Tiada nas daripada al-Quran mahupun Hadis menetapkan kewajipan memberi wang hantaran dalam majlis perkahwinan. Ini kerana wang hantaran merupakan perkara yang berkaitan dengan adat istiadat perkahwinan orang Melayu. Cuma yang diwajibkan dalam Islam adalah mas kahwin atau mahar.

Bagi pasangan yang merancang untuk menamatkan zaman bujang, seeloknya hadam perkongsian menarik tentang hantaran dalam Islam ini. Janganlah menjadikan wang hantaran yang tinggi sebagai bebanan untuk anda dan pasangan mendirikan rumah tangga.

Elakkanlah daripada meletakkan jumlah yang tinggi sehingga membebankan bakal suami. Sebaiknya mudahkanlah perkahwinan dan rendahkan mahar, insyaAllah barakah ke atas kedua pasangan serta keluarga kedua-dua pasangan.

Hangat diperkatakan sekarang tentang isu hantaran perkahwinan. Satu benda yang kita perlu maklum adalah hantaran bukan sebahagian daripada rukun sah pernikahan bahkan ianya lebih kepada adat orang terdahulu. Ok mari kita lihat apa mereka kata tentang perkara ini.

# Ruqayyah Farhani

Ada tiga empat orang kawan saya mengadu, ibubapanya sangat menyukarkan dalam proses perkahwinan.

1. Inginkan wang hantaran dan mahar yang tinggi.
2. Tunggu ada kereta, rumah sendiri baru kahwin.
3. Tunggu ada kerja best-best, gaji tetap, masyukkk.
4. Berhutang bank, semata-mata ingin buat KENDURI besar-besaran.

Ayah dan mak saya selalu pesan pada saya dan adik beradik perempuan lain:
“Jangan menyusahkan pihak keluarga belah sana. Kita mudahkan, tak payah membazir. Buat sesimple mungkin. Allah lagi suka,” terngiang-ngiang lagi nasihat ni even ayah dah takde. Ingat sampai sekarang.

Mak pulak cakap:
“Takyah buat hantaran-hantaran lah, bagi je duit haaa pergi shopping sama-sama lepas kawen. Masa tu la nak kenal-kenal apa taste pasangan, baru sweet.” Haha menarik jugak idea mak.

Mudahkan perkahwinan, rendahkan mahar, insyaAllah barakah ke atas kedua pasangan serta keluarga kedua-dua pasangan.

Pesanan bagi yang bakal bergelar isteri, jika tidak mak ayah kita yang memudahkan perkahwinan, kenapa tidak diri kita sendiri? Slow talk dengan mak ayah kita dalam bab memudahkan perkahwinan seperti yang Nabi suruh.

Mudahkan bagi pihak lelaki, jangan bagi mereka ‘sakit kepala’ memikirkan perbelanjaan dalam perkahwinan.

Bila dah berkahwin nanti, jangan ambil mudah pula ya lelaki dalam urusan membesarkan, menguruskan isteri dan anak.

Tak perlu fokus lebih-lebih dalam kenduri perkahwinan, yang perlu fokusnya nanti adalah bagaimana kita mendidik keluarga dalam mentaati Allah dan hidup dalam suasana yang saling membaikkan antara satu sama lain.

# Mr_Bie

Masyarakat perlu faham, hantaran tu nda (tidak) wajib bah. Bila nda wajib, nda perlu disusahkan. Nama pun hadiah, bila sebut hadiah, terpulanglah kepada kerelaan dan keredhaan si pemberi. Namun masyarakat kita telah anggap hantaran sebagai adat yg ‘wajib’ dilaksanakan. Huhu.. Islam nda juga menolat adat tapi bila hantaran itu ada unsur mencekik dan memudharatkan, ini yang Islam tegah sampai menyusahkan perkahwinan, menggalakan budaya hutang, merancakkan penzinaan.

IKLAN

Nah.. Viral hari ini,
Kedua pihak ada salahnya.

Wanita,
Elakkanlah letak hantaran tinggi yg di luar kemampuan lelaki. Telitilah dulu kemampuan bakal suamimu. Hantaran tiada kaitan dgn nilai dirimu. Nilaimu terletak pd agama.. Akhlakmu..

Lelaki,
Sepatutnya tepatilah janji yg telah dipersetujui bersama sebelumnya. Kalau nda mampu, buang egomu, bincang bilhikmah (dengan hikmah) sebelum majls agar ndala jd fitnah/pergaduhan besar di kalangan dua pihak keluarga. Itu lagi baik..

Sedih tgk itu berlaku di rumah Allah.. Huhu

# Ust Zaharuddin

Assalamualaikum uzar,

InsyaAllah saya bakal melangsungkan perkahwinan di akhir tahun namun saya berada dalam situasi tertekan kerana masalah adat dalam perkahwinan yang melibatkan kewangan.

Alhamdulillah pada mulanya berjalan lancar dan apabila kedua keluarga kami bertemu kami bersetuju untuk mengenepikan adat dan mahu melangsungkan majlis secara ala kadar berlandaskan Islam. Pihak perempuan mencadangkan bahawa kami menggantikan wang hantaran dengan perhiasan untuk bakal isteri saya yang mana mampu.

Namun setelah membeli didapati bahawa nilai barang perhiasan yang pihak perempuan jangkakan adalah lebih dari apa yang saya sangka dan mampu.

Ini mungkin ini salah faham dari pihak saya dan keluarga. Dalam jangka masa yang singkat ini saya amat terdesak untuk mencari wang dan jalan yang paling ringkas ialah dengan meminjam dari bank. Pun begitu saya faham bahawa adalah haram jika meminjam untuk membeli emas.

IKLAN

Bagaimana pula dengan hukum wang hantaran, lebih-lebih lagi jika wang hantaran adalah sumber pinjaman dari bank?

Saya juga khuatir wang hantaran lebih kepada menunjuk-nunjuk dan akhirnya tidak diberkati majlis saya nanti.

Oleh kerana perkahwinan adalah untuk memulakan hidup baru, saya amat berhati-hati lebih-lebih lagi kerana takutkan riba. Diharap uzar dapat memberikan pendapat.

Pemuda ingin tahu

Jawapan

Alhamdulillah dan tahniah atas perkahwinan yang bakal berlangsung, semoga dipermudahkan oleh Allah. Berikut adalah respons saya terhadap beberapa soalan yang diajukan:-

1. Memang benar, perkahwinan tanpa melibatkan mas kahwin dan hantaran yang terlalu tinggi adalah lebih baik dan mudah mendapat keberkatan berbanding yang mahal kerana itu bakal meyukarkan pihak kurang berkemampuan, menyukarkan perkahwinan yang diperlukan untuk menghalalkan hubungan pasangan yang memerlukan, mudah dihinggapi penyakit riya’ dan menunjuk-nunjuk kekayaan. Walaupun nilai hantaran dan mas kahwin yang mahal itu diharuskan oleh hukum Islam, namun ia bukanlah suatu yang terbaik.

Dinyatakan bahawa Nabi s.a.w bersabda :

إن أعظم النساء بركة أصبحهن وجوها وأقلهن مهرا

IKLAN

Ertinya: Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya (Riwayat Ibn Hibban)

Dalam sebuah hadis lain :

خَيْرُكُنَّ أَيْسَرُكُنَّ صَدَاقًا

Ertinya: Sebaik-baik kamu adalah yang paling mudah mas kahwinnya ( Hadis Marfu’ riwayat At-Tabrani, namun lemah pada sanadnya)

Juga hadis yang lain berbunyi :

إن أعظم النساء بركة أيسرهن صداقا

Maksudnya;
“Wanita-wanita yang paling diberkati dikalangan umatku adalah yang paling rendah mas kahwinnya” (Riwayat Ahmad, namun lemah pada sanadnya)

Memang kelihatan hadis-hadis di atas menyebut perihal mas kahwin, namun dalam konteks Malaysia yang mempunyai adat memisahkan mas kahwin dan hantaran, kedua-dua belanja yang berkait langsung dengan aqad nikah dianggap relevan dalam erti hadis di atas. Manakala kenduri pula adalah sesuatu yang terasing.

2. Saudara memberitahu bahawa kedua-dua keluarga telah bersetuju secara ala kadar bagi meraih keberkatan, maka sewajarnya saudara dan keluarga berterus-terang dengan bakal pasangan berkenaan luar jangkaannya nilai hantaran yang mereka harapkan. Itu adalah amat penting berbanding menjatuhkan diri dalam hutang untuk berkahwin yang merupakan satu cara yang tidak sihat dari sudut perancangan kewangan.

3. Secara asasnya, tidak ada salahnya meminjam untuk membeli emas bagi tujuan simpanan masa hadapan, pelaburan jangka panjang atau sebagai hantaran, namun ia menjadi SALAH dan DOSA BESAR jika pinjaman dibuat dari bank konvensional secara riba yang dikenakan ‘interest’, atau membeli emas itu secara bertangguh bayarannya.

Namun jika saudara membuat ‘pembiayaan peribadi’ dari institusi kewangan Islam untuk memperolehi tunai bagi tujuan perkahwinan, ia tiada masalah dari sudut hukum dan telah disahkan patuh hukum Shariah oleh ulama yang berwibawa dan menyelia institusi terbabit, cuma ia tidak digalakkan sahaja dari sudut perancangan kewangan kerana boleh membawa masalah bebanan hutang di kemudian hari.

Sumber: babab.net

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI