
Bahagianya hidup bila ada orang yang sudi berkongsi hidupnya dengan kita. Bangun tidur, capai handphone je, ada yang bertanyakan khabar. Elok masuk waktu rehat je, ada yang tanya makan apa dan di mana. Indah semuanya!
Tidak dinafikan wanita memang mempunyai ingatan yang lebih baik berbanding lelaki jika ia berkaitan dengan cinta.
Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Universiti Abertay, Dundee, Scotland mendapati wanita yang mempunyai kekasih atau sedang dilamun cinta memiliki daya ingatan yang lebih baik berbanding wanita single.
Kajian juga mendedahkan, wanita yang menjalinkan hubungan jangka panjang dikatakan memiliki memori lebih baik berbanding wanita yang baharu sahaja dilamun cinta.
Kajian dijalankan ke atas beberapa orang wanita di universiti terbabit. Mereka diberikan sekeping foto dan diminta untuk mengingati wajah pada foto tersebut.
Hal tersebut adalah kerana wanita menganggap foto wanita yang dilihat itu sebagai pesaing dalam hubungan percintaan mereka.
“Wanita lazimnya lebih mudah untuk mengingati wajah wanita lain kerana menganggap gambar yang dilihatnya boleh menjadi pengancam dalam hubungan percintaan mereka,” ujar penyelidik.
Sumber : Kosmo.com.my
Ini Yang Ramai Tak Tahu, Bahaya Yang Bakal Terjadi Bila Beli Rumah Bersama Pasangan

Ramai yang tak pasti dan mungkin ada sesetengahnya tidak tahu keberangkalian terjadinya masalah ini apabila membeli rumah atas nama perkongsian bersama pasangan. Lebih memilukan apabila salah seorang daripada penama meninggal dunia. Apa hak kita apabila pasangan sudah tiada? Blog ini menjawab segala persoalan.
Kebiasaanya, suami isteri akan membeli rumah bersama untuk kuatkan dokumen. Di SPA/SNP pula akan ada dua nama. Nama si suami dan nama si isteri. Dua-duanya mengambil MRTA/MRTT (takaful).
Sekarang apa akan berlaku jika salah seorang meninggal dunia?
Jika harga rumah RM600,000. Rumah itu terbahagi 2 (sebab 2 penama):
- 50% Si Suami (RM300,000)
- 50% Si Isteri (RM300,000)
Jika suami meninggal dunia, 50% bahagian suami sudah tidak perlu dibiayai, kerana takaful sudah bayarkan. Betul kan? Manakala bahagian isteri, 50% selebihnya perlu terus dibayar oleh pihak si isteri.
Isu Yang Timbul Selepas Kematian Salah Seorang Penama
Bahagian si suami(50%) sudah pun menjadi HARTA PUSAKA. Jika suami masih ada mak ayah, mereka boleh tuntut hak mereka daripada 50% tersebut.
Saya baru dapat mesej, seorang balu yang baru kehilangan suaminya, anak ada dua. Mak dan ayah mertua tidak mahu lepaskan hak. Mereka tetap mahukan bahagian mereka dalam rumah. Si isteri tidak mampu bayar, kerana jumlah bahagian mereka hampir RM140,000!
Ya, RM140,000.
Sudahlah harta ini saja tinggal kepada balu dan anak-anaknya. Tetapi tetap mak ayah mertua tidak lepaskan. Bila ditanya kenapa?
“Ayah mahu sedekah duit kepada anak yatim dan bagi anak-anak ayah.”
Gamaknya, mertua beliau dan cucu beliau bukan anak yatim rasanya. Allah. Ini kes biasa yang ada di Malaysia. Faraid sememangnya sudah cantik dan adil, namun terfitnah dengan akhlak manusia
Ini baru mak ayah mertua, bagaimana pula kalau waris ialah adik-beradik mertua?
Satu kes saya jumpa di PWTC, hari ini suami meninggal, esoknya adik beradik datang ke rumah ambil kereta dan motor arwah
Ayah Mertua Mahu Rumah Anak Yang Bakal Mati
Kes lain saya jumpa, ayah mertua kata buatlah rumah di atas tanah dia. Nanti dah siap, ayah mertua tukar nama. Tetapi sampai sekarang tak tertukar. Sudahlah si isteri guna tunai buat rumah dengan orang kampung. Tiada hitam putih.
Sekarang suaminya sudah lumpuh (anaknya si ayah ini) dan sudah nyanyuk kerana kemalangan. Tiap-tiap hari ayah mertua remind menantunya, jangan tukar bil elektrik. Sebab dia ingin rumah itu jatuh kepada dia jika anaknya sudah tiada nanti.
Saya rasa kasihan dengan si isteri itu. Anak sudah 4 orang. Sekarang isteri tengah memikirkan bagaimana nak dapatkan rumah yang telah dibina dengan duitnya. Moga Allah swt lindungi mereka dan mencukupkan rezeki mereka.
Kes ini paling banyak saya jumpa, dari Kedah, dari Kelantan, semua kes mirip sebegini. Si suami lumpuh, si isteri jenuh memikirkan rezeki anak anak. Si isteri sudahlah tidak bekerja. Allah
Besar ujian keluarga ini
Panggilan si Balu
Saya mendapat panggilan dari Pulau Pinang, seorang balu yang baru kehilangan suaminya. Rumah beli bulan 5, bulan 8 Allah swt memanggil si suami-Nya ( Al Fatihah). Hanya 3 bulan saja sempat duduk bersama.
Luahan si balu
“Sebelum ini dengan mak dengan ayah mertua sangat baik, tak sangka begini ayah mertua boleh berubah selepas si suami tiada
Saya langsung tiada masalah dengan mertua begitu, very polite, very islamic. Setiap hari pergi ke masjid. Saya sangat rapat dengan mak ayah mertua
Kawan arwah pun terkejut, Adik beradik semua terkejut. Macam tak kenal mak ayah mertua ini
Saya merayu kepada ayah dan mak mertua untuk mudahkanlah urusan ini, Minta tolong sangat sangat jasa baik mak ayah. Tolong mak ayah. Saya merayu. saya hanya minta rumah sahaja”
Si balu tanya kepada saya
“Encik, faraid ini kena ikut ke, boleh ke mereka lepaskan hak?
Saya jawap
” Boleh, tetapi jika mereka ingin melepaskan hak mereka, jika tidak Puan perlu bayar hak mereka ( anggaran ratusan ribu juga)”
Balu ini menyambung luahannya
“Mak ayah mertua, adik beradik mertua semua lepas tangan waktu suami sudah tiada, saya urus seorang seorang perkara, saya urus seorang diri. Mana adik beradik lain, mana mak ayah mertua lain? Saya turun naik Kl semata mata nak dapatkan balik kerja saya yang dulu. Saya ke hulur ke hilir seluruh Penang untuk uruskan harta si arwah. Saya minta tolong adik beradik arwah, tetapi seorang tak respon. Mereka sibuk nak faraid, nak faraid, tetapi mana mereka waktu saya susah?
Saya sekarang buntu, saya taknak jual rumah ini tuan, saya sayang rumah ini, anak anak saya suka rumah ini
Saya sanggup bagi duit Tuan kepada mak ayah.
Saya merayu kepada ayah mertua saya
” Ayah tiada timbang rasa ke? Ayah tak tengok ke anak anak saya?Cucu ayah nak duduk mana?
Bawah jambatan ke ayah?”
Saya perlukan terus hidup saya, saya hilang tempat bergantung, saya sedih tuan
Tuan, salah ke saya buat begini tuan
salah ke saya Tuan saya lindungi hak anak saya?
Salah ke saya buat semua ini encik? ( sambil menangis)”
Saya mampu dengar dan mengusap air mata. Moga Allah swt permudahkan urusan balu ini. Ramai orang lupa hak datang dengan tanggungjawab. Amat berat tanggungjawab. Menjaga anak yatim
Apa Yang Anda Perlu Buat?
Untuk elakkan perkara di atas berlaku dan anda ingin pasangan hidup senang, tidak mahu merempat pasangan dan anak anda hilang tempat tinggal selepas anda tiada nanti, anda perlu:
- Buat dokumen hibah.
Si suami hibahkan bahagian (50%) beliau kepada si isteri. Si isteri pun hibahkan bahagian (50%) beliau kepada si suami. Hibahkan antara satu sama lain.
Jika suami meninggal dunia, bahagian suami akan dapat sepenuhnya kepada isteri. Jadi 100%. Begitulah sebaliknya. Selamat. Tidak pergi ke sesiapa sudah. Prosesnya anda perlu berjumpa consultant untuk melakukan hibah ini.
Rumah yang belum habis bayar pun boleh dihibahkan. Ini diambil atas ijtihad Dr Wahbah Zuhaili, dengan syarat hutang (loan) itu dilangsaikan jika meninggal dunia.
Apa maksudnya?
Perlu ada MRTA/MRTT. Kos tidaklah mahal. Dari RM3000- RM6000 sahaja untuk 8 aset. Apalah nilai RM4000 dengan nilai rumah anda RM400,000-RM500,000 kan
Ini untuk orang tersayang anda juga, bukan untuk orang lain.
Soalan
1 Jika saya mengambil hibah takaful, adakah sudah selesai masalah saya?
Tidak, kerana polisi takaful tidak akan naik pampasan meninggalnya. Sedangkan harga rumah semakin naik. Contoh rumah RM300,000
Si Ali mengambil plan takaful ( MLTT) untuk perlindungan yang bernilai RM300,000 pampasan meninggal. Ali dikurniakan umur yang panjang. 25 tahun kemudian baru meninggal.
Rumah pada waktu itu sudah mencecah RM900,000, sedangkan polisi hanya lindungi RM300,000. Jadi ia penyelesaian terbaik.
Jika anda tanya perunding takaful, semestinya mereka mencadangkan mengambil MLTT untuk menyelesaikan masalah ini. Jadi sila berjumpa dengan perunding kewangan bertauliah atau perunding harta pusaka.
- Bagaimana dengan harta sepencarian?
Untuk harta sepencarian, proses perlu di Mahkamah Syariah di mana kos amat tinggi. Biasa rate peguam buka kes sahaja RM5,000-RM10,000.
Untuk dapatkan hak penuh rumah, isteri perlu menunjukan bukti beliau ada sumbangan terhadap rumah tersebut.
Contoh:
- Resit bayaran bulanan,
- Resit renovation,
- Resit yang berkaitan dengan rumah.
Pihak isteri perlu membawa perbuktian, barulah Hakim akan memberi pertimbangan sewajarnya. Sangat susah kes isteri dapat hak penuh terhadap rumah. Oleh itu, rancanglah sebaiknya tentang rumah ini kerana rumah paling kritikal jika berlaku perceraian atau kematian.
- Boleh ke saya tukar terus kepada nama isteri atau anak?
Proses ini dibuat di Pejabat Tanah. Isi Borang 14A. Adakah ia jalan terbaik?
Jawapannya:
Tidak juga, kerana jika isteri mati warisnya juga boleh menuntut hak. Jika tukar kepada nama anak, anak pula mati awal daripada mak ayah.
Jika anak itu sudah berkahwin, sudah ada waris lain yang berhak. Contohnya, isteri atau suaminya.
- Tapi pasangan saya sudah membuat wasiat dan memberikan kepada saya dan anak anak, Bukankah sudah selesai?
Belum selesai, kerana fungsi wasiat hanyalah 2 sahaja
- Melantik Pentadbir/Wasi- untuk menguruskan harta kita
- Wasiat 1/3- Tujuan amal jariah
Biasanya orang Melayu selalu salah faham tentang wasiat. Agih harta mestilah dengan wasiat. Ini salah faham yang memudaratkan. Dengan pengaruh drama dan filem. Oleh itu, sila fahami fungsi wasiat sebetulnya. Boleh baca artikel saya tentang ” Apa itu Hibah?” untuk memahami apa itu hibah dan wasiat.
Bagaimana dengan wasiat tersebut? Ianya terbatal jika tidak mendapat persetujuan waris
- Jika letak dua nama di SNP. Sudah selesai masalah ke?
Tidak, masalah sama seperti dijelaskan di atas
Penyelesaian Terbaik
Penyelesaian yang terbaik ialah yang pertama iaitu buat dokumen hibah
Kepada suami dan isteri, buatlah perancangan sekarang. Kebanyakan yang ramai sangat jumpa saya ialah mereka yang telah menghadapi masalah sebegini. Tambahan jika anak bawah umur
Merasai keperitan keluarga retak kerana harta. Ya pasti berbeza orang merasai dan orang yang hanya tahu sahaja.
Yang merasai sudah tentu tidak mahu warisnya susah begini. Yang tahu hanya tenang sahaja. Yang nak sangat berjumpa saya ialah orang yang sudah berlaku dan kritikal. Saya hanya memberi khidmat nasihat saja. Tidak lagi boleh membantu sepenuhnya
Si isteri pujuklah si suami mendengar penerangan harta pusaka. Kebiasannya si suami tenang tenang sahaja. Si isteri perlu main peranan untuk masa depan anak anak. Rancang harta anda
Ramai orang buat apa ingin merancang, harta tak banyak. Tahukah anda?
Harta tak banyak inilah yang selalu bergaduh. Rumah arwah yang satu satunya yang ditinggalkan yang jadi rebutan. Kereta yang tinggal satu satu inilah yang direbutnya.
Alangkah sedihnya. Kita sudah berada di taman-taman syurga. Tetapi waris kita berada di neraka dunia. Merempat kerana tiada lagi rumah untuk berehat dan bersuka ria. Kita tidak tahu kita pergi bila, Rancanglah secepat dan sebaik yang mungkin
Sila tag dan share kepada pasangan anda jika anda termasuk dalam golongan ini.
Golongan di atas ini ialah golongan pertama kritikal perlu perancangan hibah. Dan ada 11 golongan lagi. Nanti saya akan share dari masa ke semasa.
Nasihat terakhir:
- Hibah bukan lebih baik daripada faraid.
- Hibah bukan penyelesaian segala-galanya.
- Hibah bukan lebih baik daripada wasiat.
Setiapnya ada fungsi berbeza. Sila fahami terlebih dahulu sebelum membuat perancangan
Kredit : Blog Fatihin Abshar
Hak Seorang Isteri Yang Diceraikan, Jangan Jadi Penakut Tuntut Hak Anda

Hak-Hak Isteri Selepas Bercerai
Seseorang wanita yang diceraikan oleh suaminya boleh membuat beberapa tuntutan atas bekas suaminya di Mahkamah Syariah. Tuntutan-tuntutan itu ialah :
Mutaah ialah sejumlah harta di mana suami wajib memberi kepada bekas isterinya yang pernah disetubuhi jika perceraian itu bukan berpunca dari isteri dan bukan kematian suami. Dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat mengenai Mutaah:
“Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) Mutaah menurut yang ma’aruf sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah : 241)
Dalam ayat yang lain pula Allah swt menyatakan:
“Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka atau sebelum kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka iaitu suami yang senang menurut kemampuannya dan suami yang miskin menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi menjadi satu kewajiban atas orang-orang yang mahu berbuat kebajikan”.
(Surah Al-Baqarah : 236)
Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka dengan cara yang sebaik-baiknya”.
(Surah Al-Ahzab : 49)
Mutaah itu boleh sama ada berbentuk pakaian, barang-barang atau wang sesuai dengan keadaan dan kedudukan suami. Islam tidak menetapkan kadar mengenai Mutaah ini. Dasar penetapannya bergantung kepada keredhaan dan persetujuan suami isteri. Walau bagaimanapun, jika kadarnya menjadi pertelingkahan suami isteri, maka Mahkamah Syariah akan memutuskan kadar yang patut berdasarkan kemampuan suami.
Dalam kes Tengku Anum Zaharah lwn Dato Dr. Hussein (1980, Jld.3 J.H.) Peguam bagi pihak menuntut (isteri) telah merujuk kepada kes Hasan bin Ali bin Abi Talib yang mana semasa beliau menjadi khalifah telah menceraikan isterinya dan memberi 10,000 dinar sebagai Mutaah. Peguam iu berhujah pihak yang kena tuntut (suami) seorang yang berkemampuan. Yang Arif Kadi Besar selangor (pada masa itu) telah merujuk surah Al-Ahzab ayat 49 dan memutuskan pihak yang menuntut (isteri) berjaya menuntut Mutaah sebanyak RM25,200 sebagaimana yang dituntutnya.
Apa yang nyata berdasarkan kes ini, walaupun seseorang wanita itu mempunyai pendapatan yang baik, ia tetap menuntut haknya kerana perceraian itu atas kehendak suami.
Dalam Islam pemberian Mutaah ini bertujuan:
-
Seseorang isteri lazimnya bergantung hidup kepada suami. Oleh itu apabila ada pemberian Mutaah ini, maka bekas isteri bolehlah menggunakannya sebagai modal untk berdikari dan memulakan hidup baru selepas bercerai.
-
Menghilangkan rasa malu dan prasangka buruk terhadap isteri. Pada kebiasaaannya terdapat anggapan masyarakat bahawa seseorang wanita yang diceraikan kerana ada sesuatu aib pada dirinya. Oleh itu pemberian Mutaah itu bermakna perceraian itu bukan berpunca dari bekas isteri.
-
Untuk menentukan perceraian itu dibuat secara baik dan sebagai penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangan dan peranan yang diberikan oleh isteri.

Seseorang isteri yang diceraikan oleh suami selepas disetubuhi, wajib bereddah. Hikmah bereddah ialah supaya dalam waktu eddah talak rajie ini, suami dan isteri itu berfikir panjang dan merasa bagaimana pahit getirnya perceraian. Walau bagaimanapun, bagi seseorang isteri yang diceraikan dalam talak rajie berhak mendapat nafkah dengan syarat:
a. Isteri itu diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), dalilnya ialah Nabi Muhammad saw bersabda,
“Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Pendapat ini adalah sepakat mazhab empat.
b. Isteri yang hamil yang ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak juga mendapat nafkah sehingga anak itu lahir. Ini berdasarkan firman Allah swt:
“Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah keapda mereka hingga mereka melahirkan anaknya”.
( Surah At-Talaq: 6)
Fuqaha bersepakat dalam perkara ini di mana perempuan itu berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat tinggal hingga anak itu lahir.
Seseorang isteri yang mengandung sememangnya menghadapi keletihan dan tekanan perasaan memikirkan tentang kesempurnaan bayi kandungannya. Apabila berlaku perceraian kesannya akan menambahkan lagi penderitaan di mana kemungkinan besar memberi kesan kepada kesempurnaan bayi dan menganggu kesihatan si ibu. Oleh itu sebagai langkah untuk mengurangkan tekanan perasaaan dan menjaga kepentingan anak dalam kandungannya maka Islam memutuskan bahawa perempuan hamil walaupun diceraikan secara talak bain berhak juga mendapat nafkah eddah.
c. Perempuan tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman. Ini adalah pendapat Jumhur Fuqaha dengan alasan ketika nabi Muhammada saw mengulas mengenai talak tiga ia menyatakan:
“Tidak ada hak untuknya bagi tempat kediaman dan nafkah”.
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Walau bagaimanapun, menurut Hanafi perempuan dalam kes ini berhak mendapat nafkah kerana Allah swt berfirman:
“Berikanlah mereka itu tempat kediaman sebagaimana tempat kediaman kamu dari kekayaaan kamu”.
(Surah At-Talak : 6)
Menurut Hanafi kehendak ayat ini adalah umum sama ada perempuan itu dalam eddah talak rajie atau talak bain semuanya mendapat nafkah.
d. Isteri yang dalam eddah kerana kematian suami tidak berhak mendapat nafkah eddah meskipun ia dalam kaeadaan hamil. Mengenai perkara ini Nabi Muhammad saw menjelaskan:
“Tidaklah mendapat nafkah bagi perempuan hamil yang kematian suami”.
(Riwayat Darul-Qutni)
Pendapat ini adalah sepakat Fuqaha kerana pada kebiasaaannya seseorang yang diceraikan kerana kematian suami boleh membeuat tuntutan pusaka ke atas harta peninggalan suami dan tanggungjawab suami itu dianggap terhapus.
e. Isteri hendaklah taat dan patuh kepada suami iaitu isteri tidak nusyuz. Menurut kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 29 halaman 48 menyatakan:
“Apabila seseorang isteri nusyuz maka gugurlah hak isteri untuk menerima nafkah, pakaian dan giliran”.
Dalam kes Syarifah Sapoyah lwn Wan Alwi (1988 Jld. VI-II J.H.) Yang Arif Kadi Besar Sarawak Awang Pon bin Awang Sebon ketika memutuskan kes itu berhubung dengan tuntutan nafkah eddah menyatakan:
“Menurut Hukum Syarak seseorang isteri yang telah diceraikan oleh suaminya berhak mendapat nafkah eddahnya sekiranya seseorang isteri itu diceraikan dengan talak rajie atau dengan talak bain sedangkan si isteri mengandung dan isteri tersebut tidak melakukan perbuatan yang dianggap nusyuz. Dalilnya ialah:
“Dari Fatimah binti Qais bahawa Rasulullah saw menyatakan hanya perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman bekas suaminya apabila suami berhak rujuk kepadanya”.
(Riwayat Ahmad dan An-Nasa’i)
Menurut kitab Al-Fiqhu ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah Juzuk 4 karangan Abdul Rahman Al-Jazini menerangkan :
“Isteri yang ditalak rajie wajib mendapat hak nafkah eddah tidak kira sama ada ia merdeka, hamba, mengandung atau tidak mengandung”.
