Setiap pasangan yang bernikah sudah pasti menginginkan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri rumahtangga, penyambung keturunan dan meramaikan umat Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya itulah matlamat berkahwin pada asalnya.
Namun, setiap rezeki itu ditentukan oleh Allah SWT. Ada yang berkahwin bertahun-tahun pun namun masih belum dikurniakan rezeki itu. Ada pula yang berkahwin tidak lama sudah dikurniakan cahaya mata, begitulah manusia yang rezekinya berbeza-beza.
Isu lambat memperoleh cahaya mata ini sedikit sebanyak memberi kesan emosi kepada pasangan. Jadi bagi pasangan yang mengharapkan kehadiran zuriat boleh mencuba beberapa saranan ini:
1. Bersangka Baik Kepada Allah SWT
Sebagai seorang hamba yang tiada apa-apa dan begitu naif, bersangka baiklah kepada Allah. Sesungguhnya Allah SWT Maha Baik yang memberikan kita segalanya. Bahkan dia lebih tahu waktu yang tepat untuk mengurniakan kita cahaya mata.
Malahan jangan terlalu banyak mempersoalkan kenapa masih belum diberikan anak. Jangan terlalu menfokuskan sebab dan kesalahan diri tidak dikurniakan anugerah anak, tetapi teruslah berusaha dan berdoa.
2. Jangan Bersedih Dan Kecewa
Sudah tentu ada perasaan sedih, rendah diri, emosi dan mudah tersentuh apatah lagi jika ditanya ‘bila mahu ada anak?’ atau ‘belum punya anakkah?’ atau beberapa soalan lain seumpamanya. Walaupun sedih tapi berusahalah untuk memujuk hati agar reda dan positif.
Selain itu, jawablah setiap pertanyaan dengan baik, dan mohonlah agar mereka mendoakan kita dikurniakan rezeki zuriat. Walaupun susah, berusahalah untuk menunjukkan kita baik-baik sahaja dan tidak putus asa dengan rezeki Tuhan. Perkara terpenting adalah jangan merungut dengan rezeki yang belum tiba itu.
Ads
Orang sekeliling juga janganlah mengulang tanya soalan yang sama kerana hal berkenaan anak bukanlah dalam pengetahuan kita sebagai manusia yang serba lemah.
3. Berlapang Dada Dan Sabar
Tidak semestinya tanpa kehadiran anak kita tidak dapat hidup dengan bahagia. Bahagiakan hati dengan menerima dan bersama-sama dengan setiap orang di sekeliling kita, suami, ibubapa, adik beradik anak-anak saudara dan kawan-kawan.
Gunakan masa sebelum kehadiran anak ini dengan sebaikanya, menyertai persatuan, usrah, melakukan kerja kebajikan, bercuti, pergi ke kelas menjahit dan buat aktiviti yang disukai dan lain-lain.
4. Berusaha Dan Tidak Putus Asa
Ads
Teruskanlah usaha bersungguh-sungguh dan jangan berputus asa. Ambillah iktibar daripada kenalan yang pernah menghadapi pengalaman yang sama. Ini kerana ada dalam kalangan kita, pasangan yang telah berkahwin selama 20 tahun dan barulah diberikan rezeki mendapat anak. Allah SWT jadikan setiap sesuatu dengan beribu hikmah.
Usaha ini boleh dilakukan melalui pelbagai aspek, antaranya melalui pemakanan. Makanlah makananan sunnah, seperti kurma, madu, kismis, buah tin dan banyak lagi. Selain itu, pasangan yang idamkan zuriat juga dianjurkan untuk mengamalkan bacaan surah Ibrahim ayat 40, surah Furqan ayat 74 dan surah al-Anbia’ setiap hari.
Selain itu, jika perlu, lakukan pemeriksaan kesihatan dan ikutlah nasihat doktor. Lakukanlah bersama-sama pasangan sebagai langkah usaha. Lalu terimalah dengan reda jika ada kekurangan pada pasangan. Penting untuk suami dan isteri sama-sama berusaha, jangan hanya sebelah pihak sahaja.
5. Banyakkan Berdoa Dan Bersyukur
Dengan itu, janganlah berhenti untuk mengamalkan sujud syukur atas segala rezeki-Nya selama ini.
“Bilamana kamu diberikan nikmat yang sedikit, kamu bersyukur, maka Allah akan tambahkan nikmat itu.”
Banyakkan berdoa, beristighfar dan amalan solat taubat agar diampunkan segala dosa di samping memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan zuriat. Paling baik, mohonlah orang lain untuk sama-sama berdoa untuk kita.
Ads
Selain itu, banyakkan pujian kepada Allah SWT dan bersyukurlah dengan segala kemudahan rezeki yang Allah berikan selama ini.
6. Amalkan Sedekah dan Tinggalkan Larangan Allah
Banyakkanlah memberi sedekah kerana melalui sedekah dapat menyucikan jasad dan hati selain membuka seluas-luas pintu rezeki oleh Allah, bahkan InsyaAllah anda akan turut mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Selain itu, rajinkan diri untuk banyak membantu orang lain dengan seikhlas hati.
Suami isteri juga mestilah sepakat untuk sama-sama meninggalkan segala amalan buruk, tinggalkan segala larangan Allah dan baiki diri dengan melakukan segala kebaikan yang diwajibkan atau dianjurkan Islam.
7. Rapatkan Hubungan Bersama-sama Pasangan
Janganlah disebabkan isu belum dikuniakan zuriat, hubungan suami isteri menjadi hambar, sewajarnya hubungan itu perlu lebih dieratkan dan saling menguatkan antara satu sama lain. Bahkan setiap ujian itu diterima bersama-sama.
Lakukan segalanya bersama agar lebih disepakati. Sering kali isteri akan berasa risau jika tidak dikurniakan anak kerana bimbang suaminya akan berniat untuk berkahwin lain, lalu suami hendaklah lebih berperanan untuk menyokong dan memberi sokongan moral bukan hanya mencari alasan menambah ‘cawangan’ lain. Terimalah pasangan seadanya.
Sebenarnya penantian ini adalah ujian kebergantungan seseorang hamba terhadap Tuhannya. Ini juga sebahagian ujian Allah sebagai tanda sayangnya Dia kepada hamba-Nya itu. Tidak dikurniakan zuriat bukanlah satu kesalahan atau kelemahan, cuma harus diingat anak itu adalah pemberian dan amanah dari Allah SWT. Jika belum dapat, reda dan sabarlah menanti sehingga Allah memakbulkan doa tersebut.
Sumber : TZKRH
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (UNDP) menunjukkan pertumbuhan negara kasar mampu meningkat daripada dua peratus kepada empat peratus setiap tahun jika kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan meningkat kepada 70 peratus. Namun terdapat satu kekurangan buat wanita yang berkerjaya tinggi ini iaitu dalam soal jodoh. Ini adalah kerana mereka biasanya menghadapi masalah untuk bertemu dengan pasangan hidup yang sesuai. Ia bukanlah merujuk kepada semua wanita tetapi kebiasaannya wanita berkerjaya tinggi akan menghadapi masalah tersebut.
1.Meletakkan ‘standard’ tertentu
Ianya tidak dinafikan lagi bahawa memegang ‘title’ seorang yang berkerjaya merupakan impian bagi kebanyakan wanita dan merupakan cita-cita mereka sejak kecil. Dengan memiliki sebuah kerjaya yang diidamkan, mereka mudah memiliki apa yang diimpikan. Disebabkan ‘title’ ini juga menyebabkan rata-rata dari mereka meletakkan ‘standard’ atau kriteria yang tertentu dalam mencari pasangan hidup.
Sebagai contoh, lelaki yang ingin mengahwini mereka mestilah mempunyai pekerjaan yang lebih baik daripada mereka. Ini menyebabkan golongan lelaki berasa seperti tidak layak untuk mendekati mereka disebabkan status mereka. Rasulullah S.A.W. bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud:
“Orang Islam itu berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui oleh mereka, melainkan syarat yang mengharamkan perkara yang halal atau menghalalkan perkara yang haram.” (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)
Berdasarkan hadis di atas, meletakkan syarat adalah harus namun memberi syarat yang berlebihan akan mengundang keburukan sendiri kepada golongan wanita tersebut. Justeru, para wanita harus berusaha untuk mengelakkan perkara sebegini agar mudah mendapatkan jodoh.
2. Terlalu banyak komitmen dan tidak mahu terikat dengan tanggungjawab
Wanita yang berkerjaya tinggi juga adalah sinonim sebagai seorang wanita yang sibuk dan aktif. Mereka mempunyai banyak komitmen lain yang terpaksa mereka uruskan seperti urusan kerja, hobi, persatuan dan pelbagai aktiviti-aktiviti lain. Mungkin dengan asbab inilah mereka tiada masa untuk mencari jodoh.
Selain itu, golongan wanita sebegini senantiasa hidup berdikari. Ada antara mereka yang mungkin tidak selesa apabila terikat dengan tanggungjawab. Hal ini termasuklah tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak mereka kelak. Perkara seperti ini akan menyebabkan mereka tidak serius di dalam sesuatu perhubungan dan seterusnya akan melambatkan jodoh mereka.
3. Fobia menerima arahan dan taat kepada suami
Golongan yang berkerjaya tinggi biasanya mempunyai jawatan yang tinggi di dalam sesuatu organisasi syarikat. Dalam syarikat, merekalah yang akan memberi arahan kepada pekerja bawahan namun dalam dunia realiti sikap sebegini harus dibuang ke tepi. Ada sesetengah daripada golongan ini mungkin fobia dengan perkataan ‘isteri’ kerana memikirkan apabila menjadi isteri, mereka perlu taat dan patuh kepada suami. Sedangkan diri mereka sudah terbiasa mengarah daripada diarah.
Taat kepada suami bukanlah bermaksud taat yang tidak boleh dibantah. Ketaatan yang tidak boleh dinafikan hanyalah kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Namun Islam mewajibkan isteri untuk taat kepada suami selagi si suami tidak menyuruh melakukan perkara yang melanggar akidah Islam.
“Apabila seorang isteri mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (menjaga kehormatannya), dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga dari mana-mana pintu yang dikehendakinya.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis di atas menerangkan bahawa taat kepada suami adalah salah satu ciri-ciri yang membolehkan wanita untuk masuk syurga. Justeru itu, tidak perlu takut untuk menjadi seorang isteri kerana Islam menjaga kedudukan martabat seorang wanita.
4. Mereka berasa seperti tidak perlu bergantung kepada lelaki
Selain itu, sikap yang berasa tidak memerlukan lelaki di dalam hidup juga mungkin akan menjadikan wanita tersebut sukar mendapatkan jodoh. Biasanya wanita yang berasa tidak memerlukan lelaki di dalam hidup ini sudah mempunyai segala-gala yang mereka perlukan. Mereka ada pekerjaan yang baik, kewangan yang kukuh serta boleh berdikari melakukan pelbagai pekerjaan. Oleh sebab itu, mereka tidak terlalu bergantung kepada lelaki untuk menguruskan kehidupan mereka.
Akhbar Berita Harian ada memaparkan tentang perancangan kewangan yang baik juga dapat menjamin kehidupan seharian berjalan dengan sempurna. Oleh sebab itulah golongan wanita berasa tidak perlu untuk bergantung kepada kaum lelaki disebabkan urusan kewangan mereka yang sudah stabil.
Ingin saya jelaskan di sini bahawa berkerjaya tinggi bagi wanita bukanlah suatu kesalahan bahkan ia adalah sesuatu yang baik. Malah umum juga sudah mengetahui bahawa pekerjaan yang bagus adalah satu jaminan bagi mendapatkan kehidupan yang lebih sempurna.
Pandangan saya terhadap isu ini bukanlah mengatakan semua wanita yang berkerjaya tinggi berhadapan dengan masalah mencari pasangan hidup. Namun demi menunaikan salah satu sunnah Nabi iaitu perkahwinan, wanita yang berkerjaya tinggi mestilah menempis segala asbab seperti yang dinyatakan di atas.
SUMBER : https://baitulmuslim.com
Gambar sekadar hiasan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dua hari lagi kita bakal menyambut ketibaan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Inilah masa untuk kita meningkatkan lagi amal ibadah kita kerana pintu syurga pada waktu ini dibuka seluas-luasnya. Jadi, buatlah amal kebaikan dan pahala sebanyak yang mungkin.
Sebelum berpuasa, anda digalakkan untuk bersahur kerana ia merupakan perkara sunat. Isilah perut anda sedikit walau dengan sebiji kurma. Memandangkan Ramadan bakal tiba, kami ingin kongsikan 13 perkara yang boleh anda lakukan bermula azan Subuh sehinggalah sebelum anda bangkit daripada tikar sejadah.
Perkongsian ini meraih 24.4K Retweets dan dikongsi oleh pemilik akaun, @tufairies. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua.
Solat sunat sebelum Subuh 2 rakaat. Ia lebih baik dari dunia dan seisinya [Al-Hadith].
Solat Subuh berjemaah. Ia 27 kali ganda lebih baik daripada solat bersendirian [Al-Hadith].
Isitighfār paling kurang 3 kali. Rasulullah SAW beristighfār tidak kurang
daripada 70 kali sehari semalam [Al-Hadith].
Membaca ‘Allāhumma ajirnā minannār’ sebanyak 3 kali.
Membaca ‘Allāhumma antassalām wa minkassalām wa ilaika ya’ūdussalām hayyinā rabbanā bissalām wa adkhilnal jannata dārassalām tabārakta rabanā wa ta’ālaita yā zal jalāli wal ikrām’ sebanyak sekali.
Membaca Surah Al-Fatihah sebanyak sekali.
Membaca ayat Kursi sebanyak sekali.
Membaca ‘Subhänallāh’ sebanyak 33 kali.
Membaca ‘Alhamdulillāh’ sebanyak 33 kali.
Membaca ‘Allāhu akbar’ sebanyak 33 kali.
Membaca ‘Lā iläha illallāhu wahdahū lā syarīka lah lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘alā kulli syai in qadīr’ sebanyak sekali. Allah akan ampunkan dosa walau sebanyak buih di lautan [Al-Hadith].
Membaca ‘Subhānallāhi wa bihamdihī subhānallāhil ‘azīm’ sebanyak 3 kali. Ia akan memberatkan neraca amalan kita di akhirat [Al-Hadith].
Selepas itu barulah bangkit dari tikar sejadah untuk buat apa saja urusan harian.
NOTA!
Amalkan ketika berseorangan.
Amalkan juga ketika bersama keluarga.
Ajarkan semua ini step by step kepada isteri dan anak-anak. Nanti bila sudah tidak bersama, masing-masing boleh amalkan.
Semoga anda semua dapat ilmu yang bermanfaat hari ini. InsyaAllah.
Dalam sebuah perkahwinan, kebahagiaan pastinya diharapkan oleh setiap pasangan suami isteri. Setiap pasangan tentunya mempunyai cara yang berbeza untuk menunjukkan rasa kasih dan sayang mereka terhadap pasangan. Namun kadang kala tanpa disangka tiba-tiba hubungan suami isteri berlaku hambar dan tidak seintim sebelumnya. Inilah tandanya jika hubungan tidak semesra dulu.
Terlalu fokus dengan tanggung jawab masing-masing
Andai selama ini anda dan pasangan hanya menumpukan perhatian dengan tugas dan tanggung jawab masing-masing, bermakna ada kekurangan dalam hubungan ini. Membina hubungan suami isteri bukan hanya fokus untuk memenuhi setiap tanggung jawab malah lebih kepada saling bekerjasama dan saling memahami. Jangan terlalu serius hingga mengabaikan pasangan, kadangkala selitkan gurau senda menjadikan hubungan lebih akrab. Ingat, anda dan pasangan adalah dua insan yang berkomitmen dalam perkahwinan, bukan hubungan rakan kerja di pejabat.
Jika merasakan hubungan kian hambar, cubalah berbincang dengan pasangan apa penyelesaian terbaik kerana jika dibiarkan terus menerus akan menjadi masalah besar dalam rumah tangga.
Tidak bersikap terbuka dengan pasangan
Setelah menjadi pasangan suami isteri belajarlah menjadi seorang yang lebih terbuka, itulah kunci utama untuk menjaga hubungan perkahwinan. Umpamanya jika anda di dalam keadaan positif ataupun negatif perlulah dikongsi bersama pasangan.
Tidak baik menyimpan perasaan negatif seorang diri kelak akan munculnya berbagai masalah yang akhirnya membuat hubungan anda dan pasangan renggang. Jangan biarkan sikap ini memburukkan hubungan perkahwinan anda. Jadi, mulai sekarang luahkan secara jelas dan berterus-terang apapun yang anda fikir dan rasakan terhadap pasangan.
Jarang melakukan hubungan intim
Bagi menjamin keserasian dan keabraban antara suami dan isteri, hubungan intim menyempurnakannya. Hubungan intim memberi banyak kelebihan secara fizikal mahupun secara emosional, bagi pasangan suami isteri. Antara kelebihannya ialah mengurangkan perasaan tidak tenteram dan menjadikan anda dan pasangan saling berhubung secara emosional. Selain itu, dapat membuat anda berdua memiliki kualiti hidup yang jauh lebih baik. Namun berkurangnya aktiviti seksual dalam perkahwinan menunjukkan bahawa keintiman anda dan pasangan mulai berkurang. Ambil tindakan untuk memperbaikinya. Jangan biar hubungan suami isteri menjadi renggang.
Beranggapan pasangan tidak memahami
Saling memahami dan mengerti adalah kunci penting dalam hubungan suami isteri. Namun jika anda mulai merasakan bahawa pasangan tidak memahami anda maka tanpa menunggu waktu lama, pertengkaran akan berlaku. Akhirnya, kesannya pada mood anda dalam menjalani hubungan. Maka anda atau pasangan menjadi jauh, tidak tertarik untuk berhubungan intim malah merasa bosan dengan pasangan.
Bincang dengan pasangan jalan penyelesainnya. Cubalah untuk terus belajar dan memahami cara berfikir pasangan anda untuk kembalikan keintiman yang telah berkurang akibat tidak saling memahami.
Tidak saling mendengar ketika bertengkar
Saling bertengkar dalam hubungan suami isteri adalah hal yang normal. Ia berlaku kerana masing-masing mempertahankan pendapat masing-masing. Biasanya, ketika seseorang sedang marah maka ego yang dimilikinya akan semakin tinggi dan secara tidak sadar ingin segala sesuatunya didengarkan dan dituruti. Jika keduanya sama-sama dengan pendapat masing-masing, maka pertengkaran akan semakin besar.
Jika ini berlaku tandanya hubungan anda dan pasangan sedang dalam krisis. Ia tidak memberi manfaat buat anda berdua sebaliknya carilah penyelesaian yang terbaik untuk atasinya agar hubungan kembali mesra dan intim.
Sumber : https://hellosehat.com
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!