
Semua orang boleh lakukan sendiri dengan syarat yakin saja pada ALLAH !
TANDA-TANDA RUMAH BERMASALAH :
* Kedengaran bunyi guli jatuh
* Kedengaran seperti orang tarik perabot di waktu malam
* Masakkan cepat rosak dan basi
* Kerap bergaduh suami / isteri
* Kedengaran suara orang memanggil
* Tempat berbau busuk atau kemenyan
* Sering nampak kelibat atau bayangan
*Perniagaan merosot secara mendadak
* Suasana muram dan malam
* Bayi sering menangis
CARA – CARA BERSIHKAN / PAGAR RUMAH :

- Bersihkan rumah dari segala unsur maksiat / tangkal / azimat / gambar bernyawa dan sepertinya.
- Seeloknya rawatan ini dilakukan ketika waktu margrib / selepas margrib atau malam.
- Berdiri di tengah-tengah rumah/premis, mulakan dengan azan dengan nada yang kuat. Kalu boleh biar 1 rumah dengar. Kaedah azan pula, suara hendaklah kuat dan deras. Tidak perlu beralun atau berlagu.
- Bacakan doa perjanjian Nabi Sulaiman as dengan kaum jin. Saya juga ada sertakan di bahagian komen pertama. Bacaan ini hendaklah diulang sekurang-kurangnya 3 kali. Dibaca dengan nada yang keras dan kuat (seperti mengarahkan penceroboh keluar dari rumah kita)
أُنَاشِدُكُمْ بِالْعَهْدِ الَّذِي أَخَذَهُ عَلَيْكُمْ سُلَيْمَانُ أَنْ تَخْرُجُوْا وَتَرْحَلُوْا مِنْ بَيْنِنَا.
أُنَاشِدُكُمُ اللهَ أَنْ تَخْرُجُوْا وَلَا تُؤْذُوْا أَحَدًا.
- Baca ayat qursi dengan 9 wakaf (kaedah 9 kali behenti), sambil berjalan keliling rumah mengikut pergerakan tawaf Kaabah. Ketika ini boleh juga disertakan dengan kaedah merenjis rumah dengan air ruqyah atau paling mudah anda boleh bancuhkan mandian bidara syifa yang telah kita bacakan doa.
- Berdiri di satu penjuru rumah sambil menghadap penjuru rumah satu lagi. Baca surah al fatihah diikuti surah yassin ayat 1 – 9. Sambil baca sambil berjalan menuju penjuru rumah satu lagi (ikut arah seperti tawaf juga). Baca kombinasi ini di setiap penjuru sampai bertemu penjuru permulaan.
- Bacalah doa-doa di atas dengan penuh pengharapan dan keyakinan kepada ALLAH. Jangan pernah takut dengan gangguan jin. Jin suka manusia yang takut kepada mereka. Takutlah saja kepada ALLAH.
Lakukan kaedah di atas sekurang-kurangnya 3 kali berturut-turut. InsyAllah anda akan terasa perubahannya.
SHARE KEPADA KELUARGA / RAKAN-RAKAN ANDA. SANGAT BERMANFAAT UNTUK MEREKA SEMUA.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Telekung Siti Khadijah Sebagai Barang Hantaran Paling Disukai Wanita, Inilah Kehebatan Pemiliknya

Kewibawaan Padzillah Enda Sulaiman dalam meneraju bidang keusahawanan telah mendapat pengiktirafan di tanah air tercinta iaitu ;
#1- Women Entrepreneur Award 2016
#2- Anugerah Usahawan Wanita E50 2017
#3- Menerima Anugerah Perdana dan Anugerah Pemasaran Digital oleh SME Corp
#4- Anugerah Superbrand Deloitte, yang meletakkan jenama Siti Khadijah sebaris dengan nama besar seperti 7 Eleven dan Bank CIMB.
Pengiktirafan yang diperoleh ini bukanlah satu nikmat yang dikecapi dalam masa sehari semalam. Ada kesungguhan, kegagalan, pengorbanan dan seribu satu cabaran yang dilalui dan didepani.
Di sebalik kejayaan jenama Siti Khadijah, ada watak utama seorang wanita yang punyai impian yang besar dan kecekalan hati yang tinggi.
Penghasilan telekungnya bukan hanya bermatlamatkan keselesaan, malah ia memenuhi tuntutan ukhrawi iaitu sebagai pelaburan untuk saham akhirat.
Mari kita dekati rahsia kejayaan Puan Padzillah Enda Sulaiman, pengasas jenama Siti Khadijah.
#1 – Bermula Dengan Minat
Benarlah kata orang, tiada apa yang mustahil bagi orang yang mempunyai minat dan semangat untuk berjaya.
Semasa di peringkat sekolah menengah rendah lagi, Padzillah begitu cenderung untuk menjahit. Walaupun tidak mengambil aliran sains rumah tangga, keinginan beliau untuk menjahit dan menghasilkan sesuatu daripada seni jahitan tangannya sendiri begitu tinggi.
Demi memenuhi permintaan seorang anak saudaranya yang ketika itu berusia lapan tahun, Padzilllah berjaya menghasilkan sehelai maxi (baju labuh) yang kemas, cantik dan rapi jahitannya, tanpa menggunakan mesin jahit.
Dengan minat beserta bakat yang ada, Padzillah tidak mahu mempersiakan anugerah yang telah diberi Ilahi.

#2 – Nekad Demi Bebas Dari Cengkaman Kemiskinan
Beliau merupakan anak bongsu daripada 13 orang adik beradik. Dilahirkan di Kampung Pekan Lama, Sungkai, Perak, sebuah kampung yang letaknya jauh di pedalaman.
Ibu beliau meninggal dunia ketika melahirkannya. Kehidupan di kampung yang amat mundur, tiada bekalan air dan elektrik, tiada jalan tar yang sempurna menyebabkan beliau ingin cepat keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.
Kehidupan yang penuh sukar di kampung mendorongnya untuk gigih berusaha menamatkan pelajarannya hingga ke Tingkatan Lima.
Beliau juga sentiasa mengimpikan bakal suami yang terpelajar dan daripada golongan berada untuk merasai nikmat kehidupan yang lebih senang dan terjamin.
#3 – Mengutamakan Keselesaan Beribadat
Setiap kali Ramadhan menjelma, beliau pasti membeli sehelai telekung baharu untuk mengerjakan ibadah tarawih.
Baginya, untuk ibadah yang memakan masa yang agak lama seperti solat tarawih, haji dan umrah, pemakaian telekung haruslah selesa, menepati syariat dan juga nampak menawan untuk si pemakai.
Kecewa kerana tiada satu telekung pun yang menepati citarasa beliau, setiap telekung yang dibelinya pasti diubah suai terutama sekali di bahagian muka agar tampil kemas, selesa dan anggun.
Siapa sangka, tabiatnya itu mula mendapat perhatian seorang rakan, mencadangkan beliau memulakan perniaagaan telekung secara komersial.

#4 – Siti Khadijah A.S Sebagai Aspirasi
Bagi Padzillah, nama Siti Khadijah A.S mempunyai nilai penjenamaan yang tersendiri. Siapa yang tidak mengenali ikon srikandi solehah yang amat dekat pada hati Rasulullah S.A.W.
Figura ini adalah insan agung yang menjadi suri teladan bagi wanita Islam, isteri yang setia, usahawan ternama yang disegani yang sentiasa dipandang tinggi oleh Rasulullah S.A.W.
Padzillah mahu jenama Siti Khadijah sentiasa meniti di bibir dan melekat di hati pelanggan.
“Ingat telekung, ingat Siti Khadijah.”
#5 – Menggunakan Pelbagai Medium Pemasaran
Memulakan perniagaannya pada tahun 2009, Padzillah dibantu oleh anak sulungnya, berjaya membuka domain perniaagaan atas talian, www.sitikhadijah.com.
Beliau juga berhubung rapat dengan wartawan akhbar arus perdana untuk mempromosikan produk telekungnya.
Ternyata strategi promosi beliau berjaya apabila salah seorang pelanggan telekung Siti Khadijah merupakan seorang penerbit rancangan Wanita Hari Ini (WHI) yang bersiaran di TV3.
Beliau dijemput sebagai tetamu di WHI dan dari situ permintaan telekung Siti Khadijah meningkat di luar jangkaan, mengatasi bekalan telekung.
Pada tahun 2014, Siti Khadijah menerima tawaran untuk muncul dalam rancangan Astro Go Shop.
Bermula dengan 50,000 pasang telekung yang ditempah secara belian terus oleh Go Shop, jalinan perhubungan perniagaan antara Siti Khadijah dan Go Shop diteruskan. Terkini, jualan melalui Go Shop melebihi 10 juta ringgit.
#6 – Ujian Dalam Bisnes
Padzillah memulakan perniagaan telekungnya bermodalkan RM10,000 dengan sejumlah 200 pasang telekung yang dijahitnya sendiri.
Sasaran awal pelanggan pada masa itu ialah syarikat-syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji dan umrah.
Ternyata rezeki tidak menyebelahi beliau kerana syarikat-syarikat yang ditemuinya berpendapat telekung Siti Khadijah terlalu eksklusif dan mahal harganya.
Namun, kegagalan beliau sebenarnya bukan kerana masalah harga yang mahal dan premium, tetapi kegagalan dalam menentukan sasaran pelanggan.
Setelah mempromosikan telekungnya di dalam ruangan akhbar perdana dan media massa, bertali arus panggilan dan tempahan yang diterima oleh beliau.
Beliau juga pernah menyaman sebuah syarikat jualan langsung antarabangsa pada tahun 2010 atas dakwaan meniru rekaan produk jenama Siti Khadijah yang sudah pun didaftar di bawah reka bentuk hak cipta dan industri.
Dengan kesabaran dan kesungguhan, beliau memenangi kes tersebut.
#7 – Tip Bisnes
Padzillah berpendapat setiap orang mempunyai potensi untuk berniaga. Tanamkan minat dan kesungguhan terlebih dahulu dan sentiasa mencipta peluang.
Asah bakat yang ada supaya ia tidak terhakis dan hilang begitu sahaja. Bakat juga boleh dibentuk dengan keazaman yang tinggi. Pesan Padzillah kepada individu yang ingin memulakan bisnes;
“Seseorang itu perlu berfikiran positif, memiliki kekuatan dalaman, berani, tidak mudah putus asa, rajin mencari ilmu dan sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.”
#8 – Mengaplikasikan Blue Ocean Strategy
Pembabitan awal Padzillah dalam perniagaan menjahit telekung menimbulkan banyak tanggapan negatif.
Orang sekeliling mempersoalkan yang produk telekung sudah banyak di pasaran. Ada juga yang terkejut dengan keputusan beliau.
Namun, beliau menepis kata-kata yang tidak membina dan negatif itu dengan bijaksana. Dengan merujuk kepada Blue Ocean Strategy, perniagaan produk telekung sememangnya sudah banyak di pasaran.
Pengusaha bisnes telekung dikatakan berada di dalam samudera merah, masing-masing perlu bersaing dan memastikan produk mereka kekal bertahan dan mendapat sambutan.
Baginya, tidak salah untuk terjun ke samudera merah, tetapi pastikan para pengusaha ini berenang ke samudera biru yang lebih cantik dan mendamaikan.
Di sini, perlu ada daya kreativiti dan inovasi daripada para pengusaha dalam penghasilan produk mereka. Di dalam samudera biru, produk mereka ada keistimewaan dan keunikan dalam kelas yang tersendiri.
#9 – Sokongan Daripada Suami Dan Keluarga
Padzillah bertuah kerana suami dan enam orang anaknya yang kesemuanya lelaki terlibat dalam membangunkan jenama Siti Khadijah.
Menantunya juga menjadi model untuk produk telekung yang dihasilkan. Beliau amat berbangga dengan anak sulungnya, Mohammad Muzammil yang sentiasa aktif mempelajari, menambah ilmu dan mengikuti kursus-kursus keusahawanan untuk memajukan perniagaan.
Mengimbas kembali pengalaman membesarkan anak-anaknya, Padzillah sentiasa menitikberatkan didikan agama.
Beliau dan suami berusaha untuk memberikan contoh yang terbaik untuk anak-anak mereka. Ternyata kesungguhan dan keikhlasan Padzillah dan suami dalam mendidk anak-anaknya membuahkan hasil yang baik.
Padzillah adalah ikon usahawan wanita yang patut menjadi contoh kepada pengusaha-pengusaha wanita yang lain.
Dalam keghairahan memajukan bisnesnya, beliau tidak lupa tanggungjawab kepada ibu, bapa, suami dan anak-anak. Baginya, rahsia kejayaan dan kebahagian itu terletak pada restu ibu dan bapa.
Jalankanlah tanggungjawab yang diamanahkan tanpa rungutan dan pertikaian. Hanya Allah yang menentukan sebaik-baik ganjaran.
SUMBER : Azian Mohamed Isa
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Soalan ‘Panas’ Yang Orang Suka Tanya Pada Pasangan Baru Kahwin

Kadangkala, soalan yang ditanya oleh orang sekeliling buat anda jadi letih dan penat untuk mendengar serta menjawab soalan mereka. Sewaktu masih belum kahwin, antara soalan yang kerap ditanya oleh orang sekeliling adalah ‘bila nak kahwin?’. Bila dah kahwin, lagilah banyak soalan yang ditanya.
Bukan apa, soalan-soalan yang ditanya kadangkala agak sensitif hingga boleh menyinggung perasaan kita dan pasangan. Ingatlah, ketika berkahwin, banyak lagi perkara yang perlu anda tempuh. Perkahwinan bukan penamat dalam perhubungan cinta tetapi baru sahaja permulaan.
Berikut merupakan antara soalan yang kerap ditanya ketika anda baru kahwin:
1. Perancangan Anak

Soalan yang paling kerap ditanya dan merupakan soalan yang paling sensitif. Anak bukanlah petanda kebahagiaan sesebuah perkahwinan seseorang itu. Ada yang baru je seminggu kahwin, dah ditanya dengan soalan sebegini. Eh memang stress lah!
2. Pendapatan Pasangan

Alahai, kenapalah sibuk nak tahu tentang gaji suami orang. Tak perlu kot nak tanya soalan begitu. Soalan yang kerap ditanya, ‘berapa gaji suami kau?, ‘mampu ke dia nak tanggungh hidup kau?’. Yang sibuk nak tahu sangat tu kenapa eh?
3. Kisah Mentua

Hati-hati dengan mereka yang bermulut macam ‘makcik bawang’ ni. Mereka cuba untuk mengorek hal rumah tangga kita dan cuba untuk buat kita bertelagah dengan keluarga mentua. Akhirnya, kita sendiri yang susah. Biasalah kalau tak ‘sekepala’ dengan mentua. Baru lagi kan. Dah lama-lama nanti okay lah tu.
Apa Perlu Buat Bila Dapat Soalan Macam Ni?
Pertama sekali, anda senyum dahulu demi menyejukkan hati yang sedang panas tu. Kemudian, jawab soalan dengan bersahaja dan berdasarkan fakta. Contohnya, ‘bila nak ada anak?’, anda jawab ‘kalau Allah nak bagi anak nanti, adalah. Doa je yang baik-baik.’
Cukup sahaja jawab begitu dan tak perlu nak lebih-lebih. Nanti kita sendiri yang sakit hati. Paling penting, update pada pasangan anda dan jangan disimpan di dalam hati. Biar pasangan tahu apa yang sedang anda alami.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mengetahui Waktu Subur Jika Ingin Mengelak Atau Mendapatkan Zuriat

Sering kali kedengaran wanita mengeluh kerana kitaran haid yang tidak tetap setiap bulan. Malah ada yang mengalaminya hanya setiap dua atau tiga bulan sekali menyebabkan mereka sukar untuk menentukan tahap kesihatan tubuh badan secara fizikal serta mengetahui waktu yang subur jika ingin mengelak atau mendapatkan zuriat.
Apakah maksud kitaran haid? Ia merangkumi tiga perkara iaitu:
Kitaran berkala
Pengovulan
Haid
Kitaran haid ialah kitaran bulanan berkala yang melibatkan pengovulan dan haid. Pengovulan pula merujuk kepada proses telur yang matang dibebaskan daripada ovari wanita. Manakala haid pula terjadi apabila telur tidak disenyawakan oleh sperma lalu ia mati dan berdarah serta dikeluarkan daripada dinding uterus melalui faraj.
Kitaran haid yang normal bermula dari hari pertama haid sehingga kitaran haid yang akan datang berlaku dalam jangka masa antara 21 hingga 35 hari dan tempoh haid pula ialah sekitar 2-7 hari.
Corak kitaran haid akan dapat menentukan kesihatan wanita, potensi pembiakan dan gejala penyakit organik jika seseorang wanita mengalaminya seperti kanser pangkal rahim, rahim, polip, fibroid dan sebagainya.
Seseorang wanita yang mengetahui kitaran haid dengan baik dan tepat agak mudah untuk mengenali waktu subur wanita jika bercadang untuk hamil. Jika sebaliknya berlaku, mungkin wanita tersebut mengalami beberapa isu kesihatan yang perlu ditangani, selain mengambil langkah-langkah tertentu agar ia tidak menjadi ke tahap yang lebih merbahaya.
Jika kitaran haid tidak berlaku dan ia mengesahkan bahawa tiada unsur kehamilan, ini bermakna bahawa wanita tersebut mempunyai kitaran haid yang tidak teratur. Namun, proses ovulasi masih boleh berlaku cuma kitaran haidnya sahaja yang tidak teratur. Jika wanita tersebut tidak mengalami proses ovulasi tetapi berhasrat untuk hamil, maka sewajarnya dia mendapatkan khidmat pakar perunding atau profesional perubatan.
Secara umumnya terdapat dua perkara yang berlaku semasa proses kitaran haid:
Proses bermula interaksi daripada otak yang mengeluarkan hormon
Dinding uterus mula menebal dan diperkaya dengan salur darah untuk persediaan penempelan embrio
Sakit dalam kitaran haid
Sakit sebelum haid – darah turun ke bahagian pelvik, perut mungkin rasa seperti sedikit kembung dan tidak selesa.
Sakit semasa mentrual – ia bukan petanda yang baik. Darah tidak boleh keluar sepenuhnya dan sesetengah wanita mengalami aliran bertentangan menyebabkan darah terperangkap dalam ovari atau tiub berhampiran kawasan itu. Agak sukar untuk hamil jika ia berlaku dan perlu berjumpa dengan doktor segera.
Jika wanita mengalami sedikit ketidakselesaan dan sakit yang ringan sama ada di sebelah kiri atau kanan sekitar bahagian abdomen dan kesakitan dirasai selama setengah hari atau lebih dan lega kemudiannya, ia bermakna bahawa ovulasi bermula serta masa yang sesuai bagi pasangan untuk bersama. Jika mengalami sakit yang teruk, segera berjumpa dengan pakar sakit puan untuk mendapatkan rawatan.
Namun jika seseorang wanita itu menghadapi tekanan kerana runsing terhadap sesuatu perkara, otak akan memberi isyarat untuk menghentikan seketika hormon daripada dihasilkan dan proses ovulasi tidak dapat berlaku.
Jika tekanan bukan penyebab utama, doktor akan memeriksa ovari jika wanita tersebut mempunyai masalah kesihatan yang lain kerana ia merupakan organ penting yang mengeluarkan telur setiap bulan kepada wanita.
Analisa diri sendiri juga boleh dilakukan dengan mengambil bacaan suhu badan. Waktu yang disarankan ialah setiap pagi selepas bangun tidur dan terus mengambil bacaan suhu badan. Jika ada peningkatan sebanyak 0.25 Celsius, ini bermakna proses ovulasi sedang berlaku.
Jika perubahan kitaran pendek dari tempoh mula kitaran yang normal iaitu 21-35 hari, ia masih boleh diterima namun jika ia berlarutan lebih daripada tiga bulan, pemeriksaan lanjut daripada pakar amat disarankan.
Kepada pasangan yang bakal berkahwin dan bercadang untuk hamil dalam masa terdekat namun mempunyai kitaran haid yang tidak teratur, beberapa rawatan yang boleh dilakukan termasuk:
Pengambilan ubat clomid selama lima hari setiap kitaran, sebanyak 50 peratus daripada wanita akan melalui proses ovulasi dan berjaya hamil
Suntikan
Permanian berhadas (IUI)
Persenyawaan in vitro (IVF)
Kitaran haid dan hormon yang mempengaruhi emosi wanita.
Contoh jadual kitaran haid, subur serta ovulasi.
Oleh : Dr. Tee Swi Peng,
Perunding Kesuburan
Metro IVF, Klang, Selangor
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

