Anehnya seorang yang bernama perempuan ni, hanya perempuan je yang boleh jawab. Kadang-kadang lelaki pon tak faham. Wanita bernama Liyana Nazli ni kongsi cerita menarik, perempuan ni sebenarnya apa yang terucap di mulutnya tak menggambarkan keinginan hati.
Suami pulang dari kerja lewat jam 8 malam. Makan malamnya sudah saya siapkan dan hidang. Malam itu dalam jam 8.30 saya ada liqo’ di rumah sahabat. Jadi mahu cepat-cepat bereskan urusan rumah tangga sebelum keluar. Termasuklah urusan makan minum suami dan anak-anak.
Usai makan saya minta izin pada suami untuk keluar.
“Perlu abang hantar tak? Abang nak kena pergi Brew & Cabin kejap lagi hantar kopi dan keropok.”
“Terpulang mana yang mudahkan abanglah.”
Sedangkan dalam hati saya amat berharap suami akan menghantarkan saya ke liqo’. Terbayang bagaimana lecehnya mahu memandu dengan bayi di waktu malam. Ya, begitulah anehnya perempuan. Apa yang terucap di mulutnya tidak sebenarnya menggambarkan keinginan hati. Aneh, bukan? Kami sendiri tidak faham mengapa begitu.
“Pergi sendiri ya? Bolehkan? Abang ke cafe naik motor jelah.”
“Hmm..okay.”
Wajah sudah mula mencuka. Kecewa sebab suami tak dapat baca kenginginan hati. Anehkan perempuan? Dia mahu makhluk bernama suami ini boleh membaca fikiran dan detak hatinya.
“Okay, abang pergi dulu ya?”
Apa? Kau boleh biarkan aje isteri kau memandu tengah-tengah malam? Dia dahlah rabun silau. Macam mana kalau si kecil menangis mahu susu tengah jalan? Harus berhenti tengah jalan susukan? Ingat selamat ke nak berhenti tepi jalan malam-malam macam ni? Memang tak ada hati perut, pentingkan diri sendiri!
Anehkan perempuan? Babak biasa dalam kehidupan rumahtangga boleh jadi begitu dramatik sekelip mata. Dan yang lebih aneh, segala drama itu hanya berputar di dalam kepalanya. Makhluk bernama suami itu tetaplah selamba wajahnya. Tidak sedar dia sedang memainkan watak seorang lelaki tidak berhati perut dalam drama yang dimainkan di pawagam minda isteri. Sungguh kasihan.
Suami akhirnya berlalu pergi. Rasa kasihan bertimpa-timpa untuk diri sendiri. Oh, kasihannya aku diperlakukan begini. Tergamak sungguh dia. Lalu termenung mengenang nasib walau sudah kelewatan untuk ke liqo’.
Tanpa sedar jam sudah 9.30 malam. Suami yang keluar sekejap ke cafe tadi sudah pulang semula pun. Tekad mahu tunjuk protes. Dengan keras hati angkut anak dan beg dengan bersusah payah dimuatkan dalam kereta. Dalam hati berfikir sendiri “Kau fikir aku tak boleh hidup tanpa kau? Nah sekarang aku buktikan!”
“Belum pergi lagi, yang?”
Senyap. Mogok tak mahu bercakap. Habis yang di depan kau ini hantu?
“Nah, abang tapau kopi untuk ayang tadi.”
“Tak mahu.”
“Ambillah… abang beli untuk ayang ni.”
Ambil cepat-cepat. Tanpa ucap terima kasih saya terus memandu pergi. Dalam masa 10 minit saya sudah sampai ke rumah sahabat. Ya kawan, rumah sahabat itu hanya 10 minit pemanduan. Ributnya macamlah perlu memandu berjam-jam! ? Sambil memandu saya sedut Hazelnut Latte sejuk yang dibekalkannya. Dinginnya sampai ke perut, menyejukkan hati yang kepanasan perlahan-lahan, sedapnya seperti biasa tak pernah menghampakan. Dalam masa dia ke cafe yang sebentar itu, dia masih ingat minuman kegemaran sang isteri. Bukankah itu timbang rasa? Bukankah itu tanda sayang?
BEGITULAH ANEHNYA PEREMPUAN.
Pengisian seminar yang saya hadiri pagi tadi membuatkan saya terkenang drama malam itu. Kata penceramah, kita orang perempuan ni memang kaya dengan bermacam-macam perasaan. Perasaan ini boleh bertukar-tukar sekelip mata sampai kadang kita pun terkeliru dengan apa yang kita rasa. Tak salah merasai perasaan negatif seperti marah, sedih dan sebagainya. Dah namanya pun perasaan, bukan diminta-minta ia datang.
Tapi yang salah apabila kita menghakimi orang lain berdasarkan perasaan itu. Seperti saya menghakimi suami saya sebagai tidak bertimbang rasa pada malam itu berdasarkan apa yang saya rasa. Dan yang lebih parah kalau kita menganggap perasaan kita sajalah yang valid, the absolute truth. Kita akan bermati-matian mempertahankan perasaan itu dan meletakkan hukuman pada orang di sekeliling kita yang menyebabkan kita rasa begitu. Sedang kita gagal melihat sesuatu perkara dari sudut pandang orang lain juga.
Apa perlu kita buat? Beri masa untuk diri sendiri mendalami sesuatu perasaan itu. But don’t dwell on it for too long! Move on! Kalau perasaan itu valid, kita perlu berdepan dan nyatakan dalam keadaan yang kita sendiri sudah bertenang. Memendam hanya menambahkan stress. It requires you a lot of energy to keep a strong feeling to yourself. Lama-lama nanti boleh meletup!
Kita perlu cari hikmah yang tersembunyi dalam setiap apa yang kita rasa. Ada banyak cara untuk kita belajar mencari hikmah. Mungkin dengan kepayahan atau bertemu orang yang lebih sukar diurus emosinya berbanding kita. Jangan sampai Allah uji kita dengan kehilangan. Saat itu nanti kita rindu wajah selamba yang kita fikir tidak pernah mengerti itu. Sedang dalam diam, dialah orang yang penuh pengertian terhadap diri kita yang kompleks ini. Jika tidak masakan dia sanggup berkongsi hidup bertahun-tahun dengan kita. Cuma kita tidak nampak kerana terlalu sibuk melayan perasaan sendiri.
“Sorry ye abang pasal semalam tu?”
“Sorry pasal apa pulak?”
“Alah, sorry jelah pasal apa-apa pun.”
“Ooo okay”
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI