
Dalam rumah tangga, kata-kata pujian kepada pasangan merupakan salah satu pengikat kasih sayang yang perlu suami isteri amalkan. Apa yang penting, pujian untuk pasangan itu haruslah diluahkan secara ikhlas.
Bukan hanya isteri sahaja yang suka dengan pujian, suami juga perlukan pujian manja dan ikhlas daripada isteri tercinta. Walaupun kebiasaannya lelaki kurang menzahirkan perasaan gembira apabila dipuji, namun percayalah jika anda ungkapkan kata-kata pujian boleh membuatkan suami rasa dihargai.
Ok isteri, jadikan pujian-pujian ini sebagai amalan anda dan perhatikan reaksinya!
1. Tunjukkan rasa teruja anda dengan penampilannya
Seperti pakaian dan rambut, lelaki tidak akan pernah menjadi sebimbang orang perempuan, namun dia masih mengambil berat tentang penampilan luarannya. Tiada insan lain yang lebih jujur dalam memberikan pendapat tentang penampilannya selain isterinya sendiri.
Sesekali tunjukkan rasa kagum anda tentang penampilannya dan katakan yang anda nampak suami segak dengan pakaian dan gaya rambutnya yang sebegitu. Jangan lupa berikan pandangan menggoda saat anda memujinya seolah-olah pandangan ‘jatuh cinta pandang pertama’. Selain suami rasa terharu dan berbesar hati, pasti suami juga cenderung untuk memberikan anda pujian!
2. Katakan yang anda suka dengan bau suami yang segar
Wanita umumnya gemarkan bau yang segar dan harum. Beri dorongan kepada suami agar suami kekal segar dan harum dengan memberikan pujian ikhlas tatkala suami selesai mandi dan mengenakan haruman kegemarannya. Secara tidak langsung, suami akan terdorong dalam usahanya untuk meneruskan penampilan diri yang sentiasa harum sekali gus meningkatkan keyakinan dirinya.
3. Puji gaya potongan rambut terbaharunya
Tidak seperti anda, suami anda mungkin tidak pernah menghabiskan banyak masa dan wang untuk penampilan rambut. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna yang suami tidak berusaha untuk menjaga penampilan rambutnya.
Walaupun mungkin suami jarang bertanyakan kepada anda soalan, “Okay tak rambut abang?” selepas dia keluar dari kedai gunting rambut, namun sebenarnya kaum lelaki memang inginkan komen positif daripada wanita lebih-lebih lagi isterinya. Yakinkan suami yang rambutnya kelihatan elok dan menawah, malah gaya rambutnya itu kena dengan dirinya.
4. Katakan yang pandangan suami bernas
Sewaktu zaman kanak-kanak, ini adalah pujian terbaik yang seringkali diterima namun ia semakin hilang seiring dengan usia. Jika suami anda mengatakan sesuatu yang intelektual atau bijak, berikan pujian di atas hujahan suami yang bijak itu. Ia adalah satu pujian yang jarang didengari dan boleh membuatkan suami rasa bangga dengan pandangannya.
5. Beritahu suami yang anda selesa dan selamat dengannya
Suami pasti merasakan bahawa dirinya penting apabila dia mengetahui anda selamat apabila berada bersamanya. Zahirkan perasaan selamat dan rasa dilindungi apabila anda berada di sampingnya. Ini juga akan membuatkan suami rasa dirinya maskulin, gagah dan lebih yakin.
Cuba ini: Minta suami bukakan penutup balang untuk anda dan ucapkan terima kasih dengan menepuk bicepnya sambil anda memuji betapa kuatnya dia. Pasti suami rasa kuat dan seksi dalam masa yang sama!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Baca Pesanan Menarik Lelaki Ini, Jodoh Yang Allah Telah Tetapkan Tidak Pernah Salah Orang!

Isi Kandungan
ToggleJodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian”
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kahwin Bukan Untuk Seronok-Seronok, Baca Pesanan Penting Ini Buat Bakal Suami!

Isi Kandungan
ToggleKeluarga adalah teras dan asas dalam perhubungan antara manusia dengan manusia. Jika hubungan keluarga sudah berantakan, maka hancurlah hubungan-hubungan yang lain. Dan di dalam sebuah rumah tanggalah tegaknya kepimpinan seorang lelaki bernama suami. Jangan harap seseorang mampu memimpin ummah sebelum berjaya memimpin orang rumah.
Apabila berbicara tentang perkahwinan semua menganggapnya indah, namun sedarkah mereka dalam sesebuah perkahwinan ada turun naiknya. Ini pesanan buat ketua rumah tangga, dan imam buat keluarga oleh Pahrol Mohamad Juoi.
Sebuah rumah tangga juga bolehlah diumpamakan sebagai sebuah kapal yang sedang belayar. Suami ialah nakhodanya. Peranan nakhoda sangat penting kerana dia bukan sahaja perlu memastikan keselamatan para penumpang tetapi pada masa yang sama dia perlu memastikan kapal yang dikemudikannya itu sampai ke matlamat. Begitulah suami, dia mesti menyelamatkan isterinya daripada kesengsaraan hidup dunia sekali gus mencapai keredaan Allah di akhirat.
Rasulullah SAW berpesan terus kepada suami: ”sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Sehubungan dengan itu terdapat beberapa keperluan (zahir dan batin) yang mesti diusahakan oleh seorang suami sebagai melengkapkan infra struktur dan prasarana dalam menyara hidup, mendidik dan memimpin isterinya. Tugas memenuhi keperluan ini merupakan tanggung-jawab paling asasi dan faktor yang paling kritikal untuk menentukan kejayaan ataupun kegagalannya dalam sesebuah rumah-tangga.
PENUHI 4 KEPERLUAN ISTERI
Sebagai imam, suami pada dasarnya wajib memenuhi empat keperluan isterinya.
Pertama- keperluan fizikal dan material, seperti soal makan-minum, pakaian, tempat tinggal dan sakit demam isterinya. Ini merupakan keperluan paling asas. Selagi keperluan ini dipenuhi, maka itu petunjuk bahawa suami masih mahu bertanggungjawab walaupun mungkin ada kelemahan dalam memenuhi keperluan-keperluan yang lain.
Kedua- keperluan akal (ilmu). Para suami wajib mengajar isterinya ilmu fardu Ain. Soal taharah, wuduk, solat dan lain-lain. Adalah menjadi tanggungjawab suami mengenalkan isterinya kepada Allah, Rasul dan lain-lain elemen dalam rukun iman (Tauhid). Kemudian disusuli cara-cara beribadah asas dalam rukun Islam (Feqah) diikuti pengamalan nilai-nilai mulia pada diri (adab & akhlak).
Ketiga – keperluan emosi. Seorang suami mesti memberi kasih sayang kepada isterinya. Untuk membina dan mengekalkan kasih sayang, maka suami harus menjadi pendengar yang baik pada isterinya. Ingatlah, tanggungjawab pertama cinta ialah mendengar. Suami yang baik ialah seorang pendengar yang baik.
Keempat- keperluan batin atau rohani. Ini bukan sahaja merujuk kepada keperluan seksual, tetapi keperluan mendapat pendidikan dan akhlak yang baik untuk diteladani. Keperluan ini sangat sukar diisi oleh suami sedangkan ini adalah keperluan yang paling utama dibandingkan keperluan-keperluan yang lain. Bukan itu sahaja malah ada suami yang tidak menganggap soal ini sebagai satu keperluan pun. Apa yang dipentingkan hanyalah keperluan fizikal dan akal semata-mata.
Islam juga sangat mementingkan persoalan ini berdasarkan perintah Allah dalam Al Quran:“Wahai orang yang beriman, selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada azab api neraka.”
Ada suami yang bertungkus lumus memenuhi keperluan fizikal dan akal isteri dengan anggapan mereka sudah pun menjalankan tugas suami dengan baik, sedangkan pada hakikatnya mereka bukanlah suami yang baik kerana mengabaikan keperluan emosi dan hati isteri. Sebab itulah tidak hairan jika kita dapati ramai isteri yang tertekan emosi dan terdera jiwanya kerana rohani mereka kosong, tidak pernah terisi.
KAHWIN BUKAN UNTUK SERONOK
Perkahwinan bukan hanya hubungan badan, tetapi merupakan hubungan fikiran, perasaan dan hati antara suami isteri. ‘Orang rumah’ bukanlah wanita yang hanya tinggal serumah tetapi sama-sama mendirikan sebuah rumah tangga.
Suami seharusnya sentiasa ingat, isterinya adalah seorang wanita yang telah meninggalkan ibu, bapa dan seluruh anggota keluarganya untuk hidup bersama kita. Untuk mendapat haknya yakni kesetiaan dan kepatuhan, seorang suami perlulah terlebih dahulu menunaikan hak isterinya.
Ingatlah, sukar bagi seorang suami ke syurga sekiranya isterinya tidak ikut serta. ‘Lesen’ seorang suami ke syurga hanya dapat dimilikinya setelah dia ditanya tentang segala tanggungjawabnya melindungi, memimpin dan menyayangi isterinya.
Ayat Quran yang berbunyi, “selamatkanlah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka” sesungguhnya ditujukan untuk pertama dan paling utama ialah kepada para suami!
Sumber : JK PEKA IKRAM
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bila Hubungan Tak Direstui, Jangan Putus Asa! 5 Cara Ini Pikat Hati Keluarga Terima Dia Seadanya

Isi Kandungan
ToggleRestu orang tua dan keluarga adalah sesuatu yang harus dicapai sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam sesebuah hubungan cinta. Namun, kadang kala untuk menuju ke fasa berikutnya, ia sukar kerana halangan daripada keluarga.
Situasi ini boleh menyebabkan anda menjadi bingung dan runsing. Manakan tidak, insan yang anda cintai dan berjanji untuk sehidup semati tidak disukai oleh keluarga terutamanya ibu bapa anda. Mungkin ada perkara yang membuatkan perkara ini boleh terjadi.
Jom kita lihat empat tip yang boleh membantu anda memikat dan memujuk hati keluarga agar mereka dapat menerima pasangan anda seadanya!
1. CARI PUNCA KENAPA KELUARGA HALANG
Ketika orang tua anda tidak menyukai pasangan anda, carilah punca di sebalik alasan tersebut. Apakah pasangan anda pernah menyinggung mereka melalui perkataan atau tingkah lakunya? Atau ada hal lain yang lebih besar. Sebelum melakukan langkah-langkah yang lain, anda perlu mengetahui perkara akar yang membuatkan masalah ini berlaku.
2. PERBAIKI TINGKAH LAKU
Ketika akar atau punca masalah sudah diketahui, anda perlu membicarakannya kepada pasangan tentang perkara tersebut. Minta dia untuk berubah perilakunya terutama di hadapan keluarga anda. Misalnya, pasangan kena jadi peramah ketika berbual dengan keluarga atau datang tepat pada waktu dalam acara yang telah ditentukan. Pada saat yang sama, anda juga harus memberi pemahaman kepada keluarga supaya saling menghargai perasaan pasangan anda.
3. SERING BERTEMU DAN BERSUA MUKA
Selain perilaku, keluarga tidak akan memberikan restu disebabkan oleh masalah yang lebih besar seperti keyakinan dan pekerjaan. Jika perkara ini yang terjadi, anda perlu melakukan pendekatan yang lebih halus. Contohnya, lebih sering mengajak keluarga menghabiskan waktu bersama pasangan di majlis-majlis seperti kenduri kahwin, makan malam, majlis hari jadi dan sebagainya. Apabila kerap berjumpa, maka akan timbuk keserasian antara keluarga dengan pasangan sehingga lama-kelamaan akan mewujudkan kemesraan antara mereka.
4. FAHAMI MASALAH LAIN
Keluarga anda juga boleh memiliki alasan lain untuk tidak menyukai pasangan anda. Contohnya, mereka tidak suka cara pasangan memperlakukan kepada anda, cara pasangan bercakap dengan anda atau cara pasangan menyampaikan pendapat kepada anda. Jika hal ini berlaku, ada baiknya anda beritahu pasangan agar dia dapat memperbetulkan tingkah lakunya yang mungkin selama ini dia tak sedari.
5. BAWA BERBINCANG
Untuk menyelesaikan perkara ini, lebih baik sekiranya anda dan pasangan duduk dan berbincang bersama keluarga anda. Luahkan isi hati yang terpendam dan selesaikan perkara ini dengan baik. Mungkin cara ini lebih praktikal dan pasangan anda boleh memahami keluarga anda dengan lebih dekat lagi. Jika timbul rasa tidak puas hati, selesaikanlah dengan cara yang terbaik dan berhemah.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI