
Tak salah nak nikah gah tapi berpada dengan kewangan masing-masing. Kalau rasa duit tak berapa mencukupi, cukup buat yang asas sahaja. Rukun nikah asas vs rukun nikah anak muda. Ramai yang tersalah ambil langkah kongsi lelaki ini.
Rukun Nikah
*************
1. Pengantin Lelaki
2. Pengantin Perempuan
3. Wali
4. Dua Orang Saksi
5. Ijab Dan Qabul
.
Rukun Nikah Anak Muda
*************************
1. Pengantin Lelaki
2. Pengantin Perempuan
3. Wali
4. Dua Orang Saksi
5. Ijab Dan Qabul
6. Mak andam
7. Jurugambar
8. Juruvideo
9. Katering
10. Cincin Kahwin
11. Pelamin
12. Khemah/canopy
13. Baju kahwin lima pasang
14. Gubahan 9 hantaran
15. P.A System & DJ
16. Kek Kahwin 3 tingkat
17. Set Karaoke
18. Candy Booth
19. Photo both/Photoshot
20. Door Gift
.
Tak salah nak gembira di hari yang indah kau tu. Tapi ramai yang tersalah langkah ambil pembiayaan peribadi buat belanja kahwin.
Buat pembiayaan peribadi sampai RM30K. Habis dalam masa seminggu je. Gembira sekejap tapi sedih 10 tahun bayar hutang ni. Anak masuk sekolah Tahun 1 pun hutang belum habis bayar.
Kurangkan apa yang patut seperti perkara yang kalau tiada pun nikah tetap sah. Kalau kau mampu takpela. Ni tidak, sampai berhutang bagai. Tak payahla. Buat sakit kepala.
Yang terbebannya kaum lelaki lah. Buat pembiayaan peribadi. Bila dah kahwin, nak bayar itu ini. Banyak nak guna duit untuk memulakan kehidupan selepas kahwin. Dah la kerja gaji ciput je.
Kau kena la menyimpan dari awal. Ajak pasangan kau sama-sama menyimpan. Mulakan tabung kahwin. Ini tidak, bercinta bagai nak rak tapi duit untuk belanja kahwin tak pernah nak fikir.
Kalau belum jumpa calon lagi pun, simpan siap-siap. Takde salahnya. Lagi senang. Bila dah jumpa yang berkenan di hati terus kahwin. Tak payah tunggu lama-lama. Kah!
[ASY]
#AmirSyahir
Adab & Amalan Selepas Nikah Salah Satunya Suami Doakan Isteri Sambil Letak Tangan Atas Ubun-ubun

Mungkin ramai yang ingin tahu tentang adab-adab selepas selesainya majlis pernikahan. Ada yang keliru antara perkara sunat yang elok dilakukan dan juga budaya yang biasanya diamalkan sejak turun temurun.
Berikut petikan soalan dan jawapan yang dipetik daripada Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
SOALAN:
Apakah amalan yang paling baik dan bertepatan mengikut sunnah semasa majlis akad nikah dan kenduri? Betulkah amalan yang dibuat masyarakat di Malaysia seperti meletakkan tangan di atas kepala pengantin perempuan selepas akad? Apa hukum solat sunat pengantin selepas akad dan upacara membatalkan air sembahyang?

JAWAPAN:
Sunat hukumnya mendoakan isteri yang baru dinikahi dengan doa sambil meletakkan tangan di atas ubun-ubun isteri:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْ
Maksudnya: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya. (Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain)
Solat sunat pengantin juga digalakkan melakukannya berdasarkan amalan para sahabat.
Seorang lelaki datang bertemu Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma dan berkata:
Sesungguhnya aku telah berkahwin dengan seorang perempuan dara tetapi aku amat takut kalau-kalau dia membenci aku.
Maka berkata Abdullah: Sesungguhnya kemesraan itu datangnya daripada Allah, dan kebencian itu datang daripada syaitan, kerana syaitan itu akan mendatangkan benci pada apa yang Allah halalkan, maka ketika kamu mendatangi isteri kamu, arahkan dia untuk bersolat di belakang kamu (yakni jadi makmum) sebanyak dua rakaat.

Abdullah Ibn Mas`ud juga mengajarkan doa:
اللَّهُمَّ، بَارِكْ لِي فِي أَهْلِي، وَبَارِكْ لَهُمْ فِيَّ، اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي مِنْهُمْ، وَارْزُقْهُمْ مِنِّي، اللَّهُمَّ، اجْمَعْ بَيْنَنَا مَا جَمَعْتَ إِلَى خَيْرٍ، وَفَرِّقْ بَيْنَنَا إِذَا فَرَّقْتَ إِلَى خَيْرٍ
Maksudnya: Ya Allah! Berkatilah diriku dengan apa yang ada pada keluargaku, dan berkatilah keluargaku dengan apa yang ada pada diriku. Ya Allah! Rezekikanlah aku daripada apa yang ada pada keluargaku, den rezekikanlah mereka daripada apa yang ada padaku. Ya Allah! Satukanlah antara kami dengan pertemuan ke arah kebaikan, dan, jika engkau takdirkan perpisahan, pisahkanlah kami (juga) ke arah kebaikan.” Hadis riwayat Abdurrazzaq
Ulama juga menyebut adab solat sunat ini dilaksanakan di tempat tertutup supaya terjaga aurat isteri. Manakala, upacara membatalkan air sembahyang bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat semata-mata.
Sumber: Laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Kredit foto top image: Pexels
Isteri Jangan Rasa Diri Sempurna Sangat, Barulah Nampak Lebihnya Suami

Jika kita seorang lelaki atau wanita yang baik dan beriman berniat untuk mendapatkan pasangan soleh serta solehah, kita akan dapat sebagaimana yang diniatkan. Jika kita sudah berusaha menjadikan diri soleh atau solehah, Allah SWT akan menggerakkan hati orang yang beriman mendekati kita.
Itu yang saya perkenalkan dalam konsep pemikiran ‘reset minda’ dengan formula ‘Ada – Beri – Dapat’.
Insya-Allah kita akan dapat orang yang sama seperti kita, kecuali Allah hendak menguji dengan memberikan pasangan yang bertentangan sikap, perangai, bagi menguji kesabaran, ketakwaan dan keimanan. Atau kita ditakdirkan Allah SWT menjadi ‘ejen pengubah’ kepada pasangan.
Wanita yang memiliki suami, anak, rumah tangga aman bahagia, sihat tubuh badan dan harta secukupnya, ia adalah nikmat tidak terhingga. Ibarat telah mendapat syurga di dunia. Bersyukur kepada Allah SWT jika kita tergolong dalam kategori wanita bertuah seperti itu.
Ada wanita yang nasibnya tidak sebaik kita. Mereka dikurniakan suami kacak, baik, berkerjaya bagus, berharta dan agamanya terjaga, tetapi walaupun sudah bernikah bertahun-tahun pasangan itu tidak dikurniakan anak.
Ada wanita pula, hasil perkahwinan dengan suami tercinta, dikurniakan ramai anak tetapi ekonomi mereka tidak kukuh. Tidak kurang juga wanita yang berasa tidak bahagia, walaupun dikurniakan beberapa orang anak kerana anaknya semua perempuan, sedangkan suami teringin hendak anak lelaki.
Elak membandingkan diri
Lebih dahsyat lagi ujian Allah SWT, ada pasangan mempunyai anak lelaki dan perempuan tetapi anaknya cacat pula. Dalam hidup ini, apabila kita fokus kepada apa yang dimiliki, kita akan bersyukur. Tetapi, jika fokus kepada yang tidak ada, akan rasa kekurangan kerana asyik membandingkan diri dengan orang lain.
Hasil daripada perbandingan itu, yang akan terserlah hanyalah rasa terkilan dan tidak puas hati kerana hidup tidak seindah atau sebahagia orang lain.
Ingatlah jika asyik membandingkan dan bersaing dengan orang lain, mengharapkan penghargaan manusia dan sentiasa fikir apa orang kata, hidup tidak akan tenang. Demikianlah permasalahan rumah tangga, jika tidak berpunca daripada anak, mungkin daripada sikap suami atau isteri sendiri.
Apabila kita berhadapan dengan masalah, kita tidak perlu cari punca masalah. Carilah segera penyelesaian masalah dan pada masa sama cari jalan untuk menguatkan jiwa supaya tabah menghadapi serta berhadapan masalah atau musibah.
Analoginya, apabila susu tertumpah di atas meja adakah kita akan segera mengambil kain dan mengelap bagi mengelak susu tumpah ke lantai yang menyebabkan banyak lagi tempat perlu dibersihkan. Atau kita bising-bising mencari siapa dan bagaimana susu itu tertumpah? Fikirkan mana satu pilihan perlu diambil.
Dalam kehidupan rumah tangga, cabaran sering ditemui ialah isteri berasa dirinya tidak dihargai, tidak dilayani dengan baik dan tidak mendapat kasih sayang daripada suami. Andai berhadapan masalah ini, pertama, tanyalah diri adakah kita telah melayan suami dengan baik?
.
Cari kesilapan sendiri
Kita tidak akan membersihkan jiwa selagi hanya sibuk melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah SWT memberi kebaikan atau hidayah kepada seseorang adalah apabila dia sibuk melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain hingga tidak sempat melihat keburukan orang.
Jika hendak mencari kesilapan suami tentu kita akan temui banyak kesilapannya kerana kita akan dapat apa yang difokuskan. Tetapi jika kita muhasabah mencari kekurangan diri, akhirnya kita akan dapat menerima suami seadanya dan menemui banyak kebaikan suami untuk disyukuri.
Manusia paling lemah ialah mereka yang menyembunyikan keburukan diri tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang lain dan berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.
Jika ingin diri disayangi dan dihormati, kita terlebih dahulu perlu menyayangi serta menghormati. Ingatlah dunia melayan kita sebagaimana kita melayan diri sendiri. Harga diri yang tinggi bergantung kepada ketakwaan kepada Allah SWT dan akhlak yang terkawal.
Cabaran seterusnya biasa dihadapi isteri adalah berhadapan dengan suami yang ego. Hakikatnya, suami adalah ketua keluarga dan kerana itu perlu mempunyai ego tetapi janganlah berlebihan keegoan hingga menggugat hubungan suami isteri.
Tanda orang yang tinggi sifat egonya, suka marah, cakap semua hendak betul dan panas baran. Orang yang marah kepada dirinya akan marah kepada orang lain. Kemarahan keluar daripada hati yang suka marah. Oleh itu, perlu pastikan kemarahan disebabkan oleh apa dan kepada siapa.
.
Ada sejarah hitam
Orang yang ego sebenarnya kurang keyakinan diri dan mempunyai sejarah hitam semasa kecil yang mempengaruhi kehidupan dewasanya. Isteri berhadapan suami yang berimej negatif perlu menghargai dan melayan suami dengan kasih sayang.
Puji dan hargai kehadirannya dalam hidup kita, sebut selalu kebaikannya. Tukar fokus kepada mencari kebaikan suami. Tonjolkan kebaikan, jangan sengaja mencari dan mengungkit kelemahan suami. Ramai yang suka menghukum berdasarkan perkara yang lepas.
Allah SWT lebih suka orang yang berdosa tetapi bertaubat daripada orang yang kuat beramal tetapi riak. Jangan fikir sejarah silam suami jika berniat ingin membawanya ke jalan yang baik kerana Allah SWT. Insya Allah akan dipermudahkan urusan kita.
Apabila suami mendapat pujian dan penghargaan isteri, keyakinannya semakin tinggi. Pada masa sama, suami tidak berasa perlu menunjukkan kehebatan dan kemampuan dirinya (keegoan) kerana sudah mendapat pengiktirafan daripada isterinya.
Akaun emosi suami akan melonjak tinggi apabila suami mendapat kasih sayang dan penghargaan daripada orang terdekat dengannya iaitu isteri. Dalam proses hendak mengambil dan menambat hati suami, jangan menghukum atau bersangka buruk kepada suami.
Sebaliknya, berterus terang dan cakap dari hati ke hati apa yang patut atau tidak patut dilakukan. Semarakkan rasa cinta dan jadilah isteri yang sentiasa bersyukur serta menghargai kehadiran seorang lelaki bergelar suami.
Perkara Yang Pasangan Baru Kahwin ‘Excited’ Nak Buat Bila Tiba Hari Raya

