
Acara bersanding merupakan perkara yang sering dilakukan di majlis perkahwinan. Bagi kaum lelaki, anda pastinya ingin tampil segak dan kacak semasa acara itu berlangsing. Namun, ada beberapa perkara yang perlu dihindari dan dilarang pakai untuk memastikan ciri-ciri maskulin dan jantan anda menyerlah.
Jom kita lihat benda atau perkara yang tidak sesuai digayakan lelaki ketika majlis bersanding berlangsung!
MENGENAKAN MAKEUP
Tidak salah sekiranya anda ingin memakai solekan di majlis perkahwinan. Namun harus diingatkan, solekan yang dikenakan haruslah seminima mungkin agar anda tidak kelihatan seperti badut. Seeloknya, dapatkan solekan daru jurusolek professional kerana mereka lebih mahir tentang bab ini. Jangan pula memandai untuk makeup sendiri ataupun menyuruh ahli kaum keluarga untuk meyolek anda. Khuatir anda kelihatan seperti drag queen! Tak ke memalukan?
PAKAI KASUT TUMIT TINGGI
Ada sesetengah lelaki yang tidak berapa tinggi memakai kasut tumit tinggi agar kelihatan lebih tinggi di majlis perkahwinan. Kononnya ingin tampak lebih menonjol dan setaraf dengan ketinggian pasangan. Awas ya! Jangan sesekali memakai kasut tumit tinggi walaupun kasut tumit tinggi itu direka khas untuk lelaki. Sekiranya pasangan anda lebih tinggi dari anda, nasihatkan pasangan anda agar tidak memakai kasut tumit yang terlalu tinggi.
AKSESORI
Bagi mereka yang gemarkan berpakaian tradisional seperti baju melayu siap bersamping dan tanjak ketika majlis perkahwinan, anda dinasihatkan agar tidak mengenakan aksesori yang terlalu sarat. Cukup sekadar rantai ringkas, kerongsang untuk tanjak dan keris sebagai aksesori pilihan. Jangan memakai aksesori yang terlalu besar kerana takut anda kelihatan seperti penari tradisional.
BAJU WARNA TERLALU TERANG
Untuk lelaki, lebih manis sekiranya anda menggayakan baju berwarna pastel dan gelap untuk majlis perkahwinan. Contoh warna yang boleh dipilih ialah, biru lembut, hijau lembut, coklat gelap, pic lembut, kuning lembut, hijau zamrud dan lain-lain lagi. Baju rona terlalu terang bukanlah tidak sesuai digayakan oleh lelaki, namun warna lembut dan gelap lebih menyerlahkan sisi maskulin seseorang lelaki itu di majlis raikan cinta.
PAKAI CERMIN MATA GELAP
Ada sesetengah lelaki cukup gemar menggayakan cermin mata hitam sehinggakan memakainya untuk majlis bersanding. Perkara ini tidak digalakkan kerana mengganggu hadirin dan tetamu yang ingin melihat wajah anda sebagai raja sehari. Sekiranya anda menghadapi masalah silau kerana terkena pancaran matahari, anda boleh memakainya, namun biarlah buat seketika sahaja. Berilah ruang buat tetamu dan si dia melihat wajahmu yang tampan itu!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Jumpa Mentua, Kena Pandai Cakap, Baru Boleh Jadi Geng!

Kejutan menghadapi budaya hidup keluarga mertua sering berlaku kepada pasangan yang baru berkahwin, sehingga kadang-kadang jika tidak ditangani dengan baik, boleh menyebabkan krisis dalam rumah tangga.
Perbezaan ini memerlukan penyesuaian kerana walaupun berbeza status tanggungjawab menghormati dan melayan ibu bapa mertua dan keluarganya adalah sama seperti kita menghormati dan melayan ibu bapa kandung dan kaum kerabat sendiri.
Hubungan dan komunikasi dengan keluarga mertua perlu dikendalikan secara hormat dan hikmah malah bersama ipar duai juga perlu dipelihara kerana perkahwinan bukan sahaja membina hubungan suami isteri, ia juga menghubungkan tali silaturrahim dan persaudaraan antara dua buah keluarga yang sebelum ini mungkin belum pernah mengenali antara satu sama lain.
Panduan mengelakkan masalah hubungan dan komunikasi:
1. Bersifat terbuka dan bersangka baik kepada keluarga mertua walaupun mempunyai pendapat yang berlainan. Pasangan kita mungkin boleh menjadi perantara untuk menyatukan dua pendapat yang berbeza. Elakkan buruk sangka bagi mengelakkan pertengkaran yang boleh menjejaskan lagi hubungan anda dengan keluarga mertua.
Baca artikel UNTUNG Isteri Dapat MENTUA Supportive. Ini RAHSIA Nak Tackle Hati Mak Ayah Suami.. – Pesona Pengantin
2. Menunjukkan kegembiraan apabila mereka berkunjung ke rumah anda melalui huluran salam, layanan mesra dan menyediakan hidangan yang enak mengikut kemampuan.
3. Apabila keluarga mertua membuat aktiviti atau program maka anda sebagai menantu perlulah memberi kerjasama dan komitmen dalam aktiviti atau program yang dirancang, jika tidak dapat menghadirkan diri berilah alasan secara baik agar tidak menyinggung perasaan pihak mertua.
4. Jika anda mempunyai masalah dalam rumah tangga, mereka juga boleh menjadi tempat untuk anda meminta nasihat dan bimbingan. Jangan sesekali abaikan mereka dalam membuat sesuatu keputusan.
5. Sentiasa ingat bahawa pengorbanan kita memendam rasa akibat rasa kurang senang atau tidak puas hati terhadap keluarga mertua atau ipar duai mungkin terlalu kecil jika dibandingkan dengan doa dan restu mereka untuk kesejahteraan hidup kita sepanjang hayat. Mereka juga sama seperti ibu bapa kandung kita mendoakan yang terbaik dan tidak ada ibu bapa yang sanggup mendoakan sesuatu yang buruk terjadi pada anak menantu mereka.
6. Tidak mencampuri urusan keluarga mertua terutama dalam soal pengurusan harta atau kewangan melainkan diminta pandangan atau nasihat. Jangan cuba berlagak pandai dalam menguruskan hal-hal keluarga mertua jika pandangan anda tidak diperlukan. Anda bukan akan menyelesaikan masalah tetapi akan lebih menambahkan masalah. Lebih berhati-hati bila bercakap jika melibatkan sesuatu yang sensitif tentang keluarga mertua anda.
7. Memberi respon positif terhadap sebarang kenyataan dan tidak menggunakan kata-kata yang menyinggung perasaan mereka. Jangan sesekali gunakan bahasa yang kasar yang boleh menampakkan sikap kurang ajar anda.
8. Berbuat baik dengan kawan-kawan dan adik beradik pasangan merupakan salah satu cara suami atau isteri menzahirkan rasa kasih sayang kepada pasangan. Hormatilah juga saudara mara yang lain seperti mana anda menghormati suami anda.
Tonton juga video di bawah:
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tip Buat Pengantin Baru, Ini Antara Cara Jimat Bila Nak Pindah Rumah

