Melihat kepada skop decent work yang diberikan oleh beberapa orang di atas dapatlah kita simpulkan bahawa decent work menekankan kepada pekerjaan yang berkualiti dan tidak kepada kuantiti pekerjaan semata-mata. Jadi, mengikut konsep ini, kita perlu memikirkan tentang penyediaan peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti untuk masyarakat kita terutamanya untuk wanita.

Suami Boleh Benarkan Isteri Bekerja, Tapi Biarlah Menutup Auratnya

Kualiti yang dimaksudkan di sini merangkumi beberapa bidang berikut:

a) Gaji
Yang paling penting, gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut. Ia juga hendaklah mencukupi bagi membolehkan pekerja tersebut menikmati taraf hidup yang baik.Gaji ini juga hendaklah mencukupi bagi membolehkan pekerja itu memberi pendidikan kepada anak-anaknya .

b) Jaminan
Pekerjaan itu pula perlulah dapat menjamin kehidupan pekerja tersebut. Jaminan ini boleh dilihat dari beberapa segi. Pertama, jaminan bahawa ia tidak akan dibuang kerja sesuka hati kerana itu adalah mata pencariannya. Ia juga hendaklah memberi jaminan keselamatan fizikal kepada pekerja baik dari segi tempat kerja yang selamat mahupun bahaya kesihatan. Jaminan-jaminan yang lain adalah seperti insuran nyawa, insuran kemalangan serta wang yang mencukupi untuk menampung hidup pekerja itu di masa tua, baik dari segi pencen, mahupun wang simpanan yang terkumpul.

c) Kesihatan
Pekerjaan itu tidak berbahaya kepada kesihatan dan sekiranya berbahaya, langkah-langkah keselamatan hendaklah diambil oleh majikan demi kesihatan pekerja. Selain itu, majikan juga perlu membiayai kos rawatan kesihatan kepada pekerjanya.

d) Layanan sebagai manusia
Majikan perlu melayan pekerja seperti manusia. Ini bermakna pekerja tidak boleh dikasari, baik secara fizikal, verbal, mahupun mental. Dalam kata lain, pekerja tidak boleh dipukul mahupun dihina. Jika majikan menyediakan makanan, makanan itu hendaklah makanan yang berkhasiat dan bukannya makanan yang disediakan secara sambil lewa. Sebagai manusia, pekerja mengalami rasa letih dan lelah dan perlukan rehat yang cukup. Sebagai penyumbang kepada syarikat dan majikan, pekerja perlu dihargai, baik secara lisan, mahupun material.

e) Kepuasan bekerja
Decent work juga dilihat dari segi sejauhmana pekerjaan yang dilakukan itu memberi kepuasan kepada pekerja dan bukannya mereka bekerja kerana terpaksa bekerja.Apa sahaja usaha yang bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan wanita digalakkan oleh Islam. Ini tidak bermakna Islam tidak menganjurkan usaha-usaha seumpama ini. Sebenarnya, sejak Islam wujud lagi, ia telah memberi prasyarat-prasyarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh wanita sebelum keluar bekerja. Prasyarat-prasyarat itu ialah:

a) Menutup aurat
b) Mendapat keizinan bapa atau suami
c) Pekerjaan yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan fitrah mereka sebagai wanita dan tidak menjejaskan fungsi mereka sebagai anak, isteri dan ibu
d) Maruah mereka terpelihara sepanjang masa berada di luar rumah
e) Keselamatan mereka terjamin semasa berada di luar rumah.

IKLAN

Melihat kepada prasyarat-prasyarat ini, selain dari pekerjaan yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan Islam, Islam melihat pekerjaan itu perlulah dapat memelihara wanita dari segala bahaya yang boleh menimpa mereka.

Dari segi aurat misalnya, Islam menuntut wanita memelihara aurat mereka sekiranya berada di luar rumah. Tuntutan ini bukanlah untuk menyekat wanita tetapi agar mereka dikenali (sebagai wanita Muslim) dan tidak diganggu.

Dari segi perlunya keizinan ayah atau suami, kedua-dua orang ini merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap wanita. Jadi, keizinan perlu agar mereka tahu ke mana orang yang di bawah tanggungjawabnya pergi dan apa kerja yang dilakukannya. Ini penting kerana mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti.

Dari segi jenis kerja yang dilakukan, ia hendaklah kerja yang tidak bertentangan dengan fitrah wanita serta tidak menjejaskan fungsi kewanitaannya. Misalnya, kerja melombong arangbatu mungkin tidak sesuai dengan wanita. Begitu juga, shif malam mungkin akan menjejaskan fungsi wanita itu sebagai isteri dan ibu.

Dari segi maruah, wanita tidak dibenarkan terlibat dengan kerja-kerja yang boleh menjejaskan maruah mereka seperti pelacuran, pelayan dan seumpamanya.

IKLAN

Dari segi keselamatan pula, kerja itu hendaklah tidak membahayakan nyawa wanita, termasuklah dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Sebenarnya syarat-syarat yang sama juga dikenakan kepada lelaki cuma kita tidak terlalu memikirkannya. Jadi, dalam melihat isu kerja ini, Islam melihatnya sama sahaja, baik terhadap lelaki mahupun wanita. Islam dari dahulu lagi melihat isu decent work bukan sahaja untuk wanita tetapi juga untuk lelaki. Dan dalam Islam, decent work tidak hanya melibatkan pekerjaan yang berkualiti dari segi gaji, persekitaran kerja, hubungan pekerja-majikan yang baik, kepuasan diri pekerja dan seumpamanya tetapi termasuk juga isu nilai kerja itu (bukan kerja yang bertentangan dengan Islam) serta maruah pekerja itu sendiri. Jadi, dalam Islam, maksud decent work adalah lebih luas yang bukan hanya keselesaan di dunia tetapi juga demi keselesaan di akhirat.

Selain prasyarat-prasyarat ini, ada juga beberapa contoh dari hadis Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan bagaimana hubungan pekerja majikan itu harus berlaku yang merupakan lanjutan dari konsep decent work dalam Islam. Walau bagaimanapun, harus saya nyatakan di sini bahawa di zaman Rasulullah s.a.w. kebanyakan contoh yang ada adalah dalam konteks hubungan tuan dan hamba. Namun, saya merasakan oleh kerana dalam Islam hamba itu bukanlah seperti apa yang kita fahamkan pada hari ini – boleh diperlakukan sesuka hati – maka saya rasa ia sesuai untuk digunakan dalam konteks majikan dan pekerja.

Sehubungan dengan itu, perkara pertama yang perlu kita tahu berkaitan dengan hubungan tuan dan hamba ialah tuan dilarang dari melambatkan memberi makan kepada hambanya. Muslim melaporkan bahawa dari Khaitsamah r.a. katanya, “Ketika kami sedang belajar dengan Abdullah bin Umar, tiba-tiba datang bendaharanya lalu ia masuk ke dalam majlis. Abdullah bertanya kepada bendaharanya itu, ‘Sudahkah kamu memberi makan kepada hamba sahaya?’ Bendahara menjawab , ‘Belum.’ Maka Abdullah berkata, ‘Pergilah beri mereka makan segera.’ Kata Abdullah selanjutnya, ‘Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.’” Jadi, dalam konteks hubungan majikan-pekerja, majikan tidak sewajarnya menagguhkan pemberian gaji kepada pekerjanya.

IKLAN
Suami Boleh Benarkan Isteri Bekerja, Tapi Biarlah Menutup Auratnya

Kedua, dalam Islam tuan tidak dibenarkan memukul hambanya dan jika perbuatan ini dilakukan juga maka dendanya ialah hamba itu hendaklah dibebaskan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa menampar hamba sahaya atau memukulnya maka dendanya ialah memerdekakan hamba sahaya itu” (Riwayat Muslim) Jadi, jika hamba sahayapun tidak boleh dipukul, apalagi pekerja yang memakan gaji dengan kita.

Ketiga, Islam begitu menekankan kebajikan golongan hamba ini sehinggakan pakaian tuan hendaklah sama dengan pakaian hambanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sahayamu adalah saudaramu yang dititipkan oleh Allah dalam pengurusanmu. Kerana itu, siapa yang mempunyai saudara yang berada dalam pengurusannya hendaklah diberinya makan yang serupa dengan yang dimakannya sendiri dan diberi pakaian yang serupa dengan yang dipakainya sendiri. Dan janganlah mereka kamu beri tugas yang melebihi batas kemampuan mereka. Jika akan kamu tugaskan juga, hendaklah kamu bantu ia.” (Riwayat Muslim).

Hadis ini menunjukkan betapa Islam begitu prihatin kepada golongan hamba. Dalam konteks hubungan majikan-pekerja, walaupun tidak mungkin pekerja memakai pakaian yang serupa dengan majikan, tetapi sekurang-kurangnya gaji yang diberi itu mencukupi untuk dia membeli pakaian yang dapat menutup auratnya (serta aurat ahli keluarganya) dan bukannya pakaian yang koyak-rabak, misalnya. Begitu juga dari segi kerja, jangan dibebankan pekerja sehingga majikan sudah berada di rumah bersenang-lenang dengan anak-isteri tetapi pekerja masih di pejabat menyiapkan kerja-kerja yang ditugaskan. Begitu juga, jangan sampai terjadi perbezaan yang terlalu ketara dari segi makanan sehingga majikan makan daging dan ayam manakala pekerja makan nasi dan ikan kering setiap hari.

Keempat, tuan dan hamba digalakkan makan bersama-sama. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Apabila hamba sahayamu membuatkan makanan bagimu, kemudian makanan itu dibawanya ke hadapanmu dalam keadaan panas dan berasap, suruhlah ia duduk dan makanlah bersama-sama dengannya. Jika makanan itu hanya sedikit, letakkan di tangannya sesuap atau dua suap.” Dalam hubungan majikan-pekerja pada hari ini, tidaklah bererti majikan perlu makan dengan semua pekerjanya tetapi yang penting ialah kesudian majikan untuk makan semeja dengan pekerja agar hubungan antara mereka dapat dieratkan. Tidaklah seperti yang biasa kita lihat pada hari ini dalam sesuatu majlis di mana pekerja golongan rendah hanya duduk dalam lingkungan mereka manakala pegawai tinggi hanya duduk di kalangan mereka sahaja.

Demikianlah sikap Islam terhadap pekerja, baik yang wanita, mahupun lelaki. Seperti yang saya katakan tadi, konsep decent work dalam Islam begitu luas, bukan sahaja untuk keselesaan di dunia, tapi juga di akhirat. Hubungan majikan-pekerja yang berlandaskan kepasa perasaan kasih-sayang dan kasihan belas juga adalah satu komponen utama dalam konsep decent work dari perspektif Islam. Ternyata Islam lebih awal dalam mengenegahkan konsep decent work ini tetapi tidak ramai dari kita (orang Islam sendiri) yang menyedarinya.

SUMBER : http://www.ikim.gov.my/

GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI