Bila cakap pasal ego, memang nampak negatif. Tapi ego yang satu ini kena ada dalam diri lelaki khususnya suami agar tidak membebankan isteri. Ego positif ini yang akan memimpin suami untuk lebih baik lagi dalam kehidupan. Ikuti perkongsian dan tulisan
Mohd Fadli Salleh ini.
Aku sejenis lelaki simple.
Dengan selipar Jepun Rm2 sepasang, dengan baju seluar bundle harga RM10 sahaja boleh ke mana-mana. Tanpa malu, tanpa segan.
Tidur tak berbantal tak apa. Selimut tak ada aku peluk tubuh sendiri. Atas lantai pun boleh lena.
Aku tak gusar duit di poket tiada. Buat air teh o, cicah biskut lemau yang dah expired pun jalan saja. Asal dapat alas perut, jadilah.
Aku tak kisah jalan seorang diri. In fact, aku suka bergerak sendiri. Tak nak susahkan orang, tak terikat dengan peraturan orang.
Aku boleh makan kat kedai makan sorang-sorang. Jalan pusing uptown pakai kain pelikat jam 2 pagi sorang-sorang sampai berjam-jam.
Aku tiada masalah. Orang nak pandang pelik ke apa, aku tak endah. Asal aku tidak menyusahkan orang, cukuplah.
Aku juga sejenis nekad tak tentu hala. Jenis rempuh semberono tak fikir panjang. Jenis buat dulu, baru fikir kemudian.
Pernah balik kampung dari Bangi ke Kelantan naik motor dengan duit cuma RM10. Tu pun kena kongsi dua. Tahu dah pasti tak sampai. Tapi rempuh juga. Nanti minyak habis, kita fikir cara. Yang penting, rempuh dulu. Akhirnya selamat sampai juga. Tapi gila. Cukup gila.
Wakaka.
Bila jadi cikgu, orang lain kalut buat tuisyen, cari side income, aku rileks tak buat apa-apa. Padahal beratus parent tanya aku buat tuisyen ke tak. Alhamdulillah, budak-budak suka dan mudah faham bila aku mengajar.
Tapi aku tolak. Aku nak rehat. Tak nak terikat dengan jadual waktu, nak bebas dengan cara aku. Tenang aku hadapi setiap masa lapang dengan cara aku tersendiri. Boleh tidur sedap pada hujung minggu, malam boleh lepak sampai ke pagi.
Senang cerita, aku malas. Haha.
Masa awal berkeluarga, perangai aku masih sama. Aku tetap aku, dengan kain pelikat boleh masuk pasaraya, dengan selipar Jepun dan baju bundle pusing kota seorang diri di tengah malam buta.
Namun bila berkeluarga, aku ada satu ego seorang lelaki. Satu ego seorang suami. Satu ego seorang ayah.
Dan ego itu mengubah aku yang simple ini.
Ego punya pasal, hari pertama kahwin aku terus sound isteri,
“Sewa rumah, bil api, bil air, bil telefon awak, bil hospital, bil apa-apa, jangan sentuh. Jangan bayar. Biar abang bayarkan. Itu tugas abang sebagai suami”.
Fuh. Kemain ego tak padan gaji. Padahal gaji aku diploma je. Tu pun penuh komitmen dah. Wife gaji degree.
Dan aku buat itu. Aku buat sungguh tanpa pernah merungut. Hampir 12 tahun usia perkahwinan kami, tidak pernah sekali isteri aku bayar apa jua bil atau sewa rumah.
Bukan tak pernah bil sampai surat merah amaran bakal dipotong bila banyak bulan tertunggak, puan isteri nak bayarkan, aku marah.
“Jangan bayar! Jangan risau, nanti abang settlekan”.
Isteri aku patuh. Diam dia tidak melawan. Dia tahu aku pasti settlekan. Sebab aku sejenis yang ego. Orang ego akan pastikan janji dia dikotakan. Jatuh air muka jika janji tidak ditepati ni.
Setiap bebanan kewangan, setiap bil yang aku tak mampu langsaikan, aku tak pernah minta duit dengan isteri. Minta pinjam pun tidak pernah. Walau aku tahu dia ada.
Ego seorang suami aku sangat tinggi.
Aku akan pinjam dengan sahabat-sahabat baik aku untuk settlekan bebanan kewangan yang aku tak mampu tanggung. Aku rela berhutang dengan kawan dari pinjam dengan isteri sendiri.
Mungkin pada setengah kalian itu pelik. Namun itu aku.
Duit tinggal seringgit dalam poket, nak ke sekolah tak ada duit belanja makan pun aku still takkan minta dengan isteri aku. Aku sanggup berhutang di kantin.
Rela bayar minyak motor dengan duit syiling yang aku kumpul dalam kocek kecil seluar jean bundle aku. Punya la ego tak nak pinjam duit isteri waima RM5.
Tapi isteri tetap isteri. Dia faham suami dia. Kadang dia selit RM10, RM20 dalam dompet aku saat aku tidur lena. Terkejut juga buka wallet yang sepatutnya tinggal RM2 ada RM22.
Bila aku tidur, dia buka wallet. Hanya ada resit dan kertas sahaja dalam wallet. Dia faham dan dia pernah selit beberapa kali sehingga aku sound semula,
“Abang ada duit. Tak sempat cucuk”.
Kata aku bila dia bertanya tentang duit dan dompet yang kosong. Aku cakap benar, dalam bank aku benar ada duit. Ada la RM4.35 lagi. Nak cucuk je tak boleh. Jenis cucuk kad keluar kad ja.
Punya la ego aku kan? Haha.
Namun sampai ketika, Tuhan kirim satu nyawa dalam rahim isteri aku. Isteri mengandung.
Baju mengandung orang perempuan ni mahal-mahal. Banyak jenis pula tu. Telan air liur aku nak membeli. Dan la beli sehelai dua.
Masa ni puan isteri minta izin dia nak belikan sendiri baju mengandung. Aku jawab ‘ok’ sahaja.
Perit nak jawab masa tu. Sebab aku letak tanggungjawab itu atas aku semuanya. Tapi dah masa tu tak mampu. Tercalar sungguh ego aku sebagai seorang suami.
Kemudian bila anak lahir, ego seorang ayah pula datang.
Masuk kedai baby, tak pilih barang murah. Nak yang terbaik saja. Botol susu nak MAM dan Avent. Pam susu nak beli Avent mulanya, tapi tak mampu. Beribu yang automatik tu. Ambil Spectra, tu pun harga boleh tahan juga.
Anak selsema sikit, sakit sikit, bawa ke klinik swasta. Nak cepat, klinik kerajaan agak lambat. Que panjang. Rabak lagi poket.
Pernah terdengar puan isteri belek Fb kemudian cakap,
“Wah. Bestnya pergi melancong”.
Aku diam tak kata apa. Buat-buat tak dengar saja. Masa ni aku nekad. Nekad senekad-nekadnya.
Aku tak boleh lagi bermalas-malasan. Tercalar ego aku sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah jika aku terus bermalasan begini.
Kewangan makin genting bila ada anak. Pampers nak kena beli. Susu Frisolac yang mahei tu nak kena bayar.
Tercalar teruk ego aku sebagai seorang suami dan ayah jika semua persiapan anak-anak, bil klinik dan sebagainya dia yang bayarkan.
Mana boleh jadi begitu. Aku lelaki. Aku suami. Aku ayah. Dan aku ada ego aku.
Dari situ aku humban segala kemalasan aku, aku terjun ke jalanan buat apa saja untuk tambah income.
Aku sekolah sesi petang. Balik sekolah sampai rumah jam 7 malam. Mandi, makan malam, jam 8:30 malam aku dah keluar rumah. Pulangnya jam 6 pagi.
Ikut kawan berniaga kat uptown dengan gaji RM0-RM30 satu malam. Ya, pernah langsung tak bergaji bila tak ada customers pun datang.
Lepas tu macam-macam lagi aku buat. Apa jua peluang aku rembat. Nampak orang jual simkad School Of X (Celcom), aku mesej tanya nak jadi ejen bawah dia juga. Nampak kawan jual air, aku tawar diri nak jual air juga. Nampak kawan buka kedai daging bakar, aku tawar jadi pekerja.
Aku peduli apa kerja apa pun. Yang untung 50 sen pun aku jual juga. Aku tak peduli penat, aku kurangkan masa rehat. Kerana aku tak nak ego aku tercalar.
Aku tak nak lagi saat anak aku tunjuk mainan harga RM15 aku perlu jawab sekali lagi,
“Nanti ayah gaji ayah belikan ya!”
Peritnya perasaan itu bila anak minta sesuatu yang murah tidak mampu aku tunaikan. Ia merobek-robek hati ini, terasa begitu uselessnya aku.
Sepuluh tahun kami berkahwin, aku tak pernah bawa isteri aku ke kedai emas. Tak pernah bawa melancong. Dan dia setia disisi tanpa pernah minta waima sebentuk cincin murah yang harga bawah RM200.
Isteri. Anak. Mereka kekuatan aku.
Aku usaha sungguh-sungguh untuk keselesaan mereka walau mereka tak minta. Untuk aku, aku tak perlu keselesaan sangat.
Aku lelaki simple. Cukup dengan motor buruk, sedikit makanan untuk alas perut dan satu tempat berteduh untuk merehatkan badan.
Tapi demi anak dan isteri, aku nak mereka selesa. Aku tahu itu tanggungjawab aku. Dan aku tidak mahu ego aku sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah tercalar lagi.
Sepertimana ia pernah tercalar dulu, cukuplah untuk waktu itu.
Masa merubah. Tuhan tidak pernah membiarkan usaha hambaNya sia-sia.
Setelah tabungan stabil, kewangan kukuh, tahun ke-10 perkahwinan kami, kali pertama aku heret tangan isteri aku masuk kedai emas buat pertama kali. Menangis dia.
Tahun ke-10 perkahwinan kami, aku bawa isteri, anak-anak, mak mertua dan adik ipar sekali pergi melancong naik flight. Semua aku support penuh.
Semoga tahun ini dan tahun-tahun mendatang, rezeki aku Allah terus murahkan. Amin.
Itulah dia sedikit pengkisahannya tentang seorang aku.
Aku tak tahu ada ke tak orang baca tulisan ini hingga ke noktah terakhir. Namun jika ada kalian yang membacanya hingga ke perenggan ini, dan kalian masih dalam situasi struggle, kesempitan dan masih banyak beban kewangan, ingatlah;
Usaha dan usaha saja. Cari Big Why kenapa perlu aku usaha. Kenapa perlu aku ubah diri. Kenapa perlu aku gigih dan tidak berhenti.
Satu ketika yang tepat, dengan usaha yang hebat, satu demi satu Tuhan buka lorong rezeki. Satu demi satu masalah itu akan berlalu pergi.
Salam tahajjud. Salam perjuangan. Salam kasih Tuhan.
Salam semangat wahai makhluk liat yang tidak mudah mengalah dan tidak boleh dipijak henyak!
Kita bangsa degil yang tak mudah mengalah. Bangkit dan melawan!
– Ego seorang lelaki simple –
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Seronoknya dapat rentas negeri. Sebaik sahaja pengumuman boleh merentas negeri baru-baru ni, rakyat Malaysia dah pandai buat perancangan untuk balik ke kampung. Jalanraya pun tidak terlalu sibuk. Seminggu selepas pengumuman, barulah masing-masing ‘buka langkah’. Suami isteri pun cepat je ambil peluang bercuti bersama. Cuma, ada perkara yang suami perlu take note bila bercuti bersama isteri.
Ada pasangan yang jenis gamble je. Tak kisah andai perancangan dibuat di saat akhir. Kalau boleh, mana-mana pasangan yang nak bercuti tu kena ada ‘to-do list’ ni dulu sebelum nak ke mana-mana.
Perancangan saat akhir
Pantang betul kalau last minute baru nak beritahu dan rancang percutian. Walaupun hanya percutian suami isteri tetapi perancangan awal kena ada. Janganlah sampai bilik hotel penuh, dibawa juga isteri pergi ‘hotel hunting‘ bila dah sampai destinasi.
Mood dalam percutian ni tentulah tenang-tenang je. Tak kejar masa, lebih kepada emosi santai dan nyaman. Tapi kalau tak kalut nak cari hotel, waktu tu juga perut lapar minta diisi dan kesesakan lalu lintas lagi, memang boleh potong mood!
Jadual perjalanan
Anda mesti adah biasa buat jadual perjalanan atau itinerary. Jadual perjalanan ni bukan semuanya untuk dilaksanakan. Cuma sebagai panduan untuk mengatur masa. ia boleh juga berubah mengikut suasana dan keadaan.
Cuba bayangkan. kalau dah penat memandu atau turun naik kapal terbang tiba-tiba kita pilih untuk tidur sahaja. Kan dah rugi masa. Ingat semula apa tujuan kita pergi bercuti.
Packing barang
Isteri ni seorang yang sangat teliti. Kalau anda buat rancangan percutian tanpa pengetahuaannya atau di saat akhir, anda yang akan susah nanti. Sebab, nak packing baju untuk satu percutian tu adalah perkara paling penting.
Andai sudah mempunyai anak-anak, mengemas di saat-saat akhir boleh membuatkan isteri ‘naik hantu!’. Pakaian waktu siang, baju tidur, baju mandi, baju selepas mandi, syampu, sunblock dan macam-macam lagi semuanya perlu perlu disediakan.
Tak salah suami nak buat kejutan tetapi jangan beritahu sehari sebelum bercuti. Seminggu sebelum tarikh percutian pun dah dikira kejutan juga. Dibuatnya isteri anda bekerja, tentu dia perlu memberitahu majikan terlebih dahulu.
Jangan terikut sangat drama di televisyen. Esok nak terbang ke destinasi, malam ni baru nak buat kejutan pada isteri walaupun isteri bekerja makan gaji. Sempat pula si isteri isi borang permohonan cuti! 🙂
Jangan lupa makanan tambahan!
Bab makanan ni selalunya isteri yang akan sediakan. Tetapi suami yang perlu beli apa yang patut. Apa yang isteri senaraikan,jangan sesekali terlepas pandang. Isteri akan fikirkan bukan dirinya seorang tetapi sekeluarga.
Jangan terkejut dengan senarai yang isteri beri. Nampak macam dia nak bawa satu dapur bersama tetapi percayalah semuanya nanti ada kegunaan. Yang selalu menjadi masalah adalah apabila yang perlu dibawa TIDAK disediakan.
Jaga emosi
Buangkan sifat pemarah, perengus dan cepat naik angin apabila dah masuk mode percutian. Ketika bercuti, kita nak tenangkan hati dan perasaan. Sama-samalah menjadi perasaan masing-masing. Penting juga untuk suami isteri bekerjasama menjaga anak-anak bersama.
Jangan hanya mengharapkan isteri buat semua benda. Memasak pun isteri, jaga anak pun isteri, bawa main air kolam pun isteri. Sama-samalah bekerjasama.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sesiapa pun pernah merasai kesusahan. Sedangkan orang yang bekerja pun tidak pernah cukup duit gaji yang diterima, apatah lagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan. Terlalu banyak komitmen kehidupan yang memerlukan duit sampai hidup pun dalam keadaan tertekan.
Tapi di sebalik setiap kesusahan, ada jalan penyelesaiannya. Mcam mana? Jom baca tip ni!
========================================================
5 tips untuk kita sentiasa tenang bila duit makin susut
Kalau boleh. Kita nak duit sentiasa ada. Bukak wallet. Duit ada hati lega
Duit makin kurang hati gelisah. Duit takde lagilah tak tentu arah.
Okeh ada 5 tips untuk kita supaya relaks, happy dan tenang. Walaupun Bukak wallet. Tapi kosong. Duit tak ada.
#Tips1
Setiap Kali kita terima duit. Asingkan kepada 3 bahagian. Untuk kegunaan, simpanan dan sedekah.
Duit sedekah boleh disedekahkan setiap hari atau setiap Jumaat atau pun setiap hujung bulan. Tak kisah. Terpulang pada pemberi sedekah.
Sedekahkan setiap hari amatlah digalakkan.
Sekiranya biz online. Dapat je sales. Duit untung tu Boleh bahagikan 3. Duit modal tu simpan jejauh. Nak guna untuk restok barang. Senang. Duitnya dah ada.
#Tips2
Sekiranya setiap hari dah ada duit untuk simpanan tu. Setiap hari lah ke bank untuk menyimpan.
Masukkan ke akaun bank tertentu. Mudah sangat sekarang ni transfer online je akaun tersebut. Klik je dihujung jari
Then
Lupakan duit simpan tu. Tak payah nak kira berapa dah dapat simpan. Simpan dan tutup mata 😊
#Tips3
Bila keluarkan duit dari wallet. Tenangkan fikiran. Senyum. Iringi baca ayat 54 dari surah sad. “Inna haza larizquna maalahu minnafad”
Bermaksud “sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak habis habis”
Baca dan fahami maksudnya. Masa kita baca sambil faham maksudnya hati kita yakin bahawa rezeki dari DIA.
So walaupun duit tinggal seposen je pun dalam wallet. Hati dan minda kita tetap tenang kannn.
#Tips4
Bila dapat saja duit. Masukkanlah duit dalam wallet dengan iringi ucapan Alhamdulillah ataupun baca Surah Al Fatihah.
Amalan ini kita mensyukuri segala apa yang kita dapat.
Kan janji Allah. Setiap kali kita mensyukuri nikmat Allah pasti Allah tambah lagi nikmat pada kita.
#Tips5
Biasakan baca asmaul husna Ya Mughni (Maha Memberi Kekayaan). Bacalah 1000x setiap hari atau pun sebanyak yang boleh.
Bila kita sentiasa berzikir. Hati dan minda kita tenang. Kita akan sentiasa ingat padaNya.
So bila wallet kosong tak ada duit pun. Masih boleh senyum dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan.
Banyak lagi sebenarnya doa, ayat al Quran, asmaul husna serta amalan yang boleh kita buat.
Kuncinya bila kita tenang. Apa jua kesulitan pasti Allah mudahkan.
Paling penting. Tiang agama sentiasa ditegakkan. Itu yang wajib.
Akhir sekali. Allah pasti bantu kita.
“Sesungguhnya, cara Allah memberi jalan keluar, tidaklah seperti cara yang kita sangka ( masalah duit tidak semestinya selesai dengan duit)”
#ArieBorong
Sumber : Md Azhari Daud
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Siapa yang tidak ada kediaman impian. Bila dah berumahtangga, cita-cita untuk membeli rumah sendiri sentiasa ada dalam kotak impian. Tetapi kita tak boleh hanya bersandarkan impian semata-mata. Kenalah ada strategi.
Jelas sekali, nasihat dan tip dari Dr Azizul Azli Ahmad ini memang sangat membantu. Apa agaknya 40 tip yang boleh anda gunakan sebelum membeli rumah.
40 TIPS RINGKAS BELI RUMAH
Saya pernah tulis dulu ini sebagai ulang kaji semula tatapan kita.
1. Sebaiknya elakkan membeli unit paling tinggi bagi rumah bertingkat
2. Beli hartanah yang sedia ada atau sudah siap
3. Beli yang berpotensi untuk disewakan
4. Beli, sewakan dan simpan
5. Jangan terburu-buru membuat keputusan membeli
6. Elakkan membeli dekat tangga atau lif
7. Jauhi Kawasan yang negatif
8. Sebaiknya beli rumah yang minimum 3 bilik tidur dan 2 bilik air
9. Jika mampu, beli unit Corner Lot
10. Beli di persekitaran yang selamat dan harmoni
11. Beli yang tiada monopoli bangsa tertentu
12. Beli mengikut kemampuan atau bajet
13. Beli rumah yang baik pulangan atas pelaburan (R.O.I) yang tinggi
14. Jangan membeli rumah yang sudah lama atau terlalu berusia.
15. Beli rumah yang sediakan tempat letak kereta yang cukup
16. Beli yang berhampiran adanya kemudahan awam seperti Pasaraya, LRT, Balai Polis, Sekolah, Kolej, Universiti, Klinik, Hospital, Masjid dan lain-lain lagi
17. Beli di kawasan pertumbuhan tinggi dan pesat membangun
18. Jangan beli berdasarkan spekulasi atau cakap-cakap orang
19. Beli yang berhampiran jalan laluan utama atau lebuhraya
20. Beli 10%-20% di bawah harga pasaran semasa
21. Hartanah yang orentasi matahari betul
22. Hartanah orentasi kiblat baik
23. Hartanah menghadap hijau dan air
24. Ruang siling yang tinggi
25. Sebaiknya beli rumah yang lengkap atau adanya ubah suaian tersedia
26. Beli rumah di kawasan perumahan disediakan tangki air besar
27. Jangan beli di kawasan yang bermasalah seperti pernah berlakunya bencana alam seperti banjir
28. Jangan beli di kawasan kadar jenayah yang tinggi @ ‘BLACK AREA’.
29. Jangan beli rumah yang mengadap kilang atau jalan raya
30. Jangan beli rumah berhampiran kabel kuasa tinggi
31. Jangan beli hadapan tanah kosong yang tidak pasti apa tujuannya akan datang
32. Beli dikawasan kejiranan penduduk tetap bukannya ramai yang jadi penyewa
33. Beli berdasarkan margin gaji kita yang betul.
34. Jangan beli kerana ramai orang beli, belum tentu ianya berpotensi.
35. Jangan beli kerana emosi
36. Jangan beli sebab murah tetapi beli sebab ianya ada potensi.
37. Mulakan dengan kediaman kecil dan sederhana.
38. Mintak pandangan kedua sebelum beli rumah pertama
39. Rumah pertama sebaiknya rumah pelaburan bukan rumah idaman kita
40. Jangan guna pembiayaan kerajaan untuk rumah pertama, guna bank pun tak mengapa.
Azizul Azli Ahmad
Pelabur Kecik Kecik
Nampak macam banyak je tip ni kan? Tapi satu per satu memang bermanfaat. Membeli rumah bukan perkara kecil sebab tu kita perlu pertimbangkan pelbagai perkara. Jangan takut untuk ‘melabur’ dalam pembelian kediaman kerana hasilnya membuatkan anda rasa lebih puas!
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI