
Anggun dalam persalinan kebaya rona coklat cair, Angelia Rizky melangkah ke fasa baharu dalam hubungan cintanya apabila selamat bertunang dengan jejaka pilihan hati dari Singapura, Syafiq Shahul.
Menerusi foto pertunangan yang dikongsikan, pasangan ini tampil sedondon dalam palet warna lembut. Senyuman manis Angelia dan Syafiq menyerikan momen istimewa yang turut mempertemukan dua keluarga serta budaya berbeza.
Pada majlis tersebut, Angelia menyarungkan kebaya rekaan Maison Baaz Couture yang sarat dengan perincian manik berkilau. Potongan kebaya yang terletak kemas pada tubuh menyerlahkan penampilan anggun, sementara padanan kain batik dengan lipatan bersusun di bahagian hadapan melengkapkan pesona tradisionalnya.
Layangan fabrik lembut di sisi busana menambah seri penampilan Angelia. Sepasang kasut tumit tinggi rona cerah serta jambangan bunga putih pula menjadi pelengkap yang cukup serasi, membiarkan keindahan kebayanya menjadi tumpuan.
Solekan sentuhan Leo Afandi menyerlahkan raut wajah Angelia dengan penegasan pada bahagian mata dan pilihan warna bibir yang lembut. Dandanan rambut beralun hasil sentuhan Puja Hairdo pula memberikan gaya klasik yang sepadan dengan persalinan pertunangannya.
View this post on Instagram
BACA JUGA: Seindah Permata, Semewah Berlian! Jambangan Bunga Kristal Cecah Harga RM30,000
Syafiq turut tampil segak berbaju Melayu rona senada, lengkap bersamping dan bersongkok hitam. Keserasian busana pasangan ini menghasilkan potret pertunangan yang manis, berlatarbelakangkan hiasan bunga dalam rona putih, merah jambu lembut dan coklat.
Di sebalik keindahan majlis, kisah perkenalan mereka juga cukup istimewa. Kedua-duanya merupakan jurutera profesional yang dipertemukan melalui persidangan antarabangsa selama enam tahun berturut-turut. Daripada pertemuan atas urusan kerjaya, hubungan itu perlahan-lahan berkembang menjadi cinta.
Pertunangan ini turut mempertemukan akar budaya Melayu-Singapura Syafiq dengan budaya Sunda Angelia. Ungkapan “Two Nations. Two Cultures. One Beautiful Beginning” mengiringi kisah mereka, menggambarkan permulaan sebuah perjalanan yang meraikan cinta, keluarga dan tradisi.
Pesona Pengantin mengucapkan tahniah buat Angelia dan Syafiq. Semoga segala urusan menuju hari bahagia dipermudahkan dan ikatan yang dibina menjadi permulaan kepada rumah tangga yang penuh kasih sayang.
Untuk rekod, Angelia pernah menyertai pertandingan Puteri Indonesia 2022 sebagai wakil DKI Jakarta 1 dan berjaya meraih gelaran Puteri Indonesia Berbakat 2022.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download
sekarang!

