
Menanti kehadiran cahaya mata menjadi detik penuh makna buat pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Maudy Ayunda apabila dia bersama suaminya, Jesse Choi meraikan majlis tujuh bulan kehamilan mengikut tradisi Jawa.
Menerusi perkongsiannya, Maudy memaklumkan upacara yang dikenali sebagai mitoni atau tingkeban itu berlangsung beberapa minggu lalu bersama keluarga.
Mitoni merupakan upacara adat masyarakat Jawa yang mana tradisi ini menjadi tanda kesyukuran serta kesempatan untuk memohon keselamatan ibu dan bayi, selain berdoa agar urusan kelahiran dipermudah.
Pertemuan tersebut menjadi ruang buat mereka berkumpul dan memanjatkan doa demi kesejahteraan ibu serta bayi, selain mengharapkan urusan kelahiran dipermudah.
“Kami berkumpul dan berdoa untuk kesehatan, keselamatan, serta kelancaran kelahiran cahaya kecil kami,” kongsinya.
Perkongsian itu memperlihatkan betapa bermaknanya kehadiran keluarga ketika pasangan berkenaan mempersiapkan diri menyambut anggota baharu dalam kehidupan mereka. Dalam meraikan adat, doa dan sokongan insan terdekat turut mengisi detik penantian tersebut.
Maudy juga menitipkan pesanan buat wanita lain yang sedang melalui perjalanan kehamilan dengan pengalaman serta cabaran masing-masing. Dia mendoakan agar setiap bakal ibu dikurniakan kesihatan, kekuatan dan sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh berkenaan.
Untuk rekod, Maudy mendirikan rumah tangga dengan Jesse Choi pada 22 Mei 2022 dalam majlis yang berlangsung di kediamannya di Cilandak, Jakarta Selatan.
Mereka mula bertemu ketika sama-sama melanjutkan pengajian di Stanford Graduate School of Business, Universiti Stanford, Amerika Syarikat, pada 2019.

sekarang!
