Dengan teknologi yang ada pada masa kini semuanya boleh dilihat hanya pada hujung jari sahaja. Termasuklah jemputan perkahwinan. Kalau dulu kita perlu pos kan kad ke rumah satu-satu namun kini ramai orang yang mengambil langkah mudah iaitu dengan menjemput hanya melalui Facebook atau sosial media lain sahaja.
Ya, sememangnya cara sebegini amat mudah, malah kita dapat melihat siapa lagi yang akan menghadiri majlis tersebut. Tetapi, apa hukumnya sekiranya kita dijemput tetapi tidak menghadirinya? Jom baca lebih lanjut.
Soalan:
Assalamualaikum w.b.t S.S Mufti, saya dijemput untuk hadir ke kenduri perkahwinan melalui Facebook, tetapi saya tidak menghadirinya. Apakah hukumnya ?
Jawapan:
Wa’alaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Mukadimah
Menurut kitab Al-Feqh al-Manhaji, Al-Walimah diambil dari perkataan الولْم yang membawa erti berhimpun atau berkumpul. Dinamakan dengan yang demikian itu kerana kedua pasangan suami isteri berkumpul padanya (majlis perkahwinan).
Kemudian disebutkan, al walimah merupakan makanan perkahwinan, atau kesemua makanan yang dibuat untuk dijemput (orang ramai) dan selainnya. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (2/92).
Secara umumnya, menghadiri kenduri perkahwinan adalah suatu perkara yang diperintahkan. Dan seperti yang diketahui bahawa setiap kata perintah yang terdapat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah membawa kepada hukum wajib, melainkan jika terdapat petunjuk-petunjuk lain yang mengalihkan hukum wajib tersebut.
Hukum Menghadiri dan Memenuhi Jemputan
Para fuqaha berbeza pendapat berkenaan hukum menghadiri jemputan ini dengan melihat kepada jenis dan kategori jemputan tersebut sama ada ia merupakan jemputan kenduri perkahwinan atau jemputan-jemputan selainnya. Kami ringkaskan seperti berikut:
Pertama: Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan
Majoriti para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan perkahwinan adalah wajib. Ini berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.
Riwayat Muslim 1053
Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi S.A.W فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fekah.
Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis di atas berkata: ‘’Pendapat paling sahih dalam mazhab kami, hukum menghadiri kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput, akan tetapi kewajipan tersebut gugur disebabkan beberapa keuzuran berikut:
Sekiranya ada syubhah (keraguan) pada makanan.
Adanya kemungkaran di dalam majlis tersebut.
Secara asasnya, sekiranya seseorang itu mengetahui terdapatnya kemungkaran di majlis tertentu, maka wajib ke atasnya untuk mencegah kemungkaran tersebut sekiranya dia mampu mengubahnya. Manakala sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia tidak menghadiri majlis tersebut.
Ads
Berkaitan dengan isu menghadiri majlis yang terdapat di dalamnya kemungkaran, kami telah menjawabnya secara panjang lebar di dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 224 : Hukum Duduk Di Dalam Majlis Yang Dihidang Arak Padanya yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2HMzU1i
Majlis perkahwinan yang hanya mengkhususkan orang-orang kaya sahaja untuk hadir.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
Maksudnya: Seburuk-buruk makanan adalah makanan pada majlis perkahwinan yang dijemput padanya orang-orang kaya dan ditinggalkan (tidak dijemput) orang-orang miskin.
Riwayat Ibn Majah (1913)
Majlis perkahwinan yang dijemput oleh dzimmi (orang bukan Islam), maka pendapat yang sahih di sisi mazhab Imam Al-Syafie adalah tidak wajib untuk menghadirinya.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W dalam menyatakan hak (tanggungjawab) seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain antaranya:
وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ
Maksudnya: Dan apabila dia menjemput kamu (ke sesuatu majlis) maka hendaklah kamu menerimanya (menghadirinya).
Riwayat Muslim (2162)
Ini berhujahkan bahawa yang menjadi kewajipan apabila undangan datang dari umat Islam itu sendiri.
Adapun hukum menghadiri majlis perkahwinan orang bukan Islam maka kami nyatakan bahawa para ulama’ mazhab Syafi’e berpandangan, hukum menghadiri jemputan walimah orang bukan Islam ialah sunat sekiranya jemputan itu datang daripada kaum keluarga dan jiran tetangga atau jika kehadiran kita akan memberi manfaat kepada dakwah Islam. Rujuk Nihayah Al- Muhtaj, Al-Ramli (6/371).
Ini juga dipersetujui oleh Imam al-Mardawi dari mazhab Hanbali, yang turut menyebut akan keharusan menghadiri walimah orang bukan Islam dengan memetik pandangan Imam Ahmad dan Ibn Qudamah. Rujuk Al-Insaf, Al-Mardawi (8/320).
Kami juga menambah beberapa keuzuran lain seperti berikut:
Kesesakan lalu lintas, hujan lebat, jalan lecah, dan seumpamanya.
Kata Dr. Wahbah Al-Zuhaili: ‘’Antara keuzuran yang menggugurkan kewajipan untuk memenuhi jemputan adalah: Banyaknya kesesakan, hujan lebat, jalan lecah, sakit, dan seumpamanya’’. Rujuk Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Al-Zuhaili (9/6622).
Ads
Ini mengguna pakai keuzuran-keuzuran yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat Jumaat.
Kenduri perkahwinan tersebut berlangsung jauh dari kediaman mereka yang dijemput.
Kesibukan orang-orang yang dijemput seperti tokoh-tokoh politik, agama, dan juga pemimpin masyarakat.
Banyaknya jemputan kenduri yang lain dalam hari yang sama di tempat-tempat yang jauh jaraknya.
Kata Imam Al-Nawawi lagi: ‘’Dan Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj, Al-Nawawi (9/570).
Begitu juga berdalilkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Dan sesiapa yang tidak menyahut jemputan (dengan menghadirinya), sesungguhnya dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya.
Riwayat Muslim (1432)
Ini bermaksud tidak menghadiri jemputan majlis perkahwinan dianggap sebagai suatu maksiat kepada Allah S.W.T, dan tidaklah perbuatan itu dianggap maksiat melainkan pada meninggalkan yang wajib.
Kedua: Hukum Hadir Jemputan Majlis Selain Perkahwinan Adalah Mustahab
Para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalahmustahab (iaitu sunat).
Kata Imam Al-Nawawi: ‘’Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab’’.
Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: ‘’Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan)’’. Rujuk Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi (9/570).
Hukum Menjemput Hadir Ke Majlis Perkahwinan Melalui Facebook Event
Dalam perkembangan masa kini, banyak berlaku perubahan dalam gaya hidup termasuklah isu jemputan ke majlis perkahwinan. Justeru kami menyatakan beberapa kaedah asas yang berkaitan dengan isu ini. Antaranya:
العادة محكَّمة
Ads
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Justeru secara umumnya, hukum bagi perbuatan ini adalah harus. Ini juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang menyebut:
الوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام المَقَاصِد
Maksudnya: Wasilah-wasilah mengambil pakai hukum maqasid.
Justeru, sekiranya tujuan seseorang itu benar-benar ingin menjemput orang ramai hadir ke majlis perkahwinannya, adalah dibolehkan untuk dia menggunakan apa sahaja wasilah menjemput yang harus sama ada melalui lisan, kad jemputan, atau aplikasi media sosial seperti facebook, twitter, dan seumpamanya.
Kesimpulan
Sebagai penutup kami menyatakan bahawa secara kebiasaannya jemputan yang datang dalam bentuk facebook event ini sekadar proses pemudah cara dalam menentukan jumlah bilangan individu yang akan hadir ke majlis perkahwinan tersebut dari kalangan rakan-rakan facebook pengantin. Bahkan kebiasaannya mereka akan menyebut bahawa kad jemputan akan menyusul sekiranya kita menekan pilihan going (akan hadir).
Meskipun begitu, sekiranya jemputan itu datang dalam bentuk yang umum seperti jemputan perkahwinan di majlis yang terdapat di dalamnya ramai orang, dan kita berada dalam majlis tersebut, maka tidak menjadi tuntutan (kewajipan) untuk kita menghadirinya di sisi majoriti ulama. Demikian juga kita katakan kepada isu jemputan yang datang melalui facebook event, kumpulan whats app (whats app group), dan sebagainya yang datang dalam bentuk jemputan umum.
Oleh yang demikian, secara asasnya wajib bagi anda untuk memenuhi undangan perkahwinan yang ditujukan khas kepada anda meskipun ia dijemput melalui facebook. Tambahan pula ia turut disertakan pula dengan jemputan yang sama melalui medium-medium lain seperti jemputan secara berhadapan, kad jemputan, dan selainnya.
Hukum wajib ini sekiranya anda tidak ada sebarang keuzuran yang menghalang. Namun jika anda tidak dapat menghadirinya disebabkan terdapatnya keuzuran-keuzuran seperti yang telah kami nyatakan, maka ia tidaklah dianggap sebagai berdosa. Sebaiknya, sampaikanlah permohonan maaf kepada mereka yang menjemput serta perbanyakkanlah berdoa kepada pasangan yang melangsungkan perkahwinan agar mendapat rahmat dan berkat dari Allah S.W.T.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai muslimah masa kini memilih untuk bertudung. Maka fesyen terkini turut mengikut berkembang agar muslimah juga mengikut trend wanita moden dekad ini.
Sungguhpun begitu, pemakaian tudung dan menutup aurat ini juga menerima kritikan dan penghakiman berterusan.
Am mengetahui, fatwa syarak yang popular berkenaan penutupan aurat wanita ialah penutupan keseluruhan bahagian anggota tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan sahaja.
Sungguhpun dengan pelbagai pandangan dari segi sivil dan undang-undang ke atas penutupan aurat, akhirnya tindakan ini adalah pilihan peribadi muslimah dan golongan wanita.
Penutupan aurat ini bukanlah semata-mata menutup dari segi harfiah. Ia hadir bersama tanggungjawab memelihara maruah diri serta menjaga kesederhanaan dalam amalan seharian seorang muslimah.
Timbul kesedaran
Perkara ini boleh dilihat dalam satu video oleh laman popular Buzzfeed yang memaparkan empat orang wanita bukan Islam mencuba pakaian tudung.
Salah seorang daripadanya dilaporkanmenyatakan bahawa beliau berasa perlu bersederhana dalam perwatakan apabila mula memakai tudung.
Peserta dalam program itu juga dilaporkan mula berasa nilai intelek mereka meningkat dan tidak perlu menjadi objek seks dan mainan lelaki semata-mata.
Oleh sebab itu, secara peribadi, saya menyokong kenyataan dan panduan yang berimbang daripada seorang penceramah, Zaharudin Abd Rahman di blognya, berkenaan garis panduan muslimah yang ingin berfesyen.
Hakikatnya seseorang wanita sepatutnya dinilai daripada nilai dirinya sendiri dan keilmuannya dan bukannya apa yang mereka pilih untuk disarung pada diri mereka semata-mata.
Saya tidak menafikan betapa pentingnya berpakaian dengan kemas. Sungguhpun begitu, kritikan dan pendapat yang berterusan terhadap fesyen wanita ini seolah-olah memperlihatkan kejatuhan maruah wanita adalah semata-mata salah wanita itu sendiri.
Keadaan ini dilihat lebih tidak adil apabila kebanyakan yang mengkritik itu pula ialah pihak Adam yang syarat penutupan auratnya jauh lebih mudah.
Siapa dapat nafikan betapa mudahnya lelaki untuk menutup aurat, sama ada untuk mengikut fesyen, atau untuk beriadah.
Wanita pula sentiasa dikritik tanpa mempertimbang kesusahan yang mereka perlu alami dalam menutup aurat di samping boleh mengekalkan persepsi awam terhadap imej diri dan keyakinan mereka.
pic-pinterest
Hakikatnya, dalam al-Quran sendiri, Allah telah memberi panduan tentang tanggungjawab lelaki beriman dalam hal ini (Al-Nur: 30)
“KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA ORANG-ORANG LELAKI YANG BERIMAN SUPAYA MEREKA MENYEKAT PANDANGAN MEREKA (DARIPADA MEMANDANG YANG HARAM), DAN MEMELIHARA KEHORMATAN MEREKA.
YANG DEMIKIAN ITU LEBIH SUCI BAGI MEREKA; SESUNGGUHNYA ALLAH AMAT MENDALAM PENGETAHUAN-NYA TENTANG APA YANG MEREKA KERJAKAN.”
Ayat 31 dalam surah yang sama merupakan panduan yang lebih panjang dan lebar pula untuk wanita beriman. Namun seorang lelaki yang beriman sepatutnya melihat lebih daripada sekadar kurangnya tanggungjawab mereka dalam penjagaan aurat dan penjagaan penglihatan.
Tanggungjawab lelaki
Sebaliknya, lelaki beriman seharusnya menghayati ayat ini dengan lebih mendalam dengan menyedari bahawa apabila ayat ini hanya menerangkan tentang kepentingan lelaki menjaga pandangan dan hanya sedikit tentang menutup aurat.
Hal ini bermakna, secara fitrahnya, lelaki boleh menjaga aurat dengan mudah. Masalah yang lebih besar buat kaum Adam ini adalah menjaga pandangan mereka sendiri.
Benar, kaum muslimah mempunyai tanggungjawab yang lebih sukar dan berat untuk menjaga aurat mereka. Maka seharusnya, menghayati semangat ayat ini, lelaki tidak boleh dengan semena-mena menyalahkan cara wanita berpakaian apabila golongan ini menjadi mangsa gangguan seksual.
Suatu kebenaran yang pahit ialah trend fesyen yang menjadikan wanita hari ini sebagai objek boleh dilihat menjadi sebegitu rupa kerana secara fitrahnya lelaki suka melihat wanita.
Maka akhirnya apabila wanita ingin mengikut trend, mereka juga akhirnya tanpa sedar terperangkap dalam perang psikologi ini walaupun mereka tidak berniat langsung untuk mencuri pandangan lelaki.
Dalam kata lain, tuntutan pandangan lelaki inilah yang menghasilkan fesyen hari ini dan kecenderungan menjadikan wanita sebagai objek.
Sumber : Gubahan oleh KREATIONS_BYMHAM
Dengan menghayati ayat tersebut dengan lebih lanjut, lelaki beriman tidak sepatutnya cepat menghukum cara seseorang itu berpakaian.
Sebaliknya, lelaki juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka pandang memandangkan adanya suruhan langsung dari Allah agar lelaki menjaga juga kehormatan kaum berlainannya di samping perlunya menjaga nafsu mereka sendiri.
Memang benar, wanita ada yang memakai pakaian yang menarik perhatian malah mungkin mencolok mata. Namun akhirnya, lelaki itu sendiri yang punya pilihan sama ada mahu mengganggu mereka atau membiarkan mereka; mahu merogol mereka atau menyelamatkan mereka.
Kesimpulannya, penjagaan kehormatan dan maruah individu dan gender bukan hanya terletak pada satu-satu gender sahaja. Masing-masing perlu menjaga imej diri dan profesionalisme dan masing-masing perlu menjaga pandangan dan memastikan nafsu sendiri berada dalam kawalan.
Hakikatnya, wanita punya pilihan untuk memakai berlebih-lebihan atau memakai secara sederhana manakala lelaki juga punya pilihan sama ada mahu memandang wanita sebagai objek seks mereka atau menghormati mereka sebagai manusia yang sama darjat dengan mereka di sisi Allah.
Akhirnya, perhitungan kita nanti berlaku pada peringkat individu jua. Kita tidak boleh menyalahkan apa yang wanita pakai atau apa yang lelaki mahu pandang. Anda juga bertanggungjawab terhadap tindakan dan kesan terhadap tindakan anda, di dunia mahupun akhirat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Restu daripada ibu bapa adalah sesuatu yang harus diperolehi terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam sesebuah perhubungan. Namun begitu, kadang-kala untuk menuju ke fasa yang seterusnya ia mungkin sukar bagi sesetengah pihak. Ini kerana ianya dihalang oleh keluarga terutamanya daripada ibu dan bapa bakal pasangan.
Jika anda berhadapan dengan situasi di atas, anda mungkin menjadi bingung dan runsing. Manakan tidak, insan yang anda cintai dan ingin dijadikan pasangan hidup tetapi keluarganya tidak suka kepada anda.
1. Cari Punca
Perkara pertama yang anda dan bakal pasangan anda perlu lakukan adalah mencari punca kenapa ibu bapa bakal pasangan tidak suka kepada anda. Adakah kerana anda pernah menyinggung perasaan bakal mertua atau ada hal lain yang membuatkan mereka tidak suka kepada anda? Ini adalah sesuatu yang perlu disemak bagi mengetahui perkara akar umbi yang membuatkan masalah ini berlaku.
Sebagai contoh, ada sesetengah ibu bapa yang sebenarnya bukan tidak suka kepada peribadi atau fizikal anda. Cuma mereka mungkin risau dari segi kemampuan anda terutama bagi lelaki untuk menyara anak perempuan mereka. Jadi jika ini adalah puncanya, maka si lelaki mesti memainkan peranan bagi meyakinkan bakal mertuanya dengan mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan sebagainya.
2. Perbaiki Tingkah Laku
Tip kedua yang boleh anda lakukan adalah dengan memperbaiki tingkah laku terutama ketika berhadapan dengan bakal mertua. Benar akhlak adalah sesuatu yang spontan dan tidak boleh dilakonkan. Namun begitu, akhlak sebenarnya boleh dibaiki. Sebab itulah kita selalu dengar orang yang tidak baik dan nakal boleh menjadi baik. Ia adalah perubahan ke arah kebaikan yang sangat dituntut dalam agama Islam.
Orang tua biasanya akan tertarik kepada perlakuan sopan-santun dan sikap ramah-mesra. Apabila akhlak dan tingkah laku anda menjadi baik, maka ia mungkin dapat menarik minat dan perhatian bakal mertua anda untuk menjadikan anda sebagai salah seorang menantu pilihannya. Tidak salah mencuba kan?
3. Sering Bertemu Dan Bersua Muka
Berani bertemu dengan ibu bapa si dia akan memberikan gambaran bahawa anda serius untuk menjalinkan hubungan dengan keluarganya. Jika anda tidak pernah bersua muka dengan ibu bapa bakal pasangan, mereka akan lebih mudah menolak hubungan anda dengan anak mereka. Ini kerana mereka tidak kenal siapa anda.
Namun apabila kerap berjumpa, walau pada awalnya mungkin terdapat halangan atau perasaan tidak suka, semuanya boleh berubah. Jika anda bersabar dan memberi masa, mungkin akan timbul pula keserasian dan kemesraan antara keluarga si dia dengan anda.
4. Beli Hadiah Atau Buah Tangan
Sifat manusia secara kebiasaannya sukakan hadiah ataupun buah tangan. Oleh sebab itu, anda harus mengambil tahu apa kesukaan ibu bapa si dia. Sebagai contoh jika si ibu suka memasak, maka hadiah yang boleh anda beli mungkin berupa peralatan memasak.
Saya berpendapat membeli hadiah atau buah tangan merupakan pendekatan yang paling senang yang boleh anda lakukan bagi mengambil hati mereka. Jangan kedekut.
5. Berbincang Dengan Baik
Perbincangan atau dalam bahasa Arab disebut sebagai ‘syura’ adalah perkara yang sangat digalakkan dalam Islam ketika berhadapan dengan sesuatu krisis atau masalah.
Ketika dalam fasa perbincangan ini, ambil kesempatan untuk menanyakan dengan baik-baik berkenaan perkara yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan restu mereka. Pada masa ini juga teknik komunikasi yang baik sangat diperlukan untuk berhadapan dengan bakal mertua supaya mereka tidak terasa hati dan beremosi.
Pada masa yang sama, si anak juga harus bijak memberikan pendapat dan menyokong bakal pasangan mereka. Perbincangan yang baik dan berkesan, insya-Allah akan memberikan keputusan yang baik untuk semua pihak. Semoga bermanfaat.
Sumber : Baitulmuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masyarakat Malaysia semestinya sudah biasa dengan mengambil cara pemakanan yang berat tidak kira waktunya. Malahan Malaysia juga banyak menghidangkan pelbagai jenis makanan-makanan yang menyelerakan para pengunjungnya. Namun memilih pemakanan yang sihat adalah sangat penting bagi mengekalkan tubuh badan yang cergas dan awet muda. Bukan itu sahaja, makan makanan yang tidak berkhasiat akan membuat anda menjadi lebih besar dan cenderung mengalami obesiti jika tidak dibendung lebih awal.
Pada masa yang sama, otot-otot wajah kita juga akan mendapat kesan keburukan dari cara pemakanan yang salah seperti hilang keanjalan dan ketegangan yang sepatutnya usia mereka nikmati.
Tahukah anda, lemak bukan saja boleh terjadi pada bahagian tubuh badan semata-mata. Ianya juga boleh berlaku pada bahagian wajah. Berikumerupakan 3 teknik bagi menghilangkan lemak pada wajah agar tampak cantik dan menawan yang harus anda ketahui.
1. Senaman pipi
Mula-mula letakkan jari anda pada bahagian pipi dan tekankan sambil tersenyum sekuat yang boleh. Ulangi 10 hingga 25 kali setiap hari. Jika mampu melakukan sebanyak 4 hingga 5 set setiap hari adalah lebih baik.
2. Senaman rahang
Mungkin anda pernah mendengar tentang teknik senaman ;Yoga face’ bukan? Ia merupakan senaman bagi bahagian wajah dan rahang dan mampu memberikan rengangan pada otot wajah sekalian mengecilkan pipi. Pada masa yang sama, senaman ini juga mampu mengurangkan kesan kedutan serta menganjalkan kulit.
3. Muncungkan bibir
Bagi melakukan senaman bibir juga sangat mudah untuk dilakukan. Hanya perlu memuncungkan bibir tanpa perlu mengerakkan wajah ke kiri ataupun kanan. Atau lebih senang seperti dalam posisi mencium. lakukan gerakan tersebut sebanyak 20 kali dama 4 hingga 5 set sehari.
Sungguh mudah bagi menyingkirkan lemak pada bahagian wajah supaya tidak tampak tembam atau gemuk. Asalkan anda rajin melakukan 3 teknik senaman di atas sebagai langkah menjaga kecantikan wajah dengan mudah.
Sekian petikan dari Islalisa.com.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!