Bila tiada persediaan sebelum menjadi suami begini, rumahtangga boleh menjadi goyah. Ibarat kita bina sebuah rumah tapi tidak menggunakan asas yang kukuh, begitu juga untuk kita membina sebuah kehidupan kekeluargaan.
Siapkan Diri Dengan Pengetahuan Agama Dan Akidah
Persiapan sebelum menjadi suami bagi seorang lelaki yang beragama Islam adalah berkaitan dengan agama dan akidah juga. Ini adalah perkara yang paling penting sebelum berkahwin kerana ia adalah asas dalam kehidupan. Ia juga melibatkan perintah agama yang tidak boleh dipandang ringan.Kursus kahwin juga ada mengajar bagaimana untuk menjadi seorang suami yang tahu tentang agama dan hukum hakam. Bakal suami perlu tahu apa yang boleh apa yang tidak boleh.
Ini untuk mengukuhkan keimanan dalam diri dan bila berkahwin boleh menjadi pembimbing untuk keluarga menuju jalan yang diredhai Allah. Maka rajin-rajinkanlah diri untuk menghadiri dan mendengar majlis ilmu.
Menambah Pengetahuan Tentang Kehendak Seorang Isteri
Banyakkan membaca buku untuk membina pengetahuan bagi menjadi suami terbaik. Atau mungkin boleh bertanya terus kepada mereka yang berpengalaman. Sebagai seorang ketua keluarga,suami harus bijak menangani apa jua situasi agar tiada pihak yang tersinggung. Perkahwinan bukanlah perkara suka-suka sebaliknya suami bakal memikul tanggungjawab yang lebih berat. Sebagai persediaan sebelum menjadi suami, seorang lelaki harus mempelajari ilmu kehidupan untuk dijadikan tiang kebahagiaan hidup berumah tangga.
IKLAN
Persiapkan Diri Dengan Mengubah Sikap Negatif Ke Positif
Sebelum berkahwin, jika seorang lelaki itu tahu dirinya ada pelbagai sikap yang negetif, maka segeralah ubah ke sifat positif. Dan lelaki itu perlu lebih terbuka dalam melakukan perubahan. Cuba buang jauh-jauh sikap negatif yang boleh merosakkan diri sendiri dan juga bakal pasangan dan keluarga. Belajarlah untuk menjadi anak yang terbaik buat ibu, suami yang terbaik buat isteri, ayah yang terbaik buat anak-anak dan menantu lelaki yang baik untuk ibu bapa mertua.
Persiapkan Diri Dengan Menambah Kekuatan Mental
Selepas berkahwin, pasti akan datang pelbagai ujian dan dugaan dalam rumah tangga. Masalah ini mungkin datang daripada suami isteri itu sendiri ataupun orang luar.Jika mental suami tidak kuat, rumah tangga yang dibina boleh hancur dalam sekelip mata. Kerana itu, seorang lelaki perlu mempunyai kekuatan mental, jiwa dan hati supaya mereka mampu mengawal diri dalam menghadapi dugaan dan cabaran bersama isteri dengan bijak dan harmoni.
IKLAN
Persiapkan Diri Dari Segi Kerjaya Dan Harta
Antara persiapan atau persediaan sebelum menjadi suami yang paling utama adalah kerjaya! Bila seorang lelaki mempunyai kerjaya dengan pendapatan yang tetap barulah si isteri juga akan ikut bahagia.Jika masa bujang si lelaki hanya perlu menyediakan bajet untuk diri sendiri, tetapi kini tidak lagi. Selepas berkahwin suami perlu memberi nafkah dan memenuhi keperluan asas keluarganya seperti menyediakan tempat tinggal yang selamat dan lain-lain.
IKLAN
Memang betul mengumpul wang adalah tanggungjawab suami dan tidak salah jika isteri membantu setelah mendapat keizinan suami. Namun sebagai ketua keluarga itu adalah tanggungjawab utama kepada para suami yang dituntut dalam agama.
Siapkan Diri Dengan Kemahiran Hidup dan Komunikasi
Antara kemahiran asas yang penting ialah kemahiran komunikasi. Lelaki atau suami ini harus mengetahui cara komunikasi untuk membuatkan isteri dan anak-anak rasa istimewa. Komunikasi boleh memberi kesan yang besar kepada perkahwinan jika tidak dijaga dengan baik dan diabaikan. Antara kemahiran yang lain seperti pengetahuan tentang kesihatan, baiki barang rosak, bertukang, buat kerja rumah, semua kemahiran itu perlu untuk seorang lelaki dalam persediaan sebelum menjadi suami.
Begitulah jodoh, biarpun sudah bertahun tidak bersua namun jika sudah jodoh tidak ke mana. Begitulah magisnya cinta antara Muhammad Hairulrizal Abu Bakar dan Nor Aimi Nabilla Dato’ Haji Zaimi
“Kami berjumpa buat kali pertama pada 2006 semasa itu, kami baru sahaja berumur 13 tahun. Semasa itu saya datang ke rumahnya di Kedah atas jemputan majlis perkahwinan kakak dan abangnya. Keluarga kami memang sangat rapat seperti keluarga kerana datuk saya berkawan baik dengan ayahnya semasa zaman muda mereka dahulu.
Namun selepas pertemuan kali pertama itu, keluarga kami lost contact selama 10 tahun dan kami berjumpa kembali di Instagram pada 2015 semasa itu kami sudah pun berumur 22 tahun. Tetapi semasa itu Hairul di Algeria atas faktor kerja dan saya di Malaysia masih menuntut pengajian ijazah, jadi selepas beberapa bulan bertanya khabar,bertukar cerita melalui telefon, kami berjumpa buat pertama kali selepas berpisah selama 10 tahun pada September 2015 dan dari situ lah bermulanya detik perkenalan kami kembali,” cerita Aimi.
Hampir dua tahun berkawan sebelum keduanya bersetuju untuk mengikat tali pertunangan dan atas persetujuan kedua-dua ahli keluarga. Selama setahun bertunang kemudian diijabkabulkan pada tanggal 7.9.2018.
Saat dilamar
Bercerita mengenai lamaran, Hairul seorang yang sangat mementingkan kekeluargaan. Dia seorang family man. Pertemuan yang pertama juga bersama ibu bapanya dan lamaran juga dilakukan di hadapan kedua ibu bapanya. “Dia menyatakan hasrat bahawa dia ingin mengahwini saya. Tiada apa yang istimewa, tetapi keikhlasan dirinya untuk menyatakan hasratnya dan restu dari kedua ibu bapa yang membuatkan momen tersebut sangat istimewa bagi saya.
Perasaan memang tidak dapat digambarkan. Sangat terkejut dan ada rasa malu kerana dilamar di hadapan ibu bapanya dan tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi kerana saya merancang untuk berkahwin pada usia 27 tahun. Tetapi aturan Allah itu lebih indah daripada apa yang saya rancang, DIA hadirkan Hairul secara tiba-tiba dalam hidup saya. Sepuluh tahun terpisah kemudian bertemu kembali setelah kami meningkat dewasa membuatkan saya percaya dan yakin bahawa dia adalah jodoh saya kerana Allah tidak akan menghadirkan seseorang dalam hidup kita tanpa sebab,” akui Aimi.
Keistimewaan pasangan
Bagi Aimi, setiap kali memandang dan bersama dengan Hairul mengingatkan dirinya kepada ayah. Hairul sangat menjaga keluarganya terutama ibu bapanya sepertimana ayah saya, membuatkan Aimi yakin yang dia juga dapat menjaga sepertimana dia menjaga keluarganya. Karakter dia banyak membuatkan Aimi jatuh cinta buat kali pertama, cara dia bercakap, berfikir, kematangannya, cara dia membawa diri sangat menyenangi hati dan orang sekeliling malah ibu bapa Aimi juga menyukainya itu yang sangat penting.
Hairul pula terpaut akan kelembutan dan kemanjaan Aimi yang membuatkan dirinya jatuh cinta setiap hari. Selain itu, sikap dia yang sabar dalam hubungan kami membuatkan Hairul lebih yakin untuk memperisterikannya. Walaupun pelbagai ujian datang dalam hubungan, tetapi dia sangat sabar dalam menghadapinya menjadikan keduanya saling menyayangi hubungan yang dibina.
Malam berinai
Tema yang berbeza menyempurnakan setiap majlis. “Pada malam berinai kami memilih tema Bollywood, kerana saya memang sukakan tradisi Bollywood yang berwarna-warni dan meriah. Jadi kami memilih warna merah untuk kedua-dua busana kami dan pengantin lelaki membelinya dari India.
Henna juga dipilih warna merah kerana kebanyakan pengantin di India menggemari inai berwarna merah berbanding putih. Kebanyakan tetamu dan saudara yang datang memakai busana berkonsepkan Bollywood untuk memeriahkan lagi malam berinai tersebut,” jelas Aimi.
Resepsi di sebelah perempuan mengenakan tema English Modern.“Tidak dinafikan setiap perempuan mesti ada angan-angan untuk menjadi seperti puteri di majlis perkahwinannya, begitu juga dengan saya yang mengenakan dress ‘princess cutting’ rona lembut dan veil panjang dari Chenta Concept dan Hairul mengenakan sut yang ditempah sendiri. Berbeza untuk resepsi kedua kami, iaitu mengenakan tema klasik tradisional Melayu. Kami mengenakan busana songket; kebaya riau tradisional berwarna hitam dari Esz Ibrahim untuk menampakkan lagi keaslian klasik tradisional Melayu tersebut.
Pemilihan tema Klasik Tradisional Melayu itu datangnya dari perkahwinan ibu bapa saya iaitu mereka mengenakan busana songket klasik berwarna hitam yang persis sama yang akan dikenakan kami pada majlis tersebut. Jadi bila saya melihat gambar-gambar perkahwinan mereka dahulu yang masih tersimpan rapi, membuatkan saya jatuh cinta dengan tema tersebut ,tambahan pula bagi saya, tema klasik Tradisional Melayu tak akan lapuk ditelan zaman dan tampak indah bila dipakai.
Busana nikah direka khas oleh Bagutta Boutique KL. Saya memilih rekaan Moden Kontemporari yang menampakkan dres saya tampak simple tetapi elegan. Saya sukakan sesuatu yang simple dan bersih tetapi nampak elegan dan eksklusif. Hasilnya memang seperti yang saya impikan membuatkan saya percaya dengan hasil kerja oleh Bagutta Boutique KL kerana mereka telah lama bertampak di dalam industri ini.
Nanytouch pula bertanggungjawab menata rias wajah saya pada hari bersejarah tersebut kerana selesa dengannya dan dia pernah menata rias wajah saya sebelum ini. Saya memang mengenali dia dan pernah menghadiri kelas mekap yang dianjurkan olehnya. Oleh itu , pada majlis besar itu, saya sekali lagi memilihnya dan dia tahu apa yang saya mahukan untuk mekap pada hari tersebut dan sudah mengenali selok belok muka saya.
Sebenarnya, dua hari sebelum majlis nikah, pengantin lelaki mengalami demam panas kerana baru sahaja pulang dari Jepun kerana cuaca sejuk di sana. Jadi pada malam berinai, dia tidak berapa sihat tetapi syukur pada malam nikah, dia beransur pulih,” jelas Aimi.
Keistimewaan majlis perkahwinan
Bagi Aimi, selain daripada hari bersejarah dan momen terindah bagi mereka, ia juga adalah suatu yang istimewa buat kedua-dua ahli keluarga kerana dapat menjalinkan dan mengeratkan kembali hubungan yang terpisah selama sepuluh tahun tersebut. Bukan sahaja penyatuan dua hati menjadi satu, malah penyatuan dua keluarga terjalin kembali. Bagi kami, cukup dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang datang dari jauh dan dekat pada majlis kami, sudah cukup istimewa bagi kami kerana bagi kami, kehadiran mereka yang tersayanglah dapat memeriahkan lagi majlis perkahwinan kami tersebut.
“Cincin perkahwinan saya adalah simbolik dan tanda cinta kami kerana cincin tersebut 100% rekaannya dari suami dan dihasilkan oleh Habib dan disebabkan itu bagi saya cincin itu amat bermakna; tanda kasih sayang dia untuk saya. Dan cincin yang dihasilkan itu juga adalah cincin yang sangat saya impikan selama ini,” akui Aimi.
Tiada harapan dan impian lain bagi setiap pasangan suami isteri mahukan selain daripada kebahagian bersama hingga ke syurga. “Kami bersyukur kerana kedua- dua keluarga merestui hubungan kami, kerana kami yakin bahawa setiap restu itulah yang menjamin kebahagian kami terutamanya restu dan doa daripada kedua dua ibu bapa kami.
Palawan Island ialah destinasi bulan madu kami kerana keunikkan dan keindahan pulau tersebut. Bagi kami, bulan madu adalah waktu untuk kami berehat dan bersama berdua dan disebabkan itu kami memilih Palawan Island kerana destinasinya yang dapat menenangkan fikiran dan jiwa dan juga sunyi berbanding dengan pulau-pulau yang lain. Tambahan pula, kami berdua sukakan ketenangan dan suka mencuba dan explore sesuatu yang baru. Terdapat pelbagai aktivti yang boleh dilakukan bersama di Palawan Island seperti Island Hopping, snorkling yang dapat mengeratkan lagi hubungan kami suami isteri.” jelas Aimi menutup bicara.
MALAM BERINAI
Tarikh: 6.9.18
Lokasi: Taman Cenderawasih Persona (rumah pengantin perempuan)
Tema: Bollywood
Dekorasi pelamin: East Coast Bridal
Busana: sendiri
Solekan & rambut: Nadiaa Adnan
Henna: Fiza Henna Art
Fotografi: By Mawady
AKAD NIKAH
Tarikh: 7.9.18 (malam)
Lokasi: Hotel Sri Manja, Kuantan
Berapa kali lafaz nikah: 1
Tema: Moden Kontemporari
Dekorasi pelamin: East Coast Bridal
Busana: Bagutta Boutique KL (perempuan) & Omar Ali (lelaki)
Mengidam dan ibu hamil sangat sinonim. Keinginan untuk makan sesuatu makanan tidak boleh disekat-sekat bahkan ada yang teringin makan aiskrim di tengah malam.
Mujur sekarang boleh beli di kedai serbaneka yang dibuka 24 jam!
Jadi, sebenarnya mengidam itu mitos atau fakta ya? Jangan risau kerana mengidam ketika mengandung adalah perkara normal. Mengidam biasanya perasan keinginan yang terlalu tinggi untuk makan makanan yang jarang dimakan atau melakukan sesuatu yang pelik.
1. Biasanya ia berlaku pada tiga bulan pertama kehamilan. Dalam kamus perubatan, tiada istilah mengidam ketika mengandung kerana ia bukan disebabkan oleh kesan perubahan hormon bakal ibu.
2. Orang tua kita ada menyebut jika ibu hamil tidak dapat makan apa yang diidamkan, nanti anak yang lahir akan mengeluarkan air liur sahaja. Hakikatnya tiada bukti perubatan membuktikan hal tersebut. Ia sekadar mitos orang tua-tua sahaja kerana mengidam tiada kaitan dengan perkembangan bayi.
3. Agaknya mengapa wanita mengandung sering mengidam? Sebenarnya rasa mengidam yang dialami oleh bakal ibu diakibatkan oleh hormon-hormon yang aktif sepanjang kehamilan iaitu meningkatnya hormon progesteron.
4. Peningkatan hormon tersebut berkait dengan fungsi dan metabolisma tubuh badan dan salah satunya pada organ pencernaan dan pengeluaran air liur.
Jadi, para suami tidak perlu khuatir sekiranya tidak dapat memenuhi permintaan mengidam isteri yang sedang mengandung. Ini kerana apa yang diidamkan isteri tidak ada hubungan dengan janin yang dikandung. Misalnya jika mengidam makan makanan yang manis tentu sahaja ia tidak elok dijadikan amalan kerana meningkatkan risiko obesiti ketika hamil.
Bagaimanapun tidak salah suami memenuhi keinginan ibu hamil yang mengidam makan sesuatu asalkan sahaja makanan tersebut tidak memudaratkan bakal ibu dan bayi dalam kandungan dan jangan dimakan berlebihan.
Hakikatnya mengidam itu hanyalah mitos dan bakal ibu boleh mengalihkan perasaan tersebut dengan perkara lain seperti menyibukkan diri dengan melakukan hobi memasak atau menonton televisyen dan sebagainya.
Lafaz ucapan merupakan suatu kata-kata yang disuarakan oleh seseorang bagi menyampaikan maksud yang hendak dikatakan. Dalam perkahwinan, lafaz memainkan peranan penting terutama bagi menjayakan acara akad nikah dan juga memberikan kesan dalam hati atas apa yang diucapkan.
Berikut adalah di antara lafaz-lafaz ucapan yang baik untuk diamalkan dalam sesuatu majlis akad nikah :
1) Lafaz Penyerahan Mas Kahwin Pengantin Lelaki
Selepas selesai akad nikah, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin kepada pengantin perempuan dengan mengucapkan lafaz : Lafaz Penyerahan Mas Kahwin Pengantin Lelaki
“Adalah saya (nama pengantin lelaki) suami kepada (nama pengantin perempuan) yang telah menerima tanggungjawab, dengan ini menyerahkan kepada isteriku mas kahwin (nilai mas kahwin) tunai. Oleh itu isteriku hendaklah dikau menunjukkan taat setia kepada diriku sebagai suami dan mengikut segala perintah dan nasihatku selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum Islam.”
Kemudian dikehendaki suami memegang ubun-ubun isteri dengan tangan kanan lalu membaca ‘Basmalah’ dan doa.
2) Lafaz Penerimaan Mas Kahwin Pengantin Perempuan
Setelah selesai penyerahan tersebut isteri hendaklah mencium tangan suami dengan berdoa di dalam hati “Ya Allah! Jadikanlah suamiku ini suami yang soleh dan pembimbing yang baik di dunia dan akhirat.” Kemudian barulah isteri membaca lafaz penerimaan mas kahwin :
Lafaz Penerimaan Mas Kahwin Pengantin Perempuan
“Adalah saya (nama pengantin perempuan), isteri kepada (nama pengantin lelaki) dengan penuh kesyukuran menerima mas kahwin ini sebagai tanda ikatan murni dan suci. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada suamiku dan mengharapkan agar suamiku sentiasa memberi bimbingan dan nasihat serta tunjuk ajar demi kepentingan dan kebahagiaan bersama. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha dari Allah سبحانه وتعالى.”
3) Penyerahan Tanggungjawab Wali Kepada Pengantin Lelaki
Dilaku dan dibacakan oleh wali pengantin perempuan atau wakilnya serta disaksikan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Lafaz penyerahan tanggungjawab tersebut adalah seperti berikut :
Lafaz Penyerahan Tanggungjawab Wali Pengantin
“Adalah saya (nama wali pengantin perempuan), wali kepada nama pengantin perempuan dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, perlindungan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepada kamu (nama pengantin lelaki) sebagai suami yang sah. Semoga diberkati oleh Allah سبحانه وتعالىke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungan kamu serta zuriat keturunan kamu. Amin…”
4) Pesanan Ibu Kepada Anak Perempuan
Lafaz pesanan berikut dibaca oleh ibu kepada pengantin perempuan : Lafaz Pesanan Ibu Kepada Anak Perempuan
“Anakku (nama pengantin perempuan), hari ini kamu akan berpindah dari naungan dan perlindungan ayah ibu ke suatu alam yang baru di bawah naungan suamimu. Ayah ibu telah mendidik dan mengasuhmu sebaik mungkin untuk menjadikan dirimu seorang anak yang solehah. Hari ini ayah ibu mengharapkan kepadamu untuk melaksanakan segala tunjuk ajar dan nasihat ayah ibu selama ini. Jadikanlah dirimu seorang isteri yang solehah nescaya suamimu akan menjadi teman yang mesra kepadamu. Berikanlah khidmat dan ketaatanmu kepadanya dengan jujur dan ikhlas. Hendaklah kamu menjaga perkataanmu dan budi pekertimu serta tingkahlaku terhadapnya. Jagalah maruah dirimu dan jagalah maruah keluargamu. Taatilah Allah سبحانه وتعالىsepanjang hidupmu, semoga Allah memberikan ketabahan, keafiatan, ketenangan dan kebahagiaan kepada kamu. Ayah ibu memohon kemaafan di atas segala kesilapan dan kesalahan semasa mendidikmu…”
5) Lafaz Ucapan Terima Kasih Dari Anak Perempuan
Lafaz ucapan terima kasih berikut dibaca oleh pengantin perempuan kepada ibu bapanya : Ucapan Terima Kasih Dari Anak Perempuan
“Wahai ibu ayah, budi dan jasamu selama ini tidak dapat saya balas. Hari ini saya akan berpindah dari naungan dan perlindungan ibu ayah ke suatu alam baru yang belum saya tahu. Saya memohon doa restu ibu ayah agar saya dapat menghadapi segala cabaran rumahtangga dengan sabar dan redha. Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga di atas segala bimbingan, nasihat serta kasih sayang yang tidak ternilai. Saya memohon ampun maaf di atas segala kesilapan dan kesalahan saya selama berada bersama ibu ayah. Terima kasih ibu ayah..”
Kemudian salam dan cium tangan ibu bapanya.
6) Lafaz Ucapan Penerimaan Tanggungjawab Lelaki
Lafaz ucapan berikut dibaca oleh pengantin lelaki sebagai menerima tanggungjawab terhadap isteri : Ucapan Penerimaan Tanggungjawab Lelaki
“Dengan ini saya (nama pengantin lelaki), suami yang sah kepada (nama pengantin perempuan) bersyukur kepada Allah سبحانه وتعالىdi atas anugerah nikmat Iman, Islam, kesihatan dan isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis akad nikah ini. Oleh itu, mulai saat ini saya menerima tanggungjawab sebagai suami kepada isteri saya (nama pengantin perempuan) dan akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut
1) Memberi nafkah zahir dan batin.
2) Penjagaan dan perlindungan yang sempurna.
3) Keselamatan yang terjamin.
4) Memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai Allah سبحانه وتعالى.
Saya mengharapkan doa restu dari semua pihak terutama ibu bapa tersayang dan ibu bapa mertua saya. Semoga perkahwinan ini mendapat restu dan redha Allah سبحانه وتعالى.”