
Pertengkaran eratkan hubungan
Mengapa situasi pertengkaran dikatakan perlakuan yang merapatkan hubungan hidup pasangan? Selidiki tahap hubungan anda. Bila kali terakhir anda bergaduh atau berselisih pendapat? Tidak pernah? Erm…ada sesuatu yang pelik terjadi di sini. Jika anda tidak pernah bergaduh atau bertengkar selepas berkahwin bertahun lamanya, ini bermakna hubungan itu ada yang tidak kena.
Mengapa terjadi?
- Ia adalah luahan hati anda atau pasangan mengenai pendapat, keinginan dan pencarian kata putus dalam sesuatu perkara.
- Perkahwinan adalah sesuatu perjalanan dan ia tidak mudah. Setiap hari adalah perkara baru, maka persefahaman perlu sentiasa dicari.
Pertengkaran Positif
- Pertengkaran/perselisihan pendapat yang tidak melibatkan pergaduhan luar biasa seperti terjerit-jerit terhadap pasangan, baling barang atau melakukan kekasaran fizikal.
- Perselisihan yang tidak melihatkan siapa menang dan siapa perlu patuh. Sebaliknya pergaduhan ini terjadi secara spontan dan akhirnya keputusan yang terbaik berjaya dicapai.
- Pergaduhan yang tidak berlanjutan lebih 10 minit.
- Adakah anda pernah mengingati semula detik pertengkaran antara anda dan pasangan? Bukankah ia mampu membuatkan anda tersenyum sendiri apabila terkenang saat itu? Lucu bukan, bergaduh dan bermasam muka hanya kerana memilih warna terbaik untuk kereta baru.
Komunikasi dua hala
‘ Yahya sudah berkahwin selama lima tahun. Sudah mempunyai seorang anak dan perkahwinannya dirasakan bahagia dan berjalan baik bersama Farhana kerana mereka tidak pernah bertengkar.
Entah mengapa suatu hari, Farhana memfailkan penceraian. Yahya tersentak seakan tidak percaya dengan tindakan isterinya. Disangka Farhana bahagia hidup bersamanya kerana Farhana tidak pernah bersungut dan menerima segala percaturan yang dilakukannya dalam rumah tangga mereka.
Setelah disiasat, Farhana menjelaskan dia tidak tahan dengan kehidupan tersebut. Malah Farhana rasa terkongkong dan perasaannya bagaikan tidak pernah dipedulikan. Yahya tidak pernah bertanya tentang apa kemahuannya walhal Yahya sedar bahawa Farhana ‘berat mulut’.
Daripada kes benar ini, dapat disimpulkan bahawa hidup berpasangan memerlukan komunikasi. Secara terus yakni baik atau secara pertengkaran kecil. Ini kerana ia medium untuk melontarkan pendapat dan hak masing-masing.
Semakin anda bertengkar maka semakin dalam anda mengenali pasangan. Anda tidak boleh hanya memikirkan apa anda rasa dan mahu, sebaliknya fikir juga perasaan dan kemahuan pasangan anda.
Tipu, jika hidup berpasangan tidak pernah bergaduh. Anda selidik apa yang tidak kena jika anda tidak pernah bergaduh dengan pasangan. Si dia mungkin telah memendam perasaan dan akan meledak bila-bila masa sahaja.
Pilih Stail Backdrop Yang Tepat Supaya Tidak Mencacatkan Dekorasi Perkahwinan

Dalam menyempurnakan dekorasi sesebuah majlis perkahwinan, backdrop atau latar pelamin merupakan salah satu perkara yang perlu dititikberatkan. Ini kerana penilaian sama ada berjaya atau tidak sebuah dekorasi perkahwinan dipengaruhi oleh bentuk dan pemilihan backdrop tersebut.
Oleh itu, anda perlulah mempertimbangkan bentuk backdrop dengan sebaiknya agar ia tidak merosakkan suasana dekorasi perkahwinan. Bukan itu sahaja, pemilihan dan bentuk backdrop juga bergantung pada lokasi perkahwinan sama ada ia sesuai dilakukan di indoor atau outdoor.
PERKAHWINAN TRADISIONAL DI INDOOR ATAU OUTDOOR
Perkahwinan dengan konsep tradisional lebih kerap diadakan di indoor berbanding outdoor. Selain proses adat yang panjang dan memakan masa yang lama, bimbang akan berlakunya perubahan cuaca seperti hujan yang turun secara tiba-tiba ataupun matahari yang semakin terik.
