
Setiap pasangan berkahwin mempunyai impian membina rumah tangga yang serba lengkap iaitu ada rumah, kereta dan peralatan moden yang memudahkan kehidupan mereka. Tetapi, tidak semua orang dapat mencapai impian hidup mewah dan senang selepas berkahwin.
Ini kerana sebelum berkahwin mereka sudah membelanjakan wang yang agak banyak untuk beberapa majlis. Umpamanya bermula dari majlis pertunangan sehingga perkahwinan. Hutang yang terbeban oleh pasangan yang baru berkahwin memang banyak. Justeru bagi yang bijak mereka akan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan dan mengamalkan hidup sederhana bagi mengekalkan keharmonian rumah tangga dan mengelak konflik suami isteri kerana masalah kewangan.
Berikut adalah tip untuk mengamalkan hidup sederhana bagi pasangan yang baru berkahwin.
1. Jika belum mampu membeli rumah sendiri, sewa rumah yang mampu dibayar. Biar tidak besar asal selesa dan dapat dijadikan tempat tinggal buat sementara selagi belum mampu memiliki rumah sendiri. Tinggal sendiri boleh mengajar pasangan tentang ilmu berumah tangga kerana apabila sudah tinggal berasingan dari keluarga mereka perlu lebih bijak merancang kehidupan.
2. Membeli keperluan asas dalam rumah tangga, seperti set dapur, pinggan mangkuk, sudu garpu senduk, seterika dan sebagainya serta set bilik tidur dan keperluan harian yang bersesuaian dengan harga yang mampu dibayar. Buat sementara waktu beli yang tidak terlalu mahal harganya.
3. Kenderaan amat penting sebagai pengangkutan ke tempat kerja atau balik kampung. Jika ada duit simpanan boleh membeli motor untuk memudahkan perjalanan suami isteri ke tempat kerja atau membeli kereta yang kecil dan murah untuk kegunaan suami isteri. Jika tidak mampu naik kenderaan awam sahaja ia lebih menjimatkan kos hidup.
4. Masak di rumah dan tidak membazir dengan membeli makanan yang mahal dan sentiasa berhemah dalam perbelanjaan. Memasak di rumah bukan sahaja menjimatkan malah mengeratkan hubungan suami isteri. Kata orang tua, air tangan isteri akan membuatkan suami akan sentiasa mengingati isterinya.
5. Jangan membeli barang yang tidak perlu seperti hiasan rumah yang hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Elakkan membeli peralatan rumah yang tidak kerap digunakan. Berbelanja hanya bila perlu sahaja.
6. Sentiasa mengamalkan konsep bersyukur dan tidak tamak serta iri hati melihat apa yang orang lain ada. Misalnya melihat orang lain membeli baju, tudung, kasut dan barangan berjenama, kita juga mahu yang sama. Memadai dengan barangan biasa yang boleh dipakai dan tahan lama.
7. Jangan selalu bandingkan kehidupan kita dengan kehidupan orang lain. Ikut kemampuan diri dan sentiasa berhemah dalam apa juga yang dibelanjakan. Jika ada wang lebih menabung sedikit demi sedikit.
8. Dari awal perkahwinan jika sudah mengamalkan gaya hidup sederhana ia akan menjamin kebahagiaan hidup di masa depan. Walaupun mungkin ada yang mampu hidup mewah selepas berkahwin, buang rasa sombong dan ego serta sentiasa mendidik anak-anak dalam suasana kehidupan yang sederhana bagi mendidik jiwa mereka menjadi mulia.
Kesimpulannya, memulakan kehidupan berumah tangga dengan cara hidup sederhana amat dituntut dalam agama. Mereka juga dapat menghayati konsep bersyukur dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan apa yang mereka mahu.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nasihat Lelaki Ini Tentang Kahwin, Buatlah Persediaan Awal Supaya Korang Boleh Terima Pasangan Seadanya

Isi Kandungan
ToggleMungkin ada yang mengatakan bila sudah kahwin, kelegaan dirasai kerana semua perkara dapat dilalui bersama sama ada susah dan senang. Itu mungkin pada awal perkahwinan semuanya dirasakan indah tambahan pula orang yang kita sayang ada bersama kita.
Namun ketahuilah hakikatnya bila sudah berkahwin banyak perkara yang tidak kita ketahui tentang pasangan sebelum ini akan terserlah . Ikuti perkongsian lelaki ini sebaik telah berkahwin.
Assalamualaikum wbt
Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan confession ini.
Aku rasa tertarik nak tulis lepas baca confession Nasihat Mak Tentang Perkahwinan dan Nasihat Ayah Tentang Perkahwinan. Terima kasih pada confessor yang sudi kongsi nasihat tersebut. Aku yakin ianya sangat bermanfaat buat kita.
Aku seorang lelaki, sudah berkahwin. So aku tulis ni nak tambah lagi beberapa nasihat, yang aku rasa sangat berguna untuk orang yang belum kahwin dan sudah berkahwin. Aku dulu sebelum kahwin takde orang pun bagi nasihat ni pada aku. Padahal nasihat-nasihat ni sangat penting untuk kita tahu sebelum nak kahwin.
Sejak akhir-akhir ni, kita perasan ramai pasangan yang berkahwin pada usia muda, which is very good. Daripada ber-couple tak tentu hala tu, lebih baik kahwin kan. So bagus la trend kahwin muda sekarang ni. Tapi kalau korang perasan, kes perceraian pun semakin meningkat sekarang ni. Tak percaya? Cuba korang pergi Pejabat Agama atau Mahkamah Syariah terdekat, pergi tanya statistik berapa ramai yang bercerai dalam satu hari? Pasti korang ternganga mulut tak percaya. Tapi itulah realiti yang berlaku sekarang.
Sebab apa bercerai? Ianya multifactorial. Banyak sebab. Setiap kes berbeza. Jadi aku rasa terpanggil untuk menulis supaya korang buat persediaan sebelum kahwin, jangan menonong je nak kahwin sebab kawan-kawan korang dah kahwin. Persediaan ini penting supaya korang well-aware untuk menghadapi alam perkahwinan.
1. Sila kurangkan expectation/harapan kepada suami & isteri.
Sebelum kahwin, aku tertarik dengan isteri aku ni sebab dia bertudung labuh, lemah lembut, sopan santun. Boleh masuk kategori ayu dan isteri pilihan la. So aku tak teragak-agak nak kahwin dengan dia. Sebelum kahwin aku expect isteri aku ni ala-ala bidadari la, melayan aku dengan lemah lembut dan sopan santun bila kami dah kahwin nanti.
Lepas kahwin, aku terkejut besar. Isteri aku ni dia kentut merata-rata, tak cover langsung. Bila makan, kaki letak atas kerusi. Bagi aku nampak macam biadap. Makan pun dengan pelahap, tak sopan langsung. Situasi ni semua dalam rumah. Sebelum kahwin aku terbayang isteri aku ni ayu, sopan santun. Tapi bila dah duduk sekali, rupanya jauh panggang dari api. Tipah tertipu kejap. Haha..
Kisah di atas ni adalah expectation aku pada isteri. Kisah di bawah pulak adalah expectation isteri pada suami.
Lepas beberapa bulan kahwin, isteri aku cakap dekat aku yang aku ni tak romantik. Dalam hati aku, eh ni apa kes pulak. Pastu aku tanya isteri aku, kenapa cakap macam tu? Korang nak tau apa dia jawab?
Isteri aku jawab, selama kita kahwin ni, tak pernah pun kita candle light dinner. Abang tak pernah pun buat surprise tutup mata dengan kain, tutup lampu dalam rumah, lepas tu ‘jeng jeng jeng surprise’. Haritu kita pergi pantai, abang takde pun main kejar-kejar lari-lari dan berpelukan di tepi pantai sambil di pukul ombak. Tak sweet lah abang ni.
Lepas tu aku tempik dekat isteri aku, sayang, abang ni kayu. Tak reti nak sweet-sweet macam dalam drama TV3 pukul 7 tu. Tu la, suka sangat tengok cerita-cerita romantik lepas tu berangan macam-macam. Ingat abang ni pelakon drama ke?
Hahaha, tu la kisah expectation antara kami suami isteri. Sebenarnya ada banyak kisah lagi, tapi kang nanti tak larat pulak korang baca kalau aku tulis semua.
Ada seseorang yang cerita dekat aku, ada satu pasangan ni, si isteri minta cerai. Aku tanya la sebab apa? Pastu dia cerita :
Si suami ni seorang yang alim, ala-ala macam ustaz. Jadi ramai la perempuan yang berkenan nak jadikan suami. Ditakdirkan, seorang perempuan ni dijodohkan dengan ustaz ni. Lepas beberapa bulan kahwin, si isteri minta cerai sebab suami dia selalu subuh gajah. Dia ingat bila kahwin dengan ustaz, suami dia akan qiyamullail dan solat tahajud setiap malam. Rupanya dia silap. Suami dia selalu bangun lewat dan dia pulak yang kena kejutkan suami dia. Dia nak suami yang menjadi imam dan membimbing dia menjadi lebih baik, tetapi dia pulak yang kena kejutkan suami.
Take home message yang pertama : Isteri bukanlah bidadari dan suami bukanlah malaikat. Korang jangan letak expectation tinggi-tinggi pada suami dan isteri. Kita ni manusia banyak kekurangan. Sebelum kahwin memang tak nampak kekurangan tu. Tapi bila dah kahwin, duduk sekali, sejuta kekurangan korang akan nampak pada pasangan.
2. Perempuan sangat misteri
Korang pernah tengok tak cerita Misteri Nusantara dekat TV3? Aku tak pasti ada lagi ke tak cerita tu sekarang sebab dah bertahun aku tak tengok TV3. Hahaha. Cerita tu membongkar kisah-kisah misteri tentang makhluk ghaib, jin, hantu dan sebagainya. Tapi ada lagi satu kategori misteri yang diorang belum bongkar, iaitu perempuan. Nak tahu sebab apa perempuan itu misteri? Meh aku cerita. Aku tulis ikut situasi supaya korang senang faham.
Situasi 1 :
Aku dan isteri nak makan dekat luar. Dalam kereta, aku tanya isteri aku, nak makan kat mana? Dia jawab, ikut abang lah. sayang ikut je. Aku pun tanpa berfikir panjang terus memandu ke restoran kegemaran aku. Bila sampai je depan restoran tu, isteri aku cakap, “ala, asyik restoran ni je, pergi la restoran lain”. Lepas tu aku tanya dia balik, nak pergi restoran mana, dia jawab “ikut abang lah, sayang ikut je”. Facepalm.
Situasi 2 :
Bila sampai restoran, waiter/pelayan bagi menu makanan. Aku tak tengok pun menu tu sebab aku dah tahu nak order apa. Aku suka order nasi goreng kampung, manakala isteri aku suka nasi goreng tomyam. Setiap kali makan luar, aku akan order nasi goreng kampung. So aku tak perlu nak tengok menu pun.
Berbalik pada kisah tadi, isteri aku tanya aku kenapa tak tengok menu. Aku pun jawab, buat apa nak tengok sebab abang dah tahu nak order apa. Pastu isteri aku jawab, abang ni asyik order nasi goreng kampung je, cuba la order menu lain. Dalam hati aku, “dah tekak aku suka nasi goreng kampung, buat apa nak order menu lain”.
Isteri aku pun membelek-belek menu yang ada. Aku tahu isteri aku suka order nasi goreng tomyam, tapi disebabkan kali ni isteri aku membelek menu tu lama-lama, aku rasa mesti dia nak order menu yang berbeza. Setelah lama membelek menu, isteri aku pun melambai tangan untuk memanggil waiter. Bila waiter sampai tanya nak order apa, isteri aku jawab, “nasi goreng tomyam”. Facepalm.
Ingatkan dia belek menu lama-lama tu nak order menu lain, last-last order menu yang sama jugak. Bukan main lagi dia marah aku mula-mula order menu sama, rupanya dia pun order menu yang sama jugak. Tak ke membazir masa tengok menu lama-lama tadi? Kalau order je terus tanpa tengok menu mesti dah sampai makanan yang kita order.
Situasi 3 :
Aku baru balik dari kerja. Bila sampai rumah, tengok isteri macam senyap, lain dari biasa. So aku tanya dia, sayang ok ke? Dia jawab, ok je. Bila dia jawab ok, aku assume dia ok la. So aku pun berbaring atas sofa sambil layan FB.
Malam tu sebelum nak masuk tido, isteri aku marah aku. Dia kata, “abang tak perasan ke sayang tengah ada masalah, tak stabil dari petang tadi”. Pastu aku jawab, “laa tadi abang tanya sayang ok ke tak, sayang cakap ok je”. Abang assume sayang ok la. Facepalm.
Situasi 4 :
Kawan aku ajak jumpa lepak dekat mamak. Aku pun bagitau isteri aku, “sayang, abang nak keluar kejap jumpa member, ok ke?. Pastu dia jawab, ok je”
Bila aku balik rumah, isteri aku bising. Sebenarnya dia tak nak aku keluar lepak dengan member. Dalam hati aku, “la, aku tanya tadi dia kata ok je nak keluar”. Facepalm.
Situasi 5 :
Sewaktu lepak-lepak dengan member dekat mamak, aku mesej isteri aku tanya, nak order apa-apa tak? Nanti abang boleh tapaukan. Isteri aku jawab, “takpe la bang, sayang dah kenyang”.
Bila aku balik rumah, isteri aku tanya “abang tak beli apa-apa makanan ke untuk sayang?”. Facepalm.
Haaa. tu la beberapa situasi yang telah berlaku yang menyebabkan aku rasa orang perempuan ini sangat misteri. Walaupun dah kahwin bertahun-tahun, masih lagi susah nak memahami insan yang bergelar perempuan.
Take home message kedua : Perempuan sangat misteri. Korang kena belajar memahami apa yang diorang cakap. Kadang-kadang apa yang diorang cakap berlawanan dengan apa yang diorang maksudkan. Senang cite, perempuan ni kadang-kadang diorang tak cakap direct. Banyak sangat kiasan dan bunga yang menyebabkan orang lelaki tak faham. Untuk mengelakkan salah faham, lelaki kena cuba memahami bahasa perempuan manakala orang perempuan kena cuba cakap direct apa yang mereka nak/maksudkan supaya orang lelaki mudah faham.
Kepada yang akan berkahwin dan sudah berkahwin, aku suggest korang baca buku ‘Men from Mars, Women from Venus’ dan follow FB Pak Utih’s Page. Ada banyak tips dan nasihat yang sangat berguna kat situ.
Kesimpulannya, sebelum kahwin kena buat persediaan dulu, kalau tak nanti korang terkejut beruk pulak. Hehehe
– Mad
Sumber : iium confession
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Bawah Umur Jangan Letak Sebagai Penama Penerima Hibah Polisi Takaful, KWSP, ASB Dan Tabung Haji.


Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
5 Cara Ini Untuk Kempiskan Perut Tanpa Senaman, Bakal Pengantin Boleh Cuba

Tak kira pengantin perempuan atau lelaki tentu sahaja anda mendambakan perut yang kempis menjelangnya hari perkahwinan. Untuk mastikan anda tampil sempurna, anda akan cuba sedaya upaya mengempiskan perut agar ia tidak membuak dan buncit bak jeli.
Malu jika perut menggelebeh sana sini, lebih-lebih lagi saat pengantin nak menyarungkan baju kahwin. Malah bimbang jika baju pengantin sudah gah, tiba-tiba mata tetamu tertumpu pada tompokan lemak yang ada di perut pengantin. Jadi awas ye!
Sebenarnya banyak kaedah dan cara untuk menjadikan perut anda kempis dan kecil. Anda boleh cuba beberapa cara yang efektif ini tanpa melakukan senaman yang ekstrem ataupun gila-gila. Semoga berjaya!
1. Hindari gula
Gula terdiri daripada sukrosa dan fruktosa. Ketika anda mengambil gula, fruktosa akan masuk ke dalam hati anda. Jika fruktosa yang masuk ke dalam hati anda terlalu banyak, maka hati akan mengubah fruktosa menjadi lemak. Gula, baik dalam bentuk padat ataupun cair mempunyai efek yang sama.
Ini termasuk juga gula dalam minuman botol, bahkan jus juga mengandungi gula yang cukup banyak.Tapi, ada gula yang baik buat anda iaitu gula yang terkandung di dalam buah asli. Buah selain mengandungi gula juga mengandungi banyak serat yang boleh meneutralkan efek sampingan dari gula.
Jadi cara mengecilkan perut tanpa olahraga ialah menghindari gula seboleh yang mungkin. Bayangkan gula itu bagaikan ulat yang akan anda hindari!
2. Banyakkan pengambilan protein
Protein berperanan penting dalam menurunkan berat badan. Fungsi protein dalam proses mengecilkan perut adalah:
a) Mengurangi keinginan makan anda hingga 60%
b) Meningkatkan metabolisme tubuh hingga boleh membakar 80-100 kalori/hari
Jika anda ingin menurunkan berat badan dan juga mengecilkan perut, cuba tambahkan pengambilan protein dalam menu anda sehari-hari. Ini kerana protein tidak saja membantu anda mengurangi berat badan tapi juga membantu mengurangi efek bertambahnya berat badan ketika anda memutuskan untuk berhenti berdiet.
Jadi, mulalah mengambil lebih banyak protein seperti telur, daging, ikan, ayam dan susu.
3. Kurangkan sumber karbohidrat
Mengurangkan pengambilan karbohidrat bererti anda mengurangkan nafsu makan dan mengurangkan nafsu makan bermakna anda mengurangkan berat badan selain mengempiskan perut. Diet rendah karbohidrat juga membantu anda mengurangi berat air (jumlah air yang disimpan dalam sel tubuh anda) yang menjadikan berat badan anda berkurang hanya dalam hitungan hari. Karbohidrat (roti putih, beras putih, tepung, pasta) menyebabkan kenaikan jumlah lemak di perut anda. Jika anda ingin menurunkan berat badan secara cepat, cuba kurangkan jumlah karbohidrat hingga 50 gram/hari.
50 gram karbohidrat/hari itu sama sahaja dengan:
a) 1.5 potong kentang panggang
b) Sesenduk nasi
c) Dua keping roti gandum
Dengan mengurangkan karbohidrat hingga 50 gram/hari maka tubuh anda akan mengalami fasa ketosis. Ini adalah fasa di mana tubuh akan menggunakan sumber tenaga internal (lemak) kerana tidak mendapatkan makanan dari luar.
Selain membantu menurunkan berat badan dan mengecilkan ukuran pinggang, diet rendah karbohidrat juga membantu untuk mengurangi risiko terkena diabetes.
4. Makan makanan berserat
Ya, serat adalah salah satu makanan yang paling mudah dicerna. Namun tidak semua serat boleh membantu anda mengempiskan perut. Serat yang paling berguna adalah jenis serat kental (viscous fiber). Serat jenis ini akan menyerap air dalam tubuh dan membentuk gel di dalam pencernaan anda. Gel ini akan melambatkan proses lewatnya makanan di saluran pencernaan dan juga proses penyerapan nutrisi daripada makanan tersebut, sehingga anda akan berasa kenyang lebih lama dan akhirnya mengurangi porsi makanan anda.
Serat kental banyak terdapat dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan kekacang. Jadi, mulalah makan buah dan sayur sekarang!
5. Minum air dengan banyak
Ya, minum air sangat bermanfaat untuk mengempiskan perut anda dan menurunkan berat badan. Minum dua liter air (8 gelas) sehari boleh membakar 96 kalori/hari. Minum air akan lebih efektif membantu anda mengecilkan perut secara semula jadi jika anda minum 0.5 liter air (2 gelas), 30 minit sebelum makan. Jika perut anda sudah penuh dengan air sudah tentu anda tidak akan makan secara berlebihan.
Kopi dan teh hijau juga membantu dalam menurunkan berat badan kerana kafein yang terkandung di dalamnya membantu meningkatkan metabolisme tubuh yang bererti lebih banyak kalori yang terbakar.
Itulah lima cara mengecilkan perut tanpa senaman buat anda yang malas bergerak. Cara di atas akan jauh lebih efektif jika anda menggabungkannya dengan senaman secara teratur.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI