
Pertengkaran eratkan hubungan
Mengapa situasi pertengkaran dikatakan perlakuan yang merapatkan hubungan hidup pasangan? Selidiki tahap hubungan anda. Bila kali terakhir anda bergaduh atau berselisih pendapat? Tidak pernah? Erm…ada sesuatu yang pelik terjadi di sini. Jika anda tidak pernah bergaduh atau bertengkar selepas berkahwin bertahun lamanya, ini bermakna hubungan itu ada yang tidak kena.
Mengapa terjadi?
- Ia adalah luahan hati anda atau pasangan mengenai pendapat, keinginan dan pencarian kata putus dalam sesuatu perkara.
- Perkahwinan adalah sesuatu perjalanan dan ia tidak mudah. Setiap hari adalah perkara baru, maka persefahaman perlu sentiasa dicari.
Pertengkaran Positif
- Pertengkaran/perselisihan pendapat yang tidak melibatkan pergaduhan luar biasa seperti terjerit-jerit terhadap pasangan, baling barang atau melakukan kekasaran fizikal.
- Perselisihan yang tidak melihatkan siapa menang dan siapa perlu patuh. Sebaliknya pergaduhan ini terjadi secara spontan dan akhirnya keputusan yang terbaik berjaya dicapai.
- Pergaduhan yang tidak berlanjutan lebih 10 minit.
- Adakah anda pernah mengingati semula detik pertengkaran antara anda dan pasangan? Bukankah ia mampu membuatkan anda tersenyum sendiri apabila terkenang saat itu? Lucu bukan, bergaduh dan bermasam muka hanya kerana memilih warna terbaik untuk kereta baru.
Komunikasi dua hala
‘ Yahya sudah berkahwin selama lima tahun. Sudah mempunyai seorang anak dan perkahwinannya dirasakan bahagia dan berjalan baik bersama Farhana kerana mereka tidak pernah bertengkar.
Entah mengapa suatu hari, Farhana memfailkan penceraian. Yahya tersentak seakan tidak percaya dengan tindakan isterinya. Disangka Farhana bahagia hidup bersamanya kerana Farhana tidak pernah bersungut dan menerima segala percaturan yang dilakukannya dalam rumah tangga mereka.
Setelah disiasat, Farhana menjelaskan dia tidak tahan dengan kehidupan tersebut. Malah Farhana rasa terkongkong dan perasaannya bagaikan tidak pernah dipedulikan. Yahya tidak pernah bertanya tentang apa kemahuannya walhal Yahya sedar bahawa Farhana ‘berat mulut’.
Daripada kes benar ini, dapat disimpulkan bahawa hidup berpasangan memerlukan komunikasi. Secara terus yakni baik atau secara pertengkaran kecil. Ini kerana ia medium untuk melontarkan pendapat dan hak masing-masing.
Semakin anda bertengkar maka semakin dalam anda mengenali pasangan. Anda tidak boleh hanya memikirkan apa anda rasa dan mahu, sebaliknya fikir juga perasaan dan kemahuan pasangan anda.
Tipu, jika hidup berpasangan tidak pernah bergaduh. Anda selidik apa yang tidak kena jika anda tidak pernah bergaduh dengan pasangan. Si dia mungkin telah memendam perasaan dan akan meledak bila-bila masa sahaja.
Bertuah Punya Pasangan Yang Menangis Ketika Solat Kerana Cintakan Allah

Adakah anda pernah menangis dalam solat? Mungkin sesetengah orang sekali atau tidak pernah langsung menangis ketika dalam solat. Tidak mengapa menangis dalam solat biarlah sekadar sahaja jangan tersekat-sekat bacaannya.
Menangis sewajarnya kerana rasa menyerah diri kepada Allah yang teramat sangat kerana takut azabNya, pohon rahmatNya, sedar akan diri yang dhaif di sisi Allah atau sebab-sebab lain. Jika menangis tentang perkara lain seperti kehilangan ayah atau ibu, kena marah dengan big boss, putus cinta dan sebagainya tak digalakkan kerana ia tak khusyuk dan jika terkeluar suara boleh batal solat tersebut.
Menangislah seperti Saidina Abu Bakar, yang hangus hatinya kerana takutkan Allah SWT sehingga terbau bau hatinya kepada makmum.
Jika menangis kerana sayangkan Allah SWT, jika bacaan surah tersekat-sekat kerana esakan, dibolehkan. Kalau rukun qauli (alfatihah, takbiratul ihram, tasayhud akhir, salawat dan sebagainya) tersekat-sekat sehingga mengubah makhraj dan mengganggu bacaan, wajib diulang. Jika surah tak ulang pun tidak mengapa.

Sebab-sebab menangis dalam solat.
1. Ada orang menangis ketika solat kerana takut seksaan Allah, bertaubat.
2. Ada orang menangis ketika solat kerana dalam kesusahan.
3. Ada orang menangis ketika solat kerana cintakan Allah.
Orang yang menangis ketika solat kerana takut akan seksaan Allah atau mengharap keampunan Allah, adalah orang yang meletakkan Allah sebagai Pemerintah Alam Yang Maha Berkuasa. Kita adalah hambaNya, Allah yang menentukan nasib kita.
Orang yang menangis ketika solat kerana dalam kesusahan atau kesedihan, adalah orang yang meletakkan dirinya dalam hina dan meletakkan Allah sebagai Yang Maha Pemurah, Maha Kaya. Orang ini tahu yang dia adalah hamba dan tidak punyai apa-apa pun. Macam dalam kisah Nabi Ayub a.s, Nabi Ayub a.s menangis, mengadu dan mohon kepada Allah tentang penyakit dirinya. Dia kehilangan orang rapat kerana penyakitnya, kehilangan harta kerana penyakitnya dan dibenci orang kerana penyakitnya. Tapi Nabi Ayub a.s tak pernah putus-putus berdoa kepada Allah.
Orang yang menangis ketika solat kerana cintakan Allah, adalah orang yang meletakkan Allah sebagai kekasihnya. Menangis ketika sembahyang itu maknanya jiwa seseorang itu dekat dengan Allah. Sentiasa bertawadhuk, malah hati yang sentiasa dengan Allah akan selalu menangis bila melihat kemungkaran. Hatta sesaat dia lupa dengan Tuhan dia akan merasa bersalah. Kita hendaklah selalu memohon kepada Allah agar hati kita tidak lalai dari mengingati Dia.

Bagi penulis, orang yang paling hebat adalah seorang yang bangun tengah malam lalu berwuduk dengan sempurna dan mengerjakan solat dua rakaat dan menitiskan setitik air mata sedangkan sesiapa pun tidak mengetahuinya.
Mari tengok klip video Imam Sheikh Mishary Rashid Alafasy menangis semasa mengimamkan solat di sebuah masjid di Kuwait. Bagi mereka yang berbangsa arab mesti menangis kerana tahu makna ayat dari surah tersebut yang barangkali menerangkan hal seksa api neraka dan balasan Allah di hari akhirat.
Bagi kita yang tidak faham makna ayat-ayat Al-Quran semasa imam membaca tetapi menangis juga dalam solat. Orang itu sangatlah istimewa disisi Allah SWT. Dimuliakan oleh Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya serta mendapat ganjaran dari ibadahnya. InsyaAllah.
Wasallam.
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES
Boleh Bohong Suami Isteri Untuk Tujuan Kebahagiaan Rumah Tangga, Bukan Untuk Tujuan Kepentingan Diri

Namun, adakalanya golongan suami ini nakal sikit. Nak pergi makan sedap, kadang-kadang tak ajak anak dan isteri. Tahu nak sedapkan perut sendiri saja. Maka dengan itu, sanggup berbohong. Dalam perkongsian Cikgu Abd Ghani Haron ini, mungkin dapat memberi pengajaran kepada golongan suami yang gemar berbuat demikian. Semoga bermanfaat!

PADAH BERBOHONG PADA ISTERI
Pagi kelmarin ketika selesai solat subuh, saya duduk bersembang dengan beberapa jemaah surau. Seorang bercerita.
“Kelmarin aku teringat nak makan mee kuah di Lahar Yooi. Jadi bila makan tengah hari, aku makan sikit sahaja. Selepas solat zohor, aku beri alasan pada orang rumah nak balik ziarah mak, sedangkan aku sebenarnya nak pi makan mee.”
“Kalau bagitau yang sebenar, tentu dia nak ikut, jika dia ikut, balik nanti bimbang dia sakit pinggang kerana duduk atas seat motor kapcai buruk agak jauh.”
“Setelah bertolak beberapa lama, aku rasa macam tersesat jalan, sedangkan dah berkali-kali aku pernah pergi ke gerai mee itu. Berpatah balik, minyak motor pula hampir habis, jadi mencari kedai minyak pula sebelum mencari jalan ke gerai tersebut. Akhirnya sampai juga ke gerai itu.”
“Tetapi alangkah hampanya, gerai itu tutup, tidak berniaga. Akhirnya balik ke rumah membuka tudung saji menghadap saki baki lauk yang tinggal.”
Kami yang diam mendengar dari tadi, gelak berdekah. Seorang berkata, “Padan muka, berbohonglah lagi pada bini.” Disambut hilai tawa yang berderai.
Marilah kita mengambil iktibar sedikit dari kisah ini. Nampak seperti Allah menegur suami ini dengan menyebabkan dia sesat jalan, kehabisan minyak dan akhirnya gerai tidak buka. Sebagai suami, sebaiknya semua rezeki dikongsi, dinikmati bersama. Jangan fikir perut sendiri sahaja, nafsu dan selera sendiri sahaja. Sesungguhnya perkahwinan ini satu perkongsian, maka berkongsilah segalanya, baik susah senang, pahit manis, bahagia membahagiakan. Memang ada ketika boleh membohongi isteri terutama bagi tujuan baik.Sabda nabi
قال النبى صلى الله عليه وسلمكل الكذب يكتب على ابن آدم إلا ثلاث , الرجل يكذب فى الحربِ , فإن الحربَ خدعة , والرجل يكذب على المرأة فيرضيها , والرجل يكذب بين الرجلين ليصلح بينهما
رواه السَنَى : تحذيب أطراف الحديث الصفحة : 22 الجزء الثانى
Semua penipuan akan ditulis atas anak Adam melainkan 3 perkara:
Lelaki yang berbohong ketika dalam medan peperangan. kerana berperang mesti melalui helah atau tipu daya. Lelaki berbohong kepada isteri supaya isteri menyukainya. Lelaki berdusta kerana muslihat di antara dua orang yang bertelingkah atau berkelahi. Berbohong dalam perkara baik sahaja seperti memuji isteri berpakaian cantik walaupun tidaklah cantik. Pada hadis lain disebut isteri juga boleh berdusta pada suami juga dengan tujuan baik.
Dari Ummu Kalsum binti Uqbah, ia berkata, aku belum pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan keringanan sedikitpun kepada seseorang untuk berdusta kecuali dalam tiga perkara.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Aku tidak menganggap berdusta seseorang yang mendamaikan manusia lalu ia mengatakan sesuatu dengan maksud mendamaikan, seseorang yang berbicara dalam (siasat) perang, dan seorang suami yang berbicara kepada istrinya atau istri yang berbicara kepada suaminya” (HR. Abu Dawud).
Ringkasnya nabi memberi keringanan boleh berdusta suami isteri untuk tujuan kebahagiaan rumah tangga, bukan untuk tujuan kepentingan diri atau muslihat buruk. Peluang suamj atau isteri keluar rumah jangan disalahgunakan. Manfaatkanlah untuk diri tanpa mengabai mereka yang di rumah. Jika boleh berkongsi bersama itu lebih baik. Setiap yang berlaku ada hikmahnya bagi yang mahu berfikir. Sesungguhnya Allah tidaklah melepas manusia ke dunia ini bagai melepas haiwan peliharaan di padang, lalu tidak dipedulikan. Tetapi Allah tetap memerhati, memantau, menegur, menguji dan akhirnya menghalau bzlik ke pangkuanNya.
Kisah di atas satu contoh bagaimana Allah menegur hambanya. Wallahu’alam
Sumber: Abd Ghani Haron
Kalau Bukan Dia, Rasanya Jodoh Kita Mungkin Belum Lahir Lagi

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya.
Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
1) Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik.
Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.
2) Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita.
Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.
3) Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan.
Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini.
Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.
4) Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita.
Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan.
Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.
5) Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung.
Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka.
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran.Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.
6) Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar.
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama.
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan.
Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?
7) Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar.
Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita.
Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih.
Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.
8) Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut.
Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita.
Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita.
Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.
9) Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya.
Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu.
Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
10) Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi.
Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya.
Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara. Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.