Maka tempat yang paling sesuai untuk mengadakan perkahwinan tradisional adalah di dalam kawasan yang tertutup. Dalam memilih backdrop untuk perkahwinan tradisional di indoor, biasanya bakal pengantin akan menyesuaikan dengan adat yang akan dijalankannya.
Bolehkah perkahwinan tradisional dilakukan di tempat terbuka seperti di taman atau di tepi pantai? Sebenarnya boleh jika proses yang panjang dapat disingkatkan. Untuk backdrop pula sebaiknya dikombinasikan antara tema moden dengan elemen gaya tradisional seperti kain batik atau tenun.
KEPELBAGAIAN BACKDROP MENGIKUT LOKASI
Perkahwinan ala barat yang dilakukan di outdoor biasanya menggunakan konsep intimate dan ringkas. Dan untuk menyesuaikannya, backdrop akan dibuat mengikuti konsep yang minimalis dan ringkas. Selari dengan konsep, terdapat pelbagai jenis backdrop yang dapat diaplikasikan daripada segi bentuk mahupun gaya.
Daripada segi gaya, terdapat banyak jenis di antaranya vintaj dan rustik yang sering diguna pakai. Sementara untuk bentuk juga pelbagai. Bahkan dari gaya rustik, sepasang pintu pun dapat dijadikan backdrop yang disertai dengan dekorasi bunga-bunga untuk mencantikkannya.
Keuntungan lain yang bakal pengantin dapat dengan menggunakan backdrop seperti ini adalah dapat mengurangkan bajet dekorasi tanpa perlu menghabiskan kos untuk dekorasi mewah dengan menyewa pelamin yang yang pasti mahal kosnya. Hanya dengan sentuhan kreatif, backdrop yang ringkas juga tetap tampil menarik.
Aplikasi latar pelamin seperti ini juga bukan hanya sesuai untuk pengantin bergaya moden, tapi dapat juga diterapkan untuk pengantin tradisional. Tentu saja dengan memberikan gaya tradisi seperti kain songket atau batik sebagai pengganti kain selendang putih yang biasanya dililitkan pada tiang mencetuskan kelainan.
Ustaz Jawab Siapakah Sebenarnya Akan Jadi Suami Atau Isteri Kita Di Syurga Nanti

Soalan : Ustaz.. Apakah benar seseorang yang sudah bernikah di dunia akan kembali bertemu isteri atau suaminya kelak di akhirat? Juga apakah benar seorang wanita akan bersama dengan suaminya yang terakhir di syurga nanti?
Untuk menjawab pertanyaan ini, Allah SWT telah menjawab dengan firmanNya yang bermaksud :
“Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh, baik laki-laki mahupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka itu akan masuk ke dalam syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa hisab.” (QS. Al-Mu’min : 40)
“(iaitu) Syurga ‘Adn yang mereka masuk ke dalamnya bersama-sama dengan orang-orang yang soleh dari bapa-bapanya, isteri-isterinya dan anak cucunya…” (QS. Ar-Ra’d: 23).
Demikianlah orang-orang mukmin hidup di syurga bersama dengan pasangannya. Dan seluruh penduduk syurga akan hidup bersama suami atau isteri mereka dan tidak ada satu pun yang membujang (tidak menikah). Rasulullah s.a.w. bersabda :
“Dan di dalam syurga tidak ada orang yang membujang (tidak menikah).” (HR Muslim, 5062).
Sungguh sangat beruntung bagi laki-laki soleh yang dikehendaki Allah SWT menjadi penghuni syurga. Bagi mereka disediakan bidadari-bidadari yang belum disentuh oleh sesiapapun. Bidadari-bidadari yang tidak terbayangkan kecantikannya. Dan dengan izin Allah – ia pun akan bertemu kembali dengan isterinya yang solehah di dunia.
Lalu ada pertanyaan, “Jika laki-laki di syurga mendapatkan bidadari, lalu apakah yang diperolehi oleh wanita?”. “Apakah ada bidadara syurga?”
Lebih jauh lagi, “Benarkah seorang isteri akan berjumpa lagi dengan suaminya di dunia? Bagaimana jika seorang wanita menikah lagi setelah suami pertamanya meninggal dunia, apakah wanita itu kelak di akhirat akan menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir?”
Keadaan wanita di dunia ada enam:
1. Meninggal sebelum nikah.
2. Ditalak suami pertama dan tidak nikah lagi sampai meninggal.
3. Nikah dengan lelaki yang bukan ahli syurga. Misalnya, suaminya murtad atau melakukan kesyirikan.
4. Meninggal lebih dahulu sebelum suaminya.
5. Ditinggal mati suaminya dan tidak menikah lagi sampai meninggal.
6. Ditalak atau ditinggal mati suaminya, kemudian menikah dengan lelaki lain.
Untuk menjelaskan keadaan-keadaan di atas, saya kutip penjelasan yang disampaikan oleh Syeikh Utsaimin :
1. Apabila wanita tersebut meninggal sebelum menikah, maka di syurga kelak Allah swt akan menikahkan wanita tersebut dengan seorang laki dari penduduk bumi berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
Dari Muhammad berkata: “Apakah mereka saling berbangga atau saling mengingatkan : kaum lelaki di syurga lebih banyak atau wanita? Maka Abu Hurairah berkata : Bukankah Abul Qasim s.a.w bersabda : “Sesungguhnya kelompok pertama yang masuk syurga menyerupai bentuk bulan purnama, kemudian yang berikutnya secerah cahaya bintang di langit, setiap orang di sana memiliki dua orang isteri, di mana dia dapat melihat sumsum mereka dari balik dagingnya. Dan di syurga tidak ada yang bujang” (HR Muslim No. 5062).
Syeikh Utsaimin berkata: “Apabila wanita tersebut belum pernah menikah di dunia maka Allah akan menikahkannya dengan laki-laki yang disukainya di syurga. Kerana kenikmatan di syurga tidak hanya terbatas untuk kaum lelaki saja, namun juga untuk kaum lelaki dan wanita, di mana yang termasuk kenikmatan : adalah menikah.
2. Keadaan no satu di atas juga berlaku bagi wanita yang meninggal namun bercerai.
3. Keadaan no satu di atas berlaku pula bagi wanita yang suaminya bukan termasuk penghuni syurga.
Syaikh Utsaimin berkata: “Apabila wanita tersebut termasuk ahli syurga dan belum menikah, atau suaminya bukan termasuk ahli syurga, jika dia masuk syurga, maka di syurga ada kaum lelaki-laki yang belum menikah sebelumnya, maka dia menikah dengan salah satu wanita tersebut.
4. Adapun wanita yang meninggal setelah menikah, dia termasuk ahli syurga, maka dia menikah dengan mantan suaminya di dunia.
5. Adapun wanita yang suaminya meninggal lalu dia tidak menikah lagi setelah itu sampai dia meninggal maka wanita itu menjadi isterinya di syurga.
6. Adapun wanita yang suaminya meninggal lalu dia menikah lagi sesudahnya maka wanita tadi menjadi isteri bagi suaminya yang terakhir meskipun wanita tadi sudah berkali-kali menikah, maka sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. :
Dari Maimun bin Mihran berkata : Mu’awiyah r.a. melamar isteri Abu Darda’, namun dia tidak menerimanya dan berkata: Aku mendengar Abu Darda’ berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : “Wanita bersama suaminya yang terakhir,” dia berkata: dan aku tidak ingin pengganti untuk Abu Darda’ (Hadits sahih dikeluarkan oleh Abu Ali Al-Harrani Al-Qusyairi dalam Tarikhul Riqqah (2/39/3)).
Juga berdasarkan perkataan Hudzaifah ra kepada isterinya:
Dari Hudzaifah ra berkata kepada isterinya: “Jika kamu ingin menjadi isteriku di syurga maka jangan menikah lagi sesudah ku : kerana wanita di syurga bersama suaminya yang terakhir di dunia oleh kerana itu Allah mengharamkan kepada isteri-isteri Nabi untuk menikah lagi sesudahnya kerana mereka adalah isteri-isteri Beliau di syurga,” (dikeluarkan oleh Al Baihaqi dalam Sunannya (7/69-70)).
Persoalan lagi : Jika suamiku di syurga adalah suami terakhir ku di dunia, bagaimana jika aku nikah lagi namun aku ingin bersama dengan suamiku yang pertama kerana aku sangat mencintainya..?”
Syeikh Muhammad Ali Firkaus hafizhahullah, beliau ditanya oleh seorang wanita: “Setelah masa iddah-ku selesai disebabkan kerana suamiku meninggal, ada beberapa orang yang datang melamarku, dan aku enggan menikah agar aku menjadi isteri bagi suami pertamaku yang telah meninggal, yang ketika aku bersamanya kami memiliki 3 orang anak.
Alasanku dalam hal ini adalah sabda Rasulullah s.a.w. :
“Seorang wanita itu bersama suami terakhirnya.”
Dan telah dipraktikkan pula oleh Ummu Darda’ r.ha., apakah aku berdosa jika aku menolak untuk menerima pinangan orang yang telah diredhai agama dan akhlaknya?
Beliau menjawab :
Seorang wanita jika berada di bawah bimbingan seorang suami yang soleh lalu suaminya meninggal dan si isteri terus berstatus sebagai janda setelahnya dan tidak menikah, Allah akan mengumpulkan keduanya di dalam syurga dan jika dia memiliki beberapa suami di dunia, maka dia di dalam syurga bersama suami terakhirnya jika mereka setara dalam akhlak dan kesolehannya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. :
“Seorang wanita bersama suami terakhirnya.”
(Dikeluarkan Ath-Thabrani dalam “Al-mu’jam Al-Ausath” (3/275), dari hadits Abu Darda’ radhiallahu anhu)
Seorang wanita jika membimbangi atas dirinya fitnah atau dia tidak punya kemampuan untuk sendirian dalam mengurus dirinya dan keperluan anak-anaknya baik dari sisi nafkahnya, pendidikannya, maka jika ada seorang lelaki yang datang melamarnya yang telah diredhai agama serta akhlaknya dan lelaki ini punya kemampuan untuk memenuhi berbagai keperluannya serta nafkah untuk anak-anaknya, maka tidak sewajarnya wanita tersebut menolaknya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“Jika ada orang yang datang kepadamu lelaki yang telah engkau senangi agama dan akhlaknya maka nikahilah dia.”
(HR.Tirmidzi no. 1108, Baihaqi no. 13863)
Dan juga mengamalkan kaedah Usul Fiqh yang berbunyi :
“Menolak kerosakan lebih didahulukan daripada mendatangkan maslahat.”
Jika suami kedua itu setara dengan suami pertamanya yang telah meninggal dalam hal akhlak dan kesolehannya, maka dia (wanita tersebut) bersama yang paling terakhir dari kedua-duanya, namun jika tidak setara maka dia memilih yang paling baik kesolehan dan akhlaknya.
Boleh juga dijadikan sebagai dalil dari keumuman firman Allah swt yang bermaksud :
“Di dalamnya (syurga) apa saja yang disenangi oleh jiwa.” (QS.Az-Zukhruf: 71)
Maka dia diberi pilihan sehingga dia pun memilih yang dia sukai akhlak dan kesolehannya, sebagaimana faedah yang juga dipetik dari firman-Nya yang bermaksud :
“Mereka bersama dengan isteri-isteri mereka di bawah naungan (syurga).” (QS.Yasin: 56)
Di mana seorang wanita bersama dengan yang paling mendekatinya dalam hal agama, akhlak, watak, disebabkan pernikahan yang melahirkan perasaan cinta dan kasih sayang, saling akrab dan saling mencintai.
Demikian pula seorang wanita yang masih hidup bujang dan meninggal dalam keadaan belum sempat menikah, maka dia diberi pilihan sehingga dia memilih siapa yang dia sukai yang lebih mirip dengannya dalam hal tabiat dan akhlak, lalu Allah swt mewujudkan apa yang menjadi permintaannya, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :
“Tidak ada bujang di dalam syurga.” (HR. Muslim, dan Ahmad dari hadits Abu Hurairah r.a.)
Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-hamba-Nya yang beriman. Apapun ketetapan dari Allah subhanahu wa ta’ala adalah sebaik-baik ketetapan dari-Nya. Dan tidaklah kita patut mempertanyakannya…
Allah SWT berfirman maksudnya :
“…Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu ; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (QS. Al-Baqarah: 216)
Semoga hal ini dapat menjadi motivasi kita untuk meningkatkan ketaatan kita kepada Allah SWT, berbuat baik dan beramal soleh, senantiasa istiqamah dan berada pada jalur fastabiqul khairat untuk menggapai syurga…
Wallahua’lam.
Ust Abdul Rahman Iskandar
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
7 Tip Mudah Untuk Dapatkan Berat Ideal Khas Buat Lelaki Menjelang Hari Bahagia!

Penampilan lelaki pada era ini ingin sentiasa tampil lebih maskulin dan macho. Mereka bijak menghias diri dan lebih peka dalam menjaga penampilan diri dan juga kesihatan. Namun begitu, masalah berat badan sering menjadi sebab untuk kaum lelaki malas untuk bersiap dan memperkemaskan diri.
Lebih-lebih lagi saat menjelang hari bahagia. Mereka kurang yakin untuk tampil di majlis cinta disebabkan masalah berat badan.Terdapat banyak cara yang praktikal yang boleh diamalkan untuk mendapatkan berat badan ideal dan sempurna. Jom kita lihat 7 tip mudah untuk menurunkan berat badan khas buat lelaki menjelang hari bahagia!
1. AMALKAN PEMAKANAN YANG SEIMBANG
Pilihlah diet makanan yang seimbang dengan kuantiti yang sedikit. Jauhi gula, karbohidrat, makanan segera atau makanan yang diproses selain makanan berlemak dengan pengambilan yang terlalu banyak. Pilih buah-buahan yang segar dan yang paling banyak memberikan nutrisi, seperti blackcurrant atau plum, strawberry dan peach.
2. WAJIB BERSENAM
Untuk menurunkan berat badan, perkara utama yang harus dilakukan adalah bersenam secara berkala. Anda perlu lakukan senaman kerana lemak-lemak lelaki selalunya sukar untuk pecah melainkan dengan senaman secara berterusan. Antara senaman yang boleh menguruskan badan anda adalah jogging, berenang dan berjalan kaki. Untuk pecahkan lemak yang tebal, anda perlu lakukan senaman fitness dan senaman berat di gim.
3. BERHENTI MEROKOK
Tahukah anda bahawa rokok atau seumpamanya itu mengandungi bahan kimia tinggi yang akan melemahkan anda secara fizikal dan mental. Jadi, kuatkanlah semangat untuk berhenti dari terus-terusan menghisap bahan kimia demi kelangsungan hidup yang sihat dan berpanjangan. Kehidupan anda bukan sahaja semakin sihat, malah anda juga dapat menyimpan dan berjimat cermat.
4. BIARKAN PERUT BERASA LAPAR
Jika ingin kuruskan badan dengan cepat dan selamat, anda akan sentiasa berada dalam keadaan yang lapar, iaitu berpuasa. Selepas anda melakukan senaman atau ketika ingin berbuka puasa, jangan makan terlalu banyak. Perut yang sentiasa lapar bermakna lemak-lemak anda sedang dibakar untuk ditukarkan kepada tenaga. Kaedah ini jika dilakukan secara konsisten dan hasilnya amat menakjubkan.
5. TIDUR YANG CUKUP
Tidur yang tidak teratur dan tidak cukup membuatkan anda lesu dan boleh membuatkan berat badan anda bertambah. Dapatkan jumlah tidur yang cukup sekurang-kurangnya 6 jam sehari. Tidur yang cukup dapat membantu anda untuk lebih lebih rileks dan mengawal kadar metabolism tubuh anda.
6. UBAH GAYA HIDUP
Tinggalkan gaya hidup anda yang negatif kepada hidup yang lebih bermakna dan menyeronokkan. Contonya, jika anda selalu bermain permainan video terlalu lama, banyak tidur atau lepak sambil menonton televisyen, segera henti dan ubah perangai buruk tersebut. Tukarkan aktiviti tersebut dengan aktiviti yang lebih seronok seperti menolong ibu membuat kerja-kerja rumah, menukang, berkebun, memanjat gunung atau keluar beriadah dengan berjalan – jalan di taman.
7. MINUM AIR PUTIH SECUKUPNYA
Air putih amat berguna untuk menurunkan berat badan Kerana ia tidak memiliki kalori, karbohidrat atau protein. Jadi bagi anda yang suka mengambil minuman yang berkalori tinggi seperti minuman bersoda, mocha, kopi atau teh dan air berkalori lainnya, anda dinasihatkan agar anda menggantikan air berkalori kegemaran anda tersebut dengan air putih.