Lelaki pada zaman ini pastinya ingin tampil lebih maskulin dan macho. Mereka bijak berhias dan lebih peka dalam menjaga penampilan diri serta kesihatan.Namun begitu, masalah berat badan sering menjadi sebab golongan lelaki malas untuk bersiap dan memperkemaskan diri.
Terdapat banyak cara praktikal yang boleh diamalkan untuk lelaki mendapatkan berat badan ideal dan sempurna. Berikut tujuh tip kurus khusus buat lelaki yang terlebih berat badan.
WAJIB BERSENAM
Untuk menurunkan berat badan, perkara utama yang harus dilakukan adalah bersenam secara berkala. Anda perlu lakukan senaman kerana lemak-lemak lelaki selalunya sukar untuk dipecahkan melainkan melalui senaman yang berterusan. Antara senaman yang boleh menguruskan badan ialah joging, berenang dan berjalan kaki. Untuk memecahkan lemak yang tebal, anda perlu lakukan senaman kecergasan dan senaman berat di gim.
Ads
AMBIL PEMAKANAN SEIMBANG
Pilihlah diet makanan yang seimbang dalam kuantiti yang sedikit. Jauhi gula, karbohidrat, makanan segera atau makanan yang diproses, selain makanan berlemak dengan pengambilan yang terlalu banyak. Pilihlah buah-buahan yang segar dan yang paling banyak memberikan nutrisi seperti anggur hitam, plum, strawberi atau buah pic.
BIARKAN PERUT RASA LAPAR
Jika ingin menguruskan badan dengan cara yang cepat dan selamat, anda akan sentiasa berada dalam keadaan yang lapar iaitu berpuasa. Selepas anda melakukan senaman atau ketika ingin berbuka puasa, jangan makan terlalu banyak. Perut yang sentiasa lapar bermakna lemak-lemak anda sedang dibakar untuk ditukarkan kepada tenaga. Kaedah ini jika dilakukan secara konsisten akan menghasilkan kesan yang amat menakjubkan.
Ads
UBAH GAYA HIDUP
Tinggalkan gaya hidup anda yang negatif kepada hidup yang lebih bermakna dan menyeronokkan. Contohnya, jika anda selalu bermain permainan video terlalu lama, banyak tidur atau lepak sambil menonton televisyen, berhentilah segera dan ubah perangai buruk tersebut. Tukarkan aktiviti tersebut dengan aktiviti yang lebih seronok seperti menolong ibu membuat kerja-kerja rumah, menukang, berkebun, memanjat gunung atau keluar beriadah dengan berjalan-jalan di taman.
BERHENTI MEROKOK
Tahukah anda, rokok atau seumpamanya mengandungi bahan kimia tinggi yang akan melemahkan anda secara fizikal dan mental? Jadi, kuatkanlah semangat untuk berhenti dari terus-menerus menghisap bahan kimia demi kelangsungan hidup yang sihat dan berpanjangan. Kehidupan anda bukan sahaja semakin sihat, malah anda juga dapat menyimpan duit dan berjimat cermat.
Ads
TIDUR YANG MENCUKUPI
Tidur yang tidak teratur dan tidak cukup membuatkan badan mudah lesu sekali gus membuatkan berat badan bertambah. Dapatkan jumlah tidur yang cukup sekurang-kurangnya enam jam sehari. Tidur yang cukup dapat membantu anda untuk lebih relaks dan mengawal kadar metabolisme tubuh badan.
MINUM AIR PUTIH SECUKUPNYA
Petua yang cukup mudah dan murah ini sangat berkesan untuk menurunkan berat badan kerana ia tidak memiliki kalori, karbohidrat atau protein. Bagi anda yang suka mengambil minuman berkalori tinggi seperti minuman bersoda, mocha, kopi atau teh dan air berkalori lainnya, anda dinasihatkan agar menggantikan air berkalori kegemaran anda dengan air putih.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam menjalani hubungan suami isteri pasti ada beberapa kebiasaan buruk yang sering dilakukan. Walaupun ada ketikanya anda tahu bahawa ia salah dan boleh membahayakan hubungan namun anda masih melakukannya kerana ia sudah menjadi satu kebiasaan dalam diri anda berdua.
Namun anda harus sedar jika kebiasaan buruk ini berlarutan dan tidak diatasi dengan segera, lama-kelamaan boleh menjejaskan hubungan sekali gus membawa pada keretakan rumah tangga.
Oleh itu suami isteri, jangan sesekali anda memperlekehkan enam perkara buruk ini. Tolong atasi segera agar hubungan anda berjalan dengan penuh harmoni.
1. Sering Ulang Kesalahan Yang Sama
Ini merupakan tabiat buruk yang kebanyakan daripada kita sering lakukan dalam alam rumah tangga. Ramai suami isteri tanpa sedar melakukan kesalahan yang berulang-ulang. Walaupun kesalahan yang dilakukan itu mungkin kecil namun jika selalu dihadapkan dengan kesalahan yang sama, lama-kelamaan membuatkan pasangan rasa tertekan, geram dan fed up.
2. Tidak Menjadi Pendengar Yang Baik
Menjadi perkara yang menyenangkan dalam hubungan suami isteri apabila anda memiliki pasangan yang sanggup meminjamkan telinganya dan berusaha memahami diri anda saat anda berkongsi masalah yang dihadapi. Ini kerana setelah berumah tangga pasangan merupakan orang yang selayaknya menjadi pendengar setia anda. Bayangkan jika pasangan mengelak daripada menjadi pendengar yang baik tentu sahaja akan menyebabkan rumah tangga anda kucar-kacir.
3. Sering Perbesarkan Perkara Remeh
Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan mempunyai tabiat terlalu fokus atau memikirkan pada masalah-masalah kecil yang akhirnya dibesar-besarkan sehingga mengakibatkan pergaduhan. Misalnya suami terlupa menyidai tuala di tempat yang sepatutnya sehingga menimbulkan kemarahan besar isteri. Ya! Mungkin anda seorang wanita yang inginkan kesempurnaan namun ada ketikanya hal-hal kecil ini tidak perlu dibesar-besarkan sehingga boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran mulut. Jika isteri menegur suami secara berhemah agar dia tidak mengulangi kesilapan kecil itu lagi, pasti masalah ini dapat diselesaikan dengan baik. Mudah bukan?
4. Menolak Kehadiran Keluarga Atau Teman Pasangan
Walaupun pasangan sudah menjadi milik anda sepenuhnya bukan bermakna pasangan anda harus mengabaikan keluarga atau kenalannya. Harus diingatkan bahawa sebelum berkahwin dengan anda, keluarga dan kenalan merupakan orang penting yang menjadi sebahagian daripada hidup pasangan anda. Jika anda boleh menerima kehadiran keluarga mertua mahupun kenalan pasangan dengan baik tentu sahaja anda akan menjadi pasangan yang disenangi.
5. Main Gadget Berlebihan
Gadget merupakan peralatan penting dalam kehidupan manusia pada masa kini. Tidak dinafikan ia mempunyai banyak tarikan yang boleh membuatkan anda sering terleka dengan keadaan dan orang sekeliling. Perlu diingatkan bahawa kehadiran gadget yang berlebihan boleh menjejaskan hubungan suami isteri termasuk anak-anak. Tanpa sedar jika terlalu asyik dengan gadget, anda telah mengabaikan orang yang disayangi sehingga akhirnya menghilangkan kepercayaan pasangan. Tentu sahaja pasangan akan rasa curiga apabila gadget tidak lekang daripada genggaman anda dan anda sering membawanya ke mana sahaja termasuk ke tandas.
6. Tiada Pengurusan Masa Yang Baik
Perkara ini selalunya dihadapi oleh mereka yang workaholic sehingga terlupa tentang tanggungjawabnya terhadap keluarga. Sudah semestinya menjadi tanggungjawab untuk anda mencari nafkah bagi menyara keluarga namun jika terlalu mementingkan kerjaya hingga mengabaikan kehadiran anda bersama keluarga tentu ia boleh membawa pada kepincangan dalam hubungan suami isteri. Ingatlah bahawa keluarga menjadi keutamaan anda. Pastikan anda bijak menguruskan masa kerja dengan baik agar anda boleh menikmati saat bersama pasangan dan keluarga dengan seimbang.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas mendirikan rumah tangga, pasti setiap pasangan akan berdepan dengan kehidupan yang berbeza dari sebelumnya. Status sebagai suami dan isteri perlu dibawa dengan sebaiknya bagi memastikan rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan sejahtera.
Namun dalam mengharungi alam perkahwinan, cabaran yang paling besar ialah kewangan keluarga. Sesetengah pasangan berkahwin perlu berjuang habis-habisan dalam menangani perbelanjaan keluarga. Ramai yang tidak sedar bahawa masalah ini boleh menyebabkan kepada punca kemerosotan kewangan keluarga.
Oleh itu, anda harus sedar apakah punca atau penyebab kepada masalah ini. Perkara ini juga boleh dielak dari mula lagi iaitu sebelum anda berkahwin. Ini penting untuk anda lebih berwaspada tentang kewangan keluarga selepas berkahwin. Jom kita lihat 6 punca kepada permasalahan ini!
1. KOMUNIKASI
Sikap tolak ansur perlu diberikan perhatian kala berbincang perihal kewangan. Anda perlu bijak menangani masalah dengan berbekalkan rasa toleransi dan saling menghormati. Walaupun anda berdua tidak dibebani hutang, pergaduhan berkaitan wang akan sentiasa terjadi kerana isu wang adalah isu paling sensitif.
2. BEBANAN HUTANG
Daripada pinjaman pendidikan hingga ke kereta, ditambah pula dengan bayaran balik kad kredit. Kebanyakan pasangan melangkah ke alam perkahwinan dengan hutang yang bertimbun namun tetap berkeras mahu mengikat tanggungjawab berpasangan. Lebih teruk lagi jika hanya seorang sahaja yang menanggung hutang yang banyak. Tiap kali isu kewangan timbul, marah akan menguasai akal.
3. KUASA PERINTAH
Si dia bekerja, anda pula tidak atau mungkin anda bergaji tinggi berbanding pasangan anda. Kuasa memerintah selalunya akan berpihak kepada yang banyak menyumbang kepada keluarga. Hal ini akan membawa kepada ‘kecenderungan’ sebelah pihak dalam menentukan perbelanjaan sendiri tanpa berbincang dengan pasangan terlebih dahulu. Ini bakal merenggangkan hubungan.
4. CAHAYA MATA
Buat perancangan keluarga kerana kestabilan dan kegembiraan anak-anak terletak pada anda berdua. Jika masih mencari-cari sumber kewangan yang kukuh cuba lewatkan sedikit rancangan menimang anak. Perbelanjaan anak-anak perlu diambil kira sejak bayi hinggalah ke universiti. Keruntuhan rumah tangga kerana tidak mampu membiayai anak adalah suatu yang amat menyedihkan.
5. PERBELANJAAN KELUARGA BESAR
Kebiasaannya isu ini sukar dibendung kerana tidak melibatkan pasangan itu sendiri. Bila kebanyakan wang disalurkan kepada ibu bapa yang mahu menukar kereta, sewa rumah adik-beradik atau saudara mara yang inginkan pertolongan kewangan, wang keluarga akan berkurangan. Bila sebelah pihak terpaksa menanggungnya, timbullah isu tidak puas hati dan hubungan mulai retak.
6. PENGAGIHAN KEWANGAN
Ironinya, pasangan akan memutuskan tanggungan bil atau isi rumah bersama-sama. Si suami selalunya menguruskan bil-bil manakala si isteri menguruskan hal anak-anak. Peruntukan ini dibuat secara adil dan saksama namun dalam keadaan tertentu, salah seorang akan merasakan bahawa tanggungan yang dipikul berat dan tidak adil walaupun pada mulanya telah bersetuju dengan pelan ini. Dalam tidak sedar proses ini menimbulkan kebencian dan bakal menghapuskan banyak nilai kewangan perkahwinan.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dalam soal pemilihan jodoh ada yang mudah dan ada yang sulit. Soal rezeki, hidup, mati mahupun jodoh sukar diramalkan kerana ia menjadi rahsia Allah SWT. Biarpun diri berusaha gigih dan berdoa untuk dipercepatkan jodoh, namun andai tidak berhasil semua itu sudah menjadi ketetapan Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita kena redha dengan ketentuan-Nya dan menerimanya dengan ikhlas. Kadangkala tanpa disangka jodoh ada di depan mata. Tidak perlu bercinta lama. Semua itu sudah tertulis akan takdirnya. Sememangnya kita mengharapkan dipertemukan jodoh yang baik dalam hidup. Kadangkala kita sukar untuk bertemu jodoh disebabkan masih tersisa dosa yang menghalang kita untuk menemui jodoh oleh-Nya.
1. MENINGGALKAN SOLAT
Manusia diwajibkan untuk beribadah (solat) kepada Allah SWT.
“Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Surah Al-Baqarah ayat 21)
Solat merupakan ibadah umat Islam yang tidak boleh ditinggalkan walau sedikit pun. Dengan meninggalkan ataupun jarang menunaikan solat, ia juga merupakan salah satu penyebab kenapa Allah SWT tidak memakbulkan permintaan hamba-Nya. Lebih-lebih lagi dalam soal jodoh.
Selain meninggalkan solat, mereka yang sering menunda-nunda solat hingga ke akhir waktu itu juga harus mengubah sikap ini. Alasan yang diberikan adalah sibuk dengan urusan duniawi sehingga membuatkan manusia lupa akan ibadah wajib. Maka tidak hairanlah sekiranya Allah SWT tidak mengutamakan doa-doa yang dipanjatkan orang tersebut termasuk dalam soal jodoh.
2. MELAKUKAN PERBUATAN SYIRIK
Umum sudah mengetahui bahawa perbuatan syirik merupakan perbuatan yang berdosa besar. Syirik bermaksud menyekutukan Allah dengan sesuatu pada zat, sifat dan af’alnya.
Sebagai contoh, apabila berdepan dengan kelewatan dalam bertemu jodoh, mereka meminta pertolongan daripada bomoh, tukang tilik dan sebagainya. Malah ada juga yang mengamalkan sesuatu perkara yang tidak tertulis dalam dalil Al Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Dengan melakukan perkara ini, seseorang itu benar-benar tersesat dari jalan yang lurus.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya menyekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.” (Surah Al-Luqman ayat 13)
Apa yang harus mereka lakukan adalah dengan memperbaiki hubungan dengan Allah dengan memperbanyakkan amal ibadah kepada-Nya.
3. DOSA YANG DILAKUKAN KEPADA ORANG TUA
Ibu dan bapa menjadi sebab hadirnya kita ke muka bumi ini. Dengan melakukan dosa terhadap kedua-duanya ataupun salah satu daripadanya maka Allah SWT akan murka dan menutup segala sumber rezeki. Sumber rezeki yang dimaksudkan itu juga termasuk dengan ‘jodoh’. Hal ini kerana keredaan ibu bapa adalah sangat penting. Tanpa reda ibu bapa, Allah SWT juga tidak akan membantu hamba-Nya.
4. MEMUTUSKAN HUBUNGAN SILATURRAHIM
Hubungan silaturrahim perlu dipandang sebagai elemen penting dalam usaha membina hubungan dengan Allah. Ia sama juga seperti restu Allah bergantung kepada restu kedua-dua ibu bapa. Namun mengekalkan hubungan silaturrahim sesama manusia juga akan mempermudahkan kita dalam mendapatkan rezeki berupa jodoh.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikan antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada ALLAH supaya mendapat rahmat”. (Surah Al-Hujurat ayat 10)
Oleh itu, sebagai manusia, jangan sesekali cuba untuk memutuskan hubungan silaturrahim antara sesama manusia.
5. MELAKUKAN ZINA
Mereka sering menyalahkan akan takdir ilahi apabila sering berdepan dengan ujian dan cabaran hidup. Walhal mereka tidak sedar dengan setiap tindakan mereka yang berterusan melakukan perbuatan zina. Zina adalah salah satu perbuatan keji yang dibenci oleh Allah SWT. Dengan kata lain, melakukan zina akan membuat hubungan manusia dengan Tuhannya menjadi rosak sehingga urusan jodoh pun akan terhalang kerana dosa tersebut.
Sekiranya anda pernah melakukan zina, segeralah bertaubat yang bersungguh-sungguh pada Allah dan memohon ampun atas perbuatan itu. Dengan izin dan sifat-Nya yang Maha Pengampun, Allah SWT akan menerima taubat seseorang yang ikhlas dan tidak akan mengulangi kesalahannya.
KESIMPULAN
Dengan mengelakkan daripada terjadinya lima perkara di atas, kita semua disarankan supaya sentiasa melakukan perubahan ke arah yang terbaik. Sekiranya anda tidak mempunyai perkara-perkara di atas tetapi masih juga tidak dipertemukan jodoh, teruskanlah berusaha dan berdoa. Semoga setiap doa dan permintaan kita dikabulkan oleh Yang Maha Esa.
Sumber: baitulmuslim.com
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!