Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Ads
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka.
Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya.
Sahih Muslim (1408)
(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 20/390; dan Imam al-Buhuti, Kasyaf al-Qina’, 5/91)
Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Ads
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhardalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih
Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis:
Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya. Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama’ berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah R.Anha:
Maksudnya: Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai.
Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir:
Maksudnya: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan).
Ads
Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila bercakap soal kahwin, ramai yang akan berasa teruja. Mana tidaknya, itulah hari yang ditunggu-tunggu selama ini. Segalanya mahu sempurna termasuklah gambar-gambar hari bahagia yang akan dibukukan untuk menjadi memori buat hari tua. Tambahan baru-baru ini ada pengantin yang sudah membuat pembayaran yang mahal tapi hasil gambar yang diberikan sangat menyedihkan. Walaupun kini di musim PKP, anda perlu menjaga SOP, jangan pula terlupa ada gambar kenangan yang indah pula. Majlis perlu diraikan, kesihatan dan keselamatan harus dijaga yan tuan puan.
Maka bermulalah kisah perjalanan mencari fotografer yang ideal untuk merakam detik-detik indah di hari bahagia nanti. Tetapi inilah yang sering menjadi dilema dan masalah bakal pengantin. Mereka tidak tahu akan cara bagaimana untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Eh bukan majlis saja perlu berjalan lancar ya, tetapi 'deklarasi' anda bersama fotografer juga perlulah smooth and clear.
1. Tinjau artworks
First thing first, perkara pertama yang anda harus lakukan adalah anda harus tinjau atau lihat sendiri hasil kerja fotografer tersebut. Lihat sendiri hasil kerja mereka sama ada ia benar-benar memenuhi citarasa anda atau pun tidak. Senang kata, stalk semua gambar-gambar mereka sampai habis di Facebook, Instagram dan sebagainya.
2. Lihat feedback orang ramai
Lepas tinjau artworks dan sekiranya anda berminat, langkah seterusnya adalah go through semua feedback dan komen-komen pelanggan mereka sebelum ini. Kalau anda kenal salah seorang pelanggan mereka, lebih baik anda bertanya sendiri dengan pelanggan mereka tersebut. Ingat, gambar yang cantik tak semestinya menjanjikan perjalanan mendapatkan album yang 'cantik' juga ya.
3. Sesuai dengan bajet
Gambar cantik. Feedback pun bagus. Jadi anda sudah boleh mula melihat pakej yang ditawarkan. Adakah ia bersesuaian dengan bajet anda atau pun tidak. Jikalau ragu-ragu dengan pakej yang dikenakan agak mahal, bandingkan dengan pakej fotografer yang lain. Bandingkan harga dan barang yang anda akan dapat melalui pakej tersebut.
4. Fahamkan pakej betul-betul
Fahamkan betul-betul pakej yang ditawarkan. Album saiz berapa, poster frame saiz berapa. Gambar pula berapa keping. Sebarang kemusykilan terus saja tanya kepada fotografer. Kami yakin tak akan ada fotografer pun yang akan faham sekiranya anda kurang jelas.
5. Base di mana?
Bayangkan sekiranya majlis di Terengganu tetapi fotografer pula berada di Kuala Lumpur. Anda perlu membayar lebih dari segi kos perjalanan dan penginapan. Selalunya pakej yang ditawarkan tidak termasuk dua benda ni.
Jadi kalau boleh cari fotografer yang sememangnya base berdekatan dengan majlis anda. Tapi kalau sanggup bayar lebih apa salahnya kan? Cuma, bila bab penginapan tu kenalah juga fikirkan. Jangan pula kononnya paksa fotografer tidur rumah pengantin sekali. Be professional!
6. Lihat sendiri contoh album
Rakyat marhaen tak akan faham apa itu photobook, custom album, mockup album, mockup sticky album dan banyak lagi lah. Jadi sebelum nak deal apa-apa, moleklah kiranya si pasangan pengantin turun dan berjumpa dengan fotografer itu sendiri. Lihat jenis album yang ditawarkan. Yelah, kadang-kadang saiz album ni tengok angka macam besar, bila dapat hhmm besar A4 pun tak sampai. So, jadilah pasangan pengantin yang bijak.
7. Terangkan tentatif penuh majlis
Sebagai pelanggan yang ingin menggunakan khidmat seorang fotografer, anda WAJIB menerangkan tentatif penuh majlis kepada fotografer tersebut awal-awal. Beritahu mereka details tempat (dewan atau rumah), exact time nikah, sanding, malam berinai dan sebagainya. Jangan nanti elok-elok fotografer ingatkan nikah saja, tiba-tiba ada malam berinai sekali. Dapat fotografer yang berhati perut untunglah. Tapi dapat yang memang strict pandai-pandailah suruh anak buah ambil pakai phone sendiri.
8. Pilih sama ada perlu satu atau lebih fotografer
Kalau jenis majlis yang besar tu ala-ala Wedding of The Year seelok-eloknya ambil lah lebih daripada seorang fotografer. Ketahuilah sememangnya tak akan terdaya seorang fotografer untuk cover seluruh majlis seorang diri. Jadi, sekiranya majlis anda besar, kami nasihatkan supaya cari fotografer yang mempunyai team sendiri. Lihat pakej dan pandai-pandailah berunding tentang harga dengan mereka.
9. Clear dengan cara bayaran
Sebagai pengantin, anda perlu jelas dengan cara bayaran bermula dari deposit sehinggalah selesai semasa mengambil gambar dan album. Deal betul-betul dengan fotografer, berapa kali bayaran perlu dibuat. Make sure anda terima resit supaya anda sendiri sedia maklum berapa bayaran yang sudah dibuat dan baki yang tinggal.
10. Pastikan ada hitam & putih
Mungkin tak semua fotografer buat benda macam ni. Tapi kami ingatkan supaya ada 'hitam putih' semasa anda menggunakan khidmat mereka. Ini bukan saja memudahkan kerja anda malah juga memudahkan kerja fotografer. Tak kisahlah sekiranya fotografer anda tu kawan baik sendiri ke apa, zaman sekarang 'hitam putih' ni memang penting.
gambar hiasan : Tangkap Pictures
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Siapa kata kena tunggu matang baru boleh berkahwin? Kadang-kadang, pengalaman yang mematangkan kita. Bila timbul masalah, masa tulah kita sebagai suami atau isteri kena tahu bagaimana nak tanganinya. Dapat menanganinya dengan baik, maka matanglah kita sebagai suami mahupun isteri.
Berkahwin pada usia 21 hingga 25 tahun ternyata mempunyai banyak keistimewaannya. Antara beberapa kebaikan terutamanya bagi mereka yang inginkan segera menimang cahaya mata.
Berikut ini adalah beberapa kelebihan menikah di usia muda:
Mencari Kelainan Hidup Bersama
Menikah di usia muda, anda memiliki rasa semangat yang mendebarkan hati dan tak mudah lelah walaupun banyak dugaan yang pelu anda lalui bersama. Anda dan pasangan boleh menghadapi kehidupan bersama-sama dengan menyelesaikan masalah di usia muda dengan cepat. Merasakan manis, asam, masin dari segala hal yang dijalani berdua. Anda juga bole menjelajahi dunia berdua dan menikmati hidup dengan pasangan di masa muda.
Lebih semangat dalam mencari rezeki
Ketika menikah, lelaki dituntut untuk menafkahi isteri dan keluarganya. Oleh sebab itu, lelaki akan lebih bertanggungjawab dan semakin kuat bekerja setelah menikah. Terlebih lagi usianya yang masih muda membuat dia lebih bersemangat mencari pendapatan sendiri.
Memiliki Masa & Tenaga Lebih Banyak Untuk Besarkan Anak
Pasangan muda umumnya masih mempunyai tenaga lebih untuk membesarkan anak. Ketika anak meningkat dewasa, anda masih mempunyai usia yang nampak muda yang biasa mengajarkan anak pelbagai perkara bagaimana menjadi orang dewasa. Perbezaan usia yang tidak terlalu jauh dengan anak juga boleh membuat orang tua lebih dekat dan menjadikan hubungan tak sekadar antara orang tua dan anak tapi juga seorang teman.
Matlamat Kehidupan Lebih Jelas
Berada di usia 21-25 tahun merupakan masa perubahan dari anda yang masih memiliki jiwa kanak-kanak menjadi seseorang yang lebih dewasa. Percampuran ini akan menjadi hal yang menyenangkan untuk dijalani bersama suami. Dengan emosi anda dan pasangan yang masih dalam masa transisi, akan menjadi sebuah pembelajaran untuk menanganinya.
Usia Lebih Matang
Awal 20-an merupakan usia yang paling sesuai untuk kita menjadi lebih matang. Tidak hanya pada aktiviti seharian tetapi organ kewanitaan juga telah berkembang secara sempurna. Tubuh muda yang aktif akan sangat membantu anda untuk mempercepatkan proses kehamilan.
Semuanya terletak pada diri sendiri, jika rasa kita sudah mampu dan bersedia untuk pikul semua tanggung jawab diri dan pasangan, maka jawabnya anda bersedia bergelar suami mahupun isteri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai antara kita yang merasa pelik, mereka jaga makan, tetapi berat badan mereka naik, tahukah anda bahawa selain menjaga makan, tidur juga mempengaruhi kenaikian berat badan jika tidak dijaga. Biasanya waktu tidur normal seseorang adalah antara 8 jam sehari, namun ramai antara kita tidur lewat atau kurang daripada 5 jam sehari.
Tapi betulkah tidur punca dan penyebab kepada masalah kegemukan? Ramai di kalangan kita tidak sedar bahawa 7 daripada 10 orang mengalami masalah tidur yang berkualiti. Perkara ini nampak remeh dan biasa, tetapi jika dibiarkan berlarutan lama-kelamaan ia menjadi punca kepada masalah kesihatan lebih-lebih lagi berkaitan dengan berat badan.
Jadi apakah tabiat-tabiat yang tidak elok untuk diamalkan sehingga membuatkan seseorang itu berhadapan dengan masalah kegemukan? Berikut penyebabnya;
Tidur tidak teratur atau lewat
Kebanyakan orang meremehkan waktu tidur mereka dan lebih memilih melakukan kegiatan lain seperti bermain permainan video, melepak dengan kawan-kawan di luar atau menonton cerita lewat malam daripada tidur mengikut waktunya.
Kajian telah menunjukkan bahawa orang yang kurang tidur cenderung akan mengambil lebih banyak kalori dibandingkan orang yang cukup tidur kerana mempunyai masa yang ada dengan makan, bukan berehat atau tidur. Jika anda sudah terbiasa dengan kurang tidur, berkemungkinan besar anda juga akan terbiasa mengambil lebih banyak kalori sehingga membuatkan anda lebih cepat gemuk.
Kualiti tidur rendah
Jika anda merupakan orang yang jenis tepat pada waktunya, tetapi mudah terbangun pada tengah malam ataupun tidur yang mudah terganggu, itu bermakna anda mempunyai kualiti tidur yang tidak baik. Kualiti tidur yang rendah juga boleh membuatkan seseorang itu cepat gemuk kerana mudah merasa tertekan. Kualiti tidur seperti ini mungkin disebabkan oleh beberapa hal kecemasan, stres dan seumpamanya. Untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti, seelok-eloknya lakukan sedikit senaman atau meditasi. Matikan segala objek elektronik atau letak dalam mod silent agar tidur anda tidak terganggu dengan bunyinya.
Makan sebelum tidur
Makan sebelum masuk tidur adalah tabiat yang tidak elok. Kesannya anda akan mengambil lebih makanan berat dan berkalori tinggi dengan berharap dapat tidur lebih lama dan nyenyak. Tabiat ini boleh diubah jika anda masih berasa lapar sebelum tidur dengan mengambil minuman segelas susu atau malt coklat dan beberapa biji kurma atau kismis.
Makanan ini tidak mengenyangkan tetapi mampu menahan perut anda dari terus lapar. Jangan lupa berus gigi dengan ubat gigi berpudina bagi mengurangkan keinginan untuk makan lewat malam.
Bangun lewat
Adakah anda seorang yang suka tidur lewat atau kerap menukar kepada mod snooze tiap kali alarm telefon berbunyi? Sebaiknya ubah tabiat itu dengan terus bangun dan jangan sambung tidur. Tidur lewat akan membuatkan anda akan bangun lewat pada keesokannya harinya dan ini akan membuatkan anda berada dalam keadaan lapar dua kali ganda dari biasa. Tidak hairan jika ada kemungkinannya anda akan makan dengan banyak. Tabiat ini jika tidak diubah lama-kelamaan akan membuatkan berat badan naik mendadak. Jadi, tidurlah di awal waktu dan ini akan membuatkan anda bangun pagi lebih awal.
Jadi, waktu sarapan anda lebih teratur dan berpada-pada. Atasinya dengan segera bangun jika terjaga dengan bunyi alarm walaupun masih terasa mengantuk dan buat sedikit regangan dan senaman ringan. Hirup udara pagi yang segar mampu membuatkan anda terasa lebih cergas untuk memulakan hari baru.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!