
Bukan sekadar busana indah, gaun perkahwinan milik ibu menjadi simbol penuh makna buat ratu cantik yang mewakili Jerman, Julia Kuhnle ketika tampil dalam cabaran Head-to-Head Miss World.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Julia mendedahkan bahawa gaun tersebut pernah dipakai oleh ibunya pada permulaan perjalanan sebuah keluarga berbilang budaya. Latar belakang itulah yang akhirnya membentuk identiti serta memberi pengaruh besar dalam kehidupannya hari ini.
“Hari ini, saya berkongsi kisah saya sambil mengenakan gaun perkahwinan ibu,” tulis Julia.
Lebih menyentuh hati, penampilan istimewa itu berlangsung berdekatan dengan ulang tahun kelahiran ibunya pada 21 Ogos. Walaupun hari tersebut sepatutnya menjadi detik istimewa buat si ibu, wanita berkenaan tetap memberikan sepenuh sokongan kerana memahami betapa pentingnya cabaran itu kepada Julia.

Dalam ucapannya, Julia berbicara mengenai identiti, rasa diterima dan keberanian menjadi diri sendiri. Menurutnya, seseorang tidak seharusnya mengubah siapa dirinya hanya untuk merasakan bahawa mereka layak mendapat tempat di dunia ini.
“Kita tidak perlu mengubah siapa diri kita hanya untuk layak mendapat tempat di dunia ini,” katanya.
Menyarungkan gaun perkahwinan ibunya ketika menyampaikan mesej tersebut menjadikan momen berkenaan lebih dekat di hati. Bagi Julia, membawa sebahagian daripada sejarah ibunya ke pentas membuatkan dia seakan-akan merasakan wanita tersayang itu sedang berdiri bersama-samanya.
“Membawa sebahagian daripada ibu bersama saya ketika menyampaikan kisah itu terasa begitu istimewa. Seolah-olah ibu sedang berdiri di situ bersama saya,” luahnya.
Ternyata, gaun perkahwinan bukan sekadar busana yang dipakai pada hari bahagia. Ada kalanya, ia menjadi sebuah warisan yang menyimpan sejarah cinta, perjalanan keluarga dan kekuatan seorang wanita untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

