Di saat kita bernikah, wajah mak ayah sering dalam bayangan. Meninggalkan mereka untuk hidup bersama pasangan menjentik hati walaupun restu sudah diterima. Biasalah, sekian lama hidup bersama mak dan ayah, bila nak berpisah ada juga titisan air mata jatuh ke bumi.
Namun, sebaik akad dilafaz, tidak bermakna mak dan ayah bukan lagi keutamaan. Mereka tetap dalam tanggungan kita terutamanya menjadi tanggungjawab anak laki-laki. Doa yang dititip setiap hari juga mulai berubah, dipanjangkan kepada suami, isteri dan anak-anak. Jangan putus doa kepada mak dan ayah, begitu juga kepada mak dan ayah mentua.
Melalui perkongsian ini, sedarlah bahawa kedudukan mak dan ayah kita sangat tinggi. Jangan lupa mendoakan mereka selalu.
***********************************************************************
Jangan Jemu Doakan Ibubapa Kita
=======
1. Rasulullah mendidik para sahabat supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa. Ini kerana, doa kita mampu membantu meninggikan kedudukan mereka di sisi Allah. Sabda Rasulullah:
إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ أَنَّى هَذَا؟ فَيُقَالُ بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ
Seorang lelaki diangkat kedudukannya di dalam syurga (kelak), lalu dia bertanya: Dari mana datangnya (anugerah kenaikan ini)? Lalu dijawab kepadanya: Daripada doa istighfar anakmu buat dirimu. (HR Ibn Majah – dinilai Sahih)
Perhatikan hadith ini. Rasulullah menceritakan bagaimana seorang lelaki atau wanita akan diangkat darjatnya nanti di sisi Allah melalui doa anaknya buat dirinya!
2. Bahkan, di dalam al-Quran, Allah mengajar kita supaya sentiasa mendoakan kedua ibubapa kita. Firman Allah:
وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
“Dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka (iaitu kedua ibubapa) sebagaimana mereka mengasihani kami sejak dari kecil.” (al-Isra: 24)
Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam al-Qurtubi berkata:
ثم أمر – تعالى – عباده بالترحم على آبائهم والدعاء لهم
“Kemudian Allah memberikan arahan kepada hambanya supaya sentiasa berlaku baik terhadap kedua ibubapa mereka dan mendoakan mereka.” (Tafsir al-Qurtubi)
3. Mendoakan mereka juga adalah sunnah para Nabi. Di dalam al-Quran Allah mendatangkan beberapa contoh Nabi yang mendoakan kedua ibubapa mereka. Antaranya adalah doa Nabi Nuh:
رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِناً وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
“Wahai Tuhanku, ampunkanlah kedua ibubapaku dan sesiapa yang masuk ke rumah aku dalam keadaan beriman.” (Nuh: 28)
4. Bahkan sebahagian sarjana Muslim berpandangan bahawa sentiasa berbuat baik kepada ibubapa itu boleh melapangkan rezeki seseorang. Ini kerana menurut al-Imam al-Badr al-Aini, berbuat baik kepada ibubapa itu adalah sebaik-baik amalan dalam menghubungkan silaturrahim. Dan orang yang menghubungkan silaturrahim ini akan dipermudahkan rezekinya di sisi Allah. Sabda Rasulullah:
من أحب أن يبسط له في رزقه فليصل رحمه
“Barangsiapa yang berharap agar diperluaskan rezekinya maka hubungkanlah silaturrahim.”
Dengan itu, jangan jemu mendoakan dan berlaku baik kepada ibubapa kita. Sentiasa doakan mereka seusai solat kita. Semoga Allah membimbing kita.
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI