Hati siapa yang tak gembira kalau pasangan berhasrat untuk mengikat tali pertunangan. Pastikan hati berbunga-bunga kerana hubungan anda berdua akan berakhir dengan satu ikatan yang sah. Sering kita lihat ramai pasangan mengumumkan tentang perkara-perkara penting sebelum tibanya hari pertunangan kononnya ingin berkongsi kegembiraan itu dengan kawan-kawan di media sosial.

Anda perlu sedar walau segembira mana pun anda kerana bakal melalui ikatan pertunangan jangan sesekali memuat naik atau berkongsi di media sosial mengenai semua perkara. Ini penting bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak dijangka berlaku menjelang hari pertunangan anda berdua. Mana tahu di saat akhir, majlis pertunangan tersebut dibatalkan oleh sebab-sebab tersebut. Sudahnya anda juga yang akan menanggung malu. Atau mungkin gara-gara anda memberitahu hasrat hati ingin bertunang ia disalahertikan oleh sesetengahn pihak di media sosial.

Oleh itu pastikan anda elak memuat naik 5 perkara ini sebelum anda betul-betul sah menjadi tunangan orang.

1. CINCIN PERTUNANGAN

 

Selepas membeli cincin tunang, tidak perlulah anda memuat naik gambar cincin tersebut atau beritahu mereka berapa karat cincin yang bakal anda terima di hari pertunangan nanti. Cukup hanya anda dan keluarga kedua-dua belah pihak sahaja yang mengetahuinya. Malah harga cincin tersebut juga sebaiknya dirahsiakan daripada umum. Selain mengelakkan timbulnya rasa cemburu di kalangan kawan-kawan di media sosial, memberitahu harga cincin boleh menunjukkan yang anda riak.

2. JUMLAH WANG HANTARAN

Jumlah wang hantaran juga tidak perlu diberitahu kepada kawan-kawan di media sosial kerana jika anda mengumumkannya akan menunjukkan ekspresi riak dan fitnah daripada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan anda. Ini sekali gus meninggalkan kesan negatif di masa akan datang.

3. UMUM TANPA BERITAHU KELUARGA

 

Selepas anda dan pasangan memutuskan tarikh untuk bertunang, pastikan anda berdua terus beritahu keluarga dan saudara terdekat tentang hasrat tersebut. Jangan sesekali memuat naik di media sosial dahulu kononnya anda tidak sabar untuk menjadi tunangan orang. Jika anda melakukannya pasti hati keluarga dan saudara akan terluka kerana anda lebih mementingkan kawan-kawan di media sosial berbanding mereka. Bayangkan apa yang mereka rasakan ketika mendapat tahu pengumuman yang anda bakal bertunang itu nanti.

4. TARIKH & BUTIR-BUTIR MAJLIS

Memaklumkan info seperti tarikh, tempat dan butir-butir tentang majlis pertunangan anda nanti di media sosial adalah hal yang tidak perlu dilakukan. Seharusnya maklumat ini hanya diagihkan kepada mereka yang diundang sahaja. Jika berbuat demikian takut ada hati yang terluka andai kata jemputan hanya terhad untuk kaum keluarga sahaja. Sebaiknnya ia dirahsiakan kerana mungkin anda mengadakannya secara tertutup untuk keluarga dan saudara-mara terdekat.

5. WAJAH BAKAL TUNANG

Sebaiknya rahsiakan dahulu siapakah gerangan tunangan anda sebelum anda benar-benar sah bertunang. Jika berlebihan menonjolkan bakal tunangan di media sosial boleh membuatkan orang menyampah. Bimbang juga jika ditakdirkan majlis tunangan itu tidak jadi pastinya akan memberi aib buat anda dan keluarga. Aroma fitnah menjadi semboyan yang cukup gah untuk menjatuhkan maruah seorang perempuan mahupun seorang lelaki.

Pendek kata, RAHSIA itu akan menjauhkan FITNAH. Suara-suara sumbang akan beredar ke udara. Gosip-gosip liar akan berkeliaran menyebar ke telinga-telinga yang suka mendengarnya. Jadi janganlah bersikap ‘over reaction’ kelak diri sendiri dan kaum keluarga yang akan menangggung malu. Fikir-fikirkanlah.