
Seorang ayah ingin anaknya hidup bahagia sehingga akhir hayat. Jadi sebagai anak, carilah suami yang mempunyai ciri-ciri terbaik agar hati orang tuamu tenang apabila pergi meninggalkanmu kelak.
Kuat agamanya
Biar sibuk sekalipun, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yang taat pengamalan agamanya. Utamakanlah pemuda yang jujur membimbing dan memelihara imanmu.
Baik akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara. Mudah di bawa berbincang. Tidak terlalu berahsia.
Tegas mempertahankan maruah
Jujur sebagai pelindung maruah isteri dan keluarganya.
Amanah
Amanah dalam menjalankan tanggungjawab serta tugas-tugasnya sebagai ketua keluarga, suami, ayah dan sebagai pekerja. Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.
Pemurah tetapi tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dan harta dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.
Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.
Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah jadi fitnah orang, tetapi dia tidak mengamalkan cara hidup bebas.
Rakan pergaulannya
Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya. Sebaik-baik teman adalah teman yang soleh.
Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Mampu menyara keluarganya dengan rezeki dan punca pendapatan yang halal. Selain itu carilah lelaki yang ringan tulang suka membantu melakukan kerja-kerja rumah, sesungguhnya sikap ini banyak membantu dalam sesebuah rumahtangga itu wahai puteri-puteri ku…
Tenang wajah
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pada air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.
Menjaga amarahnya
Boleh mengawal kemarahan, sikap panas baran minta dijauhkan. Kalau dpt juga suami yang panas baran…kenalah selalu amalkan ayat pelembut hati…. ;D
Berbahagialah kamu puteri-puteriku jika diintai calon yang demikian sifatnya dan kami sebagai ibu mu merasa lega untuk melepaskan mu….
8 Jenis Hubungan Cinta Yang Tidak Masuk Akal, No. 4 Tu Pasti Buat Anda Geli Geleman!

Hubungan cinta itu cukup mengasyikkan hingga kadang kala membuatkan kita lupa tentang musibah yang bakal menimpa. Jika tidak berwaspada, hubungan cinta yang dijalinkan boleh membawa bencana sekal igus mengundang ketidakpuasan daripada semua pihak.
Kini dengan teknologi yang serba moden seperti wujudnya laman media sosial, siapa sangka dari situ boleh tercetusnya bibit-bibit cinta antara dua jiwa hingga membawa hubungan tersebut ke gerbang perkahwinan.
Bahkan, ada yang sanggup melakukan hubungan cinta yang sukar untuk diterima akal dek kerana wang dan harta semata-mata. Pengantin senaraikan 8 jenis hubungan cinta yang tidak masuk akal dan membuatkan anda terkejut!
1. CINTA GANTI TIKAR
Pernah terjadi situasi di mana ada individu yang menjalinkan hubungan cinta dengan sahabat bekas kekasih. Ada baiknya jika menjalinkan hubungan istimewa dengan individu lain yang tidak berkaitan langsung dengan bekas kekasih kerana ini baik untuk mengelakkan situasi kurang senang yang terus berlarutan dengan sahabat.
2. CINTA KILAT
Biarpun hadirnya sepantas halilintar yang menyambar, ada baiknya jika anda sentiasa berwaspada. Ianya bukan lagi nyata apabila si dia menyatakan yang dirinya sudah jatuh cinta dalam masa beberapa hari sahaja kerana takut hanya berdasarkan kata manis sahaja. Kebiasaannya cinta sebegini hadir sekadar untuk memenuhi ruang hati yang kekosongan dan bersifat sementara. Seperti mana pantasnya ia datang, begitu juga pantasnya ia diakhiri.
3. CINTA MAJIKAN
Ruang pejabat bukan sekadar jentera penggerak kerjaya seharian. Kisah cinta pejabat paling klise adalah hubungan cinta antara majikan dan pekerja. Selain menjadi buah mulut rakan sejawat, hubungan cinta antara majikan dan pekerja juga mendatangkan kesan negatif kepada prestasi mutu tugasan dan tentu sekali sikap profesionalisme dalam kerjaya sukar dicapai.
4. CINTA SEJENIS
Mana-mana agama sekali pun tidak pernah merestui hubungan sejenis. Memang benar cinta itu buta dan tiada sempadan usia, jantina atau taraf tetapi menjalinkan cinta dengan kaum sejenis seharusnya dielakkan kerana ia ditentang oleh agama dan norma masyarakat. Jadi jangan sesekali nak cuba-cuba!
5. CINTA WARIS
Ada sesetengah ibu bapa yang mahu merapatkan kembali hubungan kekeluargaan dengan menjodohkan cinta anak-anak dengan sepupu mereka sendiri atau yang seumpamanya. Kononnya enggan pertalian darah dan harta kekayaan jatuh ke tangan keturunan lain. Tetapi fikirkan kembali jika hubungan terjalin itu kurang berjaya, seluruh keluarga dan keturunan pula yang jadi bahan cerita.
6. CINTA KEKASIH ORANG
Tindakan menjalin hubungan cinta dengan seseorang yang sudah berpunya tidak kira suami, isteri, tunangan dan kekasih orang lain) ibarat sengaja memperjudikan hati dan perasaan sendiri. Apatah lagi jika anda diletakkan sebagai pilihan ke dua? Risiko anda dijadikan boneka tempat melepas kesepian juga amat tinggi.
Malah, jika hubungan anda dan dia dapat dihidu dan dijejaki kekasihnya, pasti perang dunia ke-3 akan melanda. Elak menyandang gelaran orang ke-3, perampas atau seumpamanya kerana ianya tidak akan kekal lama.
7. CINTA OBSESI
Menyintai dan dicintai memang mengasyikkan tetapi jangan sesekali menunda perasaan cinta kepada perasaan yang sangat obses. Komited dengan percintaan memang perlu tetapi biarlah berpada-pada. Cinta obses adalah cinta yang tidak berlandaskan rasional akal sebaliknya mempertaruhkan perasaan, hati dan jiwa sepenuhnya.
Elakkan daripada terlalu mengagungkan cinta dan pasangan kerana sekiranya cinta obses yang anda miliki gagal di pertengahan jalan, kemungkinan anda terlibat dengan gejala negatif seperti membunuh diri atau menempah nasib yang buruk pada diri.
8. CINTA NAFSU
Cinta yang lahir atas sebab nafsu semata-mata tidak akan kekal lama. Selalunya individu yang tergolong dalam cinta seperti ini adalah mereka yang lemah dengan kata-kata pujian, sanjungan mahupun pujuk rayu seseorang. Jangan sekali terperangkap dengan kisah cinta begini kerana apa yang pasti anda sedang menempah masa depan yang berakhir dengan tangisan air mata dan maruah yang tercalar.
Perkara Penting Yang Isteri Wajib Tahu Tentang Suami Sebelum Berkahwin

Alam percintaan memang cukup indah untuk dilalui. Segalanya tampak sempurna kerana ada insan yang sudi berkongsi segala masalah yang dihadapi.
Sebelum mendirikan rumah tangga, pastinya anda perlu mengenali si dia dengan lebih mendalam agar hubungan yang dibina tidak berlandaskan kepura-puraan semata-mata.
Tip ini mungking berguna untuk wanita yang akan mengenali, sudah mengenali dan masih mengenali hati insan yang bernama lelaki atau suami.
Agama
Sebenarnya, perihal agama inilah sepatutnya perlu dilihat terlebih dahulu sebelum berumah tangga. Suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumah tangganya. Jika terdapat salah dan silap yang dilakukan oleh isteri, suami wajar menegur bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh melanggar syariat agama.
Harta
Berbicara soal harta, tidak bermakna anda perlu memandang harta sebagai perkara utama dalam sesebuah perhubungan. Sebenarnya, suami perlu bertanggungjawab ke atas kewangan isterinya yang disebut sebagai nafkah. Apa guna suami kaya tetapi kedekut dengan isteri dan tidak memberi nafkah.
Akhlaknya
Antara akhlak mulia yang perlu diperhatikan adalah penampilan, kekemasan pakaian, cara percakapan, jujur akhlaknya, merendah diri dan tegas dalam melakukan sesuatu perkara. Lihat juga akhlaknya pada orang lain termasuklah ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Kusangka Bujang, Rupanya Suami Orang!
Hal ini pasti menggerunkan sesetengah wanita di luar sana. Lagaknya, tutur katanya, semuanya tidak menggambarkan apa-apa petunjuk yang memungkinkan si dia ini suami orang. Jadi, bagaimana untuk mengenal pasti bahawa si dia ini sudah berkahwin? Jika anda pernah menaiki kereta kepunyaan teman lelaki, pasti terasa pelik jika terdapat kasut perempuan atau alat permainan yang sememangnya bukan milik kita, bukan? Tanya dan selidiklah perkara ini jika anda pernah melaluinya walaupun si dia sudah menyatakan hal sebenar.
Bukan untuk mengongkong segala tindak tanduknya, namun pasti hati terasa puas tatkala kita sudah mengetahui perkara yang sebenarnya. Lagi buruk padahnya jika kita mengetahui sesuatu perkara daripada mulut orang lain.
Bebas Penyakit
Penyakit yang dimaksudkan di sini ialah penyakit yang boleh disebarkan sama ada melalui sentuhan mahupun hubungan seks. Ini sangat penting kerana apabila anda sudah berkahwin nanti, pastinya anda dan suami akan melakukan hubungan kelamin. Antara penyakit yang boleh disebarkan melalui hubungan seks ialah AIDS, HIV, Thalassemia, ataupun penyakit kelamin. Kesemua ini perlu diambil kira agar tidak berjangkit setelah anda melakukan hubungan intim. Oleh sebab itulah pemeriksaan sebelum berkahwin sangat penting untuk anda jalani. Berilah sokongan kepada bakal suami atau suami jika terdapat apa-apa penyakit yang dihidapi.
Malas vs Rajin
Hal ini perlu dipandang berat. Memang benar, semasa bercinta tidak semua perkara sama ada yang baik mahupun yang buruk ditonjolkan oleh pasangan. Lantas, selepas berumah tanggalah kesemua sikap dapat dilihat termasuklah sikap malas ataupun rajin. Pastinya, kita sebagai isteri tidak akan ‘menang tangan’ jika si suami tidak pandai menolong dalam menguruskan hal rumah tangga. Oleh yang demikian, amat penting untuk saling membantu antara satu sama lain semasa menguruskan kerja rumah, lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai cahaya mata.
Hobi
Apakah hobi bakal suami anda? Jika anda masih lagi belum mengetahuinya, ketahuilah serba sedikit tentangnya. Mungkin hobi anda dan juga suami adalah sama. Jadi, bolehlah anda berdua melakukan hobi itu bersama-sama pada masa terluang. Contohnya, jika anda dan suami sangat gemar memancing, apa kata setiap hujung minggu anda dan juga suami pergi memancing sama ada di sungai ataupun air terjun. Pastinya hujung minggu yang terluang itu diisi dengan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anda berdua.
Pekerjaan
Pekerjaan merupakan salah satu aspek yang sangat penting. Tidak kira apa jua jenis pekerjaan, namun datang daripada sumber yang halal, pastinya memberikan kebahagiaan bukan sahaja pada anda, malah pada keluarga yang bakal dibina. Pastikan pekerjaan yang dimiliki suami adalah daripada sumber yang halal dan tetap kerana setelah berkahwin, suamilah yang akan menampung segala perbelanjaan keluarga.
Isteri Ialah Pelengkap Kehidupan, Tetapi Isteri Bukanlah Tempat Bergantung Untuk Melengkapkan Kehidupan

Jika kita mahu bahagia bersama pasangan hidup kita, maka kita perlu mengamati peranan yang perlu dilaksanakan berdasarkan ketakwaan kepada Allah swt. Oleh itu, para suami dan isteri harus memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengecapi keluarga yang bahagia.
Jelas ustaz: "Sebagai seorang suami atau pemimpin keluarga, kita perlu mempunyai wawasan supaya kita dapat mencapai matlamat dalam kehidupan rumah tangga. Suami perlu menunjukkan sifat teladan yang baik kepada isteri dan anak-anak. Ketiadaan contoh yang baik akan menyukarkan dan menggugat kepimpinannya."
Surah At-Tahriim, ayat yang ke-6 mengingatkan:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan diri anggota keluarga kamu daripada menjadi bahan api neraka." Ayat di atas mengarahkan atau memerintahkan pemimpin keluarga agar menjaga dirinya terlebih dahulu kerana pemimpin menjadi kurang sempurna jika dia tidak menunjukkan sikap yang baik untuk diikuti, kata Ustaz Pasuni.

ISTERI PELENGKAP SUAMI
Beliau menambah: "Sudah menjadi tanggungjawab seorang suami untuk melengkapkan keperluan asas (makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal) kepada keluarga.
Oleh itu, seorang suami tidak boleh hanya bergantung kepada isteri. Sekiranya keperluan tersebut dibantu oleh isteri, maka ia tidak menjadi masalah kerana kehidupan berkeluarga adalah kehidupan yang saling membantu."
Namun, mutu seorang pemimpin akan turun nilainya jika dia hanya bergantung kepada ihsan dan pendapatan isteri semata-mata. Isteri ialah pelengkap kehidupan, tetapi isteri bukanlah tempat bergantung untuk melengkapkan kehidupan.
Seorang isteri yang dikatakan sebagai penyejuk mata bagi seorang lelaki bergelar suami pula perlu sedar tentang tanggungjawab yang perlu dimainkan bagi menambah sokongan terhadap sesebuah keluarga tersebut.
Dengan ketakwaan yang diwujudkan, pasangan suami isteri berupaya mengharungi 'ribut' atau 'bah' yang melanda dalam hubungan masing-masing. Hal ini demikian kerana hidup yang berlandaskan ketakwaan akan diberikan kemudahan untuk mencapai sebuah matlamat."
SEORANG AYAH CERMINAN KELUARGA
Ustaz Pasuni turut menekankan peranan seorang ayah dalam kehidupan berkeluarga. Katanya: "Sebagai seorang ayah, seseorang itu perlu berupaya mengatur masa depan anak-anak dengan baik.
"Mereka perlu memberi rangsangan dan motivasi kepada anak-anak supaya anak-anak terdorong untuk mencapai kejayaan yang terbaik. "Dengan kepimpinan ketua keluarga dan sokongan ibu, maka semuanya akan berjalan dengan lebih lancar. Jika bimbingan seorang ayah sebagai ketua keluarga kurang menyenangkan, jangan bermimpi untuk menjadikan anak dan isteri sebagai penyejuk mata.
"Apa yang kita semai, itulah yang kita tuai. Oleh itu, kita pasti ingin menyemai nilai-nilai baik supaya hasilnya juga dapat menimbulkan kepercayaan dan keyakinan."
CARI HIKMAH DI SEBALIK DUGAAN
Seterusnya Ustaz Pasuni menerangkan bahawa pergaulan yang baik mestilah didatangi bersama perkataan-perkataan yang elok – elok didengar, elok isinya dan elok cara penyampaiannya. Jadi, tunjukkanlah contoh-contoh yang baik.
Selain itu, mungkin ada beberapa perkara yang tidak disukai dalam kehidupan berkeluarga, tetapi dalam keadaan itu, pasti ada hikmah yang tersembunyi.
Contohnya, apabila seorang suami pulang lambat tanpa memberitahu isteri, tentu situasi ini tidak disenangi isteri yang mungkin akan bermasam muka. Suami pula harus melihat perkara ini dengan berhikmah.
Seorang isteri bimbang jika perkara-perkara yang tidak diingini terjadi. Hal ini menampakkan betapa cinta dan kasihnya seorang isteri kepada si suami. Sebenarnya, kita perlu berkongsi hidup dalam kehidupan berkeluarga. Jadi, situasi sebegitu bukanlah untuk mengawal pergerakan dan gerak-geri pasangan, tetapi ia lebih kepada rasa kepedulian. Oleh itu, setiap perlakuan yang kurang menyenangkan, harus difikirkan tentang sebab berlakunya perkara tersebut sehingga kita mampu mengambil faedah daripadanya.
"Allah swt yang menciptakan manusia dan Allah swt lebih mengetahui tentang kelemahan yang ada pada makhluk yang diciptakan. Maka, usahalah untuk melakukan perkara-perkara yang diredai-Nya," kata beliau.
Ustaz Pasuni Maulan ialah kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM). Beliau juga pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Tentera Di-Raja; naib pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB) dan mantan pendaftar di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).
Sudah menjadi tanggungjawab seorang suami untuk melengkapkan keperluan asas (makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal) kepada keluarga.
Oleh itu, seorang suami tidak boleh hanya bergantung kepada isteri. Sekiranya keperluan tersebut dibantu oleh isteri, maka ia tidak menjadi masalah kerana kehidupan berkeluarga adalah kehidupan yang saling membantu.
Namun, mutu seorang pemimpin akan turun nilainya jika dia hanya bergantung kepada ihsan dan pendapatan isteri semata-mata. Isteri ialah pelengkap kehidupan, tetapi isteri bukanlah tempat bergantung untuk melengkapkan kehidupan."
– Ustaz Pasuni Maulan.