Resipi Ayam Masak Bawang Stail Mamak, Yang Baru Kahwin Sesuai Cuba Buat, Mudah Sangat!

Share

Ayam Masak Bawang antara menu yang menjadi pilihan ramai ketika menjamu selera di restoran mamak. Ratah begitu sahaja pun sedap. Bau aroma rempah yang meresap ke dalam isi ayam membuatkan selera bertambah.

Nak masak Ayam Masak Bawang ini tidaklah sesusah mana pun. Pengantin yang baru kahwin pun boleh cuba masak.

Berikut dikongsikan resipi Ayam Masak Bawang seperti yang dikongsikan oleh  Mohd Rozmie

RESIPI AYAM MASAK BAWANG

BAHAN-BAHAN:

1 ekor ayam (potong 16)
12 ulas bawang merah/kecil
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih
3 sudu makan serbuk kari
2 sudu makan serbuk cili
Rempah 4 sekawan
3 tangkai daun kari
1 helai daun pandan
3 sudu makan sos cili
2 sudu makan sos tomato
2 sudu makan sos tiram

BAHAN KISAR (TUMBUK HALUS)

7 ulas bawang merah/kecil
5 ulas bawang putih
1 inci halia

CARA MEMBUAT:

1. Cuci bersih isi ayam dan lakukan perapan dengan garam, kunyit, serbuk kari, serbuk cili dan lada sulah selama 20-30 minit.

2. Tumbuk halus atau kisar jadikan pes bawang merah/kecil, bawang putih dan halia.

3.Panaskan minyak goreng dulu bawang yang telah dipotong mayang ini sehingga sedikit keperangan. Jangan sampai hangit pula.

4.Bila bawang sudah sedikit keperangan macam ini, angkat dan ketepikan dulu.

5. Guna minyak goreng bawang tadi, goreng ayam yang telah diperap tadi sehingga masak.

6. Ketepikan dulu ayam yang telah digoreng tadi.

7. Ambik minyak goreng ayam tadi, tumis rempah 4 sekawan bersama daun kari dan daun pandan.

8. Kemudian masukkan pes bawang dan halia tadi. Kacau sebati.

9. Masukkan serbuk jintan putih, jintan manis, serbuk kari dan serbuk cili. Kacau lagi.

 

10. Masukkan bahan sos. Kacau lagi bagi sebati dan pecah minyak.

11. Rajin kacau supaya rempah tak hangit. Jika kering masukkan sedikit air dan kacau lagi. Nampak kering, masukkan lagi sedikit air kacau lagi. Lakukan begini 4 atau 5 kali ulang. Tujuannya supaya rempah betul-betul masak elok. Kalau rempah tak masak elok nanti makan tak sedap.

12. Bila rempah sudah masak elok, tambah 2 atau 3 cawan air biar berkuah pekat atau mengikut citarasa masing-masing. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

13. Bila kuah sudah perasa elok, masa ini sudah boleh masukkan ayam goreng tadi dan gaul sebati.

14. Taburkan bawang goreng tadi dan gaul sebati lagi.

15. Bila sudah sebati elok meresap rempah ke dalam ayam, terus tutup api. Siap untuk dihidangkan.

Sumber kredit: Mohd Rozmie

IKLAN