Dalam Al-Quran banyak sekali ayat yang menganjurkan kaum Muslimin untuk senantiasa memberikan sedekah. Membantu dan bersedekah amalan yang dituntut oleh Islam. Dan kita tahu dengan bersedekah, Allah akan murahkan rezeki kita pada masa akan datang.
Buat isteri, niatnya baik kerana ingin bersedekah atas nama suaminya dengan menggunakan wang suami. Tapi apakah hukumnya? Persoalan ini dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Soalan:
Apakah suami akan mendapat pahala apabila isteri bersedekah dengan duit yang diberi oleh suaminya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sedekah merupakan satu perkara yang amat dituntut di dalam Islam apabila seseorang itu memiliki wang yang berlebihan. Tambahan pula, ganjaran atau pahala bersedekah ini amatlah besar sehinggakan ia disebut di dalam al-Qur’an:
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai. Pada tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaan-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
Sebahagian para ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan hebatnya sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW ini pada menggunakan hartanya di jalan Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Wasith, 602/1]
Ads
Ayat ini juga jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya pada jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tujuan agar kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang menunjukkan kelebihan seorang isteri bersedekah dengan menggunakan harta suaminya. Antaranya adalah:
Maksudnya: “Jika seorang wanita (isteri) itu bersedekah dengan harta suaminya maka dia akan mendapat pahala, begitu juga dengan suaminya dan orang yang menyimpannya (hamba). Tidak ada seorang pun di antara mereka yang akan berkurang pahalanya. Suami akan mendapat pahala berdasarkan hasil usahanya, manakala isteri pula mendapat pahala daripada apa yang disedekahkan.” [Riwayat al-Tirmizi (671)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini hasan sahih]
Para ulama mengatakan tidak dibolehkan isteri dan hamba bersedekah dengan harta suami atau tuannya melainkan dengan izinnya. Hadith ini juga menunjukkan bahawa dibolehkan mengeluarkan sebahagian harta sebagaimana ia adalah adat ahli hijaz bahawa diserahkan urusan ini kepada ahli keluarga (isteri) atau hamba apabila ada orang yang memerlukan bantuan dan juga apabila adanya tetamu. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 277/3]
Hadith di atas membicarakan kelebihan atau pahala yang bakal diperolehi oleh isteri atau seseorang hamba itu bersedekah dengan harta suami atau tuannya dengan syarat setelah mendapat keizinan suami atau tuannya. Selain itu, pahala yang akan diperolehi tidak akan kurang antara satu sama lain.
Penutup
Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita juga. Akan tetapi, apa yang penting buat para isteri adalah perlu meminta izin suami jika itu adalah harta suaminya.
Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta pada jalan Allah SWT. Amin.
Sumber : muftiwp.gov.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apakah anda salah sorang bakal pengantin yang sedang menghitung hari menuju hari bahagia? Jadi persiapkan majlis kahwin anda dengan sebaik mungkin. Bercakap soal persiapan, tak cukup hanya mempersiapkan segala persiapan dekorasi dan hal-hal yang berkaitan dengan majlis kahwin.
Sebagai bakal ratu dan raja sehari, persiapan diri juga perlu diutamakan. Dengan begitu, anda perlu tampil cantik dan segar pada majlis kahwin.
Berikut merupakan empat perkara yang perlu anda lakukan 24 jam sebelum naik pelamin.
1. Pastikan perut dalam keadaan sihat
Jaga makanan anda, jangan sampai merosak acara. Sekitar 24 jam sebelum naik pelamin, sebaiknya hindari makanan yang mengandungi banyak garam, seperti acar, makanan segera juga aneka masakan Cina. Batasi juga minuman berkarbonat yang boleh menimbulkan gas. Anda tak mahu nanti, perut tiba-tiba meronta dan mengeluarkan bunyi ketika anda bersalam dengan para tetamu?
2. Tidur yang cukup
Hindari berborak hingga larut malam. Kurang tidur akan membuat anda lesu. Wajah pun akan tampak kuyu. Untuk itu, malam sebelum naik pelamin, lemaskan otot-otot anda dengan mandi air panas. Jika perlu lakukan urutan yang lembut. Merasa lapar? Minumlah teh panas dengan madu secukupnya, ditambah sepotong pisang untuk menenangkan otot.
3. Bebaskan diri daripada kafein
Boleh saja bakal pengantin menikmati kopi. Tapi sebaiknya, minumlah kopi setelah bangun tidur di pagi hari. Setelah itu jangan ambil lagi kopi. Sebagai gantinya, anda boleh menikmati secangkir teh, jus buah, atau air mineral. Mengapa kopi tak begitu baik untuk bakal pengantin? Kopi yang bersifat diuretik akan membuat anda sering buang air kecil. Bayangkan, betapa sukar jika anda mesti ke tandas sebaik mengenakan baju pengantin. Selain itu, terlalu sering buang air kecil, juga boleh membuat anda dehidrasi (kekurangan cairan).
4. Jangan lupa makan
Di majlis anda akan tersedia banyak makanan. Namun, tidak mudah bagi pengantin untuk menyantapnya kerana sibuk menerima ucapan selamat dari para tetamu. Agar tak kehabisan stamina, pastikan mengisi perut sebelum acara bermula. Makanan yang baik ialah ayam, ikan dan salad. Untuk langkah berjaga-jaga, tak ada salahnya meminta pengapit anda menyiapkan makanan kecil sebagai alas perut jika diperlukan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kadang-kadang orang kita ni, bila pandang orang lain dari kebiasaan, mesti terus pandang 360 darjah. Walhal, kita tak tahu background dia, asal usul dia. Lelaki bernama Amir Syahir ini kongsi, buat perempuan, biar pakwe selekeh, low profile, pakai pun simple tapi sebenarnya…
Pakwe Selekeh
****************
“Selekeh betul awak ni, pakai la smart sikit. Baju pun pakai baju bundle”
“Awak dating dengan saya pakai selipar je? Selekeh betul la!!”
“Malu la saya kapel dengan awak ni. Selekeh gila. Tak pandai bergaya langsung. Mula hari ni kita putus!!”
Pakwe selekeh ni dia seorang yang low profile, pakai pun simple-simple je. Tak suka bergaya. Sebenarnya;
Dia banyak duit, pakai baju bundle pun takpe.
Dia ada banyak simpanan. Tak bazir beli benda bukan-bukan.
Dia ada matlamat kewangan yang jelas. Takde pergi travel guna duit PTPTN macam kau tu.
Dia tak minat beli kereta mahal-mahal. Cukuplah kereta boleh bawa dia ke mana dia mahu pergi.
Dia tak menggelupur beli gajet canggih. Tak perlu tukar IPhone setiap kali keluar yang baru.
Dia tak suka berhutang yang tidak perlu. Lain lah kau, beli telefon pun berhutang, beli sofa pun berhutang. Kalau tak mampu, dia kumpul duit sikit-sikit.
Dia tak beli stok kasut sampai 10 pasang kasut. Dia sedar dia bukan seekor lipan yang perlu kasut banyak-banyak. Rosak barulah beli. Nak beli pun kemain liat. Kalau boleh repair, dia repair.
***
Masa depan nanti, pakwe yang kau anggap selekeh akan lagi kaya daripada pakwe kau yang bergaya tu. Mungkin pakwe kau nampak kaya dan bergaya. Kaya pun dengan kaya hutang bank la tapinya.
Setiap bulan duk bayar hutang bank je. Biar papa asalkan bergaya tu motto pakwe bergaya kau. Tapi pakwe selekeh ni, dompet dia tak selekeh tau. Tu kau tak tengok simpanan wang dia dalam ASB dan Tabung Haji lagi.
Pakwe kau nampak bergaya je. Harapkan dompet je berjenama, tapi dalam tu nak ada RM200 pun susah. Harapkan jam je mahal, tapi setiap dating dengan kau asyik lambat je. Harapkan kereta je mewah, tapi tiap bulan dia mintak kau bayarkan juga.
Takde la selekeh nak mampos. Sampai baju pun tak basuh dua tiga hari, seluar koyak rabak nampak aurat. Tapi selekeh, slamber je. Pakaian bersih, pakai apa pun janji selesa dan tutup aurat.
Jadi, jangan menilai orang masa sekarang. Mungkin lagi dia lima tahun lagi dia kaya daripada kau. Jangan kau pulak minta kapel balik dengan pakwe yang kau kata selekeh tu. Kah!
Langkah pertama diambil dengan berpindah ke rumah baru dan bermulalah ceritera bahagia untuk pasangan yang baru berkahwin. Namun begitu, dengan berpindah ke rumah baru turut memerlukan mereka menyiapkan semua peralatan dengan kadar yang serta merta.
Ikuti beberapa tip keperluan dan kehendak apabila berpindah.
1. Apabila berpindah ke rumah baru, pastikan tiga bulan sebelum untuk memastikan keadaan rumah bersesuaian dengan kehendak. Jika ada penyewa yang dahulunya tinggal di situ, pastikan segala keadaan dalam rumah itu baik dan jika ada kebocoran pastikan ianya telah dibaiki sebelum anda menduduki rumah itu.
2. Seelok-eloknya perabot rumah dikumpulkan sebelum anda berpindah kerana kos membeli sahaja agak tinggi, inikan pula mahu membeli sekali gus semua perabot dalam satu masa. Jika boleh, elakkan tetapi jika mempunyai wang yang cukup tidak menjadi masalah untuk anda.
3. Jika di rumah sewa lagi anda sudah ada perancangan untuk berkahwin, jadi mulakan dengan langkah pertama iaitu dengan membeli peralatan yang utama sebagai contoh tilam, almari, peralatan dapur dan mesin basuh. Sebaiknya pilih yang tahan lama supaya dapat digunakan pada masa akan datang.
4. Asingkan kehendak dan keperluan di awal waktu berpindah. Misalnya jika keperluan memilih almari penting daripada membeli meja solek lebih baik memilih apa yang diperlukan dahulu. Ini kerana barang kehendak hanya sekadar sampingan jika tidak dibeli juga tiada masalah akan timbul.
5. Apabila berpindah pastikan anda menyediakan bajet carta belanjawan supaya dapat membantu anda dalam menguruskan permasalahan yang berlaku akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan.
6. Menjadi pengantin baru anda akan mendapat banyak hadiah yang berupa barangan rumah. Jadi tidak perlu membazir untuk membeli lagi barang yang sudah ada. Jika barang tersebut murah atau tidak tahan lama, usah risau kerana sekiranya rosak barulah anda menukar dengan barangan lain dan tahan lebih lama. Perlu ada sikap berjimat cermat lebih-lebih lagi keperluan hidup yang makin tinggi.
7. Sekiranya barang-barang di rumah tidak dapat dibeli pada awal perkahwinan, tidak mengapa anda boleh juga membeli barang secara sedikit-sedikit. Contohnya bulan pertama anda boleh membeli peralatan memasak, bulan kedua boleh membeli peralatan tidur dan seterusnya.
8. Sebaik berpindah ke rumah baru juga diingatkan agar menyimpan sedikit daripada wang perbelanjaan. Kadangkala duduk di rumah baru ini ada situasi yang menyebabkan kita terpaksa berbelanja lebih. Manalah tahu jika ada keadaan rumah yang kadangkala tidak sempurna seperti yang anda lihat. Kemungkinan kos kerosakan boleh menyebabkan anda berhutang. Penyelesaiannya amalkan sikap menabung dari awal lagi.
9. Sesetengah orang gemar meninggalkan perabot lama sekiranya berpindah ke rumah baru. Namun untuk menjimatkan perbelanjaan, anda digalakkan menggunakan perabot yang ada dan hanya membeli barangan keperluan harian yang lain. Perlu diingat, permulaan berumah tangga bukan mudah, anda seharusnya menguruskan kewangan dengan lebih terperinci supaya tidak ada masalah pada awal perkahwinan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!