Jika tahun-tahun sebelumnya, perkara-perkara ini hanya berlaku dari kejauhan, berlainan pula dengan tahun ini. Kali ini, mesti lagi seronok sebab dah ada pasangan halal. Kami kongsikan perkara pasangan baru betul-betul excited bila tiba hari raya.
1. Sembahyang Raya
Masuk bab ni, confirm ramai pasangan yang baru kahwin tak sabar nak tunggu! Yelah, sebelum ni selalunya pergi sembahyang raya sendirian. Tapi tahun ni ada peneman pula.
2. Berkenalan Dengan Saudara-Mara Pasangan
Seronoknya nak berkenalan, beramah-mesra dengan saudara baru, paling excited sekali masuk bab saudara-mara nak berkenalan. Tanya pelbagai soalan.
3. Memasak Bersama
Kalau kita balik awal sehari atau dua hari sebelum raya, perkara ni yang membuatkan kita rapat dan lebih mengenali keluarga pasangan kita. Masa ni jangan duduk sahaja tanpa membantu ok. Ramai mata yang memerhati.
4. Balik Kampung Bersama
Tahun-tahun sebelum ni, buat anak perantau bila balik kampung, antara balik sendiri atau balik bersama dengan kawan-kawan. Tapi berlainan dengan tahun ni. Ada peneman berbual. Confirm mata tak jadi lena.
5. Kongsi Duit Raya
Siapa ada anak buah ramai? Tahun ni tak perlu risau lagi. Anda dan pasangan boleh sama-sama kongsi untuk bahagi duit raya. Jadi, bukan terletak pada anda seorang. Jimat!
6. Berpakaian Sedondon
Bab ni sebelum raya mesti dah plan nak berpakaian sedondon kan. Jadi, bila hari raya adalah hari di mana nak bergambar bersama pasangan pakai sedondon dan kongsi di media sosial masing-masing.
7. Bermaaf-Maafan
Sebelum ni hanya menerusi whatsapp atau panggilan telefon sahaja. Tapi tahun ini, dah boleh bersalam dan bermaafan. Lagi syahdu dan berkat kan?