Tarikh nikah sudah dekat, ini checklist anda. Jangan tertinggal walaupun satu. Tak tahu mana nak mula? Jangan gugup cuma tanda satu-satu. Kami di Pesona Pengantin akan sentiasa mengingatkan dan membantu anda dalam persediaan alam perkahwinan.
Senarai WAJIB
1-Kursus Nikah
Adakah anda sudah menghadiri kursus yang diwajibkan kepada pasangan ingin mendirikan rumah tangga? Ia merupakan kursus yang wajib diambil sebelum anda berkahwin. Sila daftar awal kerana kebiasaannya kursus tersebut sentiasa penuh apatah lagi menjelang bulan musim cuti sekolah atau akhir tahun.
2-Hantar Borang Permohonan Nikah
Jangan bertangguh untuk menghantar borang permohonan di negeri masing-masing bagi mendapatkan surat kebenaran berkahwin. Seeloknya sebulan lebih awal daripada tarikh nikah.
Anda harus ingat bahawa pihak lelaki perlu mengesahkan kesemua borang permohonan ini dan barulah pihak perempuan boleh melengkapkan borang permohonan mereka. Setelah siap, hantar semua dokumen pada Pejabat Agama Islam Daerah. Antara dokumen yang perlu ada:
Borang Permohonan Lelaki (borang 2A)
Borang Akuan Bujang
Borang Pengesahan Jurunikah
3-Ujian HIV/AIDS
Lakukan ujian di klinik atau hospital kerajaan dan swasta yang hanya terpilih sahaja.
4-Tempah waktu Tok Kadi/Imam
Anda boleh dapatkan khidmat tok kadi/imam di masjid atau surau berdekatan dengan lokasi pernikahan.
Ads
5-Dapatkan saksi pernikahan
Perkara ini kadang kala hampir lupa dipandang oleh pasangan yang ingin berkahwin. Walaupun boleh ‘bidan terjun’ tetapi terdapat syarat yang perlu ditepati. Segeralah cari dua orang saksi nikah anda.
6-Berlatih akad nikah
Sedar tak sedar, ini merupakan ketakutan yang teratas bagi lelaki. Sering kali tersasul kerana terlalu gemuruh melafazkan akad nikah. Apa kata seminggu sebelum tarikh pernikahan, anda sudah mula berlatih cara-cara lafaz nikah agar ia lancar di mulut. Practise make perfect.
7-Duit ‘sagu hati’ Jurunikah
Sediakan awal-awal bayaran ‘angpau’ jurunikah pada hari pernikahan dan berikan kepada ahli keluarga yang terdekat. Ingatkan ahli keluarga agar memberi angpau tersebut kepada anda sebelum majlis lafaz akad bermula. Sebaik sahaja doa habis dibaca sejurus akad, anda serahkan wang tersebut kepada jurunikah atau imam.
Walaupun ini bukan perkara wajib setidaknya wang tersebut adalah sebagai tanda penghargaan memudahkan proses pernikahan. Sebelum itu, risik jumlah pembayaran angpau tersebut sewaktu anda hantar borang permohonan borang nikah.
Ads
8-Sediakan kad pengenalan asal
Pada hari akad nikah, sediakan siap-siap kad pengenalan yang asal. Ingatkan juga pada pasangan. Kad ini memang akan diminta oleh jurunikah atau imam sebagai rujukan.
9-Mas Kahwin
Apa yang penting adalah jumlah mas kahwin seperti yang dituntut oleh agama. Sediakan kos ini dahulu. Bawa pada hari pernikahan. Perkara lain seperti wang hantaran dan barang hantaran adalah adat.
10-Bajet
Anggaran kos untuk sesuatu majlis perkahwinan bergantung pada perancangan anda. Jika anda hanya mahukan majlis yang asas seperti akad nikah dan sedikit majlis kesyukuran tanda hebahan perkahwinan anda maka ia tidak melibatkan kos yang banyak. Jika anda inginkan perkahwinan impian, teliti bajet anda dahulu.
Ads
Maskulin saran agar anda sentiasa mengukur baju di badan sendiri dalam melakukan sesuatu perkara. Jangan ikut nafsu, kelak anda akan merana. Digalakkan sama sekali agar anda menabung awal untuk kos perkahwinan. Jika anda ingin lakukan pinjaman wang di syarikat berlesen seperti bank, anggap ia jalan penyelesaian terakhir dan bukan yang pertama. Elak dari berhutang.
