
Rumah tangga bukanlah sesuatu demi untuk menghalalkan hubungan sahaja malah kerana ia sunnah daripada Nabi Muhammad SAW.
Setiap pasangan pasti ada berlainan perangai, jadi setiap pengalaman kita hidup berkahwin juga berlainan.
Bila ditanya orang dulu, rata-rata para isteri berikan tips-tips yang sama untuk kekalkan kebahagiaan dalam rumah tangga.


- Ingatlah bahawa perkahwinan anda adalah sesuatu yang perlu dipertahankan sampai bila-bila. Jika ada masalah, cari jalan penyelesaian. Jangan mudah putus asa.
- Pilihlah seorang yang lebih tua yang anda berdua percayai untuk dijadikan tempat rujukan bila anda berdua ada masalah. Jangan tunggu sampai ‘retak’ baru mahu minta pertolongan.
- Jaga solat anda dan Allah akan jaga perkahwinan anda.
- Akui bila anda ada melakukan salah kepada suami. Buang ego dan minta maaf.
- Bekerjasama itu penting dalam setiap hubungan perkahwinan. Seperti melakukan tugasan rumah bersama-sama agar meringankan beban pasangan.
- Beritahu dia bila anda terluka atau apa yang mengganggu fikiran anda sejak mula lagi. Jangan pendam dalam hati.
- Sabar itu sangat penting.
- Dalam rumah tangga, suami itu adalah tanggungjawab utama anda.
- Jaga percakapan agar tidak melukakan hati suami anda. Gunakan perkataan yang lembut dan hormat.
- Rancang perjalanan hidup dan hala tuju anda sebagai suami isteri. Jangan selalu harapkan pasangan anda untuk melakukan segalanya.
Sumber : bercinta selepas nikah
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cinta Bukan Lesen Buang Ibu Bapa

Percaya atau tidak, sebenarnya kes meninggalkan ibu bapa dalam erti kata membiarkan mereka hidup sendiri telah banyak berlaku termasuk yang meninggalkan ibu bapa di rumah orang tua atau yang membiarkan ibu bapa bersendirian di kampung.
Tidak menziarahi dan tidak menjenguk ibu bapa, sekadar hanya mengirimkan wang, malah berapa ramai pula yang tidak mengirimkan wang dan hilang tanpa khabar berita.
Ketaatan seorang anak perempuan bertukar takhta daripada ibu bapa kepada suaminya selepas si anak berkahwin namun bukan sampai membuang atau menyisihkan ibu bapa. Ketaatan kepada suami biarlah bertempat dan berbatas. Menyisihkan atau membuang ibu bapa tidak termasuk di dalam ketaatan yang perlu dan wajar diikuti.
Sebagai anak lelaki pula, takhta ketaatan anda tidak pernah berubah. Malah, jika anda beristerikan wanita yang tidak membenarkan anda berlaku baik kepada ibu bapa, harus bagi anda untuk menceraikan isteri tersebut. Ingat! Cintakan isteri jangan sampai anda menjadi lelaki dayus!
Kes buang ibu bapa sebelum berkahwin juga tidak kurang banyaknya. Ada banyak kes anak gadis lari dari rumah kerana mengikut kekasih. Anak gadis ini kembali semula ke pangkuan ibu bapa kerana hidup terseksa malah juga ada kes, memerlukan bantuan pihak tertentu untuk mengembalikan mereka ke pangkuan ibu bapa.
Ada yang tidak lari tetapi menentang ayah sendiri di Mahkamah Syariah kerana si ayah tidak mengizinkannya berkahwin dengan jejaka pilihan hati.
Peruntukan undang-undang membenarkan seorang anak gadis memohon pada Mahkamah Syariah agar si ayah yang enggan mewalikan atau mengizinkan perkahwinannya, tanpa alasan yang munasabah menurut syarak, supaya bersetuju dan mewalikan perkahwinannya.
Peruntukan juga jelas, jika si ayah tetap enggan bersetuju, maka Mahkamah Syariah boleh membenarkan si anak berkahwin menggunakan wali hakim. Peruntukan ada dan diakui demi kebaikan individu namun daripada segi moral, apakah menyaman ayah sendiri di mahkamah atas nama cinta kepada seorang lelaki, sesuatu yang wajar?
Ada kes melibatkan alasan keengganan si ayah bukan sesuatu yang wajar dan munasabah menurut syarak.
Harus diingat! Syarak menegaskan, setiap anak wajib taat dan hormat kepada ibu bapa. Ya! Ketaatan kepada ibu bapa juga terbatas kepada perkara yang tidak menyalahi syarak. Enggan menerima lelaki pilihan anda bukanlah perkara yang melanggar syarak biarpun alasan keengganan tersebut tidak munasabah menurut syarak.
Melawan ayah sendiri di mahkamah bererti anda tidak menghormati ayah anda sendiri. Anda telah melukakan hatinya. Anda sanggup mengetepikan cinta sejati ibu bapa yang menjaga, mendidik dan menyayangi anda sejak anda kecil semata-mata kerana cinta seorang lelaki yang hadir ketika anda telah berusia belasan ataupun puluhan tahun? Sungguh anda zalim!
Bukan saja zalim kepada ibu bapa tetapi anda zalim kepada diri sendiri. Percayalah! Biar sedalam mana cinta si dia kepada anda, biar berjuta kali ucapan cinta dilafazkan, biar beribu kali pelukan dan belaian diberi, cinta seorang lelaki atau perempuan tidak akan sama dengan cinta dan kasih sayang ibu dan ayah. Bukan mendoakan tetapi terlalu banyak kes serupa.
Natijahnya hanya satu, anda yang bertindak membuang ibu bapa atau melawan ibu bapa kerana cinta si dia, tidak akan hidup bahagia dan jika berkahwin, perkahwinan anda akan dibubarkan juga akhirnya, andai masih tiada restu ibu bapa.
Ingatlah! Restu Allah hanya ada jika kita punya restu daripada ibu bapa.
Oleh: Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga Dan Guaman Syarie
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Senarai Tetamu Antara Perkara Terpenting Dalam Keseluruhan Proses Perkahwinan

Berapa agaknya tetamu yang patut diundang untuk kenduri kahwin? Pengalaman peribadi membuktikan ini bukan kerja mudah. Malah senarai tetamu adalah antara item terpenting dalam keseluruhan proses perkahwinan.
Ada mempelai, ada pelamin. Ada nasi putih, ada nasi minyak. Ada kurma, ada ayam masak merah. Ada acar buah, ada sirap bandung. Ada bunga manggar, ada kompang. Ada pulut pahar, ada telur pengantin.
Bayangkan jika semua sudah disediakan, tetapi tetamu tidak ada. Majlis warna-warni – dengan muzik dan nyanyian artis tersohor pun – pasti menjadi muram durja jika tiada tetamu bertandang.
Tanpa para undangan, nasi minyak akan dingin tidak berjamah. Ayam golek, kurma, acar buah, semua terbiar di penanggah. Pelamin dan bunga manggar pun sayu tidak diperhatikan. Hatta, telur pengantin pun terkoteng-koteng tidak disentuh.
Demikianlah pentingnya tetamu dalam mana-mana kenduri atau resepsi perkahwinan. Sebenarnya kehebatan dan kesempurnaan majlis bukan terletak pada juadah dan perhiasan, tetapi pada ramai dan meriah sambutan tetamu.
Sebab itu bukan mudah merancang siapa yang patut diundang. Kerja ini perlu dilakukan jauh lebih awal dari perkara-perkara lain. Kalau sudah ditentukan jumlah tetamu, baru boleh dibajetkan berapa gantang nasi, berapa kilo kurma daging, berapa butir telur pengantin.
Jadi, berapa kad undangan perlu dicetak? Berapa kepala patut dijemput? 500? 1,000? 1,500? Ini kena congak betul-betul. Dan biasa terjadi, betapa pun kita telah dan semak berulang kali, pasti akan ada seorang dua yang tercicir dari senarai undangan. Almaklumlah kita selalu lupa.
Apabila teringat namanya, kad undangan sudah habis diposkan. Nasib baik zaman sekarang undangan boleh diedarkan menerusi media sosial. Boleh guna WhatsApps, Facebook, Twitter, SMS, dan lain-lain. Secara peribadi, saya lebih suka menerima undangan menerusi pos.
Adat orang kita apabila berkahwin, mana boleh jemput setakat orang sebelah rumah dan keluarga rapat. Paling tidak pun kad kahwin kena edar sekampung. Saudara mara, termasuk yang bau-bau bacang pun kena jemput juga. Pendek kata, selagi ada bau, wajib dipanggil.
Kawan sepejabat terutamanya bos, patut diberitahu. Datang atau tidak belakang kira, tetapi kad mesti dihulur, kalau tidak nanti ada yang berasa hati. Perangai orang kita, kalau tidak diundang akan menjadi bahan sindiran. Kalau diundang tidak pula datang.
Selain teman pejabat, cikgu dan pensyarah pun masuk dalam senarai undangan, termasuk guru yang paling garang. Teman-teman sekolah pun kena panggil, demikian juga alumni kolej atau universiti.
Itu tidak termasuk bekas kekasih, rakan kuliah agama, penjual ikan, India surat khabar, hatta pengawal keselamatan kawasan perumahan. Wajib juga dipanggil ialah rakan dan taulan yang pernah mengundang kita ketika mereka kahwin dahulu. Kalau tidak dijemput, dikatakan tidak tahu membalas budi pula.
Tolak, campur, tolak lagi, campur lagi, maka untuk majlis kahwin biasa-biasa yang dibuat di bawah khemah depan rumah pun, paling koman kena juga undang 500. Kalau semua datang berdua, ertinya 1,000 orang. Kalau ada yang bawa anak, bawa pembantu rumah, bertambahlah lagi bilangan kepala. Lagipun dalam kad undangan biasanya dijemput “tuan/puan seisi keluarga.” Belum pernah saya terlihat dalam kad undangan dinyatakan dengan jelas “kita jemput laki-bini sahaja, anak-pinak, cucu-cicit, pembantu rumah tak boleh bawa, harap maklum!”
Maka jika yang dijemput dan hadir hanya 500 orang, itu bererti purata 500 pinggan nasi, 500 ketul lauk, 500 gelas sirap bandung, 500 pisang pencuci mulut, dan 500 telur pengantin sebagai buah tangan. Al maklumlah, perkahwinan kita tidak sah jika tiada telur pengantin.
Pendek kata, bilangan undangan ada kaitan rapat dengan kos majlis. Itu baru kos makanan. Tetapi seperti yang semua sedia maklum, perkahwinan bukan setakat makanan.
Ada penanggah, ada kanopi, meja, kerusi, itu semua kena duit. Wajib juga ada pelamin, ada pulut pahar, itu pun kena fulus. Tidak kira status mempelai, pelamin mesti ada. Mana boleh pengantin baharu hanya bersanding di atas tangga!
Kemudian ada pasukan kompang, ada tukang selawat dan tukang baca doa. Kalau di kampung, ada acara silat menyambut pengantin. Menjadi kemestian juga ada muzik, ada karaoke, dan ada juruhebah sambilan sebagai penyeri majlis. Semua itu sekarang kena duit, tidak ada yang percuma lagi.
Paling tidak pun alasan pasukan kompang: “Kenalah hulur sikit, boleh juga kita orang beli koyok sebab tangan lenguh pukul kompang…” Si juruhebah sambilan pun menuntut upah juga sebab “nak beli ubat batuk, suara serak ketika mengendalikan majlis.”
Pendek kata, majlis sederhana di kampung dengan tetamu sekitar 500 kepala pun, paling tidak kena keluar belanja sekitar RM10,000. Itu masak sendiri secara gotong-royong.
Pernah saya dan isteri diundang ke resepsi perkahwinan anak seorang VVIP di sebuah hotel terkemuka. Saya difahamkan kos per kepala RM200, dan ada lebih 1,000 tetamu.
Perihal kahwin di hotel, jamuan sudahlah RM ratus-ratus ribu, belanja lain pun kena fulus besar juga. Sebab buat di hotel serba-serbi kena yang berkelas-kelas. Pengendali majlis tidak boleh koman, paling tidak pun yang pernah menjadi pengacara di stesen TV.
Tukang selawat dan baca doa pun tidak boleh pakai imam surau, paling tidak pun calon ‘Imam Muda’ atau ‘PU’. Hatta penyanyi undangan pun mesti artis tersohor, atau paling tidak pun mana-mana finalis ‘Gegar Veganza’. Barulah putih…
Pendek kata kahwin memang semakin mahal sekarang. Baik pihak lelaki mahupun pihak perempuan kena betul-betul mengatur bajet, supaya semua berjalan sempurna, dan yang lebih penting tidak kantoi selepas kahwin. Ada yang persiapan melampaui kemampuan, akibatnya lepas kahwin dikejar ahlong.
Anak teruna masa kini menangguhkan perkahwinan, juga atas sebab fulus. Walaupun sudah berjumpa si jantung hati, sudah bersumpah setia sehidup semati, hasrat terhalang sebab orang tua gadis meletakkan hantaran di luar kemampuan. Bajet hanya RM5,000, bakal mertua mendesak RM10,000. Kantoi!
Jadi, berapa tanda harga yang patut diletakkan di batang tubuh anak gadis kita? Kalau tanya pihak lelaki pasti mereka mahu wang hantaran serendah mungkin. Alasannya, anak teruna baharu lepas universiti, baharu dapat kerja, gaji tidak seberapa. Tetapi, kena ingat anak gadis pun baharu dapat kerja, belum sempat kumpul duit. Pihak perempuan memerlukan belanja yang lebih besar sebab adat perkahwinan kita, persiapan sebelah perempuan biasanya lebih menjadi tumpuan. Tetapi, bagi pihak perempuan pula janganlah meletakkan harga terlalu tinggi.
Sebab selain harga hantaran dalam bentuk tunai, anak teruna perlu juga menyediakan hantaran-hantaran lain seperti kasut, beg tangan, kain persalinan, cincin kahwin, sirih junjung, coklat, buah-buahan dan sebagainya. Barang-barang ini pun anak teruna kena keluar paling tidak tiga empat ribu RM.
Perkahwinan – tidak kira yang pertama, kedua, ketiga, hatta keempat! – adalah benda baik. Mudahkan, jangan susahkan!
Oleh: ABD JALIL ALI
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Chrome Bukan Emas Putih, Jangan Tertipu Ketika Jual Emas Nanti

Buat masa ini, emas akan menjadi topik panas bagi kebanyakan rakyat Malaysia, namun peningkatan harga menjadi logam berharga ini lebih mahal. Malah, dagangan dalam talian juga kurang aktif disebabkan harga tinggi dan rakyat lebih memilih keperluan asas ketika PKP. Namun atas desakan itu, jika anda mahu menjual emas, jangan sampai tertipu ya. Tambah ilmu dan pastikan anda mendapat hak anda yang selayaknya!

1. Awas, strategi untung lebih!
Pergi ke kedai emas, tunjuk gelang ada chrome putih. “Ini talak laku. Ambik murah-murah saja. Kalau jual tempat lain, orang tak ambik.” Sebenarnya itu adalah strategi mereka untuk mendapat untung lebih. Sepatutnya emas yang ada calit putih itu sama saja harganya. Melainkan kalau ada batu, permata, barulah ianya diasingkan dan hanya emas sahaja yang ditimbang.
2. Chrome bukan emas putih
Yang calit-calit putih itu sebenarnya chrome, bukan emas putih. Chrome = saduran cat ke atas emas. Tukang emas letak chrome pada barang kemas agar ia nampak cantik dan terkini. Bila sampai masanya, cat chrome itu akan hilang dan kembali kepada warga emas yang asal.
3. Harganya sama saja
Ramai orang salah faham kalau barang kemas yang ada chrome itu tidak bernilai bila dijual semula. Ramai yang beranggapan barang kemas yang ada chrome itu lebih mahal dari barang kemas yang tiada chrome. Sepatutnya harganya sama sahaja.

4. Antara emas putih dan platinium
Emas putih pula adalah emas yang mengalami proses pelunturan atau ‘bleaching’. Emas putih dicampurkan dengan logam nikel bagi menampakkan ia seperti platinum. Emas putih lebih murah berbanding platinum kerana platinum memerlukan suhu yang tinggi untuk meleburkannya.
Kualiti emas putih adalah 17K dan harganya lebih rendah berbanding emas biasa. Emas putih tidak sesuai untuk dibuat sebagai pelaburan kerana kadar spread boleh capai 70% bila dijual semula. Emas putih hanya sesuai sebagai perhiasan dan barang kenang-kenangan.
5. Emas kemik atau calar
Isu emas kemik dan calar tidak diterima pun sama juga. Kononnya tidak laku dan mereka ambil murah. Padahal kelak barang kemas itu akan dipatahkan dan dileburkan juga. Sebab itu, ilmu mengenai emas itu penting. Bila kita ada ilmu, kita tidak akan mudah atau senang ditipu dan dimanipulasikan oleh pihak lain. Sebarkan informasi ini dan wujudkan masyarakat celik emas di dalam kalangan kita.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

