
Daripada pesona tradisi songket merah tembaga kepada romantisme gaun putih sarat renda, penampilan Bella Astillah menjadi antara tarikan pada majlis resepsi perkahwinannya bersama Ahli Parlimen Muar, Yang Berhormat Syed Saddiq pada 18 Oktober 2026 bertempat di MITEC, Kuala Lumpur.
Menghimpunkan 3,000 tetamu dalam suasana yang penuh meriah, majlis yang dirancang oleh Reka Teemor selaku perancang acara itu turut diserikan dengan persembahan Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor serta persembahan khas Dato’ Mokhzani bersama DM & String Ensemble.
Fesyen dan muzik mengisi keraian pasangan mempelai, dengan dua persalinan Bella membawakan pesona berbeza. Sentuhan daripada jenama milik Rizalman Ibrahim, Haute Couture By RI mengangkat keindahan songket untuk penampilan pertama, disusuli rekaan Alia Bastamam yang menonjolkan kelembutan renda serta kilauan jemeki.
Songket Merah Tembaga Membuka Penampilan
Bagi persalinan pertama, Bella menyarung busana songket merah tembaga rekaan Haute Couture By RI. Fabrik warisan dalam rona hangat itu memberikan penampilannya nuansa tradisional yang mewah, dengan keindahan songket menjadi tumpuan utama.

Warna merah tembaga menyuntik karakter tersendiri pada busana, menyerlahkan keanggunan Bella sebagai pengantin. Pilihan ini membawa pesona tekstil tradisional ke dalam keraian, sekali gus memberikan pembukaan penuh gaya kepada penampilannya sepanjang resepsi.
Melengkapkan penampilan Bella, bunga tangan rona emas dan diserikan dengan jemeki rona merah pekat menjadi penyeri. Syed Saddiq pula tampil bak pahlawan ulung dalam persalinan baju melayu lengkap samping berpending dan tanjak tradisi.
View this post on Instagram
Gaun Putih Alia Bastamam Sarat Perincian
Untuk penampilan kedua, Bella memilih gaun putih rekaan Alia Bastamam yang membawa sentuhan romantis. Potongan berlengan panjang dengan skirt labuh kembang, menghasilkan siluet anggun ala klasik Inggeris.
Renda menghiasi keseluruhan gaun, memperkaya permukaan busana dengan tekstur yang lembut. Perincian jemeki berefek juntai pula menambah dimensi serta unsur gerak, menghadirkan kilauan yang menyerlah di celah kehalusan renda.

Layah labuh sarat renda melengkapkan persalinan, memanjangkan garis visual busana dan memberikan sentuhan dramatik pada keseluruhan gaya. Sejambak orkid di tangan menjadi pelengkap yang elegan, menyempurnakan penampilan pengantin dalam rona putih.
Bagi persalinan kedua, Syed Saddiq pula mengenakan rekaan Soultan. Sut serba hitakm dengan rekaan lapel besar itu dipadankan dengan bowtie rona senada menyerlah gaya maskulin sejati.
Reka Teemor Sebagai Perancang Majlis
Di sebalik keraian yang menghimpunkan 3,000 tetamu ini, Reka Teemor berperanan sebagai perancang majlis resepsi Bella dan Syed Saddiq. Penglibatan mereka menjadi sebahagian daripada acara yang meraikan pasangan mempelai bersama para jemputan.
Menurut perkongsian mereka di Instagram, proses untuk mencantikkan dewan mega itu mengambil masa kira-kira tiga hari. Perincian menarik yang dapat dilihat ialah elemen renda yang diserlahkan melatari konsep hiasan nan mewah. Selain penggunaan bunga-bungaan bernuansa lembut.
Pengisian hiburan turut menyerikan resepsi dengan persembahan Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor. Siti menyampaikan lagu Bukan Cinta Biasa, dengan penampilannya pada majlis itu berlangsung sehari selepas konsert Gema Bumantara beliau.Manakala Jaclyn pula menyanyi lagu At Last nyanyian asal Etta James.
Resepsi tersebut turut menampilkan persembahan khas Dato’ Mokhzani bersama kumpulan ensembel beliau, DM & String Ensemble. Iringan muzik secara langsung melengkapkan pengisian majlis, menambah sentuhan istimewa pada sambutan hari bahagia pasangan itu.
Daripada busana songket merah tembaga hingga gaun putih berperincian jemeki berjuntai, penampilan Bella mempertemukan keindahan warisan dengan pesona romantis. Dengan Reka Teemor sebagai perancang majlis, kehadiran 3,000 tetamu dan persembahan barisan penyanyi, resepsi Bella dan Syed Saddiq meraikan penyatuan mereka dalam suasana penuh gaya.

sekarang!
