
Tiada pasangan bersesuaian antara alasan utama wanita lewat berkahwin walaupun kebanyakan mereka menyatakan keinginan mendirikan rumah tangga, pada usia muda.
Kajian Keluarga dan Penduduk Malaysia Kelima 2014 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), menunjukkan 35.7 peratus wanita bujang memberikan alasan itu menjadi punca mereka membujang.
Bagaimanapun lelaki dan wanita bujang memberikan tiga alasan utama termasuk tidak jumpa pasangan sesuai sehingga bergelar anak dara tua (andartu).
“Kebanyakan mereka bersetuju usia dianggap sesuai berkahwin bagi wanita ialah 26 tahun, manakala lelaki 28 tahun. Wanita yang mencapai usia 33 tahun disifatkan sebagai lewat berkahwin, manakala lelaki pula pada usia 37 tahun.”
Tidak seperti lelaki yang menjadikan masalah kewangan sebagai sebab utama mereka masih membujang, hanya 26 peratus wanita tidak berkahwin menjadikan faktor kewangan sebagai alasan tidak mendirikan rumah tangga.
Dalam kajian sama, 56 peratus lelaki bujang memberikan alasan faktor kewangan menjadi sebab utama mereka masih tidak berkahwin.
“Kira-kira 18.1 peratus wanita bujang menjadikan faktor mengejar karier sebagai sebab mereka lambat berkahwin, manakala 9.4 peratus lelaki memberi alasan mahu mendahulukan kerjaya,
47.1 peratus wanita memilih sifat tanggungjawab sebagai kriteria utama mencari calon suami.
“Ternyata wanita tidak hanya melihat faktor kewangan semata-mata sebaliknya mereka lebih mengambil kira soal nilai murni yang ada pada lelaki supaya mampu menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.”
Ramai wanita berpendidikan tinggi, sebilangannya berkahwin lewat dan sekali gus akan lewat membina keluarga atau mendapat anak.
Berbeza pada tahun 70-an, tidak ramai wanita yang melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi, berbanding sekarang menyebabkan kehidupan mereka ketika itu hanya mengurus anak.
Berbekalkan pendidikan tinggi, wanita kini mempunyai kerjaya tinggi dan sesetengahnya tidak kisah jika lambat berkahwin kerana sibuk mengejar kejayaan lebih baik untuk masa depan.
“Bidang kerjaya juga menyaksikan wanita sudah mampu memegang jawatan tinggi dan tidak bergantung kepada lelaki untuk mencari rezeki.
“Jika dulu kebanyakan wanita tidak memiliki kerjaya dan bergantung sumber pendapatan suami. Kini kerjaya wanita jauh lebih hebat. Justeru untuk mereka bergantung kepada lelaki begitu minimum dan hampir pupus.”
Kelewatan berkahwin menyebabkan mereka akan lewat mendapat anak dan apabila sudah pencen, anak masih bersekolah dan perlu menanggung mereka menjadikan ia situasi yang sukar.
“Dulu masa muda sibuk mencari pekerjaan sesuai, tetapi selepas berjaya sibuk pula dengan kerja. Masa terus berlalu menjadikan kita leka dengan tugas ini, akhirnya umur meningkat.”
Suami Perlu Faham ‘Bahasa Terbalik’ Dari Isteri Sebelum Dia Buat Muka

Bila masuk ke gerbang perkahwinan, satu lagi cabaran yang perlu para suami lalui iaitu memahami isi hati tersirat seorang isteri. Mungkin sedikit complicated, tetapi itulah yang perlu anda hadapi bila bergelar suami. Apa yang disampaikan isteri itu bukan 100% apa yang ingin dia maksudkan, sukar bukan? Itulah isteri ciptaan unik dari Allah yang diamanahkan untuk suami menjaganya. Ikuti perkongsian Syaizul Amal ini yang membantu para suami supaya tidak terlalu lurus dalam urusan kehendak bini.

.
PEREMPUAN SUKA CAKAP TERBALIK, ORANG LELAKI DENGAR MACAM PELIK]
Satu petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”. Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulaipun ada lagi tu. Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”.
Kalau diikutkan jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi tindakannya berlainan. Siisteri masuk ke bilik terus menukar baju dan membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik tidurnya.
Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang dibawa daripada pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah tu.
Setiba di gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”. Pantas suaminya menjawab, “Char kue teow”.
Ditegur isterinya, “Ish Abang ni, mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char kue teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang tengah lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je la”.
Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan lantas memesan bihun sop untuk dirinya.
Sedang mereka menjamu selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan menjerat, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih tunduk menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”. Terus melicinkan char kue teow kegemarannya itu.
Apabila isterinya melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak tu makan, bukan nak ingatkan saya”. Tergamam suami mendengarnya terus membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”.
.
Sambut isterinya, “Dah cakap tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan lagi satu”.
Suara masing-masing mula meninggi. Isteri merasakan suasana romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya malam itu.
Bagi si suami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istimewa daripada isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan peperangan dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
Kebiasaan wanita, apabila mereka berkomunikasi, mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa Inggeris “beats around the bush”.
Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005) berjudul “Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter” mengatakan binaan otak wanita yang memang telah diprogramkan memiliki lebih “white matter” yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan ‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini.
Bercakap adalah asas perhubungan yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrontasi secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa.
Wanita memang suka menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama sekali kepada orang yang dia sayangi. Bagi mereka, jika orang yang dia sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu dilabelkan sebagai seorang yang romantik.
Sebagai contoh kalau mereka berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya berasa lapar. Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai makan. Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan untuk memberitahu suami yang mereka lapar.
Mereka tidak sanggup mengungkapkan perkataan, “Abang saya lapar, berhenti di kedai makan depan itu sekarang”. Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti berikut, “Abang tak lapar ke?”.
Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai depan tu kan, sedap masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu sedapkan Abang”. Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan lelaki tidak faham.
Maka suami yang romantik ialah apabila sahaja dia mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan mahu makan. Tanpa bersoal jawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya ke halaman deretan kedai makan dan mencari pakir yang dekat dengan restoren yang dia sebut tadi.
.
Namun kebanyakan lelaki tidak faham dengan bahasa-tidak-terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih sepuluh kali “grey matter” daripada wanita yang tugasnya hanya memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang berlapik-lapik ini.
Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat daripada apa yang tersurat. Oleh itu, jika isterinya beri isyarat. “Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicopkan sebagai tidak romantik.
Berbalik kita kepada kisah yang mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan kepada suaminya, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud, “Abang, saya nak rasa sikit char kue teow tu”.
Dan sebaik-baiknya, tanpa soal jawab, suaminya itu terus menukar piring char kue teownya dengan mangkuk bihun sop isterinya. Selepas minum separuh, suami itu juga menukarkan gelas minuman milo aisnya dengan minum isterinya.
Suami yang berbuat demikian dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya dipuji kerana memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas kerana dapat merasai dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan harga yang dibayar oleh seorang mengikut perkiraan wanita.
Berikut saya paparkan sedikit daripada ungkapan bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan panduan kepada suami jika dia terdengar isterinya:
1. Bila suami mengajak isterinya pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab, “Tengoklah”. Besar kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.
2. Bila suami isteri sedang berbincang untuk membeli atau memberikan sesuatu kepada isteri, tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai masalah hingga isterinya seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”. Sebenarnya apa yang dia maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga benda itu.
3. Bila suami pulang dari kerja dan sesampai di pintu, isterinya menegur suaminya, “Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak faham, pasti akan menjawab apa yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka kecewalah isterinya itu kerana maksud sebenar ialah dia hendak mengajak suaminya keluar masa itu juga.
Mengapa orang lelaki tidak faham bahasa perempuan ini ialah kerana kebiasaannya orang lelaki berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek, terus, tepat kepada maksudnya dan penuh dengan fakta.
Lelaki dengan watak kepimpinan dan penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk mendapatkan kuasa dan sokongan daripada orang lain.
Di dalam perniagaan, cara komunikasi sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan keberkesanan perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan untuk berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang sopan dan tidak beradab.
.
Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah:
1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa badannya.
2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.
3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti. Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.
4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya.
Kepada isteri pula:
1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas barannya mengganas.
2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan keperluan anda.
Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.
Selamat mencuba.
Pak Utih
Masuk Umur 40, Perangai Lama Masih Tak Berubah, Selamanyalah Kita Akan Sama Begitu

Allah swt. berfirman yang maksudnya, ""Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)
Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat ini. Pada usia inilah manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya. Benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.
Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.
Pada ayat yang lain, firman Allah yang maksudnya, "Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan?" (al-Fathir: 37)
Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-sungguh.
Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu: (maksudnya) "Kematangan".
Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian. Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini.
Bahkan Nabi s.a.w, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas: “Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).
Nabi Muhammad saw. diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun. Begitu juga dengan nabi2 yang lain, kecuali Nabi Isa as. dan Nabi Yahya as.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting.
Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
1. Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh).
2. Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun).
3. Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun).
4. Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati).
Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh.
Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama.
Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.
Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW; "Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya). Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya. Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya. Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi. (riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah swt. sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah swt. akan meringankan hisabnya.
Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapatkan keistimewaan berupa hisabnya diringankan. Tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga. Ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja.
Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal keburukannya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”
Imam asy-Syafi’i tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”
Lantas, apa yang harus kita lakukan ketika menginjak usia 40 tahun?
1. Meneguhkan tujuan hidup
2. Meningkatkan daya spiritual
3. Menjadikan uban sebagai peringatan
4. Memperbanyak bersyukur
5. Menjaga makan dan tidur
6. Menjaga istiqamah dalam ibadah.
Jika ada yang mengatakan bahawa, Life began at fourty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya.
Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia. Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sialah hidup kita jika umur kita tidak panjang.
Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W, "Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati".
Pasangan Pengantin Baru, Dah Betul-Betul Decided Nak Raya Rumah Siapa Dulu Tahun Ini?

Perkara ini biasanya menjadi pertelingkahan di antara pasangan yang baru berkahwin. Isteri akan menggunakan hujahnya tersendiri dan si suami pula menggukakan kuasanya sebagai ketua keluarga yang mesti dipatuhi.
Ada teknik tip untuk anda berdua membuat keputusan.
1.” Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa): “Aku hendak mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama delapan tahun; dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak menyusahkanmu; engkau akan dapati aku Insya Allah, dari orang-orang yang baik layanannya”. Al Qashash:27
Kalaulah ingin merujuk ayat di atas, pengantin lelaki kena berkorban tinggal bersama ayah mertua dan membantunya selama 8 tahun. Tetapi dengan keadaan sekarang perkara ini tidak mungkin boleh berlaku.
Namun kita boleh ikuti konsepnya. Iaitu dalam tempuh 8 tahun sang suami utamakan rumah mertuanya dahulu. Dalam kes pulang beraya ke kampong, elok utamakan rumah isterinya.
2.Orang perempuan banyak menggunakan emosi dan perasaannya dalam setiap urusannya. Sedangkan lelaki hanya fokus mindanya kepada sesuatu tugasan. Dia boleh abaikan emosi dan perasaannya. Oleh itu, isterilah yang lebih terkesan menyambut hari raya pertama. Apa lagi dengan status dia sebagai seorang isteri. Jiwanya pasti mengelabah untuk pertama kalinya menyambut raya di rumah orang lain. 1001 macam dalam fikiran yang menghantuinya. Oleh itu raya pertama di rumah isteri.
3.Jika isteri ini telah ada bilik tidur khas di rumahnya dan suaminya pula tiada bilik khas untuk di rumahnya. Ini akan menyebabkan isteri tidak selesa jika terpaksa berkongsi bilik persalinan dengan ipar-iparnya. Oleh itu elok raya pertama di rumah isteri. Tetapi jika suaminya memang ada bilik khas, sila rujuk tip 1 dan 2 di atas.
4.Tetapi kalau sepanjang ramadhan, pasangan ini tinggal di rumah isterinya, maka eloklah susun strategi untuk berhari raya pertama di rumah kampong suaminya.
5.Jika suami adalah anak tunggal, Dinasihatkan buat rancangan untuk berpuasa 2-3 hari awal di rumah kampong isteri. Kemudian berhari raya pertama di rumah suami. Sebab kehadiran anak tunggal dengan isterinya ini memberi kesan positif bertambah sayang ibu mertua kepada anak menantunya.
Selamat berbincang.
Kredit : Fb Pak Utih’s Page