Fesyen

Taanusiya Chetty Anggun Bak Ratu Sehari, Busana Putih Hariz Masarif Curi Perhatian

Share

Taanusiya Chetty yang kini membawa nama Malaysia di pentas Miss World 2026 terus mencuri perhatian menerusi penampilannya yang elegan. Wakil negara itu tampil anggun dalam persalinan serba putih ketika menyertai cabaran Head-to-Head pertandingan ratu cantik berprestij berkenaan.

Mengangkat rona putih gading yang sinonim dengan keanggunan laksana ratu sehari, busana rekaan pereka fesyen tempatan, Hariz Masarif itu menyerlahkan sisi feminin Taanusiya tanpa memerlukan perincian terlalu sarat.

Persalinan tersebut menampilkan potongan peplum berstruktur yang membentuk siluet dramatik pada bahagian pinggang. Rekaan bahu yang tegas bersama kolar tinggi pula menyuntik elemen berwibawa, sekali gus menjadikan penampilannya kelihatan moden dan penuh karakter.

Padanan blaus berpotongan kemas bersama kain labuh mencipta keseimbangan antara gaya klasik dengan sentuhan kontemporari. Perincian kecil pada bahagian garis leher, hujung lengan dan peplum turut memberikan tekstur halus yang memperindah keseluruhan busana.

BACA JUGA: Sarung Gaun Kahwin Ibu, Julia Kuhnle Bawa Kisah Identiti dan Keluarga Ke Pentas Miss World

Sebagai Miss World Malaysia, setiap penampilan Taanusiya di pentas Miss World 2026 bukan sekadar membawa identiti peribadinya, malah turut menjadi cerminan kreativiti serta keupayaan pereka fesyen tempatan. Pemilihan karya Hariz Masarif memberikan ruang kepada sentuhan Malaysia untuk diketengahkan kepada khalayak antarabangsa.

Biarpun tampil dengan rekaan yang cukup mencuri tumpuan, Taanusiya memilih aksesori minimalis. Sepasang anting-anting bercorak flora menjadi pelengkap, manakala rambutnya disanggul rendah dengan kemas bagi menonjolkan struktur wajah dan keunikan potongan kolar.

Penampilannya disempurnakan dengan kasut tumit tinggi daripada jenama Tricia Lew. Dengan solekan yang sempurna menjadikan keseluruhan gaya kelihatan elegan tanpa menghilangkan pesona semula jadinya.

Lebih daripada sekadar busana pertandingan, gaya yang dibawakan Taanusiya boleh dijadikan inspirasi buat bakal pengantin yang mahukan kelainan pada hari bahagia. Warna putih gading, potongan berstruktur dan penggunaan aksesori secara sederhana membuktikan bahawa gaya pengantin tidak semestinya perlu dihiasi sulaman atau taburan batu berlebihan untuk kelihatan mewah.

Bagi bakal ratu sehari yang menggemari penampilan klasik tetapi masih mahu tampil moden, rekaan seperti ini menawarkan keseimbangan yang tepat. Kemas, sofistikated dan penuh keyakinan, Taanusiya bukan sahaja tampil bak seorang ratu sehari, malah membawa nama Malaysia dengan penuh pesona di pentas Miss World 2026.

Published by
Fiezreen