Menurut Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978 Jld. 1 J.H.) menyatakan:
“Hak nafkah eddah jika tidak dijelaskan semasa edddah maka ia menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya. Tetapi tempat kediaman jika tidak dituntut semasa dalam eddah maka hak itu terluput”, berdasarkan pandangan kitab Kifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 85 ;
“Jika sebahagian atau keseluruhan masa eddah telah berlalu dan isteri (yang diceraikan) tidak menuntut hak tempat tinggal maka gugurlah hak itu dan tidak menjadi hutang ke atas suami yang menceraikan isterinya”.
Ini bermakna seseorang isteri yang diceraikan berhak mendiami tempat tinggal dan mendapatkan nafkah dari bekas suaminya dalam tempoh eddah berdasarkan syarat-syarat di atas.
iii. Tuntutan Hadhanah (Hak Jagaan Anak)
Hadhanah bermakna pemeliharaan anak lelaki atau perempuan yang masih kecil yang belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.
Dalam Islam, hukum memelihara anak adalah satu kewajiban ibu bapa kerana si anak memerlukan asuhan dan kasih sayang ketika dalam proses pertumbuhan hidupnya. Persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak jika ibu bapa bercerai-berai?
Menurut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar,
“Bahawasanya seseorang perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”.
(Riwayat Abu Daud)
Hadith ini menetapkan bahawa ibu adalah lebih berhak terhadap pemeliharaan anak daripada ayah. Berdasarkan kepada kiasan hadith tersebut ternyata orang perempuan lebih diutamakan tentang hak pemeliharaan anak, kemudiannya barulah diikuti oleh orang lelaki. Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah ini kerana ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu bagaimana mendidiknya dan lebih sabar dalam mengasuh anaknya daripada ayah. Demikian juga mempunyai masa yang luas berdampingan dan bermanja dengan anak-anak berbanding dengan bapa yang selalu sibuk dengan tugas di luar.
Dalam kes Zawiyah lwn Ruslan (1980 Jld. 1, 2 J.H.) Yang Arif Kadi Besar Pulau Pinang Hj. Harussani bin Hj. Zakaria (pada masa itu) ketika memutuskan kes itu menyatakan anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya berdasarkan hujah kitabKifayah Al-Akhyar Juz 2 halaman 93:
“Apabila mencerai seseorang lelaki akan isterinya dan ia mempunyai anak dengan isteri itu maka si isteri berhak memelihara anak itu sehingga anak itu berumur tujuh tahun (mumaiyyiz)”.
Hak hadhanah akan terlucut sekiranya si isteri itu mempunyai salah satu syarat sepertimana berikut:
“Dan syarat-syarat hadhanah itu tujuh perkara iaitu berakal, merdeka, beragama, lemah lembut, amanah, tidak bersuami dan bermukim. Sekiranya kurang salah satu syarat itu maka gugurlah hak hadhanah itu”.
Ini bermakna anak-anak yang belum mumaiyyiz diserah kepada ibunya. Persoalan yang timbul ialah apakah had umur untuk menentukan mumaiyyiz itu? Sebenarnya Fuqaha berselisih pendapat mengenai had umur mumaiyyiz ini. Walau bagaimanapun menurut kebiasaan, bagi lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dianggap mumaiyyiz manakala perempuan pula apabila berumur 9 tahun. Apabila pemeliharaan anak itu dimulai dari ibu maka para Fuqaha mengambil kesimpulan bahawa kerabat dari ibu lebih berhak mengasuh daripada kerabat bapa. Jika ibu hilang kelayakan hak jagaan anak maka anak itu diserah kepada nenek sebelah ibu hingga ke atas (butir-buti penuh lihat lampiran ‘A’).
Dalam kes Rugayah lwn Bujang (1987 Jld. VI, I J.H.) Yang Arif Kadi Besar Wilayah Persekutuan Syeikh Ghazali bin Hj. Abd. Rahman telah memutuskan hak jagaan anak yang mumaiyyiz adalah diberi pilihan kepada anak-anak itu siapakah yang ia mahu sama ada tinggal dengan ibu atau bapa dengan berdasarkan sebuah hadith:
“Bahawa Rasulullah saw telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz supaya memilih sama ada ibu atau bapa yang dia suka tinggal”.
(Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
“Hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata suami perempuan itu, “Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya (bererti suami itu tidak bersetuju cara membuang undi)”. Lalu Rasulullah saw menyuruh anak itu memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: “Ini bapa engkau dan ini ibu engkau, pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka tinggal bersama”. Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa anaknya itu pulang bersama”.
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Tirmizi)
Dalam hadith yang lain:
“Seorang perempuan datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: “Ya Rasulullah, suamiku hendak membawa anakku, pada hal anakku sudah pandai mencari air untukku ke perigi Abu Inabah”. Rasulullah menjawab: “Ini ayahmu dan ini ibumu, peganglah tangan ibumu. Kemudian perempuan itu pergi bersama anaknya”.
Ini bermakna anak-anak yang mumaiyyiz diberi pilihan sendiri untuk menentukan siapa penjaganya sama ada ibu atau bapa. Persoalan yang timbul ialah jika anak itu berdiam diri? Menurut kitab Fathul-Muin dalam fasal hadhanah menyatakan anak itu lebih utama diserahkan kepada ibunya.
Berkata Ibnul-Qaiyim: “Sesungguhnya kita menyerahkan anak kepada bapa atau ibunya adalah bertujuan untuk menjaga kemaslahatan anak. Kalau anak tinggal bersama ibunya maka kemaslahatannya lebih terjamin. Maka anak itu diserahkan kepada ibunya meskipun anak itu memilih bapanya kerana memang pilihan anak itu belum tepat acap kali tersalah pilih. Selanjutnya Ibnul-Qaiyim berkata: “Aku dengar gutuku berkata: “Telah berselisih faham dua orang ibu bapa di hadapan hakim tentang siapa yang akan memelihara anaknya. Kemudian hakim menyuruh anak itu supaya memilih antara ibu atau bapanya. Lalu anak itu memilih bapanya. Berkata ibunya kepada hakim:”Cubalah tuan hakim tanya kepada anak itu apa sebabnya anak itu memilih bapanya? Lalu hakim bertanya kepada anak itu. Anak itu menjawab: “Ibuku menghantarku ke tempat mengaji Al-Quran tiap-tiap hari dan guru-guru acap kali memukulku. Manakala bapaku membiarkanku bermain-main bersama kawan-kawan, sebab itu aku suka tinggal dengan bapaku”. Mendengar demikian, hakim memutuskan untuk menyerahkan anak itu kepada ibunya dengan menyatakan: “Engkau lebih berhak memelihara anak itu”.
Demikian pandangan Ibnu Qaiyim. Menurut Syed Sabiq dalam kitabnya ýFiqh As-Sunnah Juz 8 halaman 219 menyatakan: “Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Akan tetapi hak anak atau kemaslahatan anak lebih penting dari hak penjaganya”.
Berdasarkan maksud Seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, dianggap belum mumaiyyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah dari bayi hingga berumur 6 tahun. Manakala kanak-kanak perempuan pula dari bayi hingga berumur 8 tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur 7 tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur 9 tahun dianggap mumaiyyiz. Walau bagaimanapun dalam Seksyen 84(2) keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana Mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak.
Ulama Syafi’iyah berkata: Apabila anak tersebut lelaki dan ia memilih ibunya, anak itu boleh tinggal di tempat ibunya pada malam hari, pada siangnya bapa boleh mengambilnya untuk disekolahkan atau bekerja. Kerana tujuan mengasuh anak adalah untuk kebaikan. Apabila si anak memilih bapanya maka anak tinggal bersama bapanya siang malam tetapi tidak boleh dicegah apabila si anak ingin menjenguk ibunya. Mencegahnya akan menyebabkan si anak derhaka kepada ibunya dan memutuskan hubungan dengan ibunya. Apabila si anak sakit maka ibu lebih berhak untuk merawatnya kerana sakitnya itu menyebabkan si anak seperti anak kecil yang memerlukan layanan, kerana itu si ibu lebih berhak mengasuhnya.
Apabila anak itu perempuan dan ia memilih salah satu antara dua orang tuanya maka ia boleh tinggal di tempat orang tua lain, asalkan tidak terlalu lama. Kerana perceraian antara suami isteri menyebabkan kedua-dua bekas suami isteri itu tidak sesuai untuk berada di satu tempat. Apabila anak perempuan itu sakit maka ibunya lebih berhak merawat di rumahnya. Apabila salah satu orang tuanya sakit sedangkan si anak tidak serumah dengannya maka si anak tidak boleh dicegah untuk menjenguknya atau untuk hadir di tempat orang tuanya yang meninggal dunia.
Ibnu Qaiyim berkata: “Apabila salah seorang antara orang tuanya berpergian kerana adanya suatu keperluan, tetapi akan kembali dan lainnya tidak berpergian maka orang yang tidak berpergian lebih berhak mengasuhnya kerana berpergian dengan membawa anak kecil terutama yang masih menyusu akan menyusahkan si anak. Apabila salah seorangnya berpindah untuk menetap di tempat lain sedang tempat yang dituju atau perjalanannya mengkhuatirkan maka orang tua yang mukim lebih berhak mengasuhnya. Apabila perjalanannya aman, ada dua pendapat:
-
Bahawa asuhan anak itu diserahkan kepada bapa agar bapa dapat tetap mendidik anaknya. Pendapat ini adalah juga pendapat Malik dan Syafi’i. Pendapat ini juga dipraktikkan oleh Qadhi Syuraih.
-
Bahawa ibunya lebih berhak mengasuh anaknya. Pendapat lain mengatakan bahawa apabila yang pergi itu bapanya maka ibu lebih berhak mengasuhnya. Kalau ibunya pergi ke daerah asalnya maka ibu itulah yang lebih berhak mengasuhnya. Apabila si ibu pergi ke tempat lain maka bapanyalah yang lebih berhak mengasuhnya. Demikianlah pendapat Abu Hanifah.
Pada prinsipnya kita meninjau dan meneliti mana yang paling baik untuk si anak dan lebih bermanfaat, apakah dapat memelihara dan dapat menjaga si anak. Anak itu pergi bersama salah seorang antara kedua-dua orang tuanya ataupun tidak ikut, sama sahaja, asalkan tidak menyebabkan putusnya hubungan anak dengan orang tuanya. Apabila ada maksudnya menyusahkan si anak maka si anak tidak boleh diajak pergi.
Biar Isteri Je Cantik, Suami Tak Perlu Handsome-Handsome Sangatlah

Sebuah penelitian terhadap 223 pasangan yang baru menikah menemukan, perempuan sebenarnya lebih bahagia jika memiliki pasangan yang berpenampilan kurang menarik.
Hasil penelitian itu keluar setelah melihat pasangan heteroseksual yang telah menikah kurang dari empat bulan, mempelajari hubungan antara perempuan dan daya tarikan pasangannya, dan motivasi diet mereka.
Sebagai sebahagian dari penelitian ini, sebuah foto full body diambil dari setiap peserta, dan daya tarik mereka yang dinilai oleh “penilai” dari Southern Methodist University. Mereka juga diminta untuk mengisi kuesioner yang mengukur motivasi mereka untuk diet.
Diterbitkan di jurnal Body Image, hasilnya menemukan, perempuan yang menikah dengan lelaki yang kelihatan menarik secara konvensional lebih cenderung untuk menjaga tubuhnya, dan ingin selalu menjalani diet.
Berbicara kepada Florida State University, mahasiswa Doktoral Tania Reynolds yang turut menulis penelitian itu mengatakan, “Penelitian tersebut menunjukkan bahawa mungkin ada faktor sosial yang berperanan besar dalam gangguan pemakanan perempuan.”
Mungkin akan sangat membantu untuk mengenalpasti perempuan berisiko dalam mengembangkan perilaku penurunan berat badan yang lebih ekstrem, yang telah dikaitkan dengan bentuk tekanan psikologi lainnya, seperti depresi, kecemasan, penyalahgunaan zat, dan ketidakpuasan terhadap kehidupan.
Salah satu cara untuk membantu kaum perempuan adalah dengan pasangannya menegaskan kembali dan mengingatkan mereka bahawa, “Kamu cantik. Aku mencintaimu dengan berat badan atau jenis tubuh yang seperti ini.”
Atau mungkin menumpukan perhatian terhadap cara mereka menjadi pasangan romantis, dengan menyebutnya memiliki daya tarikan yang khusus.
“Saya sangat menghargaimu, karana kamu merupakan pasangan yang baik hati, cerdas, dan menyokong saya,” tambahnya.
Namun, hasil penelitian ini tidak berlaku untuk lelaki. Mereka saat berdiet tidak begitu termotivasi oleh isteri mereka. Sebaliknya, motivasi diet lelaki tidak dikaitkan secara jelas dengan daya tarikan pasangan mereka.