Langkah pertama diambil dengan berpindah ke rumah baru dan bermulalah ceritera bahagia untuk pasangan yang baru berkahwin. Namun begitu, dengan berpindah ke rumah baru turut memerlukan mereka menyiapkan semua peralatan dengan kadar yang serta merta.
Ikuti beberapa tip keperluan dan kehendak apabila berpindah.
1. Apabila berpindah ke rumah baru, pastikan tiga bulan sebelum untuk memastikan keadaan rumah bersesuaian dengan kehendak. Jika ada penyewa yang dahulunya tinggal di situ, pastikan segala keadaan dalam rumah itu baik dan jika ada kebocoran pastikan ianya telah dibaiki sebelum anda menduduki rumah itu.
2. Seelok-eloknya perabot rumah dikumpulkan sebelum anda berpindah kerana kos membeli sahaja agak tinggi, inikan pula mahu membeli sekali gus semua perabot dalam satu masa. Jika boleh, elakkan tetapi jika mempunyai wang yang cukup tidak menjadi masalah untuk anda.
3. Jika di rumah sewa lagi anda sudah ada perancangan untuk berkahwin, jadi mulakan dengan langkah pertama iaitu dengan membeli peralatan yang utama sebagai contoh tilam, almari, peralatan dapur dan mesin basuh. Sebaiknya pilih yang tahan lama supaya dapat digunakan pada masa akan datang.
4. Asingkan kehendak dan keperluan di awal waktu berpindah. Misalnya jika keperluan memilih almari penting daripada membeli meja solek lebih baik memilih apa yang diperlukan dahulu. Ini kerana barang kehendak hanya sekadar sampingan jika tidak dibeli juga tiada masalah akan timbul.
5. Apabila berpindah pastikan anda menyediakan bajet carta belanjawan supaya dapat membantu anda dalam menguruskan permasalahan yang berlaku akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan.
6. Menjadi pengantin baru anda akan mendapat banyak hadiah yang berupa barangan rumah. Jadi tidak perlu membazir untuk membeli lagi barang yang sudah ada. Jika barang tersebut murah atau tidak tahan lama, usah risau kerana sekiranya rosak barulah anda menukar dengan barangan lain dan tahan lebih lama. Perlu ada sikap berjimat cermat lebih-lebih lagi keperluan hidup yang makin tinggi.
7. Sekiranya barang-barang di rumah tidak dapat dibeli pada awal perkahwinan, tidak mengapa anda boleh juga membeli barang secara sedikit-sedikit. Contohnya bulan pertama anda boleh membeli peralatan memasak, bulan kedua boleh membeli peralatan tidur dan seterusnya.
8. Sebaik berpindah ke rumah baru juga diingatkan agar menyimpan sedikit daripada wang perbelanjaan. Kadangkala duduk di rumah baru ini ada situasi yang menyebabkan kita terpaksa berbelanja lebih. Manalah tahu jika ada keadaan rumah yang kadangkala tidak sempurna seperti yang anda lihat. Kemungkinan kos kerosakan boleh menyebabkan anda berhutang. Penyelesaiannya amalkan sikap menabung dari awal lagi.
9. Sesetengah orang gemar meninggalkan perabot lama sekiranya berpindah ke rumah baru. Namun untuk menjimatkan perbelanjaan, anda digalakkan menggunakan perabot yang ada dan hanya membeli barangan keperluan harian yang lain. Perlu diingat, permulaan berumah tangga bukan mudah, anda seharusnya menguruskan kewangan dengan lebih terperinci supaya tidak ada masalah pada awal perkahwinan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Baca Pesanan Menarik Lelaki Ini, Jodoh Yang Allah Telah Tetapkan Tidak Pernah Salah Orang!

Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian”
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI