Bersabarlah Dalam Melayani Karenah Isteri
Hanya dengan kita sahajalah tempatnya bermanja dan menumpang kasih. Maka sekiranya ada dalam kalangan isteri yang melakukan perbuatan yang tidak kita sukai, janganlah kita cepat menghukum dan memarahinya. Sebaliknya, hadapilah karenah itu dengan kebijaksanaan dan berhikmah.
Didiklah isteri kita dengan lemah lembut dan sebaik-baiknya. Isteri apabila diperlakukan sedemikian oleh seorang suami, pasti dia akan menuruti nasihat suaminya.
Namun, sekiranya kita menggunakan kekerasan, bimbang ia boleh menyebabkan isteri menjauhi kita. Malah reaksinya terhadap kita juga akan menjadi keras seperti didikan kita juga.
Boleh jadi isteri juga akan memendam perasaan terhadap perilaku kita. Saya sangat sedih apabila membaca laporan media tentang suami yang melakukan perbuatan tidak baik kepada isterinya. Ada isteri yang didera dengan seterika panas hanya kerana isteri tidak memasak untuknya. Ada isteri isteri yang dicucuh puntung rokok kerana gagal memberikan duit kepada suaminya. Tidak kurang juga ada isteri yang dikeji dan dimaki kerana kesalahan yang secebis cuma.
Apakah ini layanan kita kepada isteri? Isteri insan yang telah banyak membantu kita dalam melayari bahtera rumah tangga. Kala kita tiada, isterilah yang menguruskan rumah kita. Isterilah yang banyak menyediakan makan pakai anak-anak kita. Apakah kita masih sanggup melakukan perbuatan yang tidak baik kepadanya? Jika insan sehebat Umar boleh bertimbang rasa dengan isterinya sedangkan beliau adalah seorang yang tegas, apatah lagi kita manusia biasa ini.
Jika marah sekalipun kita kepada isteri, jangan sesekali membiarkan tangan kita menyentuh tubuh badannya. Jangan didera dan dilakukan kecederaan fizikal atau mental kepadanya. Isteri juga pakaian kita. Isteri adalah pembantu dan penolong kita. Ingatlah, tanpa isteri kita tidak akan mampu berada seperti hari ini. Ingatlah, jasa isteri terlalu besar untuk kita remehkan, apatah lagi untuk tidak mengenangkannya dengan bertindak mengasari dirinya.
Jadilah suami yang bertanggungjawab. Sekalipun terbatasnya kemampuan kita untuk menggembirakan hati isteri, memadailah kita menghargainya dengan mengucapkan terima kasih di atas susah payahnya menjaga kita selama ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI