
Pasangan yang sudah berkahwin mungkin akan mengalami sedikit kesibukkan kerja diantara anda berdua sehingga kadang kala hujung minggu anda berdua juga terjejas.
Oleh itu, anda dan pasangan anda perlu pandai membahagi masa untuk anda berdua agar hubungan sentiasa aktif dan berkomunikasi.
Banyak sebenarnya tempat yang anda boleh luangkan waktu hujung minggu. Ini adalah senarai lokasi yang menarik anda boleh pergi.
1. District 21, Putrajaya
Bagi anda dan pasangan yang sukakan aktiviti lasak boleh cuba ini. Tempatnya begitu ‘fun’ dan banyak aktiviti yang boleh buat dekat sini.
2. Sunway lagoon, Petaling Jaya
Selain melakukan aktiviti lasak anda juga boleh mencuba aktiviti air yang pastinya menarik. Banyak juga aktiviti yang disediakan di sini.
3. Selfie meseum, Kuala Lumpur
Kalau anda gemar bergambar, tempat ini wajib ada dalam ‘list’ kerana ini juga adalah salah satu tarikan menarik yang anda boleh pergi. Muzium ini masih baru dibuka. Bolehlah anda dan pasangan ‘selfie’ banyak-banyak.
4. Lost in KL : The haunted house, Kuala Lumpur
Sebut pasal ‘rumah hantu’ mesti anda sudah terbayangkan apa yang sudah ada di dalamnya. Bagi anda yang gemarkan menonton filem hantu. Kami cabar anda dan pasangan untuk pergi ke tempat ini!
5. Genting awana skyway, Genting Highlands
Tempat ini sering dikunjungi ramai orang dan pelancong asing. Tarikannya sangat menarik. Aktiviti seperti taman tema juga terdapat di sini. Tapi apa yang lebih menarik ialah ‘glass cable car’ yang anda boleh lihat sendiri apa ada di bawah. Confirm gayat!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Baca Pesanan Menarik Lelaki Ini, Jodoh Yang Allah Telah Tetapkan Tidak Pernah Salah Orang!

Isi Kandungan
ToggleJodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian”
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Amalkan Baca Al-Mathurat Pagi & Petang, Ganjarannya Dalam Rumah Tangga Datang Tak Disangka!

Doa merupakan senjata bagi umat Islam. Malah Al-Quran juga adalah sumber penawar baik daripada segi zahir mahupun batin. Justeru, sebagai suami isteri menjadi kewajipan suami untuk membimbing isteri dan keluarga mendekatkan diri dengan agama, selain menuntut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang sebagai senjata untuk miliki rumah tangga bahagia.
Suami isteri yang sedang berdepan dengan masalah elok menjadikan wirid dan doa Al-Mathurat ini sebagai amalan di waktu pagi dan petang. Bahkan banyak ganjaran untuk rumah tangga yang anda berdua boleh peroleh dengan mengamalkan Al-Mathurat. Pasti selepas anda sudah mengetahui ganjarannya, anda akan rasa sayang untuk meninggalkannya walaupun satu doa.
Kelebihan Mengamalkan Al-Mathurat
1. Tidak dihampiri syaitan
2. Rumah dan keluarganya terselamat daripada perkara yang tidak diingini.
3. Allah mencukupkannya dengan apa yang sangat diperlukan dari segi urusan dunia dan akhirat.
4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
5. Selamat dari segala sesuatu.
6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
7. Diredhai Allah SWT.
8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
9. Terhindar daripada syirik.
10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
13. Membacanya di waktu pagi akan dipelihara Allah SWT hingga ke petang. Siapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
14. Mengamalkannya umpama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dari sudut zikir dan berdoa, dan pelbagai lagi kelebihan.
Amalan Suami Isteri
Jika anda berada di sebelah suami yang sedang memandu, bacakanlah wirid dan doa harian ini. Biar suami di sebelah mendengar bacaan anda. Ikut tertibnya, jika perlu membaca tiga kali sehingga habis sebagaimana yang terkandung dalam buku Al Mathurat.
Ada bahagian wirid dan doa yang perlu diperhatikan dengan teliti terutamanya ketika membaca sebelah pagi atau petang. Ada beberapa bahagian ayat perlu diubah mengikut masa membacanya. (boleh rujuk buku Al Mathurat)
Sebaiknya, bacalah sampai doa terakhir dalam Al Mathurat. Kadangkala kerana ingin cepat, kita mengelak daripada membaca wirid dan doa ini sampai habis. Terjemahan doa ini sahaja membaca makna yang cukup besar dalam menyatukan hati-hati insan yang dekat dengan pengamalnya.
Andai anda sedang berselisih dengan suami atau isteri, bacalah doa akhir ini kerana ia mampu menyatukan hati, selain mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara pasangan malah anak-anak.
Agar hidup yang baharu dibina diberkati dan dilindungi, cuba ikhtiar dengan pendekatan Islam. Nescaya kehidupan sebagai suami dan isteri akan mendapat rahmat juga keberkatan daripada Allah SWT.
Doa Akhir
“Ya Allah, menjelanglah kini malam (ciptaan)-Mu, beredarlah sudah siang-Mu, inilah keluhan suara dan pinta para du‘at-Mu. Maka oleh itu ampunkanlah dosaku. Ya Allah, engkau mengetahui bahawa hati-hati ini… (bayangkan wajah rakan seperjuangan) telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah-Mu), bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah Ya Allah ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini dengan pengetahuan sebenar tentang-Mu.
Jika engkau mentakdirkan mati maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami (Nabi) Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”
* Ketika membaca doa ini, niatkanlah untuk suami/isteri dan jangan lupa menyebut namanya.
Pengertian Al-Mathurat
1. Al-Mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ia disusun dan dihimpunkan oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasar dalil-dalil sahih. Rasulullah SAW adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperoleh daripada amalan doa dan wirid ini.
2. Terdapat dua jenis yang boleh dibaca iaitu Sughra dan Kubra. Andainya anda diburu waktu, sudah memadai membaca jenis Sughra kerana surah pilihan dan doanya lebih ringkas.
3. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al-Mathurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui Ilahi, memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
4. Bagi seorang Muslim masanya tidak berlalu begitu saja. Di kala pagi dan petang, dia sentiasa bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal daripada Nabi SAW).
5. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al-Mathurat, anda akan merasakan perbezaannya dengan hari-hari yang tidak dimulakan dengan zikir Al-Mathurat. Begitulah kekuatan doa dan wirid dalam Al-Mathurat yang dianggap senjata orang mukmin.
Sumber: Iluvislam
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Hati-Hati Dengan Penggunaan Media Sosial Berlebihan. Bimbang Mampu Menjejaskan Rumah Tangga!

Tidak dinafikan penggunaan media sosial berlebihan hari ini membimbangkan segelintir masyarakat lebih lagi mereka yang sudah berkahwin.
Selain wechat dan whatsapp, media sosial seperti facebook juga mampu menjejaskan hubungan rumah tangga. Zaman canggih ini, penggunaan media sosial berlebihan juga boleh mendorong kepada perbuatan curang yang mana perkenalan biasa antara lelaki dan wanita boleh membawa kepada perhubungan mesra hingga melupakan batas pergaulan.
YORKSHIRE – BRITAIN. Tidak dinafikan lagi pengguna untuk berkongsi apa sahaja, tidak terkecuali luahan perasaan yang menggambarkan rasa tidak puas hati terhadap orang lain di sekeliling mereka.
agi pengguna aktif aktif laman sosial seperti Facebook, Twitter atau blogger, kebanyakan mereka cenderung untuk memiliki tabiat ini.
Bagaikan trending, laman sosial seperti Facebook kini dijadikan sebagai punca peningkatan jumlah perceraian antara pasangan suami isteri masa kini.
Menerusi statistik terbaru yang dikeluarkan sebuah firma guaman di Leeds menunjukkan data bahawa lebih 66 daripada 200 pasangan di England bercerai berpunca daripada Facebook.
Rakan kongsi firma undang-undang Lyn Ayrton, seperti yang dipetik menerusi portal berita Metro.co.uk menjelaskan, selain menjadi faktor perceraian, Facebook juga boleh dijadikan sumber bagi mendedahkan aktiviti atau maklumat peribadi yang dipaparkan oleh pasangan masing-masing.
“Sosial media bagaikan buku log kehidupan kita. Sebarang perkongsian, catatan, gambar serta rekod aktiviti boleh diambil daripada laman itu dan digunakan di mahkamah.
“Jika individu itu tidak berterus-terang dengan pasangannya mengenai kedudukan kewangannya. Kami boleh mengesan dan menjejak apa sahaja maklumat peribadi khususnya berkaitan kewangan untuk menjejaskan kredibilit pasangan di mahkamah,” katanya lagi.
Sehubungan dengan itu, pengguna Facebook seharusnya lebih berhati-hati dalam mengawal selia privasi akaun sosial dari diceroboh oleh mana-mana pihak.
Sumber : Sinar Harian
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI