Ulama membahagikan fasa umur manusia kepada beberapa masa tertentu dalam hidup supaya mereka menyedari saat yang dilalui dan tidak terleka menjalani kehidupan di dunia ini. Pesona Pengantin tertarik dengan perkongsian dari pendakwah terkenal, Ustazah Fatimah Syarha yang membincangkan tentang fasa kehidupan.

FASA-FASA KEHIDUPAN
“Kehidupan ini memang sentiasa menguji kita. Kita bermula dengan fasa lemah dahulu. Fasa daripada kita bayi yang tidak tahu apa-apa. Kemudian Allah Yang Maha Pemberi Rezeki (Ar-Razzaq) siapkan segalanya untuk kita. Makan minum kita terjaga dengan izin Allah SWT. Pakaian dan keperluan juga terjaga, juga dengan izin Allah Taala. Kemudian kita masuk pula ke fasa kuat. Daripada remaja sampai usia 65 tahun kita berada di fasa kuat. Apabila kita kuat maka ujian pun makin kuat. Sebab Allah mengiktiraf kekuatan kita.”- Ustazah Fatimah Syarha.

Allah tidak akan bagi apa yang kita tidak mampu. Yang kita mampu Allah akan bagi. Sebab Allah hendak naikkan lagi level kita, tahap kita di sisi Allah SWT. Maka apa pun yang Allah beri semuanya baik belaka. Allah sangat baik, sangat sayang kita. Kita juga nanti akan masuk ke fasa lemah. Ketika itu kita tidak perlu lagi risau kerana dahulu pun kita asalnya berada di fasa lemah iaitu kanak-kanak dan bayi. Allah jaga kita dengan sangat baik. Akan datang pun kita akan kembali ke fasa lemah, dengan izin Allah. Maka jangan risau. Allah sangat baik, Allah sangat menjaga.

PERSIAPAN

Dan di zon kita sekarang ini, apa yang hendak kita siapkan? Boleh jadi sebelum ini fasa kita adalah zon selesa. Sebab segalanya ada, segalanya dapat, segalanya terkawal dan selamat. Kemudian Allah membawa kita dari zon selesa masuk ke zon ketakutan. Takut rezeki tidak cukup, takut apa yang akan berlaku, takut sampai bila, takut raya di mana, tidak dapat ke masjid ketika puasa dan macam-macam ketakutan.

Tidak mengapa kerana ini normal dalam kehidupan. Kita akan diuji takut, ia normal. Kita harus bawa cepat-cepat diri kita dari zon takut ke zon ilmu. Doa yang kita minta antaranya ilmu yang bermanfaat. Kita akan dapat mengawal emosi, uruskan ujian. Sebab apa sahaja yang berlaku kita tidak boleh saling menuduh. Kita belajar daripadanya.

IKLAN

Kita tingkatkan skil daripadanya. Ini adalah zon pengetahuan. Dan kalau kita terus terusan belajar kita akan masuk ke zon berkembang dan bercambah. Apa pun yang berlaku dalam hidup kita sebelum ini semuanya akan menjadi aset yang sangat berharga untuk membina pengalaman, pencapaian baru, objektif baru ianya dapat meluaskan lagi zon selesa kita.

Di fasa mana pun, diuji bagaimana pun kita tetap selesa dengan Allah SWT. Allah SWT mengajar kita untuk sentiasa besarkan rasa syukur kerana ia terapi. Dalam Al-Quran Allah menyebut “Dengan nikmat Tuhanmu sebut sebutkanlah”.

TAQWA & SEDEKAH
Yakin dan percaya bahawa Allah Yang Maha Membantu, Maha Memberi dan Maha Menyayangi sentiasa dekat dan bersama dengan kita. Bagaimana kita hendak luahkan kepada Allah bahawa kita ini hambaNya yang sangat mensyukuri?

Pertama, jaga taqwa kepada Allah SWT. Dan Allah sebut dalam Al-Quran “Siapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan bagi jalan keluar.” Allah hendak beri rezeki daripada sumber yang tidak disangka sangka. Rezeki adalah apa sahaja yang bermanfaat seperti kekayaan, kesihatan dan kebahagiaan, anak soleh dan solehah, dapat tersenyum, ilmu baru, dapat menikmati hari ini, itu semua itu rezeki.

IKLAN

Kita juga hendak banyakkan sedekah. Kata Nabi SAW, ketika ditanya oleh para sahabat apakah sedekah yang paling afdhal. Lalu kata Nabi SAW, sedekah yang paling afdhal ialah ketika kita sihat, ketika rasa kikir (kedekut) dan ketika berangan angan hendak kaya. Kita keluarkan sedekah kepada yang memerlukan. Ketika itu Allah memandang sedekah kita sebagai sedekah paling afdhal. Subhanallah!

ZIKIR
Hendak meluaskan lagi hubungan kita dengan Allah, bukan sekadar dengan perkara-perkara yang fardhu tetapi juga perkara-perkara sunat. Kita hendak buat sebanyak-banyaknya. Misalnya hubungan dengan zikir pagi dan petang, Al Mathurat. Ataupun Hisnul Muslim.

IKLAN

Baca maksudnya, tenangkan emosi, jiwa kita dengan memahami apa perkataan Allah. ‘Whatsappp’ Allah, ‘mesej’ Allah supaya jiwa kita kuat melalui apa jua ujian. Subhanallah!
Maka ingatlah, kata Allah dalam Al-Quran “Hari-hari itu Allah akan tukar (macam roda) sekejap di atas sekejap di bawah. Hari-hari yang kita lalui pun sama. Hari ini sihat, esok mungkin sakit. Kemudian sihat dan sakit semula. Atau, hari ini rezeki melimpah esok rezeki sempit.

Dunia semuanya sementara. Yang kekal hanyalah wajah Allah SWT. Alhamdulillah Ya Allah apa pun yang berlaku, senang mahupun susah, sakit ataupun sihat apa jua berlaku yang penting

“Saya ada Allah dalam diri saya. Dan saya sangat bahagia dengan kehidupan ini. Alhamdulillah”.

YA ALLAH KAU LINDUNGILAH KAMI SEMUA YA ALLAH. APA PUN YANG BERLAKU ALLAH MAHA BAIK. KITA TETAP HENDAK BESARKAN RASA SYUKUR KEPADA ALLAH SWT. RAHMAT ALLAH JAUH LEBIH BESAR. DAN KALAU ALLAH UJI KERANA KITA MAMPU.

Kredit foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha