaja iaitu 75kg. Takut tidak mampu. Namun setelah berjaya melepasi berat itu saya cuba konsisten tabiat pemakanan dan tanpa disangka berjaya turun hingga 61 kg. Saya ingin cuba turunkan berat hingga 57 kg. Kesabaran dia banyak mengajar saya menjadi lebih matang. Jadi saya hadiahkan penampilan baru saya untuk suami tercinta di alam rumah tangga yang baru kami bina,” akuinya.
Regim pemakanan dan senaman
Dalam proses menguruskan badan , Fifi mengamalkan makan dalam kuantiti yang sedikit namun kerap iaitu setiap tiga hingga empat jam. Selain itu banyak minum susu dan makan buah mangga untuk penghadaman. Untuk kecergasan diri Fifi lakukan berjalan secara laju di atas treadmill di rumah.
Buat anda yang mahu kurus , nasihat Fifi agar bersabar, jangan cepat merajuk dan hiraukan ejekan orang sekeliling . Tetapkan target dan kerap berdoa kepada Allah S.W.T semoga makbulkan impian untuk kurus.
Solat Istikharah Ialah Gabungan Usaha Dan Tawakkal Yang Tinggi Kepada Allah

Tetapi ALLAH Maha Mengetahui kan? Maka hati pun terpujuk dengan rangkap doa istikharah yang diajar Rasulullah SAW.

Islam bukan agama yang pasif, bukan hanya menerima calon yang melamar tanpa merisik dan menyiasat latarbelakang, atau bukan duduk menunggu jodoh datang bergolek. Islam bukan mengajar memilih jodoh dengan hanya dengan perasaan, namun aspek perasaan ada bahagiaanya dalam memilih jodoh. Islam mengajar aktif dan proaktif mencari jodoh mengikut syariat.
Sebenarnya Tugas Mengemas Rumah & Memasak, Tanggungjawab Suami Atau Isteri?

Soalan:
Adakah tugas mengemas rumah dan memasak itu menjadi tanggungjawab suami atau isteri?
Jawapan:
Terima kasih atas soalan yang ditanya.
Dalam membina rumah tangga, kesepaduan antara dua belah pihak. yakni suami dan isteri, adalah amat penting. Perkara yang pertama perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajipan dan hak masing-masing. Dalam masa yang sama, perkara yang tidak kurang pentingnya bahkan itulah yang menjadikan rumahtangga sebagai baiti jannati adalah pengorbanan. Para suami berkorban untuk isterinya dan para isteri berkorban untuk suaminya. Dengan sebab itu, akan lahirlah kasih sayang seperti yang termaktub dalam Surah al-Rum. Natijah daripada perkahwinan adalah mendapat ketenangan, mahabbah (kasih sayang) dan juga rahmah yang melahirkan cinta dan kebahagiaan.
Al-Qur’an sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik samada daripada sudut adat dan yang lebih penting lagi berlandaskan syariat. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Jumhur ulama’ berpendapat wajib atas suami berkhidmat kepada isterinya yang tidak mampu dan tidak layak untuk dia menguruskan dirinya sendiri. Ini kerana ia seolah-olah sebahagian daripada nafkah isteri ke atas suami dan ulama sepakat jika sekiranya isterinya sakit atau ditimpa keuzuran sehingga tidak mampu menguruskan diri sendiri untuk suami berkhidmat kepada isterinya.
Walaupun begitu, dalam mazhab Maliki wajib bagi suami menolong isterinya dalam berkhidmat jika suaminya kaya dan isterinya mempunyai kedudukan yang tidak sesuai melaksanakan tugas tersebut kerana dengan pelaksanaan tersebut akan mengurangkan darjat kedudukan isterinya itu. Lihat al-Syarh al-Kabir dan Hasyiah al-Dusuki (2/510).
Sedangkan mazhab Hanafi pula berpendapat jika isteri enggan mengisar tepung atau menguli roti di mana beliau tidak sesuai untuk tugasan itu atau kerana sakit, maka hendaklah suami menyediakan makanan yang sudah siap. Sebaliknya jika mampu, maka hendaklah isteri melaksanakan tugas tersebut dan tidak wajib atas suaminya. Hujahnya adalah Rasulullah SAW membahagikan tugasan Ali dan Fatimah di mana Ali bertugas di luar rumah sedangkan dalam rumah di tugaskan kepada Fatimah. Lihat Fath al-Bari (9/507).
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fatawa Mu’asirah (terj.) 3/144 menyebut, “Perkhidmatan khadam merupakan salah satu bentuk pergaulan yang baik (kepada isteri). Tidak wajib mendapatkan khadam lebih daripada satu kerana haknya adalah khidmat dirinya sendiri.”
Berdasarkan kepada banyak nas dan juga nasihat salafussoleh, jelas menunjukkan para isteri amat perlu berkorban dalam ruang lingkup kerumahan sehingga dialah yang mentadbir dan mengasuh serta menguruskan rumah. Isteri digelar dalam Bahasa Arab sebagai rabbatul bayt memberi maksud tuan atau pengurus rumah.
Saidina Umar RA ketika menasihatkan Aqil RA berkenaan kedudukan isteri telah mengalasankan dengan banyaknya tugas isteri di rumah seperti mengasuh, memasak dan seumpamanya. Inilah juga yang dilakukan Asma’ binti Abu Bakr dalam membantu suami, al-Zubair Ibn al-Awwam. Hal ini tidak pelik dalam tradisi semua bangsa termasuklah sejarah Fatimah al-Zahra’ yang membantu suaminya Ali bin Abi Talib RA dengan mengisar gandum dan sebagainya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang berkorban untuk para suami dan keluarga mereka.
Dalam Raudhah al-Nadiyyah oleh Sayyid Siddiq Hasan Khan menyebut: “Ia berbeza mengikut tempat dan masa, keadaan seseorang individu. Nafkah di masa mewah dengan cara baik dan di waktu ekonomi meleset dengan cara yang sepatutnya.”
Walaupun begitu, suami yang berkemampuan sebaiknya hendaklah meringankan bebanan isteri seperti mengupah orang gaji atau membeli beberapa peralatan bagi memudahkan urusan isteri masing-masing seperti mesin basuh, alat memasak yang moden seperti periuk nasi dan lain-lain yang sudah barang tentu akan meringankan dan menyenangkan isteri.
Justeru, kami katakan bahawa dengan memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti sebuah kehidupan dalam mengasuh mendidik anak bangsa generasi seterusnya, persefahaman dan pelaksanaan tugas serta sikap toleransi, bantu-membantu antara suami isteri boleh menatijahkan kebahagiaan sehingga terjadilah baiti jannati. Isteri dan anak-anak menjadi qurratul ain kepada suami masing-masing. Akhir kalam kami berdoa kepada Allah sebagaimana dinyatakan
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahua’lam
Sumber & Kredit : Pejabat Mufti Wp