
Apabila perkahwinan anda berada dalam kesusahan dan menjadi semakin parah, maka anda perlu keluar dan mendapatkan bantuan. Anda tentu sekali tidak boleh memperbaiki keadaan anda sendiri jika keadaan semakin tidak terkawal.
Dapatkan nasihat dan bantuan daripada orang yang berpengalaman secepat mungkin. Jangan biarkan perkahwinan anda terus dibuai keresahan.
Jadi persoalannya sekarang, di mana atau dengan siapa anda boleh dapatkan bantuan untuk perkahwinan anda? Jawapannya, di mana-mana atau sesiapa sahaja! Apa yang anda perlu lakukan adalah bersikap terbuka dengan semua kritikan atau nasihat yang anda terima dan aplikasikannya ke dalam perkahwinan anda. Cubalah!
Berikut adalah beberapa tempat bagi mencari bantuan untuk perkahwinan anda:
Rakan-rakan
Kadang-kala kita sukar untuk berkongsi masalah dengan kawan kita kerana sebab-sebab tertentu. Tapi kawan-kawan juga sebenarnya boleh membantu anda untuk menyelesaikan masalah perkahwinan anda. Namun, bukan semua rakan atau kawan anda sesuai untuk diberitahu tentang masalah anda.
Carilah kawan-kawan yang benar-benar anda percaya dan seeloknya kawan-kawan anda yang berpengalaman dalam hal-hal sebegini. Hal ini kerana, mereka yang berpengalaman dan telah melalui detik-detik masalah dalam perkahwinan bakal membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda.
Hubungan Forum
Jika anda terlalu takut untuk bercakap dengan orang yang anda kenali, maka anda mungkin mahu berbincang dengan sekumpulan orang yang tidak dikenali. Mengapa anda akan berbuat demikian? Kerana mereka akan bersikap terbuka dan jujur dengan anda dalam hal semua.
Mereka akan memberitahu anda apa sahaja kesalahan yang anda lakukan tanpa bimbang tentang menyakiti perasaan anda, dan mereka akan memberi pendapat mereka sejelas-jelasnya dan tanpa berselindung. Itulah keindahan internet – tidak ada wajah di sebalik nasihat itu dan mereka boleh mengatakan apa yang mereka mahu katakan.
Anda akan mendapat pendapat dan nasihat berdasarkan pelbagai jenis pengalaman dan kepercayaan. Ini boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bermaklumat berbanding jika anda mendasarkan pada satu sudut pandangan sahaja.
Kaunseling
Bantuan kaunseling bukanlah suatu perkara yang teruk! Ia tidak seharusnya menjadi pilihan terakhir. Ia adalah cara untuk setiap pasangan tahu dan sedar masalah sebenar dalam perkahwinan mereka.
Antara kelemahan kaunseling ialah bayaran untuk khidmat kaunseling biasanya memerlukan perbelanjaan yang tinggi bergantung kepada tahap kepakaran kaunselor tersebut dan kaunseling juga bukan penentu atau penjamin kepada penyelesaian kepada masalah yang anda hadapi dalam perkahwinan.
Satu lagi masalah ialah anda mungkin mendapati pasangan anda tidak mahu untuk menghadiri khidmat kaunseling. Ia boleh menjadi sukar untuk mendapatkan seseorang yang enggan untuk bekerjasama dengan kaunseling.
Kesimpulannya, perkara penting yang perlu diingat apabila anda mempunyai masalah perkahwinan adalah untuk mendapatkan beberapa jenis bantuan dan segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah anda.
Jika anda bersikap sambil lewa dan bertangguh untuk menyelesaikannya, berkemungkinan perkahwinan anda tidak akan ke mana-mana dan anda akan membazirkan minggu, bulan, atau bertahun-tahun dalam perasaan tidak berpuas hati dan tertekan tentang perkahwinan anda. Atau anda akan menghadapi masalah yang lebih parah iaitu perceraian!
Sumber : Hasani kursus kahwin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Check List Penting Untuk Bakal Pengantin Supaya Tersusun Majlis Kahwin

Pastinya banyak perkara yang ingin diselesaikan menjelang majlis kahwin berlangsung. Adalah lebih mudah dan lebih tersusun buat bakal pengantin jika membuat senarai tugas atau check list agar tidak ketinggalan dan memeningkan kepala. Baca perkongsian oleh Kak Sha mengapa pentingnya check list untuk bakal pengantin.
************************************************************************************
Haaaa mehhh sini Kak Sha nak bagi tips pada bakal-bakal pengantin terutamanya bakal pengantin pompuan tu kannnn.
Jika korang ada masa ada 6 bulan lagi tapi tidak tahu mana yang perlu dibuat dulu? Jangan tambahkan pening kepala korang. Hari ni Kak Sha kongsikan checklist berguna untuk korang prepare di hari bahagia korang tuuu.
1. Daftar kursus kawin. Perkara pertama yang perlu dilakukan. Contohnya korang daftar 6 bulan sebelum berkahwin. Dalam masa tersebut korang berpeluang merancang dengan teliti dan teratur.
2. Tetapkan tarikh (nikah dan sanding). Perkara ini amat penting. Bincang dengan kedua-dua belah pihak. Pengantin pula perlu mengambil cuti kerja yang agak lama kerana terdapat kenduri untuk dua belah pihak.
3. Lengkapkan borang dan dokumen berkaitan. Segala borang-borang perlulah disediakan dan disiapkan secepat mungkin bagi melancarkan kerja menguruskan hal yang lain.
4. Tentukan tema majlis kahwin. Perkara ini jarang diberi keutamaan. Namun begitu, zaman sekarang tema perkahwinan banyak diserahkan kepada orang tua kita untuk memilih warna kegemaran mereka sebagai tema. Walau bagaimana pun, perkara ini masih memerlukan kata sepakat dari pihak pengantin dan ibu bapa pengantin.
5. Medical check-up (HIV) test . Perkara wajib dibuat. Medical check-up HIV test ini telah dikuatkuasakan kepada semua bakal pengantin oleh kerajaan Malaysia. Tanpa keputusan medical check-up HIV ini, perkahwinan tidak dapat diteruskan kerana keputusan ini wajib disertakan bersama dokumen-dokumen lain.
6. Beli barangan hantaran. Rancang dengan pasangan barangan yang diperlukan sebagai hantaran. Bagi mengelakkkan pembaziran, barangan hantaran yang digalakkan ialah barang kegunaan harian seperti minyak wangi, set penjagaan diri dan lain-lain.
7. Cari/Survey souvenir dan bunga telur. Souvenir untuk tetamu adalah sangat penting. Cari buah tangan yang sesuai dengan bajet korang. Buah tangan perlulah yang boleh mendatangkan kebaikkan kepada tetamu majlis anda tidak kira lah tua atau muda.
8. Gubah barang hantaran. Untuk jimat, korang boleh gubah sendiri atau DIY barang hantaran. Gunakan barangan yang sedia ada didalam rumah korang untuk menjadikan hantaran korang cantik dan mahal. Sekiranya ibu korang peminat barangan vintage, pinjam sahaja sangkar hiasan yang digantung di luar rumah. Sangkar hiasan tersebut boleh dijadikan tempat letak cincin. Kreatif dan jimat kan?
9. Tempah juru nikah atau tok kadi. Tok Kadi atau Juru Nikah zaman sekarang tersangatlah sibuk dengan pelbagai urusan. Bukan setakat nak menikahkan orang, malah mereka sendiri ada perkara peribadi yang perlu diselesaikan. Jadi bagi mengambil langkah selamat, tempah juru nikah atau tok kadi apabila tarikh pernikahan anda telah ditetapkan. Jangan lupa untuk ingatkan juru nikah/tok kadi korang tentang tarikh pernikahan korang. Mereka juga manusia biasa yang kadang kala boleh jadi terlupa.
10. Senaraikan nama atau tetapkan bilangan tetamu. Penting untuk keluarga pengantin menetapkan bilangan tetamu yang bakal datang kerana ini akan menentukan bajet sesebuah perkahwinan. Sekiranya lagi ramai tetamu yang dijemput, maka lagi tinggi bajet yang korang perlu keluarkan.
11. Tempah atau cetak kad jemputan. Tempah atau cetak sendiri kad jemputan korang. Perkara ini digalakkan untuk dibuat awal. Proses mereka sesebuah kad agak mengambil masa kerana perkara ini perlu mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak.
12. Tempah pelamin idaman anda.
13. Tempah Juru solek atau mak andam. Semakin ramai juru solek yang ada di Malaysia. Korang perlu menempah juru solek atau mak andam kegemaran korang seawal yang boleh dengan membayar deposit kepada mereka supaya nama korang dimasukkan kedalam ‘makeup booking list’ mereka.
14. Pilih busana pengantin
15. Selesaikan urusan menempah khemah, kerusi dan meja (mungkin sekali dengan pinggan mangkuk dan kelengkapan yang lain) serta kanopi dan catering. Sebelum mengambil keputusan untuk mengambil catering, korang perlu membuat ‘food test’ dengan pihak catering agar korang berpuas hati dengan masakan mereka. Bagi tempahan khemah, korang boleh mula membuat bayaran pendahuluan sebagai tanda setuju korang mengambil servis mereka.
16. Cari jurugambar dan / atau juru video yang sesuai dengan kehendak dan keinginan korang. Proses pencarian jurugambar agak lama. Anda perlu meneliti hasil dari jurugambar samada berbaloi dengan harga yang ditawarkan ataupun tidak. Sekiranya anda mahu jurugambar yang murah, anda jangan lah mengharap yang gambar anda akan secantik jurugambar professional dengan bayaran yang lebih tinggi.
17. Tempah kompang, silat gayung ker, marhaban, tarian atau band. Untuk memeriahkan majlis, korang digalakan untuk menempah servis-servis ini sekali gus menghiburkan hati tetamu yang datang. Sekarang makin banyak pengantin yang menggunakan atau menempah set karaoke, khas untuk tetamu yang dijemput agar bergembira di majlis mereka.
18. Tempah atau cetak banting atau signage. Perkara ini wajib dilakukan agar tetamu jemputan korang tahu kemana arah yang sepatutnya mereka pergi, kemana arah sepatutnya mereka parking. Ini memudahkan semua pihak termasuk pihak keluarga pengantin kerana tidak perlu kerap menjawab talifon sekiranya ada tetamu yang sesat mencari lokasi majlis.
P/S : Kak Sha harap checklist ni berguna untuk korang ya. Mohon share pada kawan-kawan yang nak kahwin tu.
Sumber:https://www.facebook.com/asha.adlynn/posts/2070386769653516
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Baca Pesanan Menarik Lelaki Ini, Jodoh Yang Allah Telah Tetapkan Tidak Pernah Salah Orang!

Jodoh merupakan perkara yang tidak diduga kerana ia merupakan perancangan Allah SWT yang tidak ketahui oleh hamba-Nya. Ia tidak akan datang bergolek jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencarinya.
Kupasan menarik ini boleh anda ikuti menerusi perkongsian daripada penulis buku dan penceramah bernama Shukery Azizan di laman sosial beliau. Semoga impian anda untuk bertemu jodoh yang baik akan dipermudahkan Allah SWT.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak beritahu dua perkara. Yang pertama, ini adalah kupasan lanjut dari bab Apa Itu Takdir, dalam buku saya, Aku Bukan Malaikat, pada bab yang pertama. Takut nanti ada yang ‘blur’ pula.
Yang kedua, kita tengok dulu apa itu DEFINISI JODOH. Sebenarnya perkataan jodoh ni datang daripada bahasa Indonesia, yang dipinjamkan kepada bahasa Malaysia. Kalau ikut kamus Indonesia, jodoh ni maksudnya “pasangan yang cocok” atau pasangan yang serasi.
Tetapi kalau dalam bahasa Arab, kalau kau nak tahu, perkataan jodoh ni sebenarnya tiada. Ya, tiada. Ulama’ semasa bahas hukum pernikahan hanya guna istilah ( زَوْجٌ ) atau ( بَعْلٌ ) untuk suami, dan ( زَوْجَةٌ ) atau ( امْرَأَةٌ ) untuk isteri.
Allah kata dalam Al-Quran, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram bersamanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi kaum yang berfikir”. (Surah Ar-Ruum 30:21)
Jadi, perbincangan kita dalam bab ini bukanlah hukum-hakam pernikahan, ini bukan buku fiqh. Tetapi perbincangan kita lebih kepada “orang atau individu tertentu yang akan menjadi pasangan hidup kita.”
Saya dah huraikan dalam bab takdir yang mana jodoh ini dah ditetapkan dan apa PILIHAN yang kita ada adalah WAJIB buat PERSEDIAAN untuk dapatkan JODOH. Kita pilih sama ada nak dapat jodoh yang baik, atau yang buruk. Menjadikan diri sendiri sebagai calon pasangan yang berusaha ke arah sempurna, atau berusaha ke arah celaka. Atau mencari pasangan yang membimbing ke arah Syurga, atau mengheret ke arah Neraka.
Jodoh ini dah ditetapkan, sama ada kita dapat di dunia, ataupun di akhirat sana. Ada orang yang sempat bertemu jodoh di dunia, tetapi jangan lupa, sangat ramai juga yang hanya dapat menjadi mayat sebelum menjadi pengantin.
Contoh macam kisah seorang sahabat bernama Julaibib r.anhu, saya dah cerita masa bab takdir sebelum ni kalau kau perasan. Saya tak nak ulang panjang cerita dia, tetapi apa saya nak sebut adalah, Julaibib tak sempat pun berkahwin, sedangkan dia baru saja nak berkahwin dengan seorang sahabiah. Tetapi akhirnya dia syahid dulu sebelum sempat menjadi pengantin baru.
Pengajarannya, jangan pening-pening kalau kau baru umur 18 tahun tetapi tiada siapa nak kahwin dengan kau. Atau jangan pening kalau dah umur 30 tahun tetapi masih tak kahwin lagi. Kalau masih tak kahwin lagi, teruskan buat PERSEDIAAN untuk bertemu jodoh, dan jangan buat-buat lupa buat PERSEDIAAN juga untuk bertemu maut! Persoalannya, apakah itu PERSEDIAAN?
Sebelum saya cerita apa itu persediaan, mari abang “payung” analogi sikit. Aduh, rosak bahasa Melayu.
Waktu bulan Ramadhan, masa nak berbuka puasa kita selalu akan sebut apa? Biasanya kita akan sebut,
“Dah siap-siap nak berbuka belum?”
“Ish, lagi berapa minit nak buka ni. Dah buat persediaan berbuka belum?”
Ataupun waktu nak sambut hari raya, kita biasa akan sebut,
“Dah buat persediaan nak raya Cik Siti Pepsikola?”
“Dengar cerita persediaan raya tahun ni meriah kau Jah?”
Jadi apakah maksud “PERSEDIAAN” itu? Adakah kita akan duduk di dapur sambil tadah tangan dan menunggu makanan turun dari langit untuk kita berbuka? Atau adakah kita akan duduk di dalam bilik sambil menunggu pakaian raya turun dari langit untuk kita? Mestilah tidak.
Persediaan yang saya maksudkan adalah IKHTIAR dan USAHA. Ikhtiar sebelum dapat jodoh yang saya maksudkan adalah kau fikir dan PILIH jodoh macam mana yang kau nak. Tetapi janganlah fikir tu sampai hari-hari update status tentang,
“Saya menanti tulang rusuk kiri untuk memasakkan sup tulang untuk saya.”
“Kepada bakal imamku, aku sedia menunggumu hingga ke pintu kubur.”
Menyampah tahu. Jodoh ini dah ditakdirkan, jadi apa PILIHAN yang kita ada adalah dengan PILIH bagaimana jodoh yang kita mahu. Kita nak jodoh yang membawa ke Syurga, atau jodoh yang mengheret ke Neraka.
Sebab itu Nabi ajar dalam satu hadis, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana harta, kerana keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai orang anggap bahkan saya pernah terdengar orang kata, “Kalau nak berkahwin, jangan tengok harta, keturunan dan kecantikan. Tengok agama saja, walaupun dia miskin, tak cantik atau tak hensem, dan keturunan yang teruk.”
Bila saya studi dan mengikuti beberapa perbahasan tentang hadis ini, baru saya faham bahawa Rasulullah ajar bukan tak perlu pedulikan kecantikan, keturunan dan harta. Tetapi apa Rasulullah anjurkan pada kita adalah, kalau kita nak pilih pasangan, pilihlah yang hartanya, keturunannya dan kecantikannya bersandarkan pada agama iaitu Islam. Bukan bersandarkan kepada perkara yang langgar syarak.
Pertama kita tengok harta dia dapat dari mana dan digunakan untuk apa? Adakah dia dapat harta daripada sumber yang patuh syarak? Atau dia dapat hasil dari merompak, judi, jual perkara haram dan sebagainya? Kemudian tengok ke mana pula harta dia selalu laburkan. Adakah dia bayar zakat? Adakah dia selalu sedekah? Ataupun kedekut tahi hidung masin? Atau selalu guna harta membazir shopping sampai tak ingat dunia?
Kemudian tengok pada keturunannya. Dia ini keturunan yang baik-baik, ataupun keturunan yang selalu langgar syarak? Studi tentang latar belakang keluarganya, saudara mara yang terdekat, makcik pakcik dan sebagainya.
Adakah daripada keluarga yang ikut syarak, atau langgar syarak? Siapa mak ayah dia? Siapa adik beradik dia? Siapa pakcik makciknya? Siapa saudara mara terdekatnya? Dan adakah mereka semua ini ikut perintah Islam? Dan juga tengok pada “kesuburan” keluarga, maksudnya adik beradik dia ada berapa, mak ayah dia punya adik beradik ada berapa. Dan tengok juga ada saka atau tidak dan sebagainya. Semua ini penting, bukan main-main.
Kemudian tengok pada kecantikannya. Dia ini gunakan kecantikannya untuk apa? Guna kecantikan untuk jadi playboy lalu jadilah “suamiku playboy”? Atau gunakan kecantikannya untuk jadi “pisau cukur” kepada lelaki lalu jadilah “isteriku curang”? Atau kecantikannya dijaga sesuai dengan perintah Islam?
Maksudnya, adakah kecantikannya disimpan dengan cara tutup aurat sempurna, tunduk pandangan, tahu malu, dan sebagainya. Atau adakah kecantikannya ditunjukkan kepada umum dengan cara buka aurat, kaki selfie, tak tahu malu, mata asyik jeling pada lelaki yang kacak, dan sebagainya.
Dengan kata mudah, “pilihlah yang BERAGAMA” itu adalah kita pilih seorang lelaki atau perempuan yang bukan hanya Islam pada nama dan IC, tetapi Islam juga pada harta, keturunan dan kecantikannya atau perbuatannya. Hadis ini juga terpakai untuk melihat belah lelaki, bukan sekadar perempuan.
Ok, selepas kau fikir dan pilih jodoh yang kau nak, kemudian kau USAHA untuk dapatkan apa yang kau fikir dan PILIH. Usaha adalah kau usaha sebaik mungkin MENGIKUT SYARAK untuk dapatkan jodoh yang kau fikir dan pilih. Maksudnya, kau boleh pilih dan usaha untuk dapatkan jodoh yang baik atau buruk.
Kalau nak dapat jodoh yang baik macam mana? Antaranya adalah:
• Ucap kalimah syahadah dan peluk Islam.
• Taat perintah Allah dan jauhi larangan Allah untuk peroleh taqwa.
• Ikut sunnah Rasulullah sebanyak mana yang boleh.
• Ikut dan buat dakwah tarbiah.
• Selalu bertaubat dan jaga amal.
• Cari ilmu antaranya belajar hukum hakam munakat atau perkahwinan termasuk juga buku psikologi antara lelaki dan perempuan.
• Selalu minta nasihat dengan orang yang dah lama kahwin seperti mak ayah, ustaz ustazah, pakcik makcik dan sebagainya.
• Ada keyakinan tinggi untuk kahwin, bukan sekadar sembang kencang.
• Belajar berdikari sama ada cari duit sendiri, tolong di rumah dan sebagainya.
• Kalau nak kahwin, guna orang tengah seperti mak ayah, ustaz ustazah yang dah kahwin, pakcik makcik, kawan baik yang dah kahwin, atau sebagainya yang dirasakan yakin untuk jadi orang tengah. Jangan sampai dia “pangkah” kau, dia yang kahwin dengan pasangan tu. Tu bukan orang tengah lagi.
• Bertunang. Masa fasa tunang ini, belajar mengenal pasangan SEADANYA. Tunang bukan halalkan apa-apa termasuk ikhtilat, sekadar fasa untuk kita buat pilihan sama ada kita setuju atau tolak. Sebaiknya kurang dari tempoh 1 tahun (ini bukan nas, tetapi bersandarkan pengalaman).
• Bernikah.
Kalau jodoh yang buruk atau jahat pula macam mana? Antaranya adalah:
• Menolak untuk terima Islam dan jadi kafir.
• Langgar perintah Allah, selalu buat larangan Allah.
• Tinggalkan semua sunnah Rasulullah.
• Hina orang buat dakwah, perli orang yang nak berubah dan lain-lain.
• Malas dan tangguh taubat. Amal soleh lintang pukang.
• Malas baca buku ilmiah. Rajin baca novel cinta, tengok movie cinta, berangan pasal cinta dan sebagainya.
• Malas dengar nasihat terutama mak ayah. Rasa panas je telinga bila dengar nasihat. Bahkan sampai tahap derhaka pada mak ayah.
Bila mak kata, “Tangguh la niat nak kahwin tu dulu. Kahwin lagi 2 tahun boleh?”
Kau pun jawab, “Arghh, mak tak faham saya mak. Mak kena faham agama. Mak tak baik halang anak muda nak bernikah. Patutnya mak nikahkan saya je. Tak payah tunggu habis belajar, ada kereta kerja bagai. Saya boleh jaga isteri saya.”
Padahal mak kau belum puas lagi lepas rindu dan bermanja dengan kau. Dah la balik kampung 5 bulan sekali je. Telefon mak ayah pun seminggu sekali, Itu pun sebab mak ayah telefon dulu.
• Jangan ada keyakinan diri. Sembang mesti kencang, baru boleh terbang.
Bila cakap bab kahwin, terus kata,“Emm, aku nanti dulu la kot.. Tahun depan muda lagi…”
• Cari crush dan couple. Kemudian ajak dating, keluar pergi sana sini, tengok wayang, pegang tangan dan sebagainya.
• Bertunang. Bertunang pun macam dah kahwin, siap pandai peluk-peluk lagi. Malah buat majlis pun sampai kos RM106,000.60 sen (termasuk GST). Padahal gaji sebulan RM906.00 je.
• Bernikah. Kemudian selepas nikah pun malas dan tak nak bertaubat, dan masih tak nak jaga amal.
Dan banyak lagi cara nak dapatkan jodoh yang buruk dan jahat. Pendek kata, jodoh ini dah ditetapkan, tetapi wajib adakah persediaan untuk dapatkan jodoh. Jodoh pula ada dua jenis, jodoh yang macam malaikat walaupun bukan malaikat, dan jodoh yang macam syaitonirrojim, walaupun lebih dahsyat dari syaitonirrojim.
Formulanya adalah:
Ikhtiar dan usaha atau persediaan dapatkan jodoh = wajib
Keyakinan yang Allah dah tetapkan jodoh = wajib.
Di ruang yang kita boleh buat pilihan, kita boleh pilih jodoh yang ikut syarak, dan langgar syarak. Boleh pilih yang jalan pahala, atau jalan dosa. Boleh pilih yang jalan nikah, atau jalan zina.
Kalau ‘Tersalah’ Jodoh?
Ramai orang salah faham, yang mana bila dah bercerai, mereka merasakan jodohnya telah ‘tersalah’. Ditambah pula jodohnya itu ‘jahat’, lagilah kuat sangkaannya merasakan tersalah jodoh.
Saya nak beritahu, jodoh yang Allah telah tetapkan TAK PERNAH SALAH. Punca cerai saya dah huraikan ke bawah. Setiap orang yang kita telah bernikah dengannya, itulah jodoh. Tetapi, saat sudah bercerai, maka ‘tamatlah’ jodoh itu. Jodoh boleh ‘tamat’?Ketahuilah, tiada yang kekal di dunia ini, semuanya ada ‘expired date’, termasuklah mati, kecuali Allah Rabbul Jalil. Allah sahaja Maha Hidup dan tidak akan mati mahupun ‘expired date’ selama-lamanya.
Kalau kau berkahwin dengan orang yang ‘buruk’, boleh jadi itu berpunca daripada:
• Amal dan persediaan jodoh kau yang buruk, atau,
• Allah nak meningkatkan martabat iman kau dengan cara suruh kau bersabar, atau,
• Allah nak ampunkan semua dosa-dosa kau, atau, dan seumpamanya.
Kalaulah jodoh yang buruk itu dikatakan jodoh yang salah, maknanya Nabi Nuh dan Nabi Luth mendapat jodoh yang salah la ya? Sebab isteri mereka khianat dan ingkar perintah Allah dan suaminya. Begitu juga Asiah, kerana mendapat suami Firaun yang maha ‘Buruk’.
I don’t think so.
Kalau Cerai Pula Macam Mana?
Cerai pula adalah TAKDIR dan PILIHAN. Kenapa saya kata macam itu? Cerai adalah takdir kerana cerai ini di bawah pengetahuan Allah, Dia tahu penceraian akan berlaku. Sebab itu Allah ceritakan dalam Al-Quran, dan Rasulullah pun cerita dalam banyak hadis apa syarat bercerai, bagaimana boleh bercerai, apa berlaku kalau sebut talaq, bagaimana nak rujuk, berapa tempoh iddah, dan sebagainya. Allah dah tahu penceraian akan berlaku, sebab ia di bawah takdir Allah.
Cerai juga adalah pilihan sebab seperti yang saya beritahu dalam bab persediaan maut, “Pengetahuan Allah TIDAK akan MEMAKSA untuk hamba-Nya lakukan apa yang diketahui-Nya.” Bercerai adalah pilihan manusia, dan manusia juga ada pilihan untuk tak bercerai. Sebab itu Rasulullah beritahu bahawa penceraian ini adalah perkara halal yang DIBENCI Allah.
“Sesuatu yang halal tapi dibenci Allah adalah perceraian”
(Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan al Hakim)
Dalam Islam, penceraian adalah JALAN TERAKHIR pilihan suami isteri tersebut. Sebab itu dalam Al-Quran banyak ceritakan apa yang kena buat kalau suami isteri bergaduh, atau kalau isterinya nusyuz (derhaka) macam mana nak denda, dan sebagainya. Saya tak nak terangkan di sini, sebab ini bukan buku fiqh munakahat. Tetapi saya nak beritahu bahawa, penceraian juga adalah PILIHAN.
Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Allah tahu bahawa akan berlaku penceraian di kalangan hamba-Nya. Kalaulah Allah haramkan bercerai secara mutlak, mesti berlaku banyak kerosakan dalam dunia ini sebab tangan-tangan manusia. Dan salah satu sebab itulah Allah membenarkan cerai, tetapi sebagai langkah terakhir, dan juga perkara yang Allah benci.
Kau ada pilihan untuk mempertahankan rumah tangga, dan kau juga ada pilihan untuk bercerai. Kalau kau pertahankan rumah tangga kau, itu di bawah takdir Allah. Kalau kau bercerai pun, itu juga di bawah takdir kau.
Sebab itu antara perbualan Saidina Umar r.anhu yang sangat masyhur, satu hari Umar dengan sahabat nak pergi ke Syam. Sebelum sampai ke Syam, mereka dapat berita bahawa di sana ada merebaknya penyakit taun. Mereka akhirnya bermesyuarat, dan Umar mencadangkan supaya balik ke Madinah.
Itu yang kemudiannya seorang sahabat, Abu Ubaidah Amir al Jarrah r.anhu tanya kepada dia, “Wahai Amirul mukminin, kenapa tuan ingin kembali ke Madinah dan lari dari qadar Allah?”
Kemudian Umar pun cakap, “Kami lari dari qadar Allah kepada qadar Allah.”
Ingat, jodoh tidak pernah salah orang!
Wallahu’alam.
Sumber: Dipetik dari Bab 2 buku Aku Bukan Malaikat 1 karya Shukery Azizan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Penting! Ambil Tahu Haruman Buat Bakal Pengantin

Wanita dan haruman tidak dapat dipisahkan, bagaikan isi dan kuku. Pelbagai pendapat tentang peribadi seseorang itu dengan wangian. Jika si pemakai gemarkan bau yang kuat ia dikaitkan dengan sifat yang lasak dan berani, haruman yang sedikit manis sering menjadi pilihan untuk wanita yang lemah lembut. Manakala yang gemarkan bauan yang agak romatik dan sophisticated pula sesuai dengan wanita yang lebih berdikari serta mempunyai ciri elegan.
Apa sekali pun tanggapan terhadap pemilik dan pengemar minyak wangi ini tidak menjadi masalah, kerana minyak wangi amat penting untuk melambangkan keperibadian seseorang itu. Jika keluar melangkah ke luar rumah tanpa sebarang semburan tidak sah dan tidak lengkaplah peribadi seseorang yang bergelar wanita itu
Selain dandanan rambut, solekan, busana dan aksesori, memilih haruman juga penting buat ratu sehari menjelang hari bahagia. Haruman yang dipilih mampu membuatkan ratu sehari tampil lebih anggun dan berkeyakinan tatkala berdamping bersama suami. Pesona Pengantin senaraikan tip memilih haruman buat bakal pengantin.
- Jika memiliki minyak wangi yang benar-benar anda suka dan mahu memakainya pada hari bahagia, pastikan pasangan anda turut menyukainya.
- Jika keluarga atau sahabat menyarankan beberapa haruman, usah terima bulat-bulat apa yang disarankan. Pewangi mencerminkan siapa diri anda sebenarnya. Pilihan seharusnya di tangan sendiri!
- Jika anda ingin mencuba haruman baru, pastikan ia sudah dicuba sekurang-kurangnya sebulan sebelum tibanya hari bahagia. Rancang ‘perfume date’ bersama bakal suami dan tanyalah pendapatnya terlebih dahulu.
- Anda pasti mahukan minyak wangi yang berbeza untuk berbulan madu. Bertukarlah kepada aroma yang lebih sensual dan romantis dengan ramuan kasturi, kayu dan resin.
- Pertimbangkan keadaan cuaca! Pada musim panas pilih haruman segar berasaskan bunga manakala kala hujan dan redup cuba haruman yang bersifat oriental, lebih hangat dan elegan.
Terdapat beberapa koleksi wangian yang pastinya menjadi pilihan anda di luar sana. ‘Tepuk dada tanya selera’. Wangian bukan sahaja untuk wanita, malahan ia juga untuk penting untuk kesegaran lelaki agar tampil segak bergaya. Koleksi wangian ini boleh dijadikan hantaran untuk pasangan tersayang.
Himpunan Wanita
Imitation Woman membawakan keharuman flora sebagai satu penghargaan untuk era yang tidak dapat dilupakan. Mengimbas kembali ke zaman Studio 54, perjalanan ini menembusi evolusi gaya hidup berbilang faset dengan konsep provokatif. Putik Anggur Hitam, Aldehid dan Likuoris yang membentuk haruman utama membawa anda mengintai zaman kegemilangan kelab malam di mana apa sahaja dan segala-galanya boleh berlaku.
Himpunan Lelaki
Imitation Man adalah hasil sentuhan Chypre dan Kulit yang menggambarkan era keberanian dan kebebasan. Cedrat dan campuran rempah ratus misteri menjadi pembuka tirai wangian untuk menghidupkan semula suasana warna-warni dan berbilang budaya jalanan. Kelembutan baldu dan vinil terserlah selepas mendapat sentuhan Violet dan Orris, membentuk keharuman yang melambangkan mood dan pesona era disco.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI