
Perkahwinan bukanlah sesuatu perkara yang remeh-temeh. Ianya melibatkan dua insan yang bersetuju untuk sentiasa bersama tidak kira susah atau senang. Termasuklah saling membantu satu sama lain ketika menjaga amanah dari Allah, iaitu anak.
Bagi suami isteri, pertelingkahan pastinya akan berlaku dalam sesebuah rumah tangga kerana tidak semuanya sempurna. Namun, percayalah apa yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Walau teruk bagaimana pun anda dan pasangan, tolong jangan buat benda yang anda sendiri akan menyesal pada kemudian hari.
‘Tawar hati’ adalah perkara yang anda perlu risau selepas berlakunya sesuatu pergaduhan. Komunikasi itu sangat penting dalam memperbetulkan hubungan. Dengan komunikasi juga ia boleh mengembalikan anda seperti dahulu.
1. Tidak kira suami mahupun isteri, anda kena bercakap lemah lembut pada pasangan. Iya, sekali pun suara kalian garau dan tebal, kena bercakap dengan tenang. Terutama ketika hendak meminta sesuatu daripada pasangan, perlulah dengan lemah lembut.
2. Panggil pasangan dengan panggilan yang mesra. Guna nama yang suami/isteri anda bila dipanggil. Sayang, baby, cinta atau mungkin nama istimewa yang kalian boleh beri untuk isteri. Jangan menjerit atau gunakan kata-kata kesat. Itu akan melukakan hati pasangan anda sekali gus.
3. Jika anda berdua berdepan ujian yang menimbulkan konflik, jangan pernah membuka aib pasangan. Baik suami atau isteri, aib pasangan biarlah hanya anda dan dia sahaja yang tahu dan tidak perlu diceritakan kepada orang lain.
4. Dalam kehidupan seharian, elakkan menyindir. Perempuan ini makhluk pelik, terutama soal perasaan. Kita yang lelaki ini kadang susah nak faham bolak balik perasaan isteri. Maka isu-isu sensitif jangan buat main. Soal kelemahan atau perkara yang isteri tak suka jangan buat gurau. Saiz badan, bentuk muka, cantik atau tidak ini antara yang kena hati-hati. Huhu.
5. Banyakkan berbincang dengan pasangan. Tak kiralah hal yang pada kau kecil, bincanglah. Ini akan menunjukkan yang kau sangat perlukan dia setiap masa. Ini akan membuatkan pasangan anda merasa diri dia penting. Inilah istimewanya.
Lega Lepas Akad Nikah, Ini Cara Permulaan Kumpul Pahala Suami Isteri

Sebaik sahaja saksi kata ‘sah’, pengantin baharu punya lega umpama melepaskan nafas yang tertahan lama! Begitulah situasi apabila berlakunya akad nikah. Pasangan mana yang tak gembira apabila kasih yang disulam ditaut dengan ikatan yang sah.
Rata-rata lelaki yang baharu bergelar suami akan terus sujud syukur kerana setiap perancangan berjalan lancar. Walaupun ia adalah perkara sunat namun kita semua mahukan keberkatan dalam kehidupan. Dalam perkongsian di facebook ini, ada empat lagi perkara sunat yang boleh anda lakukan sebaik sahaja selesai akad nikah.
- Solat Sunat Selepas Akad Nikah
Lafaz Niat : “Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala”
Maksud: Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala
Rakaat pertama : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Kafiruun.
Rakaat kedua : Membaca surah Al-Faatihah dan surah Al-Ikhlas.
Membaca doa selepas salam.
- Sujud Syukur
Lafaz Niat : ” sahaja aku sujud syukur kerana Allah Taala”
Takbiratul ihram iaitu mengangkat tangan sebagaimana takbir dalam solat.
Sujud sebanyak 1 kali.
Membaca doa seperti yang biasa dibacakan dalam solat.
Memberi salam.
- Si suami meletakkan tapak tangan diatas ubun-ubun isteri lalu membacakan doa
“Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dari kebaikannya dan kebaikan apa yang Engkau tetapkan kepadanya, dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatannya dan kejahatan yang Engkau tetapkan padanya. Ya Allah berkatilah isteriku ini atasku dan lindungi dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya.” (Riwayat Abu Daud).
- Isteri bersalaman dengan suami sambil mencium tangan suami lalu mengucapkan 2 kalimah syahadah
Ini adalah 4 perkara sunat dilakukan sejurus anda berdua sah diijabkabul sebagai suami isteri.
Jadi Perempuan, Jangan Pernah Takut Jadi Janda

WANITA, JANGAN TAKUT JADI JANDA
Saya pasti ramai yang tengok Drama Nur 2 sama macam saya. Giler tak geram dengan perangai Hamadi (Azhan Rani) yang menyirap darah dalam badan setiap perkataan yang keluar dari wataknya. Tak kurang jugak dengan kecaman terhadap Aisyah (Norkhiriah) yang terlalu back up husband dia secara membuta tuli. Bukan dia tak tau laki dia memang teruk. Alasan yang mungkin dia pegang adalah ‘Takut Jadi Janda Sebab Mandul’.
Sebetulnya, mungkin netizen tidak tahu bahawa memang ada isteri yang bersikap sebegini. Saya pernah mengendalikan kes yang hampir sama tapi tak dak la sebijik perangai macam Hamadi tu. Kebanyakan wanita yang bertanyakan kepada saya yang takut berpisah dengan suami yang bersikap teruk ni antara alasannya :
✅Takut anak-anak tak dapat kasih sayang bapa
Boleh kata majoriti kes yang berlaku kepada wanita-wanita yang takut kepada perpisahan adalah disebabkan memikirkan tentang soal anak. Tapi, pada hakikatnya, bapa tersebut tidak pernah mengambil berat tentang isteri dan anak-anaknya. Ada yang dari kalangan isteri yang terpaksa bekerja siang dan malam untuk membela suami dan anak-anaknya.
✅Tak boleh hidup kalau tak ada laki.
Mungkin ada dikalangan kita akan cakap, no woman no cry, no man no die. Tapi, ada dikalangan yang terjadi dalam hidup sesetengah wanita, dia tak boleh hidup kalau taka da laki dengannya. Ini kisah benar. Saya pernah kenal dengan seorang wanita yang bertanyakan kepada saya tentang lafaz cerai suaminya di luar Mahkamah sudah lebih daripada 3 kali. Saya kata wajib buat pengesahan walaupun terpaksa telan pahitnya iaitu kemungkinan besar dia akan tertalak 3 (tak boleh ruju’). Namun, wanita tersebut memilih untuk berdiam diri dan anggap macam taka da apa-apa yang berlaku. Nauzubillah.
✅Memikirkan tak ada orang yang akan ganti
Ini yang berlaku kepada Aisyah (Nur 2). Dia terlalu fikir bahawa dia mungkin taka da ganti lepas ni sebab taka da lelaki yang mahukan lagi pada dia kalau tahu dia mandul. Bab jodoh ini sepatutnya kita semua tahu, ini ketentuan Allah. Bab mandul ni juga kita tahu ini soal rezeki. Pernah ada wanita yang kata, kalau saya jadi janda nanti, mesti taka da orang nak. Tambah-tambah pula dah ada anak 6. Kemudian, selepas cerai, tak sampai 5 bulan, ada orang lain datang masuk minang. Wowow..hebatkan jodoh Allah ni.
✅Takut digelar nusyuz
Yang ni pun mungkin dirasakan oleh Aisyah (Nur 2) sebab tak nak digelar derhaka atau nusyuz. Tentang nusyuz nil ah yang akan saya jelaskan dalam bentuk persoalan yang selalu bermain di minda wanita-wanita yang bergelar isteri dan selalu menjadi ‘kuasa’ kepada suami-suami yang tak faham.
Apa itu Nusyuz?
Apabila seseorang wanita telah diijab Kabulkan dengan pasangannya, maka dia telah menjadi milik sah kepada lelaki tersebut. Akan terletak segala tanggungjawabnya kepada suaminya. Dan isteri tersebut mestilah TAAT kepada suaminya. Inilah hak suaminya. Manakala hak isteri tersebut adalah hak untuk mendapat nafkah merangkumi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal. Hak nafkah tersebut akan GUGUR kalau dia NUSYUZ. Maka, dapat difahami, Nusyuz isteri adalah perbuatan menderhaka isteri terhadap hak suaminya seperti keluar rumah tanpa izin.
✳️Apa peruntukan Undang-undang Keluarga Islam tentang Nusyuz?
Sebenarnya tidak ada peruntukan/seksyen khusus mengenai Nusyuz, namun, ia terletak di dalam Seksyen 60(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 2008 iaitu seorang isteri tidak berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.
✳️Apa contoh-contoh Nusyuz?
-Sengaja menjauhkan diri daripada suami
-Meninggalkan rumah suami bertentangan dengan kemahuan suaminya.
-Enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak
-Dan lain-lain.
✳️Siapa yang boleh sabitkan Nusyuz pada seseorang isteri?
Hanya Hakim Mahkamah Syariah SAHAJA yang berhak untuk mensabitkan bahawa seseorang isteri tersebut Nusyuz. Pihak lain tidak boleh dan tidak ada kuasa hatta suami sendiri. Ada yang dengan mudah mengatakan Tok Imam Masjid cakap isteri saya nusyuz, Tok Guru Pondok cakap isteri dah nusyuz dan lain-lain pihak yang belajar tentang agama. Mungkin pandangan agamanya betul, tapi hakikatnya, hanya Hakim yang berhak dan boleh sabit Nusyuz sebab ia perlu dibicarakan dahulu sebelum isyitihar seseorang wanita itu Nusyuz.
✳️Macam mana nak sabit Nusyuz?
Di dalam Syarak, telah digariskan, jika seseorang isteri tersebut ingkar arahan sah suaminya:
1) Nasihati isteri tersebut dengan baik, jika enggan patuh,
2) Pisahkan tempat tidur, jika enggan juga patuh,
3) Pukul dengan pukulan yang tidak menyakitkan, macam pukul dengan hujung bantal, kata sesetengah ulama’.
Dari sudut Undang-undang (tak ada garis panduan tepat namun, ini pandangan berdasarkan penulisan undang-undang dan pengalaman saya kendalikan kes) , caranya adalah :
4) Menghantar satu notis kembali taat kepada isteri, perlu melalui notis guaman yang sah.
5) Buat Permohonan Kembali Taat kepada Mahkamah dengan memerintahkan supaya isteri kembali taat dalam tempoh tertentu dan kemudian mohon disabitkan Nusyuz sekiranya tetap enggan kembali taat.
.
✳️Apa kesan Nusyuz?
Ia hanya akan menggugurkan nafkah diri yang berhak terhadap dirinya. Ia juga akan datangkan kesan tidak mendapat Nafkah eddah sekiranya berlaku perceraian. Namun, bagi tuntutan yang lain, Nusyuz tidak sesekali menggagalkan hak isteri yang lain selepas cerai. Contohnya, Harta Sepencarian.
.
Jadi, faham kan? Saya harap, wanita-wanita yang bersikap seperti Aisyah tersebut, perlu bermuhasabah. Perkahwinan ini sepatutnya berdiri atas dasar kebahagiaan atau Bahasa Arabnya, Mawaddah wa Rahmah. Namun, bila tiada kebahagiaan dan rahmat dalam perkahwinan, Allah s.w.t tidak pernah melarang bahkan di dalam Al-Quran juga menyebut untuk pisahlah dengan cara yang baik. Memang, perkara yang dibenci oleh Allah ada talak, namun, Syarak tidak pernah menghalang seseorang untuk berpisah kalau ia mendatangkan Penganiayaan kepada dirinya. Sayangilah diri anda, insya allah anda akan lebih disayangi.
.
Follow Khairul Fahmi Ramli dan Khairul Fahmi & Associates untuk dapatkan info2 yang lebih menarik. Terima kasih semua.
SUMBER : FACEBOOK Fahmi Ramli
Lepas Kahwin, Kalau Boleh Jangan Bagi Ibu Bapa Campur Masalah Rumah Tangga

Masalah keluarga campur tangan dalam perkahwinan anak sering terjadi. Ini bukanlah satu urusan yang mudah untuk ditangani kerana ia melibatkan kedua-dua belah pihak ahli keluarga.
Apa yang paling penting adalah bila anda dan isteri bergaduh, janganlah sesekali menggunakan kekerasan. Kerana sebab-sebab ini keluarga akan masuk campur urusan anda. Anda tidak harus sesekali menggunakan kekerasan dengan pasangan.
Pastinya rumahtangga sianak menantu (malah ibubapa dan mertua itu sendiri) ada kisah-kisah turun dan naik, menggembirakan dan menyedihkan serta menggusarkan hati. Perkara-perkara itu boleh meliputi urusan penjagaan anak, pengurusan kewangan, pengurusan harta, dan urusan hidup seharian serta akhirat.
Secara dasarnya, ibubapa, mertua dan anak menantu perlu mengingat kembali akan detik-detik manis ketika upacara akad nikah. Semua pihak perlu merenung kembali apa yang terkandung dalam khutbah nikah yang dibacakan oleh imam atau tok kadi. Secara amnya, dalam khutbah itu disentuh tanggungjawab suami kepada isteri, isteri kepada suami, tanggungjawab suami isteri itu kepada anak yang bakal dilahirkan.
Dan buat ibubapa dan mertua, pastinya tahu, tika akad dan nikah itu sah dilafazkan oleh silelaki, terpindahlah tanggungjawab dunia akhirat dan “hak” siibubapa si perempuan kepada menantu lelaki, dan bermulalah anak menantu melayari kehidupan berdasarkan pengurusan mereka sendiri.
Namun, bukan bermakna si suami boleh dan sentiasa mengikut kata ibubapanya. Ditangannya kini tanggungjawab menguruskan rumahtangga sendiri. Salah silap dalam pengurusan keluarga, si suami bertanggungjawab. Oleh itu sisuami juga perlu bijak menguruskan rumahtangganya. Jika si ibu bapa mahu memberikan pandangan dan nasihat, nilaikanlah dan berbincanglah bersama si isteri untuk kebaikan bersama.
Ini juga bermaksud, ibubapa si suami juga perlu memberi kebebasan dan peluang kepada anak lelakinya menguruskan rumahtangganya sendiri, kerana kelak, yang disoal di Padang Masyar adalah si anak lelaki itu atas apa yang berlaku dalam rumahtangganya, dan bukannya ibubapa si anak lelaki.
Janganlah mudah menjatuhkan hukum “derhaka” kepada si anak menantu kerana tidak menurut kehendak ibubapa atau mertua sendiri. Kenapa? Biar saya berikan satu contoh (yang kebiasaannya menyesakkan pemikiran pasangan anak menantu yang boleh membawa kepada perselisihan).
Ibu bapa perempuan mahu cucunya dijaga oleh mereka, dan begitu juga ibubapa si lelaki. Jika pasangan itu tidak diberikan kebebasan membuat keputusan, pastinya begitu mudah jatuhnya hukum “derhaka” kerana tidak mahu mengikut kata ibubapa masing-masing.
Ini antara dilema pasangan anak menantu jika didesak oleh ibubapa mereka dan tidak memberi ruang dan peluang untuk anak menantu menguruskan rumahtangga mereka sendiri.
Ini belum termasuk campurtangan pengurusan harta si anak menantu. Contoh situasi yang mungkin tertimbul dalam hal ini adalah ibubapa si isteri mahukan anak perempuannya membeli harta yang diinginkan oleh mereka kerana menurut hujah, si suami tidak berhak ke atas harta si isteri. Padahal, si suami mengizinkan si isteri bekerja untuk membantunya menguruskan keluarga. Bagaimana?
Benar, dari satu sudut, si suami itu tidak berhak ke atas pendapatan isterinya, tetapi dari satu sudut yang lain, jika si suami tidak mengizinkan si isteri keluar rumah, apa akan jadi pada pendapatan tersebut? Apa jatuh hukumnya jika si isteri tetap keluar rumah tanpa keizinan suami?
Oleh itu, biarkanlah anak menantu menguruskan keluarga mereka mengikut cara dan kemampuan mereka. Sebagai ibubapa dan mertua, biarkanlah, pantaulah dari jauh. Jika apa yang dilakukan oleh mereka melanggar hukum agama dan alam, barulah masuk campur tangan secara berhikmah. Selain daripada itu, cukuplah sekadar memberi nasihat dan pandangan serta biarkanlah mereka menentukan jalan yang mereka pilih.