Setengah pemilik kucing mungkin cenderung memberi haiwan peliharaan itu makan nasi, tetapi tahukah anda nasi sebenarnya bukanlah makanan paling sesuai untuk kucing? Pada kebiasaannya nasi yang diberikan kepada kucing tersebut sudah pun digaulkan dengan ikan atau ayam dan kucing secara teknikal hanya makan nasi itu kerana adanya isi ikan ataupun cebisan daging ayam di dalamnya.

Hakikatnya, kata Pakar Bedah Veterinar, Dr. Nurzaty Hamid, nasi bukan makanan terbaik untuk kucing malahan nasihat beliau kepada pemilik kucing ialah jangan membiasakan memberikan nasi semata-mata kepada kucing. “Sistem pencernaan kucing sebetulnya adalah sukar menghadam nasi, jika terlalu banyak makan nasi, dibimbangi mengalami masalah kesihatan terutama membabitkan buah pinggang,” ujar beliau yang baru berusia 29 tahun itu.

“Jika dicampur isi ikan atau ayam, sekurang-kurangnya kucing dapat memilih dan mengutip bahan protein itu untuk dimakan,” ujarnya sambil menambah, makanan semula jadi untuk haiwan itu adalah bahan berprotein. Jika ikan dihancurkan terlalu halus dan digaul dalam nasi, kucing akan makan ikan itu bersama nasi yang banyak. Berbeza dengan sistem pencernaan manusia yang boleh hadam nasi dengan mudah, kucing tiada kelebihan itu.

“Ini kerana perut kucing hanya sesuai untuk bahan makanan berasaskan daging,” ujarnya. Kucing secara semula jadi adalah haiwan pemakan daging dan sistem pencernaan direka sebagai karnivor, berbeza anjing yang jenis omnivor. Pencernaannya memerlukan beberapa protein dan asid amino yang tidak boleh didapati darpada bahan selain ayam mahupun ikan. Makanan sesuai adalah ikan dan ayam rebus selain makanan dijual siap direka khas untuk kucing.

“Jika kucing biasa makan nasi, boleh diberi dalam kuantiti sederhana dan dalam jangka masa pendek, maksudnya tidak diberi secara berterusan. Sebaik-baiknya, digantikan nasi putih itu dengan nasi beras perang. “Ini kerana perut kucing lebih mudah mencernanya. Bahkan kebanyakan makanan kucing di pasaran sudah pun diformulasi dengan menggunakan beras perang dan bukan jenis beras biasa manusia makan,” jelas Nurzaty lagi.

Pesannya lagi, jika beri makanan beli siap, elak memilih jenis komersial yang berwarna-warni, bagi menghindari penyakit batu karang atau buah pinggang dan juga tidak menukar jenis atau jenama sesuka hati. “Amalan gemar menukar jenis dan jenama makanan, dibimbangi ada yang tidak sesuai dan boleh menyebabkan sakit perut,” tegas Nurzaty. Agar kucing kekal sihat kata beliau, boleh diberikan multi vitamin.

Jika diletakkan kucing dalam bilik berhawa dingin, sediakan kotak supaya ia boleh menyorok dan memanaskan badan manakala sekiranya diletak dalam bilik yang hanya ada kipas, pastikan sistem pengudaraan bagus.

Nurzaty mengikuti pengajian peringkat Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu, Sarawak sebelum melanjutkan ke peringkat Ijazah Veterinar di UPM, Serdang, Selangor. Pakar Bedah dan Pengurus Klinik Haiwan itu berkata, beliau mendapati kebanyakan klinik haiwan yang ada di Malaysia pada ketika ini memberi rawatan ‘bercampur dengan haiwan lain’.

“Sebelum itu, saya memang bercita-cita menjadi doktor haiwan dan kebetulan sangat sukakan kucing. Sejak dulu, saya bercita-cita membuka klinik haiwan khusus untuk kucing.

“Dengan adanya klinik khas untuk kucing, lebih selesa bagi pelanggan yang hanya meminati haiwan itu untuk keluar masuk di klinik ini,” ujarnya. Bagaimanapun, ada juga haiwan kecil lain seperti arnab, sugar glider dan hamster dihantar kepadanya untuk dirawat tetapi tidak anjing.

Mengenai amalan memandikan kucing, beliau berkata, kucing juga tidak boleh dimandikan terlalu kerap, hanya boleh sekali-sekala seperti sebulan sekali. Mengenai risiko kucing terhadap ibu mengandung yang sering diperkatakan menurutnya, memang betul, kucing berpenyakit Toksoplasma boleh menjangkiti ibu mengandung yang boleh membawa kepada keguguran.

IKLAN

Kalau Suami Jauh, Belalah Kucing Sebagai Teman, Tapi Elak Beri Nasi Kepada Si Comel
.

“Jadi dinasihat amalkan bersih tangan dengan cecair pembasmi kuman setiap kali lepas pegang kucing. Bagi memastikan ia selamat daripada penyakit tertentu, digalak dapat suntikan rangkaian vaksin khas,” ujarnya. Beliau juga menggalakkan kucing jantan dan betina dimandulkan untuk mengawal karakter semula jadi haiwan itu, yang boleh menjadi amat agresif ketika hendak mengawan.

Terdapat banyak manfaat dan kebaikan yang boleh kita peroleh apabila kita membela dan menyayangi kucing. Ia memberi kesan kepada banyak aspek kehidupan manusia seperti kesihatan fizikal, kesihatan mental, cara hidup dan sebagainya.

1. Buang sifat penting diri sendiri dan kedekut dalam diri manusia

Membela kucing mengajar kita untuk berkongsi rezeki daripada Allah di atas muka bumi ini tidak kira sama ada makanan, minuman, tempat tinggal dan khususnya kasih sayang. Sifat berkongsi dengan makhluk comel ini lambat laun akan menjadikan kita seorang manusia yang pemurah dan baik hati.

2. Menjadi terapi emosi yang sangat baik

IKLAN

Satu kajian oleh Universiti Columbia mendapati bahawa aktiviti bersama haiwan kesayangan anda terutama kucing dapat meningkatkan hormon serotonin dalam badan anda. Hormon serotonin berfungsi untuk mengawal mood, mengurangkan emosi negatif dan membuatkan seseorang menjadi lebih bahagia.

Sekali gus, dapat mengurangkan tekanan perasaan dan kesunyian dalam diri manusia. Kajian juga mendapati mereka yang berada dalam kemurungan boleh sembuh dengan berinteraksi dengan kucing.

3. Dapat membantu pesakit-pesakit autisme

Membela kucing benar-benar membantu dalam kes penyakit ini. Hal ini dibuktikan dengan beberapa kejadian di mana kucing memainkan peranan penting dan menjadi pembantu utama dalam terapi untuk anak-anak autisme yang mempunyai kesukaran untuk berkomunikasi.

4. Menurunkan risiko penyakit Kardiovaskular dan serangan jantung

Aktiviti dengan kucing dapat merendahkan rembesan kimia bernama cortisol di dalam badan. Kadar cortisol yang tinggi akan meningkatkan tahap kolestrol dan tekanan darah.

IKLAN

Risiko untuk meninggal dunia akibat penyakit kardiovaskular bagi mereka yang mempunyai kucing adalah 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding mereka yang tidak mempunyai kucing. Tambahan lagi, risiko untuk seorang pemilik kucing meninggal akibat serangan jantung adalah sangat rendah.

5. Mendisiplinkan diri dan membentuk sifat bertanggungjawab

Kucing harus diberi makan dengan teratur. Jadi tuan kucing mesti tahu bila dan berapa jumlah makanan yang perlu diberikan kepada kucing-kucingnya. Bila kucing dijaga dari kecil, corak pemakanan yang berbeza juga perlu diperhatikan.

Selain makan, banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian seperti imunisasi kucing, jadual makan ubat, temu janji doktor, mandi kucing, menyikat bulu, melatih kucing untuk membuang najis di tempat yang disediakan dan sebagainya.

Pemilik kucing harus bertanggungjawab dengan tindakan kucingnya dan tahu menghormati hak jiran tetangga. Kita harus memahami bahawa mungkin jiran anda alahan dengan kucing atau kurang selesa dengan bau-bau najis kucing yang mengganggu ketenteraman awam.

6. Mendapat pahala dan dimurahkan rezeki

Selain itu, membela kucing juga sebagai cara untuk kita menuai ganjaran pahala daripada Allah kelak. Apabila pemilik kucing ada niat sedekah ketika bela kucing, maka ganjaran sedekah akan kembali kepada pemilik tersebut.

Kucing adalah haiwan yang memiliki perasaan dizahirkan dengan cara tersendiri. Ia antara haiwan yang boleh mengadu dan berdoa kepada Allah dan barangkali kehidupan kita jadi lebih senang dan gembira dek kerana doa seekor kucing.

Begitu juga sebaliknya hidup kita dirundum kesedihan dan kesusahan dek kerana aduan seekor kucing kepada Allah Subhanahu Wataala atas layanan buruk yang diterima.

 

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI