Bila nak kahwin, mulalah timbul keraguan bab wali terutamanya buat wanita yang tidak mempunyai bapa atau saudara lelaki. Isu lebih rumit timbul apabila ada bakal pengantin yang berstatus anak tidak sah taraf.   Sekarang musim orang mahu berkahwin. Saya kongsikan di sini isu wali. 

 

“Assalamualaikum tuan. Saya Puan Rohani (bukan nama sebenar) dari Subang Jaya. Saya nak minta khidmat nasihat daripada pihak tuan berkaitan anak saudara saya. Anak saudara saya akan berkahwin pada awal Disember ini tetapi ada masalah sedikit.” 

 

Masalah apa itu puan? Tanya saya. 

 

Masalahnya dia anak luar nikah tetapi sehingga sekarang dia dijaga oleh ibu bapa biologinya sendiri iaitu abang dan kakak ipar saya. Kami pergi ke pejabat agama dan pejabat agama meminta kami dapatkan kebenaran wali hakim terlebih dahulu. Kemudian baru boleh berkahwin. Betul ke tuan? 

 

Ya betul puan. Di sini saya ulas serba ringkas berkaitan wali dan masa bila perlunya kepada wali hakim. 

 

IKLAN

Kewujudan wali adalah wajib semasa akad nikah dan merupakan salah satu daripada rukun akad nikah. Seorang wanita yang hendak berkahwin janda mahupun dara, dewasa mahupun kanak-kanak hendaklah dinikahkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda; 

 

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا 

Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirinya sendiri.” 

 

Riwayat al-Daraqutni (3/227) Ibn Majah (1882) 

 

IKLAN

Siapa yang boleh jadi wali? 

 

  • Bapa kandung. 
  • Datuk sebelah bapa ke atas. 
  • Saudara lelaki seibu sebapa. 
  • Saudara lelaki sebapa. 
  • Anak saudara lelaki seibu sebapa. 
  • Anak saudara lelaki sebapa. 
  • Anak lelaki kepada anak saudara lelaki seibu sebapa. 
  • Anak lelaki kepada anak saudara lelaki sebapa. 
  • Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa. 
  • Bapa saudara sebelah bapa sebapa. 

 

Sekiranya tiada orang-orang di atas ini, maka pihak wanita yang ingin berkahwin perlu memohon kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran wali hakim. 

 

Di sisi fuqaha dan undang-undang telah digariskan beberapa sebab yang membolehkan seseorang wanita yang ingin berkahwin itu menggunakan wali hakim. Antaranya: 

IKLAN

 

  • Keengganan wali nasab untuk menikahkan
  • Ketiadaan wali nasab
  • Wali aqrab (yang terhampir) tidak cukup syarat-syarat menjadi wali dan ketiadaan wali ab’ad
  • Wali aqrab berada di tempat yang jaraknya lebih dua marhalah atau wali dalam keadaan berihram haji atau umrah.

 

Tuntasnya, tidak sah akad nikah tanpa wali dan seorang perempuan tidak sah menikahkan dirinya sendiri atau orang lain. Para fuqaha sejak sekian lama telah meletakkan syarat-syarat yang sesuai untuk memastikan wali nikah adalah orang yang selayaknya memikul amanah tersebut. 

 

Sekiranya dia tidak layak maka akan diganti dengan orang yang lebih berkelayakan sehinggalah ke peringkat wali yang paling akhir menjaga maslahah masyarakat Islam iaitu wali hakim atau raja yang dilantik oleh pemerintah kerajaan Islam. 

 

Alhamdulillah anak saudara Puan Rohani telah melangsungkan perkahwinannya dengan mendapat kebenaran wali hakim. 

Kredit : Syazmee Sapian 

Kredit foto: TANGKAP PICTRES

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI