
Setiap hari makan 7 biji kurma,
Biji jangan buang,
Rendam dalam air,
Minima 6jam/semalaman,
Lepas tu minum,
Sangat bagus untuk pulihkan tenaga,
Khasiat dia juga sama macam kita makan kurma.
Atau
Boleh juga guna 3/5/7biji kurma,
Termasuk isi dan biji,
Rendam semalaman & minum,
Khasiat dia sama mcm kita kunyah kurma tue.
Ini minuman kegemaran Nabi kita.
Rendaman kurma ini dipanggil Air Nabeez atau bahasa moden infused water.
Air nabeez adalah minuman sunnah yang mempunyai banyak khasiat. Rugi kalau tak pernah buat atau tak nak buat.
.
Resepi mudah Air Nabeez
Cara-caranya:
1. Ambil kurma dalam bilangan ganjil. Anggaran air dlm 500ml ke 1liter. Ambil 3 biji kurma dan buang bijinya. Carik-carik isi kurma. Ada juga yang guna kismis tapi jangan campur ye. Kalau buat kurma, kurma je. Kalau kismis, kismis je.
2. Rendam isi kurma dalam air masak biasa malam sebelum tidur. Letak di luar sahaja. Tak perlu simpan dalam peti sejuk tau. Tutup bekas air tu jangan biarkan terbuka.
3. Air ini boleh juga diamalkan sebelum sarapan pagi.
Antara khasiatnya
.
Khasiatnya:
1. Pemberi dan pemulih tenaga (inilah sebab mengapa kita disunahkan untuk memakan buah kurma pada saat berbuka puasa).
2. Tinggi kandungan fiber ~ menghilangkan kolestrol jahat yang terkumpul di dalam tubuh. Sangat bagus dalam menghilangkan sembelit (atau meredakan dan memulihkan diri dari sembelit).
3. Pemberi zat besi yang sangat bagus.
4. Kaya akan pottassium ~ penting dalam menjaga jantung & menstabilkan tekanan darah.
Air nabeez adalah minuman berakali, yang mampu menolong membuang kelebihan asam pada perut dan memulihkan sistem pencernaan tubuh.
Juga membantu badan untuk menyingkirkan bahan-bahan toksin yang berbahaya didalam tubuh. Dalam kata lain berguna sebagai sebagai detoks. Disebabkan air nabeez tinggi akan kadar fiber, ia mampu membantu proses pencernaan yang baik & meningkatkan / menajamkan fikiran. Agar kita tidak mudah lupa.
Sumber : Ummi Hamidah
Puas Couple, Tapi Tak Sangkut Pun Jadi Halal. Elok Cuba 12 Perkara Ni!

Jodoh itu rahsia Allah. Sekalipun kita sibuk bercouple sana sini, bertahun-tahun lamanya, andai Allah kata belum masanya maka belumlah. Namun, usaha itu jangan pula ditangguhkan. Perlu ada doa seiring usaha termasuklah 12 amalan rahsia ini yang boleh anda cuba amalkan agar ditemukan jodoh.
#1 – Jaga Solat di Awal Waktu
Seringkali terdetik di hati kita, bilakah tibanya jodoh kita. Oh lambatnya. Tapi ada tak kita terfikir, saat azan kedengaran, adakah kita masih leka dengan urusan dunia? Kita inginkan jodoh kita segera bertandang, namun dalam masa yang sama, kita terlupa untuk bersegera menyahut panggilan-Nya di saat Dia memandang.
Rasullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Solat pada awal waktu, dari awalnya mendapat keredhaan Allah dan di akhirnya mendapat keampunan Allah”Riwayat al-Tirmizi
#2 – Betulkan Niat Perkahwinan
Mungkin ada yang berkahwin adalah semata-mata kerana nafsu dan tuntutan keduniaan yang lain. Ada juga kerana harta. Namun, apakah sebenarnya tujuan kita berkahwin?
Niatlah bahawa kita berkahwin adalah untuk mendapat redha Allah semata-mata kerana-Nya. Untuk dapat kasih sayang Allah, cinta Allah. Sia-sia hidup kita jika tidak mendapat redha Allah. Itulah sebenarnya matlamat hidup kita.
#3 – Baca Surah Yaasin Setiap Pagi
Surah Yaasin merupakan hati atau jantung al-Quran. Biasanya surah Yaasin kerap dibaca pada malam Jumaat atau ketika melawat orang sakit atau yang meninggal dunia. Namun, surah ini jika diamalkan setiap hari, banyak manfaat yang bakal kita dapat.
Allah akan mudahkan segala urusan hati itu. Yang tiada jalan keluar pun Allah akan permudahkan. InsyaAllah.
#4 – Baca Surah al-Waqiah Setiap Malam
Amalan surah al-Waqiah akan memberikan kekayaan serta rezeki yang melimpah ruah termasuklah jodoh. Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya:
“Siapa yang membaca surah al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya.”Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.
#5 – Berterus-terang
Ada sahaja dalam kalangan kita sudah berkenan kepada seseorang, namun hasrat itu dipendam sahaja. Akhirnya, si dia dimiliki orang lain. Menyesal pun tiada guna. Jika sudah ada pilihan hati, teruskan melangkah.
Yang lelaki, terus terang sajalah kepada keluarga si perempuan. Hantar rombongan merisik. Jika dialah orangnya, maka bersegeralah untuk berkahwin.
Yang perempuan pun boleh saja memulakan langkah walau mungkin akan dikatakan perigi mencari timba. Namun, perlu melalui perantaraan atau orang tengah juga. Selebihnya serahkan saja pada Allah. Jika tak berjaya, ingatlah bahawa ada yang lebih baik Allah sediakan untuk kita.
#6 – Jaga Ibu Bapa Dengan Baik
Redha Allah terletak pada redha ibu bapa kita. Sementara mereka masih ada, berkhidmatlah kepada mereka sehabis baik. Layan dan jaga mereka dengan penuh kasih sayang.
Dan yang paling penting ialah doa mereka. Pasti kita semua tahu, doa ibu bapa tiada hijab di sisi Allah. Saat kita sentiasa berbakti kepada mereka, dan mereka bahagia serta redha dengan kita, saat itulah doa kita mungkin dimakbulkan Allah. Bagitahu saja yang kita ingin berkahwin dan mintalah mereka untuk doakan kita yang terbaik. InsyaAllah akan dipermudahkan segalanya.
#7 – Jangan Terlalu Memilih
Kadang-kadang sikap terlalu memilih yang sempurna juga melambatkan jodoh kita untuk datang. Ada yang sudah dirisik oleh calon yang sesuai dan dia bersedia untuk terus menikah, namun ditolak disebabkan faktor-faktor tertentu.
Jodoh kita sebenarnya cerminan diri kita. Masing-masing ada kelemahan dan kekuatan tersendiri. Asalkan agamanya dan akhlaknya baik dan mereka datang dari keluarga yang baik-baik, itu sudah cukup untuk dijadikan pilihan.
#8 – Cari Kebaikan Orang Lain
Kita semua tiada apa-apa kerana semuanya milik Allah. Jauhi sikap memandang rendah kepada orang lain dan berbangga dengan apa yang kita ada. Kita semua sama. Allah boleh beri dan ambil bila-bila masa yang Dia mahukan.
Cari kebaikan semua orang dan cari silap diri sendiri. Dengan memandang dan melayan sesiapa sahaja dengan kebaikan, maka yang akan datang semula kepada kita ialah kebaikan juga. Konsep jodoh juga begitu.
#9 – Tahajjud Setiap Malam
Bangunlah di sepertiga malam. Jika tidak mampu, cukup sekadar dua rakaat. Beberapa minit sebelum Subuh masih sempat untuk kita amalkan. Itu juga sudah dikira sebagai tahajjud. Dan berdoalah. Doalah apa saja.
Allah sayang hamba-Nya yang sentiasa bertahajjud dan meminta doa kepada-Nya. Di saat insan lain terlena, kita bangun dan beibadah kepada-Nya. Dan cubalah untuk menangis setiap kali kita bertahajjud. Dengan izin Allah, doa kita sangat makbul saat kita berserah segalanya dan merayu kepada-Nya.
#10 – Maafkan Semua Orang
Maafkan semua orang dan minta maaf kepada mereka walaupun kita tidak melakukan apa-apa kesalahan. Rasa sayang pada semua orang. Jika tak mampu atau ada yang tak kena di mata kita, doakan saja;
“Ya Allah, dia lebih baik daripada saya. Ubahlah apa yang buruk kepada yang baik”.
Jika di pejabat atau tempat kerja, sebelum pulang, amalkan meminta maaf kepada teman sepejabat, bos kita dan juga kenalan lain.
Jika di rumah pula, sebelum tidur, minta maaflah kepada ahli keluarga kita terutamanya ibu bapa. Hari-hari yang mendatang pasti akan lebih tenang dan gembira. Cubalah!
#11 – Banyakkan Senyum dan Sedekah
Senyum itu sebenarnya sudah sebahagian daripada sedekah. Senyum juga menarik orang di sekeliling untuk sukakan kita. Senyumlah kepada semua orang, tak kiralah siapa pun. Tapi jangan senyum-senyum ada makna pula ya. Pandangan tetap perlu dijaga.
Sedekah berupa wang, harta atau apa sahaja bantuan juga perlu diamalkan. Jangan kedekut untuk tolong orang, terutamanya keluarga kita sendiri. Orang yang suka bersedekah pasti akan mendapat ganjarannya. Hatinya tenang tanpa resah, malah rezekinya pasti berlipat kali ganda. Jodoh itu juga sebahagian daripada rezeki. Bersedekahlah!
#12 – Yakin
Soal jodoh, ajal, maut semuanya sudah ditentukan Allah. Mengapa perlu kita risau akan sesuatu yang telah ditetapkan Allah? Sebab itulah pentingnya untuk kita yakin dan percaya setiap perkara yang berlaku adalah dalam perancangan Allah. Allah kan sebaik-baik perancang.
Yakinlah semua perkara yang terjadi adalah kerana Allah sayang. Allah Maha Pemurah, Maha Penyayang. Dia pasti berikan yang terbaik untuk kita. Siapa jodoh kita, bila datangnya jodoh kita dan sebagainya usahlah dirisaukan.
Kredit foto: TANGKAP PICTURES
Isteri Kena Pandai Kurangkan Rasa Masin Ketika Masak Ikan Masin

Percaya tidak bahawa ikan kering boleh dikurangkan masinnya sebelum digoreng? Dulu, saya juga tidak percaya. Ikan kering sudah sememangnya masin sebab itu dikatakan ikan masin. Bagaimanapun, kadang-kadang ikan masin itu terlalu masin kerana banyaknya kuantiti garam yang digunakan ketika memeram ikan sebelum dijemur pada keesokan hari. Kesannya, sedap ikan masin tidak lagi dapat dinikmati kerana terlalu masin. Dalam masa yang sama, boleh menjadi punca meningkatnya darah tinggi pula.
Bagi penggemar-penggemar ikan kering masin seperti ikan gelama, ikan talang, ikan kurau, ikan tenggiri dan ikan-ikan masin yang lain.

Yang tidak berapa gemar dengan kemasinan yang terdapat pada ikan-ikan berkenaan tetapi masih gemar untuk menikmatinya kemasinan yang ala kadar, bolehlah mencuba petua ini.
-
Ikan masin hendaklah direndam dalam bekas air yang berisi air garam juga
-
Untuk satu atau dua ekor ikan masin, cuma masukkan 1 atau 2 sudu besar garam dalam air.
-
Kalau dalam kuantiti yang banyak, masukkan lebih garam dalam air.
-
Rendam ikan kering dalam air garam lebih kurang 20 – 30 minit.
-
Mungkin kita tertanya-tanya mengapa ikan yang telah masin masih hendak direndam dengan garam. Sebenarnya garam yang kita rendam itu akan menyerap semula garam daripada ikan masin tersebut.
-
Selepas melepasi 30 minit, basuh ikan masin dengan air bersih. Toskan.
Satu lagi petua yang boleh dicuba untuk mengurangkan rasa masin pada ikan masin ialah sebelum memasak, rendamkan ikan kering masin dalam air kelapa terlebih dahulu.
Biarkan selama 30 minit. Kaedah ini juga terbukti mampu mengurangkan rasa masin yang melampau bahkan menyingkirkan bau hapak ikan masin tadi.
Cincin Sarung Tangan Kiri Atau Kanan? Rupanya Nak Sarung Cincin Pun Ada Maksud Tersirat

Pernah tak anda terfikir kenapa ketika hari pertunangan, cincin di sarung pada jari tangan kiri manakala pada hari pernikahan, cincin disarung pada jari tangan kanan? Tapi yang pastinya, cincin yang disarungkan itu terletak pada jari manis, lebih sopan dan nampak cantik.
Dalam satu rencana ada ditulis, masyarakat Roman dan Mesir Kuno sangat mempercayai bahawa jari manis memiliki saraf atau pembuluh darah yang menghubungkannya terus ke bahagian jantung. Mereka berharap, apabila seseorang menyarungkan cincin pada jari manis ia menandakan hati mereka sudah dimiliki.
Sehinggalah kini, kebiasaan itu tetap diamalkan tanpa kita tahu di mana asal usulnya. Tetapi, apakah penjelasan disebalik pemakaian cincin di jari manis kiri dan kanan?
Cincin di tangan kanan
- Orang Romawi kuno adalah yang pertama memakai cincin kahwin di sebelah kanan. Menurutnya tangan kiri bermaksud tidak bahagia dan ‘tidak dapat ditentukan’.
- Manakala di India mereka sudah biasa menggunakan cincin di tangan kanan kerana tangan kiri dianggap ‘tidak murni’. Tapi sekarang diizinkan mengenakan cincin kahwin di mana-mana tangan sekalipun.
- Lain pula dengan masyarakat di Jerman dan Belanda. Di dua negara ini, pasangan mengenakan cincin pertunangan emas di tangan kiri manakala cincin kahwin di jari manis tangan kanan. Ini menandakan perubahan status sosial.
Cincin kahwin di tangan kiri
- Dalam sebuah artikel, di beberapa negara terjadi perubahan tangan di mana cincin kahwin di sarungkan dari tangan kanan ke tangan kiri. Ini membawa erti sebagai tanda rasa hormat dari seorang isteri kepada suaminya.
- Di beberapa negara seperti Turki, Lebanon, Suriah, dan Brasil, cincin kahwin pada awalnya disarungkan di tangan kanan. Namun sekarang di sebelah kiri.
- Manakala berbeza pula dengan di Sri Lanka. Pengantin lelaki akan mengenakan cincin kahwin di tangan kanannya dan pengantin wanita di tangan kirinya.
Jadi, di mana sepatutnya cincin kahwin disarungkan?
Cincin kahwin adalah simbol kasih sayang anda pada pasangan. Baik di tangan kiri mahupun kanan, cintailah pasangan anda seikhlasnya kerana Allah Taala.