Kita sering berdepan dengan lelaki yang sudah berkahwin, berseloroh dengan mengatakan dirinya bujang. Walaupun tahu perkara ini cuma main-main, namun seorang lelaki yang sudah berkahwin haruslah sentiasa berhati-hati ketika menuturkan sebarang kata. Merungkai persoalan tentang “Hukum suami mengaku bujang?”, ini jawapan daripada Mufti Wilayah Persekutuan.

SOALAN:
Assalamualaikum Ustaz.
Saya ada satu soalan nak tanya ustaz. Ada seorang hamba Allah datang bertanya kepada saya. Ceritanya secara ringkas begini. Si isteri pulang ke kampung dengan membawa anaknya sekali. Dan semasa di airport, isteri ada bertanya kepada suami kenapa mesti memakai pakaian cantik-cantik sedangkan hnya ke airport. Dan si suami membalas dengan berkata. “Nak keluar lah sekejap lagi, kan bujang hari ni”. Tapi hakikatnya hanyalah dengan niat gurauan tanpa ada maksud begitu. Adakah kata-katanya itu sebenarnya telah terjatuh talak kepada isteri dia? Kerana ada kawan isterinya memberitahu walaupun dengan gurauan, hakikatnya telah jatuh talak. Boleh Tuan Mufti jelaskan. Sangat berharap Tuan Mufti boleh memberi penjelasan tentang perkara ini.

JAWAPAN:
Waalaikumusslam wbt,
Satu rukun daripada rukun-rukun talak ialah sighah, yakni bentuk ucapan talak itu. Jika tiada sighah talak maka tidak jatuhlah suatu talak. Sighah itu terbahagi kepada dua:

IKLAN

Pertama: Sighah Sarih
Sighah sarih bermaksud bentuk ucapan talak yang jelas dan tidak menanggung maksud lain selain talak. Ini seperti perkataan talak, cerai, berpisah. Kalimah-kaimah ini jika disebut tidak memerlukan kepada niat untuk menjatuhkan talaq. Sekali pun jika seseorang menafikan selepas itu: “Aku tidak berniat talak”. Maka tetap tidak diterima penafian itu.

Kedua: Sighah Kinayah
Kinayah bermaksud kiasan. Kalimah kiasan memiliki banyak maksud dalam suatu masa. Justeru, ia memerlukan niat cerai sewaktu dilafazkan perkataan kinayah itu. Jika tidak wujud niat talak sepanjang lafaz kinayah itu disebutkan, maka tidak jatuh talak. Contohnya seperti si suami berkata kepada isterinya: “Engkau telah kosong”, “engkau bebas”, “baliklah ke rumah ibu bapamu” dan “engkau telah halal”.

IKLAN

Dalam kes di atas, mengaku bujang kami berpendapat tidak termasuk dalam lafaz talak. Dan jika dimasukkan sekali pun termasuk dalam lafaz kinayah yang sangat lemah. Ini kerana perkataan bujang membawa banyak maksudnya:

Boleh jadi maksudnya ialah bujang tiga bererti lelaki yang sudah berkahwin satu boleh berkahwin lagi tiga.
Boleh jadi juga membawa maksud dia ingin menceraikan isterinya.
Boleh jadi juga bermaksud dia menipu menyatakan dia tidak pernah berkahwin kerana mengaku bujang tidak sama jika mengaku duda.
Mungkin juga maksudnya ialah dia berasa seperti seorang bujang yang memiliki masa lebih lapang untuk urusan peribadi.
Begitulah seterusnya.

IKLAN

Justeru kami berpendapat tidak jatuh talak jika seorang lelaki mengaku bujang kerana perkataan itu tidak termasuk dalam lafaz sarih atau kinayah bagi talak. Jika termasuk sekali pun ia termasuk dalam makna yang paling ganjil dan lemah kerana bujang bermaksud tidak pernah berkahwin dan berbeza dengan duda. Kami mengambil kesempatan di sini untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dalam memilih ucapan supaya selamat daripaad sebarang kekeliruan.

Wallahua’lam.

“SESUNGGUHNYA… LIDAH WANITA ITU AKAN MENJADI SEMAKIN TAJAM APABILA LIDAH LELAKI MENJADI SEMAKIN BERCABANG.”