Kelebihan Istighfar Daripada huraian atsar dari Hasan al-Basri di atas sudah jelas menunjukkan bahawa besarnya hikmah istighfar. Segala apa masalah yang dihadapi oleh kita di atas muka bumi ini, maka beristighfarlah. Antara kelebihan beristighfar seperti yang terdapat dalam dalil al-Quran dan hadis ialah:
#1 Penghapus Dosa
Selaku seorang hamba yang lemah, iman kita sentiasa menaik dan menurun. Dan kita tidak terlepas daripada melakukan dosa sama ada secara sedar mahupun tidak. Oleh itu, menjadi suatu kewajipan kepada kita selaku hamba Allah untuk beristighfar agar diampunkan segala dosa yang pernah kita lakukan kepada Allah swt.
وَمَاۤ اَرۡسَلۡنَا مِنۡ رَّسُوۡلٍ اِلَّا لِـيُـطَاعَ بِاِذۡنِ اللّٰهِ ؕ وَلَوۡ اَنَّهُمۡ اِذْ ظَّلَمُوۡۤا اَنۡفُسَهُمۡ جَآءُوۡكَ فَاسۡتَغۡفَرُوا اللّٰهَ وَاسۡتَغۡفَرَ لَـهُمُ الرَّسُوۡلُ لَوَجَدُوا اللّٰهَ تَوَّابًا رَّحِيۡمًا
Maksudnya, “Dan kami tidak mengutus seseorang Rasul, melainkan untuk ditaati dengan seizin Allah. Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa, Ayat 64)
#2 Diberi Kelapangan dan Rezeki
Daripada Ibn Abbas ra, bahawa Nabi saw bersabda:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya, “Barangsiapa yang melazimi sentiasa istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (HR Abu Daud)
Menurut Syeikh Syu’aib al-Arna’outh, hadis ini sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabi.
Ads
Namun, menurut Syeikh Muhsin al-Abbad al-Badr ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Walaupun hadis ini dhaif dari sudut sanadnya tetapi maknanya terdapat di dalam al-Qur’an ketika membahaskan berkaitan taqwa di dalam surah al-Thalaq 2 hingga 3 (Ayat 1000 Dinar). Selain itu, di dalam al-Quran juga menyatakan bahawa istighfar merupakan sebab mendapat rezeki sebagaimana di dalam surah Nuh ayat ke 10 hingga 12”.
pic-pinterest
#3 Dimurahkan Rezeki dan Diturunkan Hujan
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا (10) يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا (11) وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا (12
Maksudnya, “Maka aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Surah Nuh, Ayat 10-12)
Syaikh As Sa’di mengatakan mengenai ayat di atas, “Tinggalkanlah dosa, beristighfarlah pada Allah atas dosa yang kalian perbuat. Sungguh Allah itu Maha Pengampun. Dosa yang begitu banyak akan dimaafkan oleh Allah.
Maka hendaklah mereka segera memohon ampun pada Allah, meraih pahala dan hilanglah musibah. Allah pun akan memberikan kurnia yang disegerakan di dunia dengan istighfar tersebut iaitu akan diturunkan hujan dengan deras dari langit, juga akan dikurniakan harta dan anak yang diharapkan.
Begitu pula akan diberi kurnia kebun dan sungai di antara kelazatan dunia.”
Ads
(Taisir Al Karimir Rahman, hal. 889).
pic-pinterest
#4 Sunnah Nabi saw
Rasulullah saw bersabda,
وَاللَّهِ إِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِى الْيَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya, “Demi Allah. Sungguh aku selalu beristighfar dan bertaubat kepada Allah dalam sehari lebih dari 70 kali.” (HR Bukhari)
Ads
Nabi saw juga bersabda,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ فَإِنِّى أَتُوبُ فِى الْيَوْمِ إِلَيْهِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Maksudnya, “Wahai sekalian manusia. Taubatlah (beristigfar) kepada Allah karena aku selalu bertaubat kepada-Nya dalam sehari sebanyak 100 kali.” (HR Muslim)
Rasulullah saw adalah suri tauladan yang terbaik untuk kita contohi. Mudah-mudahan, amalan sunnah beristighfar yang kita lakukan, bukan sahaja mendapat redha dan keampunan daripada Allah swt, tetapi juga kecintaan daripada Rasulullah saw.
Lafaz Istighfar
Lafaz istighfar paling sempurna adalah seperti yang diajar Nabi saw dalam ‘sayyidul istighfar’. Lafaz istighfar mengajar kita penuh adab dan etika kerana didahului dengan pujian-pujian kepada Allah yang Maha Agung. Selepas memuji Allah secara panjang lebar, barulah kita meminta sesuatu.
Penghulu istighfar adalah seperti mana dalam sabda Nabi saw, “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya, “Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hambaMu.
Aku di atas perjanjianMu dan janjiMu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmatMu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepadaMu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”.(HR Bukhari)
Sayyidul istighfar adalah lafaz istighfar yang paling sempurna yang diajarkan oleh Nabi saw kepada kita. Namun, jika kita tidak menghafalnya, beristighfar dengan lafaz ‘Astaghfirullah’ juga sudah memadai. Namun, jika kitab oleh mengamalkan sayyidul istighfar juga adalah lebih baik.
Sumber: bidadari.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bercinta selepas nikah lebih popular daripada kenal sebelum nikah. Ia tidak salah. Yang salah ialah apabila tidak kenal langsung sebelum nikah. Apabila sudah bernikah dengan si dia dan jika bermasalah kelak, maka semuanya sudah terlambat. Jadi, ada hikmah sebenarnya kita bercinta selepas nikah.
Ramai juga yang memilih untuk bercinta selepas nikah terutama bagi individu yang telah banyak kali dikecewakan oleh pasangan mereka sebelum ini. Tidak dapat dinafikan bahawa bercinta selepas nikah ada kelebihan yang tersendiri. Kami kongsikan 4 kelebihan bercinta selepas nikah.
1. Dapat Kenal Lebih Mendalam
Untuk mengenali seseorang, ia bergantung kepada individu tersebut. Ada orang mungkin memerlukan masa yang lebih lama dan sebahagian yang lain pula tidak memerlukan masa yang terlalu lama. Apabila kita mempunyai masa dan peluang untuk kenal seseorang itu, kita boleh mengetahui latar belakang si dia dengan lebih mendalam.
2. Melihat Rupa Bakal Pasangan
Foto: Google
Apabila kita mengenali bakal pasangan sebelum bernikah, biasanya secara tidak langsung kita akan tahu bagaimana rupa dan wajah bakal pasangan kita itu. Benar, rupa paras bukanlah jaminan kebahagian rumah tangga. Namun sebagai manusia biasa, kita tidak boleh lari daripada sifat yang menginginkan sesuatu yang cantik pada mata kita.
3. Bersedia Lebih Awal
Hikmah yang seterusnya jika kita kenal sebelum nikah adalah kita dapat bersedia. Bersedia di sini bermaksud bersedia untuk menerima segala kekurangan yang diketahui semasa proses taaruf (kenal). Ini adalah untuk mengelakkan kita daripada ‘terkejut’ dan merasa tertipu jika hanya dimaklumkan selepas kahwin.
4. Tiada Rasa Bersalah
‘Cinta’ itu sendiri adalah abstrak. ‘Cinta’ boleh ditafsirkan sebagai cinta kepada Allah, cinta kepada Rasul, cinta kepada negara dan sebagainya. Sebagai seorang muslim dan muslimah, kita semua pasti tahu bahawa hubungan cinta antara sepasang kekasih tanpa ikatan sah adalah dilarang sama sekali jika melibatkan sentuhan fizikal.
Sumber: baitulmuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tak perlu bertahan demi anak-anak kalau jadi mangsa keganasan rumah tangga, itu pandangan pelakon wanita, Nelissa Nizam apabila dia sendiri pernah lalui perkara yang sama.
Jangan Bertahan Demi Anak-anak
Menerusi portal hiburan, pemilik nama lengkap, Nelissa Adreena Nizam, 26, itu berkata, membiarkan diri dalam lingkungan toksik demi anak-anak merupakan perkara tidak masuk akal dan mengundang natijah lebih teruk terhadap psikologi.
“Pada saya jangan jadikan anak-anak sebagai alasan mempertahankan perkahwinan toksik. Tiada guna kerana anak-anak juga akan mendapat kesan buruk dan mustahil untuk berasa bahagia sekiranya membesar dalam lingkungan sebegitu,” katanya.
Kena Berani Selamatkan Diri
Pelakon filem Saka Perawan itu turut meluahkan harapan agar wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga berani untuk tampil dan berusaha menyelamatkan diri dan anak-anak.
“Saya mengharapkan kepada ibu di luar sana supaya memikirkan juga keadaan dan kesan kepada anak-anak. Jangan paksa mereka untuk membesar dalam keadaan sebegitu.
“Bagi saya menyelamat dan melindungi diri sendiri itu penting. Membesarkan anak sebagai ibu tunggal tidak akan melemahkan,” katanya.
Lari Daripada Kehidupan Toksik
Pelakon Saka Perawan itu juga menzahirkan kesyukuran apabila ibunya sendiri sudah melakukan tindakan tepat untuk membebaskan diri daripada dibelenggu toksik.
“Apa yang boleh saya katakan adalah perasaan sangat bersyukur kerana semua itu sudah berakhir dan kami sekeluarga tidak lagi berhadapan dengan pengalaman sebegitu.
“Dahulu kes keganasan rumah tangga ini tidak ramai yang ambil tahu atau peka terhadap persekitaran mereka. Begitu juga yang berlaku kepada saya dahulu apabila jiran saya tidak tahu apakah yang perlu mereka lakukan untuk membantu.
“Selepas ibu berpisah, kami semua membesar dan belajar untuk hidup berdikari sendiri. Selepas tamat sekolah, kami adik-beradik saling membantu keluarga mencari wang untuk keluarga. Tidak menjadi masalah dan lihat sekarang, kami semua baik-baik saja,” katanya.
Terdahulu Nelissa mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak berusia kanak-kanak. Disebabkan pengalaman masa lalu juga, dia mengalami kesukaran melakonkan beberapa babak melibatkan penderaan fizikal.
Jadi buat pasangan suami isteri, jika anda berada dalam situasi ini, mungkin boleh fikir jalan terbaik demi masa depan anak-anak. Jangan sampai mereka jadi mangsa penderaan rumah tangga.
Apakah hukumnya bagi lelaki memakai inai? Kita lihat ketika majlis perkahwinan, selalunya pengantin lelaki akan diinaikan jarinya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Inai adalah perhiasan bagi wanita bukannya untuk lelaki. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ . قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ. يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
Maksudnya:Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) & Ahmad di dalam Musnadnya (26258). Al-Albaani menilainya Hasan.
Di dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan kepada tersangat digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai. Al-Sanadi mula menyebutkan bahawa yang disebutkan dengan (لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً) itu membawa makna: “Sekiranya kamu meraikan syiar bagi wanita, nescaya kamu akan mengenakan inai pada tanganmu”.
Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadith yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya:Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.
Riwayat Al-Bukhari (5885)
Al-Imam Ibn Battal Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Tabari Rahimahullah mengatakan bahawa pada hadith di atas terdapat fiqhnya iaitu tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita pada sudut pakaian, perhiasan yang dikhususkan buat wanita.[2]
Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW pernah membuang daerah lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: مَا بَالُ هَذَا. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ. فَأُمِرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَقْتُلُهُ فَقَالَ: إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ.
Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?”. Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita”. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut di buang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat”.
Riwayat Abu Daud (4928). Al-Arnout mengatakan sanadnya dhoif (lemah).
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
Maksudnya:Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.
[Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]
Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.
Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan di atas. Kami cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai samaada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.
Adapaun bagi lelaki untuk mengenakan inai pada rambut, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini kerana terdapat hadith yang membenarkannya. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!