Soalan: Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang diberi oleh suaminya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sedekah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam apabila seseorang itu memiliki wang yang berlebihan. Tambahan pula, ganjaran atau pahala bersedekah ini amatlah besar sehinggakan ia disebut di dalam al-Qur’an:
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 602/1]
Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tujuan agar kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Ads
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menunjukkan kelebihan seorang isteri bersedekah dengan menggunakan harta suaminya. Antaranya adalah:
Maksudnya: “ Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” [Riwayat al-Tirmizi (671)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih]
Ads
Para ulama’ mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
Penutup
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita juga. Akan tetapi, apa yang penting buat para isteri adalah perlu meminta izin suami jika itu adalah harta suaminya. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta pada jalan Allah SWT. Amin.
SUMBER : http://muftiwp.gov.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mendapatkan bentuk badan ideal memang susah, tipulah tiada siapa di muka bumi ini mahu kelihatan cantik, tapi proses itu mengajar kita untuk bersabar dan menghargai setiap liku hidup yang kita hadapi. Memang perit dicerca bila kita tidak secantik rakan yang lain, tapi biarlah semua kata-kata itu terpahat di dalam diri kita, biar mereka melihat kejayaan kita setiap hari. Semoga perkongsian saudari ini mampu membuka masyarakat tentang layanan perlu diberikan sama rata pada setiap manusia. Tidak perlu deskriminasi, kita semua sama.
.
Ini perjalanan saya dari berat 89kg ke 55kg, tinggi 163cm. Umur 21. Saya normal 66kg dalam masa setahun. Dari 66kg ke bawah tu, saya dah tak kira, dan hilang fokus diet. Sebab tu jadi nak dekat dua tahun. Sebab dari 66 nak ke bawah tu memang berat lambat sangat nak turun. Sekarang saya target 49kg.
Luahan yang sangat panjang
Rasanya semua dah tahu cara nak turunkan berat sebab dah banyak orang share. Yang susahnya nak TAHAN dengan ubah benda yang dah biasa buat.
Ni cara saya kawal nafsu makan atau nak lari dari rutin harian. Banyak cakap dalam hati, biasa dengar orang yang selalu sembang ni takkan buat, tak kisah ayat dia…
“Esok nak diet atau esok pagi jom jogging”. Apa-apa jela yang penting banyak cakap dalam hati. Tak payah bagitahu orang esok nak diet.
Kalau rasa mengidam, makan je sikit. kalau satu minggu sekali tak apa la makan banyak. Sebab kalau saya tahan benda yang nak makan sangat tu terlalu lama, lepas tu bila dah dapat, rasa nak makan banyak. Jadi lebih baik makan je benda yang nak kunyah sangat tu daripada tak dapat langsung, lebih baik dapat sedikit.
Makanan tu tak bagus tapi tak teringin sangat, contoh kita dah tahu macam mana rasa jus oren, tapi rasa nak minum jugak sebab dah nampak depan mata.
Kalau macam tu, minum sekali lepas tu biar lama sikit dalam mulut, tutup matamingat rasa dia dekat otak. Lepas telan, rasa nak minum lagi sampai habis. Jangan Minum!
Cakap dalam hati “aku dah tau rasa air ni. Kenapa nak minum lagi, kan tengah diet ni, kalau bukan sekarang bila lagi”.
Masa tu dalam kepala…”Tolong la keturunan gemuk ni kurus sekali seumur hidup” Dah takde cara lain dah nak kurus. Takkan nak suruh hentak kepala dekat dinding sebab nak bagi sedar tak ada rahsia dan cara lain dah.
Cara saya nak rasa semangat masa bersenam, saya tengok gambar orang yang ejek saya gemuk dulu. Dalam kepala…
“Tengok la orang yang ejek kau tu. Kehidupan dia sekarang makin maju, cantik. Dia tak dapat balasan walaupun dulu dia pernah menyakitkan hati orang. Takkan aku nak balas dengan guna ilmu hitam” Kelakar ke? Tapi masa tengok lama-lama rasa sedih sangat-sangat. Takkan nak kata dunia tak adil pulak.
Nak bagi semangat kurus atau nak buat rasa lagi marah… Saya buat wallpaper phone gambar orang gemuk, edit type sendiri…
“JANGAN MAKAN BANYAK GEMUK! KAU NAK RUPA CAMNI SAMPAI MATI KE?
Ni ikut diri sendirilah kalau cakap baik-baik tak menjadi. Selalu naik semangat kalau ada crush yang cakapkan tapi sekarang dah tak suka siapa-siapa haha.
Teringat masa umur 12 tahun masuk hospital sebab sakit perut je, pastu diteruskan sebab obesiti. Jadi macam pesakit kencing manis pula keluar masuk hospital cek itu ini dua bulan sekali.
Doktor tu cakap “kat sekolah, ada tak orang cakap awak gemuk ke, macam badak ke, ada tak?”
Saya jawab tak ada haha sebab dah tahu doktor akan suruh saya kurus sebab nak tunjuk dekat orang yang ejek saya tu. Dan masa 12 tahun tu saya tak pentingkan pun pasal penampilan. Saya nak main, makan, tidur je. Sebab tu apa yang doktor cakap dulu tak boleh masuk. Saya tak macam budak sekarang terus minat nak cantik.
Rasa nak jumpa balik doktor-doktor yang pernah jumpa saya dulu. Tapi mungkin diorang dah tak ingat. Abaikan orang kata hilang nikmat hidup kalau tak dapat makan sedap. Pendapat saya lagi hilang nikmat hidup kalau tak pernah rasa ringan.
Jangan layan kalau orang cakap “tolong habiskan sikit je ni” sampai bila² susah nak berhenti habiskan makanan orang yang tak habis.
Nak makan sebab rasa bosan? Telan je buah atau air sampai kenyang. Buat yang sama kalau rasa tak cukup nasi yang baru lepas makan tadi. Kalau buah takde, saya makan tomato je. Nak buat macam mana kan? Susah nak berhenti makan sebelum kenyang.
Masa nak makan, bawa makanan tu jauh sikit. takut makanan tu terlalu sedap nanti nak tambah. buat macam makan kat kenduri walaupun dalam rumah. Dulu rasa tak boleh diet sebab rasa susah dia macam belajar matematik. nak makan itu, ini tak boleh. sampai taktau nak makan apa. Dah la tak ada personal trainer. takde pakar pemakanan kat rumah. makan yang ada dekat dapur je. pergi gym pun tak.
Sebenarnya dah tak ada cara lain selain BERHENTI SEBELUM KENYANG. Makan ikut kalori badan sendiri. Suku separuh ke sikit ke sama je kategori tak boleh melantak sampai kembung.
Jangan tengok gambar makanan di media social lama sangat. kalau ternampak, cepat-cepat scroll.Saya pernah berkurung dalam bilik semata-mata taknak tengok orang makan dan nak tahan dari pergi ke arah dapur. Saya abaikan kalau orang yang tak pernah gemuk gila, tapi dia share masa dia berat 62, pastu kurang 5kg dalam masa blablabla. Sebab dia buat blablabla tapi makan tak kisah sebab banyak berlari dan blablabla.
Nak buat macam mana metabolisma awak tinggi sebab tu makan apa pun susah gemuk. Masa mula-mula pun berat saya cepat turun 7kg, tapi mula-mula je.
Jangan bandingkan!
Saya ikut cara saya sendiri. Bukan dengar cakap kawan. Setiap kali rasa nak melantak je, saya bayangkan berada di tempat gelap… Dikelilingi perkataan ‘KALAU BUKAN SEKARANG BILA LAGI’ besar berwarna putih. Aku kecil je dikelilingi ayat² tu.
Macam kita sesat dalam hutan. pokok-pokok besar kat situ gantikan dengan ayat ‘kalau bukan sekarang bila lagi’. Ada besar, ada kecil, ada kat bawah, ada yang terapung. Wow betul-betul fantasy duniaku, lepas tu terus saya tak jadi makan. Kalau orang lain, tak pasti berkesan atau tak. Saya baca balik ayat sendiri rasa lawak dan malu nak taip cita kat orang macam ni. tapi lantak la siapa yang gelak. kita yang berubah bukan dia. Kalau nak mula diet tu, mula slow je. jangan mengejut sebab nanti tak tahan lama. Dah biasa pagi-pagi makan 4 karipap. esok makan 2.
Amalkan sikap buat tak tahu atau buat bodoh. Lagi bagus kalau jarang tengok cermin atau timbang berat. Dua bulan sekali timbanglah.
Kalau rasa dah hilang fokus masa diet, pergi timbang, tengok cermin, tengok kamera depan lama-lama. Jangan ambil gambar dari atas. Lihatlah betapa bulatnya kepala ini. Beratkan makin lama, makin perlahan dia turun. masa dah slow tu, mungkin ada yang rasa… “lambatnya, macam tak menjadi je diet ni”
Rasa lambat macam diet awak tak berkesan tu yang buat kita diet separuh jalan. cuba kekalkan diet tapi jangan fikir pasal nak kurus. buat tak tahu je. Sama macam kita pejam celik je usia meningkat. Ada ke orang cakap dalam hati…
“Bilalah nak tua ni”
Kalau dah lima tahun berlalu tapi dah slow² pun tak boleh, mungkin awak kena dera dulu. Ni pengalaman buruk saya yang sama macam orang lain. saya ingat banyak lagi, tapi yang ni je keluar dalam kepala buat masa ni.
Dalam makmal sains, ada seorang laki lalu sebelah tiba² dia terkejut “ya allah! buruknya muka”. sesetengah ada yang gelak. Malu tapi saya buat-buat gelak sebab taktau nak buat reaksi apa.
Masa tu dalam kelas, tengah belajar cikgu pun ada. tak ingat topik apa tiba-tiba sorang budak laki cakap kuat…
“Siapa nak kahwin dengan Ruzana?!” tak faham kenapa nak tanya soalan ni. Girlfriend dia pun tak ada yang macam barbie. Kalau nak popularkan diri dalam kelas, atau nak tarik perhatian crush kau, tak perlu buat lawak menyakitkan hati orang lain, semata-mata nak tarik perhatian perempuan yang kau suka.
Ada satu hari, masa tu balik sekolah hujan. Jadi kena berlari masuk van sekolah, biasalah kalau uniform putih ni, pakai tiga lapis pun nampak jarang sikit. Lepas beberapa minit saya duduk, van pun dah jalan, dengar perempuan tengah kira lemak belakang. Tahu la bertingkat. “satu, dua, tiga, HAHAHA!”.
Dan pembuli perempuan pulak acah model dekat ig, suka hati je sentuh punggung orang masa naik tangga lepas tu cakap “bontot besar. Naik tangga pun lambat”. lepas tu dia ketawa mengilai. Dia ni aku perati je acah baik depan cikgu-cikgu je. Yang sama umur, layan macam sampah. Mungkin dalam kepala, dah sama umur buat apa nak hormat.
Boleh ke geng Aswara ni kalau satu hari nanti dia jadi pelakon, aku buka aib yang dulu dia seorang pembuli? Nak kata masa umur kau 17 tahun tak ada otak ke? Adik artis euw jenama lain pun kena kecam. Takkan nak kata adik artis tu umur 35. Walaupun dah lama tak nampak dia, saya masih tak ada mood kalau tertengok jugak muka dia. Sebab baru-baru ni ternampak dia jadi penonton dalam program yang popular la jugak dekat TV3.
Dan yang kira lemak belakang masa dalam van tadi pun termasuk kategori dalam ig acah model, dan keduanya bertudung. Suasana dalam van sekolah, SETAHUN kena tahan masa budak senior laki, main tolak² kerusi. Sebab tu hiburan di mata dia bila orang gemuk bergoyang. Aku tak tahu kenapa aku tak menjerit atau pukul je dia.
Sorang lagi sengaja tolak botol air saya dari tepi bag. Botol aku duduk elok² dekat situ, kau sengaja tolak bagi terkeluar. Pastu aku baru perasan botol aku tertinggal dalam van dan van aku pun berlalu pergi sebab tak sempat nak panggil.
Kalau la kaya, dah lama saya upah orang pegang dia semata-mata nak ketuk kepala dia guna besi sampai puas. Rasa tak adil sangat bila hari terakhir sekolah, pengalaman best dengan kawan kecil saya je, bukan manusia di sekolah.
Aku yang derita lepas habis sekolah. Korang boleh bahagia dengan tak rasa bersalah apa yang kau cakap dulu. Masa cikgu tengah tengok dekat dinding kelas, birthday siapa bulan december ni…
“Eh! Ruzana~” pastu tiba sorang budak rempit…
“Takde sape peduli”.
Dulu mungkin sedih, sekarang nak mengamuk. Rasa nak pukul muka diorang sampai penyet. Memang la ada orang akan cakap benda ni biasa zaman sekolah. tapi SIAPA YANG NAK PENGALAMAN ZAMAN BUDAK MACAM NI. Kalau fikir dulu korang tak matang, habis tu aku pun tak matang jugak. Asal aku yang kena?
Aku seorang budak gemuk skema, pendiam, introvert tu tak pasti, nak biasakan diri dengan kawan baru, kelas baru pun ambil masa enam bulan. kalau belum 6 bulan, mesti sebelum pergi sekolah rasa nak nangis. Ada je budak rempit atau geng stoking, kain, tudung pendek kena bahan. tapi diorang social, ramai kawan senang la nak okay bila down.
Saya marah sangat bila orang kata “lupakan jela. cerita lama”. orang yang tak reti diam tu bila nak merayu minta maaf? Pernah je sebelum tidur termenung sambil dalam hati cakap saya dah maafkan semua orang. Tapi bila ternampak, rasa lain pula.
.
Bila tengok gambar lama saya, Saya tak rasa macam tengok diri sendiri. Macam tengok kembar atau tengok orang lain, tapi dia SEBAHAGIAN DALAM HIDUP kita. Mesti la kita sedih bila orang lain buat benda jahat dekat orang yang kita sayang.
Sebab tu rasa marah bila tengok gambar lama, terus teringat pengalaman hidup yang ‘dia’ ni dapat dulu. Rasa kesian gila dengan ‘dia’ ni. Bayangkan je kau tengok orang ejek mak kau setiap hari keluar rumah. Mak awak bukan sebahagian yang besar ke dalam hidup awak? Patutlah bila orang hina kita masa dulu, rasa sedih lebih banyak dari marah. Sekarang kalau ternampak orang hina aku dulu, rasa nak mengamuk 90%.
Biarlah saya rasa sayang sangat dekat diri sendiri. Daripada sayang orang yang tak ada kaitan. Dulu terbaca komen sorang laki dekat fb “Mereka yang berjaya kurus ni selalu cakap dulu sering dihina, dikeji. Aku rasa takde la orang nak hina, caci orang gemuk ni”
Kalau tak pernah gemuk lebih 15 tahun, takyah cakap faham perasaan orang. Takyah acah faham atau boleh membayangkan kalau tak pernah terjadi dekat diri. Kenapa ha jadi perempuan yang tak berapa lawa lebih banyak dihina, dari jadi lelaki buruk. Saya baca komen kalau ada lelaki tak hensem viral, walaupun ada komen tak baik, tapi takde la menyakitkan hati sangat.
Rasa sakit hati gila bila ada lelaki komen gambar cikb “asal aku tengok muka dia rasa nak maki ha?”. Dulu saya pernah tak bersyukur jadi perempuan. Kadang² ternampak budak perempuan gemuk, dalam hati “Kesian zaman sekolah dia”
Saya boleh cita dekat sini je sebab memang tak akan berani nak ungkit depan mata. Kalau terjumpa pun, memang akan buat macam biasa. Padahal dalam kepala masa terjumpa… “budak ni la yang mendera mental aku dulu. Dulu pernah cita dekat orang lain, tapi diorang tak peduli pun. Bayangkan saya taip luahan panjang lebar, dapat balasan “Ooo” je. Jadi lebih baik saya type dekat sini dari personal mesej orang.
Orang-orang yang buat saya bahan lawak tu, semua kebanyakan copy quotes of the day paste dekat caption dan ig story. Kau buat ayat suci, positif dalam media. Kehidupan sebenar kau ejek orang gemuk. Buat-buat baik dalam social media. Depan mata perangai firaun.
Budak perempuan gemuk yang sibuk cita pasal saya kat kawan² dia. Yang saja nak dengar kawan dia kata saya lebih gemuk dari dia. Tak perlu nak bandingkan dengan perempuan gemuk lain. Kau tetap gemuk walaupun kau rasa kecil seinci dari pesaing kau. Cermin diri sendiri.
Susah jadi perempuan. Sekali je saya rasa dibuli dekat insta. Dulu saya post gambar pakai baju sekolah, lepas SPM. Ada fake account guna gambar perempuan lawa komen “menarik @lawak***”.
Taktau dimata korang macam mana. Apa motif dia komen macam nak puji tapi mention page lawak tak ingat page apa. Dan satu lagi. Abaikan orang yang tak kena dengan rupa tapi bagi nasihat pasal nak kurus. Contoh lain, dia keding tapi ajar cara nak sado. Miskin, ajar cara nak kaya. Memang boleh ambil nasihat dia walaupun kadang rasa macam dia berlagak pandai.
Walaupun saya dengar nasihat diorang, tetap tak membantu sebab saya orang yang susah nak buat kalau tak nampak depan mata. Yang menyakitkan hati, orang yang beria puji saya comel masa gemuk dulu, tiba-tiba diam. Tak tegur langsung. Dan member yang sama gemuk dulu, reaksi biasa, tengok lama-lama atas bawah “ni apesal kurus”. Sampai taknak puji tapi nak bergurau kata saya ambil benda terlarang.
Lepas lama termenung, rasanya macam ni ujian hidup lepas dapat apa yang kita nak.Kalau ada yang perasan kulit saya dulu coklat gelap, sekarang kuning tu, bukan sebab ambil supplement ye. Mungkin masa dulu banyak toksik sebab tu gelap. Ni keluarga dengan kawan je perasan.Harap-harap membantu la dengan apa yang saya kongsikan ini. Saya rasa tak berbaloi share atau taip panjang² sebab dulu lepas je saya jawab soalan orang, tak ada satu pun terima kasih. Kalau saya dah jawab panjang² pun, terus tak balas.
Tapi dulu jela sekarang dah fikir sharing is caring.
Saya cuba berfikiran positif sebab selama saya gemuk ni, kebanyakkan memang negatif.
Taktau sebab dikelilingi orang yang tak baik ke apa. Mungkin memberontak kot. Yela mana ada orang yang dari kecil sampai besar asyik dipuji lawa je ada sebab nak jadi negatif, jadi pemarah dan lain². Tersedih pula taip bahagian ni. Masa korang baca, kalau dalam hati “ek eleh ni je baik takyah cita. orang nak tahu tips kurus je”
Maaf la kalau saya share cara kawal pemikiran masa mula diet je. sebab sama je macam tips semua orang. Terima kasih yang sudi luangkan masa baca karangan saya sehingga habis.
Setiap wanita memiliki aura positifnya yang tersendiri. Namun ada sesetengahnya yang tidak tahu bagaimana untuk menonjolkannya. Aura adalah tenaga yang tersimpan dalam diri seseorang yang dapat meningkatkan daya tarikan bagi yang melihatnya. Aura sangat berpengaruh terhadap kehidupan seseorang.
**media[450026]**
Untuk memiliki pancaran aura keseimbangan kecantikan luaran dan dalaman, bakal pengantin perlu tahu cara untuk membuka aura tersebut. Salah satunya ialah menghilangkan hal-hal negatif dan melakukan hal-hal positif. Dalam situasi sibuk dengan segala persiapan menjelang hari bahagia, pastinya perkara-perkara positif perlu ditanamkan dalam diri. Bagi anda yang kurang percaya diri, ini caranya untuk membuka aura wajah yang selama ini tersembunyi.
**media[450020]**
CUCI WAJAH SETIAP PAGI
Ketika bangun pagi biasakan untuk mencuci wajah anda dengan air suam sambil memberikan sedikit urutan lembut pada wajah. Pastikan anda melakukannya sebelum memulakan aktiviti pagi.
**media[450022]**
URUTAN LEMBUT
Tenangkan wajah dengan urutan menggunakan pembersih atau lembap yang sesuai dengan jenis kulit anda. Bilas dengan air suam menggunakan kain atau tuala bersih. Setelah dibersihkan tutup wajah menggunakan kain basah yang telah direndam dengan air suam. Biarkan lebih kurang lima minit. Ulangi 3-5 kali kemudian urut dengan lembut agar otot wajah lebih tenang.
**media[450021]**
BERSENAM
Bersenam secara rutin dan teratur. Tidak perlu senaman yang berat setiap hari kerana anda boleh lakukan di mana saja. Lakukan dua kali seminggu. Pilih senaman yang dapat mengeluarkan peluh kerana peluh yang keluar adalah racun yang terkumpul dalam badan. Jika tidak dikeluarkan akan mengganggu aliran pembuluh darah.
**media[450024]**
TIDUR DAN ISTIRAHAT SECUKUPNYA
Waktu yang terbaik iaitu pada malam hari. Semasa anda tidur kulit wajah akan membuang sel-sel kulit mati dan radikal bebas. Sel-sel kulit baru akan muncul seterusnya berlaku proses pengencangan. Bintik-bintik hitam dan garis hilang akan berkurangan.
**media[450025]**
ELAK SIFAT NEGATIF
Hindari sifat dan perbuatan yang mengandungi aura negatif seperti marah, iri hati, bersedih yang berlarutan, melukai perasaan orang lain, dendam cemburu dan sebagainya. Amalkan sikap ramah dan lemah lembut. Jangan lupa sentiasa sedekahkan senyuman kerana aura positif akan mematikan aura negatif yang ada.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perkahwinan merupakan dunia baru bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga. Dari hari pertama bernikah, korang mula mengenali hati budi dan sikap pasangan yang selama ini hanya diketahui secara luaran.
Namun apabila tinggal bersama, pasangan pengantin berpeluang mengatur kehidupan dengan baik dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Bagaimanapun, berpindah selepas berkahwin sering kali menjadi dilema bagi pasangan pengantin baru.
Tidak dapat dinafikan, terdapat beberapa faktor dan halangan sebelum anda boleh berpindah serta memulakan kehidupan yang baru. Antara faktor yang kerap dihadapi ialah masalah kewangan. Ini kerana ekonomi belum mantap dan banyak menggunakan duit masa berkahwin membuatkan anda terpaksa menumpang keluarga.
Ditambah pula dengan kos hidup yang tinggi dan harga rumah sewa yang mahal, jauh dari tempat kerja serta tidak mempunyai kenderaan menjadikan pasangan yang baru berkahwin berhadapan dengan beberapa masalah yang perlu difikirkan sebelum berpindah.
Ada beberapa sebab mengapa pasangan yang sudah berkahwin digalakkan tinggal berasingan dari keluarga dan cuba melayari penghidupan baru.
1. Mengajar pasangan berdikari dan tidak bergantung pada keluarga. Jika selama ini bergantung pada keluarga, bila masuk alam berumah tangga semuanya mesti dibuat sendiri. Ia mengajar anda untuk belajar berdikari serta belajar menyelesaikan masalah.
2. Memberikan peluang merancang kehidupan berumah tangga serta ada privasi. Pasangan akan ada lebih masa bersama dan boleh membuat banyak perkara bersama tanpa ada campur tangan keluarga.
3. Menjaga ekonomi keluarga. Pasangan baru berkahwin boleh belajar menjaga ekonomi dalam rumah tangga. Berbelanja ikut kemampuan diri. Jika dulu tidak ada duit minta keluarga, sekarang bila sudah berkahwin, susah senang anda tanggung bersama.
4. Keluarga tidak masuk campur kalau ada konflik. Jika ada perselisihan faham, hanya pasangan yang tahu. Keluarga tidak boleh masuk campur kerana rumah berasingan. Pasangan juga belajar berkompromi bertolak ansur serta menguruskan konflik keluarga tanpa ada campur tangan orang lain.
5. Bebas mengatur kehidupan berumah tangga dan bertanggungjawab terhadap kehidupan baru yang dibina.
6. Tidak akan menimbulkan konflik sesama ahli keluarga seperti kata pepatah, “jauh bau bunga dekat bau taik” yang membawa maksud jika selalu jumpa dan tinggal sebumbung konflik boleh berlaku bila-bila masa saja, tapi bila dah tinggal berjauhan rindu dan kasih lebih mendalam pada ahli keluarga yang lain.
Namun tidak dinafikan ada juga pasangan baru berkahwin terpaksa tinggal dengan keluarga kerana menjaga kedua orang tua dan telah dipertanggungjawab untuk menjaga rumah pusaka keluarga. Dalam hal ini, pasangan ini tidak mempunyai pilihan selain tinggal bersama keluarga dan menjaga Ibu bapa yang memerlukan perhatian mereka. Biasanya ini terjadi pada anak bongsu atau anak tunggal.