
Berikutnya adalah perkongsian dari Khairul Hakimin Muhammad yang berkongsi tentang petua atau tips suami murah rezeki yang boleh diamalkan oleh si suami demi keberkatan dan kebahagiaan dalam sesebuah keluarga yang telah dibina.
Bersedekah itu adalah seperti sedekah waktu, sedekah tenaga dan sebagainya pasti akan menambahkan lagi rezeki suami.
Tip Suami Murah Rezeki Yang Berkat
Semasa dengar kuliah maghrib beberapa hari lepas, Ustaz tersebut berpesan kepada kami semua, ayatnya begini:
Wahai suami-suami, kalau nak murah rezeki, buat ini:
1. Jika isteri dah siapkan minuman, makanan, hidang dah atas meja, kemudian beliau menjemput kita makan, kita pula sibuk dengan telefon, sibuk hal lain lagi, lalu biarkan ia sejuk, maka lambatlah rezeki masuk.
Mana rezeki yang telah terhidang, santuni rezeki itu sebaik-baiknya.
2. Jika pulang sahaja ke rumah, tiba-tiba anak-anak menerpa, cakap ayah nak itu ayah nak ini, pergi duduk. Cakap seorang demi seorang, cium dahi mereka walau kita tak mampu nak lunaskan setiap satunya, tak boleh marah, tak boleh herdik.
Sabar dan santun dengan anak-anak akan memurahkan rezeki seisi rumah. Allah suka orang yang sabar dengan si kecil yang tidak ada dosa.
3. Bangun pagi, jika tidak kejutkan pasangan, kita sahaja yang bersiap dan biarkan isteri masih berdengkur, juga boleh mengurangkan rezeki rumah tangga. Mulalah sana tak cukup, sini rasa nak marah dan sebagainya.
4. Usaha untuk beri wang belanja kepada isteri walau gaji kita masih kecil. Mula dengan RM10, RM50, letak dalam purse mereka. Biarkan ia berputik seperti cinta yang dulunya kecil hari ini sudah beranak 6.
Zaman ini memang era orang perempuan gajinya lebih besar, namun usaha memberi nafkah itu adalah pintu kepada banyaknya lorong rezeki.
5. Banyak-banyak bergurau dari marah. Tengok balik dalam rumah tangga semua. Banyak jenaka atau banyak sedih. Jika banyaknya ketawa, senyum dah gembira, itu tanda rezeki mahu masuk ke dalam rumah kita.
Namun jika orang di dalam rumah itu sering marah, sering tak suka itu ini, sering hatinya tak bahagia, mana ada makhluk mahu bertandang, termasuklah rezeki.
Begitulah. Semoga bermanfaat kawan-kawan.
Antara Jenis-jenis Rezeki Dari Allah
- Rezeki yang telah dijamin
- Rezeki kerana usaha
- Rezeki kerana bersyukur
- Rezeki yang tak disangka
- Rezeki kerana istighfar
- Rzeki kerana berkahwin
- Rezeki kerana anak
- Rezeki kerana sedekah
Semoga perkongsian tentang tips supaya si suami murah rezeki ini akan dapat membantu para suami dan semua orang yang masih tertanya bagaimana untuk menambahkan rezeki yang dikatakan tersekat. Semoga bermanfaat.
Memang Kahwin Buka Pintu Rezeki Tapi Jangan Kahwin Dalam Keadaan Tak Ready!

Bila masuk isu kahwin ni, nak tak nak kita cuba tengok balik pasal hukum perkahwinan. Tak silap saya ada diajar dalam subjek Pendidikan Islam Tingkatan 5.
Hukum kahwin ni setiap orang lain-lain. Ikut situasi kau. Harus ke, wajib ke, sunat ke, makruh ke, haram ke? Jom kita buat ulangkaji. Ramai dah lupa.
Harus
– Orang yang tak ada tuntutan mendesak untuk kahwin dan tak ada perkara yang mengharamkannya kahwin.
Wajib
– Orang yang mampu tunaikan nafkah zahir dan batin, sihat tubuh badan dan dikhuatiri terjerumus kepada zina sebab tak dapat kawal nafsu.
Sunat
– Orang yang mampu tunaikan nafkah zahir dan batin, sihat tubuh badan dan ada keinginan untuk kahwin, tapi tak dikhuatiri terjerumus kepada zina dan buat kezaliman kat pasangan.
Makruh
– Orang yang tak mampu beri nafkah tapi ada keinginan untuk kahwin.
Haram
– Orang yang tak mampu beri nafkah zahir dan batin atau diyakini akan buat kezaliman kat pasangan.
Semua orang nak kahwin, tapi kalau benda asas macam tempat tinggal, kereta, duit nafkah pun kau tak dapat nak sediakan, kau fikir sendiri kau berada dalam situasi yang mana. Hukum sunat dan wajib adalah untuk orang yang mampu. Mampu kah engkau?
Kahwin akan buka pintu rezeki. Tapi itu bukan alasan untuk kau kahwin dalam keadaan kau tak ready.
Iya, memang ada orang yang kahwin dalam keadaan tak cukup serba serbi, tapi kini hidup kaya dan bahagia, sebab kita banyak disaji oleh kisah-kisah viral yang macam tu. Cerita penuh inspirasi, mestilah netizen gigih untuk share dan share sampai viral seantero Malaysia.
Tapi, kita tak boleh nafikan yang ramai juga kahwin tanpa ready, dan lepas kahwin hidup makin susah, sampai bercerai berai sebab masalah kewangan. Bukan sikit kes cerai yang penyebabnya adalah masalah kewangan.
Iya, kahwin memang buka pintu rezeki bagi orang yang merancang dan berusaha. Kalau lepas kahwin, kau jadi makin pemalas, tak cari jalan tambah pendapatan, tak jadi juga. Bertawakal saja tak boleh, usaha kena ada.
Tak cukup dengan hanya berdoa, “Ya Allah, aku sudah berkahwin, jadikanlah aku kaya sepertimana janjiMu.” Lepas tu, kau sambung tidur, malam tengok drama walaupun duit dalam bank tinggal RM100 saja.
Iya, kahwin memang buka pintu rezeki, sebab mungkin rezeki itu adalah milik anak yang bakal kau lahirkan. Kadang-kadang kita mendabik dada mengaku ini rezeki aku, itu rezeki aku. Padahal kita tak sedar sebenarnya kita menumpang rezeki anak-anak kita.
Well, semua orang dalam hati nak letak impian berkahwin dengan pasangan yang stabil kewangan, memang itu jalan short cut. Tapi, tak ramai yang nak usaha stabilkan kewangan diri sendiri dulu. Biasalah. Ha! – HF
#harithfaisal
SHARE jika bermanfaat.
Sumber : Facebook Harith Faisal
Tumpang Kereta Suami Orang Berduaan? BIG NO

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tidak ada yang salah jika menumpang kereta untuk berulang-alik ke tempat kerja jika bekerja di tempat yang sama. Namun yang menjadi masalahnya apabila suami orang menumpang kereta isteri orang atau isteri orang menumpang kereta suami orang. Ini memang masalah besar.
Sebenarnya banyak masalah yang akan timbul bila dua orang yang berlainan jantina berduaan dalam satu kereta. Lebih buruk lagi apabila melibatkan lelaki dan wanita yang berstatus suami atau isteri orang. Wanita bujang dengan suami orang pun bahaya, isteri orang dengan lelaki bujang pun tetap bahaya. Mana-mana pun tetap bahaya!
Bayangkan bila tersangkut lama dalam kesesakan lalu lintas maka masa yang ada diisi dengan sembang-sembang dan akhirnya menjurus kepada ‘curahan hati’. Lama-lama masing-masing pun rasa saling memerlukan. Ini yang kita tak nak berlaku.
Berikut perkongsian daripada Marlia Ramli yang wajar dijadikan peringatan bersama sama ada suami atau pun isteri.
Jangan tumpang kereta suami orang. Berduaan? BIG NO! Grab dan teksi ada. Wanita hari ini perlu lebih berdikari dan punya standard sendiri.
Jika terpaksa tumpang, call isteri arjuna ini dan minta izin. Jaga diri sungguh-sungguh. Rendahkan diri bila terpaksa menumpang. Jangan melebih-lebih pula. Ini kan Malaysia…
KAUM WANITA SERING DIPERSALAHKAN
Tak kira siapa yang mula dulu akhirnya wanita yang akan dicop miang, merenyam, gedik dan gatal.
Tak kira suami orang level have-have atau bohjan di tepi jalan, jarang pihak arjuna yang akan dipersalahkan. Pusing camne pun, wanitalah yang akan dipersalahkan. Digelar penyondol dan khinzir yang menyerang tanaman orang. Tak kira lah siapa yang merayu itu ini.. Wanitalah akhirnya akan ditunding dilihat tidak ada style, low class dan kasta terendah.
Oleh itu sebaiknya, elak sama sekali menumpang kereta suami atau isteri orang. Jika nak tumpang pun, carilah sama-sama jantina. Senang sebab tak ada masalah curang selain mengelakkan fitnah daripada orang sekeliling.
Sumber kredit: Marlia Ramli, kata ustaz
Isteri Tak Tunai Nafkah Batin, Suami Patut Beri Nafkah Atau Tidak?

Saya ingin bertanya beberapa persoalan berkaitan isu rumah tangga. Seorang isteri tidak mengambil berat tentang keperluan batin suami sehingga menjangkau setahun dan kerap mengelak ajakan untuk bersama dengan pelbagai alasan serta tidak mempeduli nasihat suami dan tidak menjaga ibadat kepada Allah SWT. Jika isteri bersikap seperti itu, adakah wajib bagi suami untuk memberi nafkah kepada isteri.

Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Hikmah Perkahwinan
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya. Ini seperti hadis daripada Abdullah bin Amr RA, sabda Nabi SAW:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia merupakan keseronokan sementara dan keseronokan yang paling baik ialah wanita yang solehah.”
Riwayat Muslim (1467)
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka
(Surah al-Baqarah, 187)
Dr. Mustafa al-Khin di dalam kitab beliau menyatakan hikmah perkahwinan di antaranya ialah:
Memenuhi keperluan fitrah manusia
Mengembangkan masyarakat islam dengan keturunan
Mewujudkan ketenangan jiwa dan ketenteraman rohani
Memelihara akhlak daripada kerosakan dan keruntuhannya.
Memelihara generasi manusia yang sejahtera
Mengembangkan kekeluargaan dan mengeratkan semangat kerjasama
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/13-16)

Nafkah Dan Tanggungjawab Suami Isteri
Nafkah adalah pembelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia dinamakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/274)
Terdapat pelbagai Nas al-Quran dan Sunnah berkenaan nafkah di antaranya, Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
(Surah al-Talaq, 7)
Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Ini seperti mana firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
(Surah al-Baqarah 233)
Syarat Wajib Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri
Nafkah disyaratkan ke atas suami sekiranya isteri memenuhi syarat yang ditetapkan. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji telah membahagikan kepada dua syarat iaitu:
Isteri merelakan dirinya untuk bermesra (istimta’), bersetubuh dalam keadaan yang dibenarkan syara’. Dan sekiranya isteri menolak walaupun sedikit, maka suami tidak wajib memberi nafkah kepada isterinya. Dan sekiranya jika suami ingin bermesra dan bersetubuh isterinya dalam keadaan diharamkan, sakit atau uzur, maka keengganan isteri itu melayani suaminya tidak menggugurkan kewajipan suami untuk memberi nafkah.
Isteri ikut tinggal dirumah yang dipilih oleh suaminya. Dan isteri wajib tinggal di dalamnya melainkan tempat tinggal itu tidak sesuai untuk didiami dari sudut syara’.
Jika kesemua syarat itu dipenuhi, maka wajib bagi suami untuk memberi setiap nafkah yang diperlukan oleh isteri.
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji: 4/181-182)
Nusyuz
Dr. Muhammad Zuhaili mentakrifkan Nusyuz bermaksud derhaka. Dan nusyuz seseorang perempuan ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan terhadap suaminya. Dan Nusyuz bagi lelaki ke atas wanita adalah meninggalkan tanggungjawabnya dan menyakiti pasangannya. (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90)
Firman Allah SWT:
اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).
(Surah al-Nisa’: 34)
Perbuatan Nusyuz yang dilakukan isteri adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Ini seperti mana hadis daripada Abi Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:
إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَلَمْ تَأْتِهِ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ
Maksudnya: Apabila suami mengajak isteri untuk tidur bersama-sama, kemudian isteri tidak mahu datang dan suaminya tidur dalam keadaan marah, maka malaikat melaknati isterinya sehingga ke pagi.
Riwayat Muslim (1436)
Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan Nusyuz seorang itu berlaku dalam pelbagai keadaan dan gambaran. Seperti seorang isteri tidak taat dan tidak patuh kepada suaminya, sebagai contoh keluar rumah tanpa keizinan suaminya tanpa ada keuzuran yang membenarkannya seperti keluar berjumpa dengan qadi dan mencari nafkah bagi membantu suami yang susah. Atau enggan bersetubuh dalam keadaan uzur syarie’ dan sakit (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/92)
Nusyuz Suami
Selain itu, Nusyuz bagi seorang suami kepada Isterinya seperti yang dinyatakan di dalam Fiqh al-Manhaji, suami yang menganiaya isterinya seperti tidak memberikan giliran bermalam, tidak memberi nafkah atau mengasarinya. Oleh itu, Isteri hendaklah menasihati suami. Dan sekiranya tidak berubah maka hendaklah isteri mengadu kepada hakim untuk menuntut haknya. Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/109-110)
Cara Mengatasi Nusyuz Suami
Isteri boleh menasihati suami tentang tanggungjawabnya dan memberi amaran kepadanya tentang balasan Allah SWT dengan perbuatan zalimnya.
Selain itu, sekiranya suami masih tidak berubah maka isteri boleh memnta hakim mengenakan tindakan yang sesuai untuk memperbaikinya.
Sekiranya belum mampu mengubahnya, kedua-dua belah pihak boleh menghantar wakil sebagai orang tengah untuk mendamaikan atau memisahkan mereka.
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 4/109-110)
Cara Mengatasi Nusyuz Isteri
Apabila terdapat tanda-tanda Nusyuz daripada seseorang seperti ia bersikap kurang enak dan bermasam muka. Atau pun seseorang isteri mengeluarkan kata-kata kesat kepada suaminya. Maka di dalam al-Fiqh al-Manhaji mengajar cara mengatasinya dengan:
Suami sunat menasihati dengan berdasarkan kitab Allah SWT serta mengingatkan tanggungjawab yang diwajibkan Allah SWT ke atasnya berkenaan dengan pergaulan mesra serta sanjung martabat suami. Dan menasihati tentang kemurkaan Allah SWT serta balasannya.
Dan sekiranya masih tidak berubah, suami hendaklah mengasingkan dan meninggalkannya bersendirian di tempat tidur. Perbuatan ini sungguh berkesan untuk mendidiknya.
Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakan dengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.
Jika perselisihan masih tidak mampu diselesaikan maka ia hendaklah dibawa kepada hakim. Hakim hendaklah melantik orang tengah yang beragama Islam dan adil. Dan orang tengah itu hendaklah berusaha sedaya upaya mendamaikan suami isteri tersebut. (lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/107-108)
Firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Maksudnya: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya
(Surah al-Nisa’, 35)
Kesimpulan
Berdasarkan persoalan di atas dan nas yang diberikan, perbuatan seorang isteri tersebut kepada suaminya tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana tanggungjawab seorang isteri adalah melayan suaminya dengan baik serta memenuhi tuntutan suaminya. Melainkan sekiranya suami meminta kepada perkara yang diharamkan syara’ atau isteri dalam keadaan uzur dan sakit.
Suami dan isteri seharusnya berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang baik. Sekiranya isteri masih tidak berubah, maka suami boleh lakukan apa yang disarankan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:
اللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ
Maksudnya: Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).
(Surah al-Nisa’: 34)
Menasihatinya secara berhikmahdengan tutur kata yang baik, kasih sayang dan berniat untuk dia menjadi lebih baik.
Jika masih juga tidak berhasil, suami boleh untuk mengasingkan tempat tidurdaripada isterinya tersebut.
Jika masih tidak berhasil, suami boleh memukul isteri dengan pukulan yang ringan dan tidak mencederakandengan niat untuk memberi pengajaran sahaja.
Oleh itu, suami tidak diwajibkan untuk memberi nafkah sekiranya isteri tidak melakukan tanggungjawabnya kepada suami serta berkelakuan nusyuz. Melainkan, sekiranya tuntutan suami menyalahi batasan syara’ maka isteri boleh menolak perkara tersebut dan tidak menggugurkan kewajipan suami untuk memberi nafkah.
Namun sebaiknya, perkara ini dibawa kepada pihak yang berautoriti untuk menjalankan proses sulh yang terdapat di dalam undang-undang keluarga islam di negeri-negeri. Ini bertujuan mengadakan perjanjian damai serta menyelsaikan perselisihan di antara suami dan isteri.
SUMBER :MUFTIWP.GOV