
Mandi bunga ialah perawatan kecantikan yang paling sering dilakukan oleh bakal ratu sehari. Secara ritual, mandi bunga dilakukan untuk membuka aura bagi tujuan menyegarkan tubuh serta menaikkan seri wajah.
Mandi bunga mampu menaikkan seri wajah kerana tubuh kembali segar disebabkan oleh khasiat yang terdapat di dalam bunga yang digunakan terserap ke dalam tubuh badan.
Bunga dikatakan sebagai penyerap tenaga yang terbaik kepada si pengamal mandi bunga. Rawatan mandi bunga jika diamalkan mampu mengurangkan kelesuan badan dan menghilangkan bau badan.
Dari segi amalan perubatan moden, amalan mandi bunga tidak dianggap memberi sebarang perubahan fizikal kecuali bagi menambah keyakinan. Di negara barat, amalan aromaterapi pula menjadi amalan yang boleh dikatakan memainkan peranan yang hampir sama dengan mandi bunga di kalangan masyarakat Melayu.
Kami kongsikan tip buat bakal ratu sehari yang ingin mencuba rawatan mandi bunga di rumah.
Bahan Yang Diperlukan
- Tujuh atau sembilan jenis bunga yang tidak berduri
- Bunga pelbagai warna (bunga Jasmine dan bunga cempaka kalau boleh mesti ada)
- Elakkan bunga berwarna hitam
- Semua bunga mestilah segar dan berbau wangi
- Satu botol air mawar
- Dua biji limau purut
Kaedah Penyediaan
- Jumlah jenis bunga mestilah angka ganjil, 7 atau 9.
- Asingkan bunga daripada daun dan dahan kecil.
- Rendam bunga-bungaan di dalam baldi/besen yang dipenuhi dengan air.
- Tuang sebotol air mawar dan kacau rata.
- Belah limau purut dan hiris nipis-nipis. Rendam bersama campuran bunga-bungaan dan air di dalam baldi/besen tadi.
- Rendam semalaman.
Cara Mandi
- Sebaiknya mandi seperti biasa terlebih dahulu sebelum mandi bunga. Tidak perlu mandi selepas ritual mandi bunga.
- Seelok-eloknya mandi pada waktu pagi bagi tujuan kesegaran tubuh dan juga serapan tenaga.
- Mulakan dengan siraman di bahagian tubuh di sebelah kanan sebanyak tiga kali diikuti siraman di bahagian tubuh sebelah kiri.
- Lanjutkan dengan siraman di bahagian kepala.
- Tidak perlu bilas. Biar seketika dan lap tubuh dengan tuala.
Gaji Isteri Lebih Banyak, Ketahuilah Dia Tak Rela Pun Nak Bayarkan Semua Bil-Bil

Bila pendapatan isteri melebihi suami itu tidak bererti isteri rela menanggung kesemua bil-bil dan tanggungan lain. Sebagai suami, anda perlu ada rasa tanggunjawab dan mahu berubah dan ingin membantunya. Walaupun isteri menerima anda seadanya, tapi sebagai lelaki perlu ada semangat untuk membantu dan meringankan.
Assalamualaikum..
Saya isteri yg bekerja dan pendapatan melebihi suami. segala perbelanjaan sy yg tanggung..duit gaji suami hanya byr ansuran kereta dan selebihnya utk duit poket dia pergi keje. salahkah sy meminta dia utk mencari pekerjaan yg lebih pendapatan ataupun uat keje sampingan utk menambah pendapatan? setiap kali sy berckp soal ni dia x boleh terima dan kata sy mengungkit dgn apa yg sy bg pd dia selama ini. mcm mn sy nak redha dan sabar klu semua benda sy yg tanggung cthnya dr segi sewa rumah,byr bil2, duit pengasuh anak, belanja dapur. sedangkan septtnya dia yg harus membyrnya..sy dh buntu fkrkan nasib sy ni.
Wa’alaikum
Apabila puan telah membuat keputusan untuk berkahwin dengan suami yang pendapatannya kurang berbanding puan, ini bermakna puan telah meredhai keadaan itu berlaku. Namun puan akan tertekan kebelakangan ini apabila merasakan puan telah berkorban lebih banyak berbanding suami. Keadaan ini membuatkan puan rasa terbeban kerana puan rasakan lebih banyak menguruskan rumah berbanding suami.
Pertama sekali, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana puan dianugerahkan rezeki dan suami yang baik dalam mengharungi kehidupan ini. Mana lagi hubungan yang paling intim dalam kehidupan ini selain hubungan antara suami dengan isterinya? Apa kemahuan suami, harap-harap dipenuhi oleh isteri. Begitulah sebaliknya. Tetapi mampukah semua kemahuan ini dipenuhi? Silapnya, kebanyakan kemahuan itu dipendamkan sahaja. Tidak diperdengarkan. Jika pun diperdengarkan akhirnya, tetapi semua agak terlewat.
Namun usah dikesali, pengorbanan puan yang seikhlas-ikhlasnya itu akan tetap dinilai oleh Allah SWT. Walaupun hakikatnya suami lebih bertanggungjawab untuk menyara keluarga, namun sekiranya dia telah menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dengan baik serta memberi perlindungan kepada isteri dan anak-anak disamping mendidik mereka itupun telah dikira tanggungjawabnya terlaksana (sebahagiannya). Pengorbanan puan menyara sebahagian keperluan keluarga akan dinilai sedekah dan dikira kebajikan oleh Allah SWT malah mampu lengkap melengkapi antara satu sama lain. Bukankah hidup suami isteri yang harmoni itu saling lengkap melengkapi? Contohilah perjuangan Siti Khatijah, isteri Nabi yang menjadi pembantu dan penyumbang besar kepada perjuangan suaminya.
Jika sekiranya kewangan keluarga ditahap yang meruncing sehingga tidak dapat membuat simpanan, eloklah berbincang supaya dapat diatasi. Jangan diungkit apa yang telah puan korbankan, kelak ia akan sia-sia disisi Tuhan. Suami akan lebih bertanggungjawab sekiranya ia memahami situsi dan rasa bertanggungjawab pula untuk mengatasinya. Namun yang paling utama, utamakanlah hak Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Dari segi solat, menutup aurat, amanah, jujur dalam pergaulan dan ibadah jagalah dengan sempurna, insya allah pastinya akan beroleh ketenangan dan kebahagiaan yang diidamkan. Amin.
Berkahwin Banyak Nikmatnya.Kenapa Masih Pilih Untuk Kekal Solo?

Allah SWT telah menciptakan lelaki dan wanita serta Allah SWT mensyariatkan perkahwinan di antara mereka. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
al-Rum:21
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri–isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
Tambahan pula, hukum asal atau secara umumnya bagi perkahwinan ini adalah sunat kerana ia berkait-rapat dengan fitrah dan keinginan yang ada pada diri manusia itu. [Lihat: al-Muktamad, 16/4]
Justeru itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan cuba menjelaskan berkaitan status hadith di atas terlebih dahulu sebelum pergi kepada maknanya:
Berkaitan sumber hadith ini adalah, hadith di atas merupakan sepotong atau sebahagian daripada sebuah hadith yang panjang yang mana ia telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya daripada Abu Zar RA dengan matan (teks) yang panjang.
Selain itu juga, Imam al-Thabarani ada mendangkan dua riwayat iaitu yang diriwayatkan sebahagian matannya (teksnya) oleh Abu Hurairah RA di dalam al-Mu’jam al-Awsath dan diriwayatkan juga secara panjang oleh ‘Ukkaf bin Wada’ah al-Hilaliy RA di dalam al-Mu’jam al-Kabir.
Adapun berkaitan dengan statusnya, di sini kami cuba untuk menukilkan beberapa pandangan dan penilaian para ulama atau para sarjana dalam bidang hadith berkaitan dengan hadith ini:
- Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menilai riwayat Abu Hurairah RA sebagai tidak sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 258/2]
- Imam al-Haithami (807 H) menyatakan riwayat Abu Zar RA terdapat padanya perawi yang tidak dikenali tetapi selain daripadanya adalah perawi yang thiqah (dipercayai). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 250/4] Adapun, berkaitan riwayat ‘Ukkaf bin Wada’ah RA di dalam sanadnya terdapat perawi yang dhaif iaitu Mu’awiyah bin Yahya al-Sadafiy dan berkaitan riwayat Abu Hurairah RA pula di dalam sanadnya terdapat perawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya). [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 251/4]
- Imam al-Fattani (986 H) menghukum kedua sanad hadith tersebut (riwayat Abu Hurairah RA dan Abu Zar RA) di dalamnya terdapat perawi yang dhaif dan matruk. Begitu juga, setiap yang datang pada bab ini (bab berkaitan keburukan membujang) tidak terlepas daripada kedhaifan dan percanggahan tetapi ia tidaklah sampai ke tahap palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 125]
- Syeikh Syu’aib al-Arna’outh (1438 H) menilai sanad hadith ini adalah dhaif disebabkan terdapat perawi yang tidak dikenali dan juga berlaku pertembungan atau perselisihan dengan riwayat-riwayat yang lain. [Lihat: Musnad Ahmad, 355/35]
Setelah melihat beberapa pandangan para ulama di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas adalah dhaif dan tidak sampai ke tahap palsu. Walaupun begitu, ia perlulah difahami dengan baik supaya tidak berlaku salah faham terhadap golongan yang tidak berkahwin dan sebaiknya kita tidak menyandarkannya secara pasti bahawa ia datang daripada Rasulullah SAW.
Makna Hadith
Di antara maksud hadith ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-San’ani (1182 H) ketika mensyarahkan hadith-hadith di dalam al-Jami’ al-Saghir bahawa lelaki bujang bermaksud lelaki yang tidak mempunyai wanita (isteri) dan bagi wanita pula adalah wanita yang tidak mempunyai suami. Orang yang bujang ini dikatakan sebagai orang yang hina adalah disebabkan mereka itu mendedahkan dirinya kepada keburukan (maksiat) dan dia juga tidak selamat daripada terkena fitnah walaupun dia merupakan orang yang soleh. Hal ini juga disebut oleh Imam al-Baihaqi. Selain itu juga, mereka dikatakan sebagai mayat yang hina adalah disebabkan mereka tidak mampu mendapatkan ganjaran dan kemuliaan yang banyak daripada Allah SWT. [Lihat: al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 49/6]
Akan tetapi, kita tidak boleh menganggap orang yang bujang itu kesemuanya adalah seburuk-buruk atau sehina-hina manusia. Ini kerana, ramai daripada kalangan ulama terdahulu yang tidak bernikah termasuklah tokoh-tokoh yang besar di dalam Islam. Di samping itu juga, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (1417 H) ada menulis serta menghimpunkan nama-nama ulama yang tidak pernah berkahwin di dalam sebuah kitab yang khusus iaitu “العلماء العزاب” seperti Imam al-Nawawi (676 H). Justeru itu, mungkin yang boleh difahami daripada hadith ini juga adalah orang bujang yang hina adalah orang yang berkemampuan untuk berkahwin tetapi dia masih bergelumang atau melakukan perbuatan yang haram seperti zina dan sebagainya.
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan keburukan orang yang bujang adalah hadith yang dhaif dan tidak sampai ke tahap yang palsu sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Selain itu juga, kami menasihati kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk berkahwin kerana itu akan memelihara dirinya daripada terjebak dengan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara diri kita daripada melakukan maksiat serta menjadikan kita daripada kalangan hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.
GAMBAR HIASAN : MILIK FOTO AZFARINA
Tanyalah Pasangan, ‘Awak Okay Ke?’ Itupun Sudah Cukup Menenangkan Hatinya

Menjadi pasangan suami isteri sangat memerlukan kesabaran yang tinggi, dengan penat kerja di tempat kerja, ditambah pula dengan masalah keluarga dan diri sendiri menambah lagi keletihan. Kadang nampak muka isteri yang dahulunya penyejuk hati pun boleh datangkan kemarahan. Ingatlah anda berdua saling memerlukan, kawal emosi anda dan selalulah meluahkan antara satu sama lain sekiranya ada masalah. Ikuti perkongsian
Intan Dzulkefli tentang luahan rasa seorang isteri ini.

Setenang mana seorang manusia, mesti akan ada hari extra letih, extra tekanan, extra beban dan segala macam ujian. Begitu jugalah dengan pasangan kita. Oleh itu, ayat sesederhana 'Awak okay ke?' pun sudah cukup menenangkan hati sebenarnya.
Ada orang, dia keluar mencari nafkah waktu pagi, pulangnya pula apabila sudah tengah malam. Masuk rumah, disambut dengan wajah isteri yang juga keletihan.Ya, kita penat. Jangan lupa isteri pun penat. Begitu juga dengan isteri, jangan sewenangnya meremehkan pengorbanan dan kepayahan yang suami hadapi. Percayalah, kita masing-masing ada struggle dan battle kita setiap hari – baik sebagai suami dan bapa juga sebagai isteri dan ibu. Jadi, jangan lupa berlapang dada dan bersifat ehsan terhadap pasangan kita.
Bila lihat pasangan, sentiasa fikir, banyaknyalah hak-hak mereka yang masih belum kita tunaikan. Barulah dapat timbul rasa keinsafan, rahmah dan belas kasihan. Lihat isteri nampak lain macam, jangan lupa tanya dia, 'ayang okay ke?' 'ayang dah makan?' 'ayang dah solat?'
Begitu jugalah sebaliknya.
Ya, memang kita lihat pasangan sebagai multi-tasking, orang yang kuat tak mudah merungut. Tetapi lihatlah siapa kita di sisinya dan mainkanlah peranan kita.
Ada mulut, bertanyalah. Pujilah.
Ada mata, lihatlah kepayahan dan pengorbanan pasangan.
Ada hati, jangan lupa bersyukur dengan nikmat pasangan dan anak-anak.
Ada tangan, jangan lupa peluk dan belai pasangan. Ada masanya mereka sangat memerlukan sentuhan kita.
Benda-benda basic yang kadang selalu sangat dilupakan.
Ya, memang kadang kita seharian sangatlah sibuk dengan tugasan masing-masing. Namun, ambillah 1 saat untuk tatap wajah pasangan dan tanya dia, 'awak okay tak?' Pertanyaan simple ini mungkin bakal menyelamatkan nyawa seseorang yang telah 'lost' jauh dalam depresi.
Ambil berat kepada pasangan kita. Please.
SUMBER : Intan Dzulkefli