11-Barang hantaran
Tentukan berapa jumlah yang akan diberikan kepada pasangan perempuan. Kebiasaannya bilangan nombor ganjil akan diambil. Tiga hantaran pihak lelaki akan berbalas lima hantaran daripada pihak wanita. 3/5, 5/7, 7/9 dan sebagainya.
12-Edar kad kahwin
Kad kahwin kebiasaannya diedarkan dua atau tiga minggu sebelum tarikh perkahwinan. Kebiasaannya keluarga akan memainkan peranan untuk menjemput sanak saudara terdekat dan jiran tetangga. Yang selebihnya, andalah yang perlu menyerah sendiri kad-kad tersebut kepada sahabat handai.
13-Khidmat Pelamin & Busana
Dapatkan khidmat pelamin dan persalinan pengantin mengikut cita rasa dan bajet anda. Dude, it’s your wedding day! Dan tidak salah untuk anda meraikan hari istimewa tersebut. Seeloknya tempah pelamin, mak andam dan sebagainya lima bulan lebih awal. Jika boleh dapatkan pakej-pakej perkahwinan daripada ekspo perkahwinan yang sering diadakan sekarang. Lebih jimat dan lebih mudah.
14-Papan Arah Tuju
Papan arah tuju adalah untuk memudahkan para tetamu menuju ke lokasi majlis persandingan anda. Jika boleh buat persediaan ini sehari lebih awal. Jangan malam majlis barulah anda tergopoh-gopoh nak tampal kecuali anda mempunyai tenaga kerah yang ramai. Peringatan!
Diharapkan sangat agar selepas sahaja majlis selesai, anda luangkan sedikit masa untuk menurunkan balik atau tanggalkan setiap arah tuju dari tempatnya. Ini untuk mengelakkan pencemaran mata.
Follow kami di Instagram @PesonaPengantin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Doa merupakan senjata bagi umat Islam. Malah Al-Quran juga adalah sumber penawar baik daripada segi zahir mahupun batin. Justeru, sebagai suami isteri menjadi kewajipan suami untuk membimbing isteri dan keluarga mendekatkan diri dengan agama, selain menuntut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang sebagai senjata untuk miliki rumah tangga bahagia.
Suami isteri yang sedang berdepan dengan masalah elok menjadikan wirid dan doa Al-Mathurat ini sebagai amalan di waktu pagi dan petang. Bahkan banyak ganjaran untuk rumah tangga yang anda berdua boleh peroleh dengan mengamalkan Al-Mathurat. Pasti selepas anda sudah mengetahui ganjarannya, anda akan rasa sayang untuk meninggalkannya walaupun satu doa.
Kelebihan Mengamalkan Al-Mathurat
1. Tidak dihampiri syaitan
2. Rumah dan keluarganya terselamat daripada perkara yang tidak diingini.
3. Allah mencukupkannya dengan apa yang sangat diperlukan dari segi urusan dunia dan akhirat.
4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
5. Selamat dari segala sesuatu.
6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
7. Diredhai Allah SWT.
8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
9. Terhindar daripada syirik.
10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
11. Dimudahkan menyelesaikan hutang-hutang.
12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari kiamat.
13. Membacanya di waktu pagi akan dipelihara Allah SWT hingga ke petang. Siapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
14. Mengamalkannya umpama mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dari sudut zikir dan berdoa, dan pelbagai lagi kelebihan.
Amalan Suami Isteri
Jika anda berada di sebelah suami yang sedang memandu, bacakanlah wirid dan doa harian ini. Biar suami di sebelah mendengar bacaan anda. Ikut tertibnya, jika perlu membaca tiga kali sehingga habis sebagaimana yang terkandung dalam buku Al Mathurat.
Ada bahagian wirid dan doa yang perlu diperhatikan dengan teliti terutamanya ketika membaca sebelah pagi atau petang. Ada beberapa bahagian ayat perlu diubah mengikut masa membacanya. (boleh rujuk buku Al Mathurat)
Sebaiknya, bacalah sampai doa terakhir dalam Al Mathurat. Kadangkala kerana ingin cepat, kita mengelak daripada membaca wirid dan doa ini sampai habis. Terjemahan doa ini sahaja membaca makna yang cukup besar dalam menyatukan hati-hati insan yang dekat dengan pengamalnya.
Andai anda sedang berselisih dengan suami atau isteri, bacalah doa akhir ini kerana ia mampu menyatukan hati, selain mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara pasangan malah anak-anak.
Agar hidup yang baharu dibina diberkati dan dilindungi, cuba ikhtiar dengan pendekatan Islam. Nescaya kehidupan sebagai suami dan isteri akan mendapat rahmat juga keberkatan daripada Allah SWT.
Doa Akhir
“Ya Allah, menjelanglah kini malam (ciptaan)-Mu, beredarlah sudah siang-Mu, inilah keluhan suara dan pinta para du‘at-Mu. Maka oleh itu ampunkanlah dosaku. Ya Allah, engkau mengetahui bahawa hati-hati ini… (bayangkan wajah rakan seperjuangan) telah berkumpul kerana mengasihi-Mu, bertemu untuk mematuhi (perintah-Mu), bersatu memikul beban dakwah-Mu. Hati-hati ini telah mengikat janji setia mendaulat dan menyokong syariat-Mu. Maka eratkanlah Ya Allah ikatannya.
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini. Tunjukkanlah kepada hati-hati ini dengan pengetahuan sebenar tentang-Mu.
Jika engkau mentakdirkan mati maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.
Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini. Ya Allah restuilah dan sejahterakanlah junjungan kami (Nabi) Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat baginda semuanya.”
* Ketika membaca doa ini, niatkanlah untuk suami/isteri dan jangan lupa menyebut namanya.
Pengertian Al-Mathurat
1. Al-Mathurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Ia disusun dan dihimpunkan oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasar dalil-dalil sahih. Rasulullah SAW adalah orang yang paling mengetahui betapa besarnya ganjaran yang diperoleh daripada amalan doa dan wirid ini.
2. Terdapat dua jenis yang boleh dibaca iaitu Sughra dan Kubra. Andainya anda diburu waktu, sudah memadai membaca jenis Sughra kerana surah pilihan dan doanya lebih ringkas.
3. Wirid, doa, zikir dan istighfar dalam Al-Mathurat ini akan memantapkan jiwa di samping memiliki keutamaan dalam segala aspek kehidupan. Mendidik hati agar sentiasa merindui Ilahi, memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
4. Bagi seorang Muslim masanya tidak berlalu begitu saja. Di kala pagi dan petang, dia sentiasa bertasbih, istighfar, tahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal daripada Nabi SAW).
5. Jika sesiapa mengamalkan zikir Al-Mathurat, anda akan merasakan perbezaannya dengan hari-hari yang tidak dimulakan dengan zikir Al-Mathurat. Begitulah kekuatan doa dan wirid dalam Al-Mathurat yang dianggap senjata orang mukmin.
Sumber: Iluvislam
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Pesanan orang lama, nak rapat dengan mentua, golongan menantu kena elakkan duduk sebumbung. Ini lebih ‘manis’ dan bertahan lama.
Baik macam mana pun, memang akan ada sahaja isu yang membuatkan hubungan mentua dan menantu menjadi panas. Seakan tidak mudah untuk kekal baik selamanya, kalau tak selalu mungkin sesekali akan tercuit tentang sesuatu.
Nak Rapat Dengan Mentua
Beruntungnya bila ada mentua dan menantu yang cukup rapat. Anggap menantu ini macam anak sendiri. Macam-macam dibual bila berjumpa. Kadang-kadang ‘terbalik’ pula sebab anak sendiri macam tak berapa nak rapat bukan!
Namun, tak semua dapat rezeki seperti ini. Bergantung pada seseorang itu juga nak rapat, baik dan anggap macam anak sendiri. Menantu ok, mentua pula terlebih cerewet dan sebagainya. Ada juga mentua ok, tapi menantu pula tak ok.
Mentua Layan Menantu Macam Anak Sendiri
Tak dinafikan, ada menantu dan mentua tinggal berpuluh tahun bersama serumah. Alhamdulillah semuanya tiada masalah, dah dianggap seperti anak sendiri. Tapi, ada juga yang tinggal bersama, menantu makan hati pula atau sebaliknya.
Ada satu rahsia nak tahu menantu dan mentua rapat macam anak sendiri. Pesanan daripada mentua ini adalah jangan tinggal sekali. Duduklah asing-asing.
Kawan aku (perempuan) ajak aku pergi ke rumah dia untuk beraya.
Aku nampak hubungan dia dengan mak mentua cukup rapat. Ibarat ibu dan anak kandung.
Jadi, aku pun tanyalah kawan aku,
“Rapat gila kau dengan mak mentua. Siap boleh bergurau macam mak sendiri.”
Dia respons, “Kalau nak tahu rahsia ini, hang pi direct tanya mak mentua aku.”
Jadi, aku pun pergi tanya mak mentua dia. Aku tanya dalam nada bergurau.
“Mak cik, rapat betul noh mak cik dengan menantu. Kongsi rahsia sikit.”
“Mai, mak cik nak pesan sikit,” dia mula berkongsi.
“Lepas kahwin, mak cik memang akan suruh anak menantu dok jauh dari mak cik. Jangan tinggal sekali dalam serumah.”
“Pasal apa?”, aku tanya lagi.
Dia sambung bercerita,
“KALAU TINGGAL SERUMAH, SILAP HARIBULAN MENANTU DAN MAK MENTUA BOLEH BANYAK MAKAN HATI. BAHAYA TUH.”
“Tapi kalau tinggal jauh, depa cuma makan jem (sesak) bila nak balik rumah masa raya. Itu takpa, tak bahaya.
Fuh, deep sungguh pesanan mak cik ini!
Bersyukur dan beruntungnya bila mentua dan menantu ‘satu kepala’.
Tak semua pasangan yang berkahwin dapat tinggal sebumbung kerana ada yang tinggal berjauhan atas komitmen kerja atau belajar. Walaupun ramai yang kata perkahwinan jarak jauh sukar, tapi ia bukan alasan untuk anda berdua kekal romantis dan bahagia.
Paling penting kedua-duanya perlulah saling menghargai perasaan dan mempercayai antara satu sama lain. Baru anda berdua akan merasai kenikmatan berumah tangga.
Jika anda tergolong dalam pasangan yang terpaksa berpisah dengan insan tersayang, ayuh terapkan dalam diri enam petua ini agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan romantis seperti pasangan lain.
1. Tetapkan matlamat dalam hubungan
Sebelum anda dan pasangan tinggal berjauhan, menentukan dahulu arah hubungan, sebab-sebab kenapa tinggal berjauhan dan bilakah tarikh untuk anda berdua akan tinggal bersama. Ia penting agar anda dan pasangan ada matlamat untuk berusaha tinggal bersama seperti pasangan yang lain.
2. Perlu ekstra percaya terhadap pasangan
Hubungan dalam rumah tangga menuntut kita untuk saling mempercayai antara satu sama lain. Tidak dinafikan saat berjauhan kepercayaan akan teruji. Oleh itu belajarlah untuk meningkatkan kepercayaan dalam diri masing-masing. Singkirkan segala perasaan curiga terhadap pasangan kerana sikap tersebut jika dibiarkan boleh menjadi duri selain membuatkan anda memikirkan perkara yang buruk.
3. Sentiasalah berkomunikasi
Walaupun anda berdua terpisah disebabkan oleh komitmen kerja atau pelajaran, jangan sesekali mengabaikan komunikasi. Sentiasalah berhubung antara satu sama lain. Ceritakan kepada pasangan tentang aktiviti harian, masalah yang dihadapi ataupun luahkan rasa rindu anda kepadanya. Apatah lagi zaman yang serba moden ini lebih memudahkan kerana terdapat banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan orang tersayang.
4. Ambil masa untuk mengunjungi pasangan
Jika pasangan masih dalam negara, latihlah diri anda dan pasangan untuk saling mengunjungi antara satu sama lain. Buatlah giliran agar anda berdua boleh berjumpa, mungkin seminggu sekali atau dua minggu sekali. Dengan cara ini hubungan romantis dan bahagia anda berdua bertambah semarak dan tidak akan pudar. Saat bertemu itu lakukan aktiviti bersama sepuas-puasnya seperti menonton wayang, masak makanan kegemaran suami dan sebagainya. Dengan cara ini akan membuatkan hubungan anda dan pasangan bertambah bahagia.
5. Kirim hadiah kejutan
Apabila tiba tarikh-tarikh penting seperti tarikh lahir pasangan, tarikh mula bertemu, ulang tahun dan sebagainya, hantarkan hadiah untuknya. Jangan disebabkan anda berdua tinggal berjauhan, anda mengabaikan tarikh-tarikh penting ini. Sebenarnya kejutan sebegini boleh membuatkan pasangan rasa dihargai dan teruja apatah lagi menerima kiriman istimewa daripada insan tersayang. Cara ini akan menghangatkan lagi kasih sayang anda.
6. Hantarkan mesej romantis
Tentu pasangan rasa teruja apabila menerima pesanan cinta daripada anda. Anda boleh menghantar pesanan ringkas dengan mesej cinta atau kata-kata romantis di telefon bimbitnya. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan terbuai dengan cinta anda, lantas timbul rasa tidak sabar untuk bertemu dengan anda nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!